Saturday, March 21, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Langkah Pertama Untuk Melangkah Jauh



Ramai antara kita mengetahui bahawa langkah pertama adalah yang paling sukar. Kita terlalu banyak berfikir sama hendak melangkah atau tidak. Bila hendak mula melangkah. Siapa yang perlu melangkah dahulu. Ke mana langkah hendak dituju. Siapa teman untuk melangkah. Objektif melangkah. Proses dan prosedur melangkah. Siapa pula yang hendak membaca doa. Apabila terlalu banyak berfikir maka langkah pertama itu tertanggunh-tangguh jadinya. Orang lain tertunggu-tunggu. Yang banyak berfikir menjadi lesu. Yang menunggu banyak pula tafsirannya. Begitulah yang terjadi apabila DUN Negeri Kelantan meluluskan enakmen yang berkaitan dengan hudud. Banyak sungguh ulasan-ulasan sama ada yang relevan dan yang tidak relevan. Yang menyokong dan yang berpandangan negatif. Sewajarnya semua orang Islam menyokongnya walau apapun pegangan dan ideologi politik masing-masing. Islam tidak terpisah kerana politik. Tidak terpisah kerana bangsa. Kita akan kembali kepada Allah Yang Esa. Penulis berasa tergetar kerana hudud menjadi igauan kepada ramai orang Islam. Sebabnya tidak jelas. Cuma penulis ingin membuat sorotan sedikit mengenai hal ini. Mungkin tidak menepati. Namun ianya sekadar untuk sama-sama kita renungkan sebagai orang Islam. Melihat dari kacamata Islam. Dari persepsi Islam. Dari hati nurani seorang Islam. Tanggungjawab kita sebagai penganut Islam.

Membaca ulasan di media sosial seperti facebook penulis seperti tersedar dari mimpi. Ramai antara rakan facebook yang selalu berbicara tentang Islam meragui hudud di Kelantan. Mereka yang berbicara tentang al-Quran dan hadith riaknya tidak merestui hudud di Kelantan. Mereka yang jauh dari itupun lebih parah lagi kerisauan mereka tentang hudud di Kelantan. Kita di mana? Untuk lebih adil kita perlu melihat situasi hudud di Kelantan melalui tiga sisi.

1                   Sisi al-Quran. Ianya perlembagaan ciptaan Allah untuk seluruh manusia. Ada yang beriman dengannya dan ada manusia yang tidak beriman dengannya. Selepas zaman pembaharuan ciptaan Barat, al-Quran mula dipinggirkan hingga sekarang.  Apabila kita kembali kepada menjunjung hukum Allah ramai antara kita seperti terjaga dari mimpi. Semua dilihat salah belaka. Tidak selari. Tidak autentik. Terasa janggal kepada mereka.
2                   Perlembagaan Persekutuan. Apabila kita merdeka British meninggalkan perlembagaan yang diceduk dari perlembagaan India. Diubahsuai supaya berlatarbelakangkan Tanah Melayu ketika itu. Al-Quran dan agama tidak diberi keutamaan. Al-Quran terpisah dari keperluan berpolitik. Al-Quran tidak menjadi the guiding factor dalam mentadbir negara. dalam mengurus warganegaranya.
3                   Politik. Kita mewarisi sikap dan sifat penjajah. Mereka pergi tetapi semangat mereka kekal abadi. Kita selesa dengan apa yang kita warisi. Selama ini apabila ada usaha untuk melaksanakan undang-undang Islam maka yang dirujuk ialah Perlembagaan dan halangan-halangannya. Dijadikan alasan untuk menolak cubaan ke arah Islam.

Melihat kepada tiga sisi tersebut maka usaha ke arah Islam tidak bebas. Maksudnya apa-apa sahaja enakmen mengenai syariah atau Islam dinisbah dan disesuaikan dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan. Maknanya Islam cuba diselitkan di mana-mana ruang atau loophole yang mungkin terdapat dalam Perlembagaan. Kita tidak lagi melihat al-Quran sebagai supreme. The ultimate manual for mankind. Untuk mematuhi Perlembagaan keseluruhannya bererti meninggalkan banyak undang-undang Islam. Untuk mematuhi al-Quran keseluruhannya dihalang pula oleh Perlembagaan. Sebagai orang Islam yang inginkan peleksanaan undang-undang Islam apa yang harus dilakukan. Redha dengan keadaan yang ada sekarang tentu tidak mungkin. Orang Islam wajib menggunapakai undang-undang Islam. Tetapi Perlembagaan menjadi halangan. Sekarang ini ada ruang yang memungkinkan kita mengusahakan undang-undang Islam terutama hudud. Tidak perfect? Benar, tidak sempurna. Tidak 100% seperti al-Quran. Lalu kita melabelnya sebagai hudud Pas. Atau mungkin hudud Kelantan. Atau hanya hudud ulamak Pas. Selagi Perlembagaan tidak dipinda selagi itu kesempurnaan undang-undang Islam tidak akan mencapai 100%. Banyak yang perlu disesuaikan dengan perundangan sedia ada yang dikawalselia oleh Perlembagaan. Maknanya untuk menonjolkan tuntutan al-Quran sepenuhnya tidak mungkin kerana adanya halangan Perlembagaan. Untuk tidak mengusahakan langsung kita rasa sangat bersalah kepada Allah sebagai orang Islam.

