Wednesday, March 18, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Krisis Keyakinan Diri Merosak Jati Diri



Barangkali ramai antara kita yang memerhati. Melihat apa yang berlaku. Apabila kita ke pasaraya senarionya hampir sama di mana-mana. Di badaraya atau di bandar-bandar kecil. Cuba sama-sama kita  jawab soalan-soalan  ini:

1                   Siapakah pekerja yang bermain telefon?
2                   Siapakah pekerja yang bersembang?
3                   Siapakah pekerja yang suka berlonggok sesama mereka?
4                   Siapakah pekerja yang lebih melawa dari lebih bekerja?
5                   Siapakah pekerja yang tidak memperlihatkan kecergsan fizikal?
6                   Siapakah pekerja yang banyak duduk dari bekerja?
7                   Siapakah pekerja yang berlagak melebihi jawatannya?
8                   Siapakah pekerja yang tidak berseri wajahnya?
9                   Siapakah pekerja yang ramai menjadi pekerja peringkat paling bawah?
10              Siapakah pekerja yang bekerja seperti hendak tidak hendak sahaja?

Penulis pasti anda sudah mendapat jawapannya. Sekarang jawab soalan-soalan berikut:

1                   Siapakah pekerja yang dilihat ada sahaja kerja yang dibuatnya?
2                   Siapakah pekerja yang bekerja tanpa pengawasan?
3                   Siapakah pekerja yang melakukan sesuatu tanpa diarah?
4                   Siapakah pekerja yang menjadi penyelia (supervisor)?
5                   Siapakah pekerja yang kelihatan cergas?
6                   Siapakah pekerja yang lebih ramah antara ramai pekerja?
7                   Siapakah pekerja yang jarang dilihat berlonggok tanpa berbuat sesuatu?
8                   Siapakah pekerja yang banyak mengetahui apabila ditanya pelanggan?

Penulis pasti anda juga tahu jawapannya. Ada asbab yang boleh difikirkan. Ada solusi yang boleh diketengahkan. Bolehkah ini kita kata sebagai krisis identiti. Krisis jatidiri. Ia kelihatan seperti sesuatu yang kecil. Sesuatu yang seperti tidak ada signifikannya. Tetapi cuba fikir dalam-dalam. Luaskan sedikit skop pemikiran kita. Bukankah itu identiti sesuatu kaum? Kita adalah sebahagian dari kaum itu. Malang? Mungkin ia dan mungkin tidak. Mungkin juga banyak kebaikannya.  Kita ambil teori SWOT. Strength (Kekuatan), Weaknesses (Kelemahan), Opportunity (Peluang) and Threat (Ancaman). Andainya kesemua sindrom kurang elok itu ditukar menjadi elok tentu banyak perubahan positif yang berlaku. Sesuatu perlu dilakukan untuk merubah wajah sesuatu kaum atau bangsa. Tanpa perubahan sama ada secara evolusi atau revolusi tentu tidak banyak impaknya. Sistem hidup kita agak lemah untuk melestarikan sesuatu yang baik. Dalam pada itu kita gagal membangunkan minda baru secara istiqamah. Ada usaha ke arah kebaikan tetapi gagal. Kita tidak ada will power untuk melakukan perubahan besar yang memberikan kebaikan. Jika boleh kita ambil contoh, Singapura boleh melakukannya. Korea dan Jepun sudah lebih awal lagi melakukannya. Kalah perang bukan penyebab Jepun menjadi mengalah. Dijajah jepun bukan bererti Korea menyerah dari segi ekonomi dan teknologi. Malah sekarang Korea bukan sahaja saingan kepada Jepun tetapi juga mengancam Jepun dari segi teknologi.

Pendidikan adalah elemen penting dalam merangka pembangunan bangsa dan negara. Pembangunan seperti sekarang melibatkan fizikal, mental dan spiritual. Warganegara yang perihatin akan tanggungjawabnya perlu memenuhi aspirsi negara untuk turut terlibat pada peringkat-peringkat keupayaan masing-masing. Kemajuan sains dan teknologi telah diterjemahkan dalam bentuk berbagai gadget  (alat) elektronik, elektrikal dan mekanikal. Masyarakat yang tertinggal dari arus perdana perkembangan pendidikan ini menjadi terpinggir kehidupan mereka. Telefon perlu dibimbit. Isinya pula bukan hanya untuk membuat dan menerima panggilan. Banyak fungsi yang menyebabkan orang-orang lama hanya mampu ternganga. Zaman yang volatile dan dinamik ini kondusif untuk mereka yang membuka minda, membuka hati, membuka diri untuk belajar dan terus belajar. Hanya belajar yang membuka lorong untuk maju ke hadapan. Masalah belajar ini juga menjadi suatu krisis kepada anak-anak muda. Selepas sekolah menengah ramai yang melanggar tembok. Terhenti segala keinginan untuk melepasi tembok kemajuan akademik. Hedonism yang melampaui keperluannya menjadi dominan di kalangan remaja. Ibu dan bapa memberi restu yang terlebih pula. Ke mana sebenarnya masyarakat kita membawa diri?