Namun begitu kita telah memulakan sesuatu. Dahulunya tidak ada tetapi sekarang sudah ada. Kita harus positif bahawa selepas ini ianya akan diperbaiki dan terus diperbaiki apabila suasana lebih kondusif. Apabila manfaatnya dapat dilihat dengan jelas dan nyata. Menemplaknya sekarang akan hanya menghalangnya dari dilaksanakan. Mencemuhnya sekarang hanya seperti meludah ke langit menimpa muka kita sendiri. Hudud adalah undang-undang Islam. Kita pula Islam. Tidak ada alasan untuk kita menolak. Oleh kerana kita menjadi bahagian penting tentang Islam itu sendiri tidak mungkin ketika ini kita mengatakan bahawa ianya tiada kena-mengena dengan kita yang Islam. Islam tidak boleh diambil bahagian-bahagian yang kita suka sahaja. Bukan bahagian-bahagian tertentu sahaja. Kesemuanya menjadi part and parcel of Islam.

Secara positif, alhamdulillah kita sudah memulakan undang-undang Islam yang tertangguh sejak kurun ke tiga belas apabila Islam sampai di Tanah Melayu. Kerajaan Melayu Melaka sudah ada kanun Islamnya sendiri sebelum dijajah oleh Portugis. Mungkin tidak komprehensif tetapi pada zaman Sultan Mansur Shah Islam mencapai kemuncaknya di alam Melayu. Sekarang kita ingin kembali ke zaman itu. Menyambung apa yang terputus. Memperbaiki apa yang telah digagalkan oleh penjajah. Apabila kita menyorot bahawa Islam telah bertapak selama lebih 1,400 tahun mengapa kita mesti mempertikai usaha ke arah itu. Keinginan ke arah melaksanakan undang-undang Islam diterjemahkan dalam bentuknya yang tidak sesempurna tuntutan al-Quran.  Sebagai permulaannya. Ramai orang Islam lain bergembira kerana ini adalah suatu permulaan. Agenda seterusnya ialah memperkemas enakmen yang telah diluluskan itu. Ibaratnya seorang bayi telah lahir. Kitalah yang menjaganya dengan izin Allah.  

Dalam hal ini kita tidak boleh terlalu melihat ke belakang. Sejarah lalu jangan terlalu dijadikan panduan yang terlalu khusus. Apabila sekarang ini kita telah berada pada suatu kedudukan yang lebih baik, tidak wajar kita mencela mereka yang dahulu. Mereka yang telah menyediakan tapak untuk kita bergerak lebih jauh. Yang telah membuka laluan untuk kita semakin maju dalam kehidupan kita sebagai insan yang beragama. Mencela mereka yang terdahulu tidak membantu kita untuk maju. Merendah-rendahkan mereka tidak membantu untuk kita menggerakkan agenda agama yang lebih besar. Apa-apapun agenda tersembunyi yang telah dilalui dahulu sekarang kita serlahkan, dihapuskikis kekurangannya supaya dapat dihidangkan sesuatu yang menepati perspektif al-Quran. Kita yang tidak begitu berwibawa menguasai tuntutan agama perlu merujuk kepada yang pakar. Bukan seorang tetapi sekurang-kurangnya beberapa orang. Tinjau pendapat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya sehingga kita pasti apa sebenarnya yang kita faham. Bukankah ilmu Allah terlalu banyak. Air laut yang dijadikan tinta tidak cukup untuk menulis ilmu Allah. Jika ditambah-tambah sekalipun air laut tersebut, ilmu Allah tetap tidak dapat ditulis kesemuanya.


Tanpa memulakan sesuatu maka kita tidak akan mungkin bergerak ke mana-mana. Apabila langkah pertama sudah dimulakan arah pandu kita perlu diperbetulkan. Alignment yang selalu diberi perhatian supaya gagasan enakmen perundangan Islam mencapai matlamatnya. Kita yang beragama Islam membantu untuk memperkemaskannya. Berdoa sebanyak mungkin. Berusaha pula untuk memahaminya. Berdakwah mentarbiahkan orang lain ke arah untuk menerimanya. Insyaallah Allah memberkati kita semua. Mudah-mudahan Allah redha dengan usaha kita. Semoga Allah melindungi kita semua.

No comments:

Post a Comment