Kerja dan kerjaya sumber pendapatan yang tiada tolok bandingannya. Sesiapa sahaja perlu bekerja untuk menyara diri dan tanggungannya. Sekarang ini kerja bukan lagi kerjaya tetapi penuh dengan elemen profesionalism. Kerja-kerja fizikal telah kita serahkan kepada pendatang. Begitu ramainya mereka di sektor perladangan dan pertanian, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan. Ke mana anak-anak muda kita? Tidak kesemua anak-anak muda kita memiliki diploma atau sijil kemahirn. Walaupun banyak institusi kemahiran dibangunkan tetapi peratus yang mengikutinya masih kecil berbanding dengan penduduk negara. Sayangnya setelah 59 tahun kita merdeka kita masih lagi intensif buruh (labour intensif). Jauh lagi untuk menjadi negara intensif modal (capital intensif). Pendatang yang berjuta-juta bilangannya kelihatan mendominasi berbagai bidang ekonomi. Ke mana kita nanti? Berlaku krisis identiti. Kerisis jatidiri bangsa.  Warga asing seperti lebih menonjol memainkan peranan ekonomi.

Dalam situasi lain semakin ramai mereka yang kembali mengamalkan agama. Mendekati agama. Malah ramai ibu bapa yang berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran agama. Dari sekolah-sekolah seumpamanya ramai lulusannya yang menjadi profesional seperti pegawai perubatan, peguam, jurutera dan sebagainya. Mereka juga menjadi eksekutif syarikat. Atau secara tradisinya  mereka menjadi pendidik di sekolah menengah atau di IPT atau menjadi pegawai tadbir agama. Kesedaran terhadap agama seperti diperbaharui semangatnya. Namun begitu mereka yang masih tipis ilmu agamanya masih juga ramai. Hal-hal yang berkaitan dengan agama bukan eksklusif kepada mereka yang profesionnya dalam bidang agama. Agama menjadi fardhu ain atau fardhu kifayah atau kedua-duanya diperlukan serentak. Apa yang kita lihat ialah adanya krisis dalam bidang agama. Banyak hal-hal agama yang perlu diutamakan tetapi dipinggirkan. Dianggap tidak penting. Malah dikatakan tidak relevan. Pemikiran-pemikiran seperti itu mejadikan umat Islam semakin jauh dari ketundukan mereka kepada agama. Lebih malang apabila mereka mencari yang lain selain agama Islam itu sendiri.

Ekonomi menjadi topik hangat sejak dari dahulu lagi. Dalam sejarah, orang Melayu menjadi seafarer sailors. Mereka meredah laut dan gelombang kerana berdagang. Mereka berniaga, menjadi nakhoda, anak laut yang hidupnya di segara luas. Ramai pula menjadi pertahanan laut. Laksamana Hang Tuah adalah contoh terbaik untuk itu. Kerajaan Melayu Melaka menciptakan sejarah itu kepada bangsa Melayu. Malangnya kita tidak membina ketahanan diri. Terlalu mudah patah kehebatannya kerana olah penjajah. Adakah minda kita lemah?  Kita kehilangan aspek spiritual yang amat penting untuk membina semangat. Penjajah membina kepompong stereotype bahawa bangsa Melayu hanya layak menjadi hamba dalam bentuk makan gaji. Sejarah pula melabelkan orang Melayu yang gagah di laut ini sebagai lanun. Aduhai malangnya bangsa. Tiada siapa pula yang membela. Mereka yang cuba menghalau penjajah dilabelkan sebagai lanun. Kenapa tidak ditulis semula sejarah bangsa yang gagah menentang penjajahan? Wallahu’alam.

Apabila Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) memenangi pilihanraya pertama di Tanah Melayu kita mula aktif berpolitik. Maka minda orang Melayupun dipenuhi agenda politik. Banyak agenda yang dirancang untuk membantu orang Melayu tetapi terlalu banyak ketirisan. Setelah 59 tahun merdeka orang Melayu belum lagi kukuh ekonominya. Kita menagih simpati kaum lain untuk mendapat pekerjaan. Politik masih menjadi landasan untuk mengekalkan kuasa tetapi tidak digunapakai untuk memanfaatkan willpower bagi membangun mental dan spiritual.  Baru sekarang kita bergerak untuk membangun minda kelas tinggi. Kemahiran berfikir aras tinggi atau KBAT. Walau bagaimanapun kita perlu menyahkan dahulu cabaran dan kekangan yang boleh menghalang kemajuan ke arah itu. Jika tidak bak kata Allahyarham Tan Sri P Ramlee, masuk angin keluar asap. Jika kita tonton semula filem-filemnya kita dapati banyak KBAT yang telah digarap. Cuma malangnya kita hanya melihat kilasan luarnya sahaja. Hanya lawak jenaka yang kita tertawakan. Kita lupa melihat ke dalam bahawa the joke is on us. Hingga sekarang lawaknya masih relevan.

Wawasan 2020 hanya tinggal lima tahun lagi. Mengikut kerangkanya kita sudah dilihat maju dalam segala bidang yang perlu. Mungkin kemajuan yang akan kita capai terlalu selektif. Kuala Lumpur dan Lembah Klang mungkin mencapai taraf itu. Johor Bahru mendapat tempias Singapura. Pulau Pinang maju dengan tersendirinya kerana sejarahnya lebih awal. Namun begitu kawasan yang lain tidak menampakkan arah yang diperlukan. Koridor Utara tidak terbangun hingga sekarang. Koridor Timur juga senyap begitu sahaja. Kerancakan Cyberjaya hilang rentaknya. Begitu juga industri berat tidak berganda geraknya. Kita masih terus bergantung kepada aktiviti ekonomi tradisi seperti getah dan kelapa sawit, barangan elektronik dan minyak.  Makanan kita terus-terusan diimport dengan banyaknya. Bahan mentah juga banyak diimport. Termasuk juka jentera berat dan peralatan. Apabila keadaan ekonomi merudum seperti sekarang terlalu banyak kesannya. Bertambah pula dengan merosotnya nilai matawang maka keadaan semakin parah.


Ke mana kita?

No comments:

Post a Comment