Sunday, March 22, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Pendidikan Tinggi



Belajar hingga tinggi-tinggi untuk apa sebenarnya? Masa yang diambil sangat lama. Kosnya pula tinggi. Belajarnya sulit. Tidak ada pendidikan yang diperolehi dengan jalan singkat. Cukup hanya mendaftar. Cukup masa dapat ijazah. Mungkinkah begitu? Tidak ada dan tidak ada. Mungkinkah ijazah boleh dibeli? Mungkin. Tetapi apabila orang minta pendapat, mampukah yang punya diri berhujjah. Mampukah memberi fakta. Mampukah membantu menyelesaikan masalah selari dengan ijazah yang dibeli itu. Mereka yang bertungkus-lumus belajar bersungguh-sungguh kadang-kadang tidak berupaya menguasai bidang pengajian mereka. Mana mungkin mereka yang hanya membeli ijazah dapat menguasainya. Kerana itu belajar adalah suatu keperluan. Menambah ilmu dengan banyak membaca. Banyak mengulangkaji. Banyak menghafal. Banyak menyoal dan mencari jawapan. Banyak berdamping dengan guru/pensyarah. Mengecek ilmu mereka. Mengendeng-ngendeng kelebihan mereka. Mengamati amalan mereka. Barulah ilmu diperolehi. Susah-payahnya jangan dikira. Rintangan yang banyak diatasi. Cabarannya dihadapi. Pendidikan di IPT seolah-olah kemuncak segala-galanya kerana selepas IPT yang menunggu ialah jawatan eksekutif. Pegawai tinggi. Pendapatannya dikira tinggi. Banyak keistimewaaanya. Tidak akan rugi sesiapa yang menjadi graduan mana-mana IPT. Sama ada dalam negera atau luar negara.

Jaminan ekonomi itulah yang selalu dikejar anak muda. The paper chase goes on and on. Menambah pandai menjadi suatu quest yang tiada tolok bandingnya. Dikejar di Utara atau Selatan. Timur atau Barat. Di mana-mana sahaja yang menawarkan kebijaksanaan maka akan ada sahaja yang mengejarnya. Menjadi pandai atau dikatakan pandai menjadi sesuatu yang lumayan untuk dimiliki. Itulah tanggapan umum bahawa lulusan IPT adalah golongan intelek. Untuk membuktikannya yang selalunya sukar. Mereka yang sudah berpengalaman sudah dapat dilihat inteleknya. Mereka yang belum teruji belum dapat dikesan tahap intelek mereka. Tanyalah semua graduan, jawapannya pasti sama. Belajar bererti melakukan banyak hal yang berkaitan dengan belajar.

1                    Membaca sangat banyak buku rujukan dan bahan-bahan lain yang berkaitan. Membaca dan membaca tanpa jemu. Mungkin letih tetapi membaca tetap membaca. Pembacaan itulah yang menambahkan keluasan dan kedalaman sesuatu pengetahuan dan ilmu atau bidang. Semakin dibaca semakin pula banyak lorong dan simpang lain yang perlu diteroka. Mengetahui suatu bidang tetapi tidak mengetahui bidang lain yang berkaitan. Maka untuk maju hendaklah membaca dan membaca. Penyelidikan demi penyelidikan. Mencari dan terus mencari.
2                    Antara jaga dan tidur tentulah jaga lebih besar nisbahnya. Malam banyak berjaga kerana qiam al-lail dan sesudah itu mengulangkaji, menyiapkan tugasan, membuat kajian dan berbagai-bagai lagi aktiviti akademik. Rehat adalah sesuatu yang sangat mahal dan bernilai tinggi. Sewajarnya rehat bukan pilihan pelajar. Rehat adalah hak eksklusif bagi mereka yang bekerja. Mereka telah penat belajar dahulunya. Apabila bekerja banyak pula memerah minda. Tenaga perlu dipulihkan dengan berehat. Tidak kepada pelajar. Rehat belum waktunya. Bukan waktunya lagi. Anda perlu dera diri anda sendiri untuk nanti akhirnya berada pada tahap yang anda inginkan. Cuti tiada dalam senarai keutamaan mereka yang bergelar pelajar.
3                    Kuliah, seminar, forum dan kembara akademik adalah sesuatu yang lumrah. Rutin harian dan mingguan. Melalui kurikulum itulah tugas utama (core business) anda untuk mendapat manfaat ilmu. Tetapi pembelajaran tidak formal juga sangat penting supaya ada keselarian dengan kurikulum (formal) anda. Ditambah lagi dengan pembelajaran informal. Yang datang melalui pancaindera kita. Didengar dan dilihat terutamanya. Atau deria rasa melalui ilham dan lintasan pemikiran yang Allah anugerahkan.
4                    Masa digunakan sepenuhnya. Dicari masa luang yang ada. Dirancang supaya ada maktu lain yang menjadi terluang. Masa terus berlalu. Hanya yang bestari sahaja masanya tetap banyak dan tidak berkuragan. Merancangkan masa terluang ini istimewa untuk mereka yang bijaksana.  Ada sahaja masa terluang yang walaupun sedikit tetapi bermanfaat. Begitulah ulamak dahulu menghasilkan berjudul-judul kitab dan berjilid-jilid setiap judul. Senarai kitab mereka terlalu banyak hingga melebihi usia hidup mereka. Kesemuanya kerana mengguna dan memanfaatkan masa.

Ijazah yang segulung kecil tidak memperlihatkan peritnya menjadi seorang pelajar. Seorang pencinta ilmu. Tidurnya tidak menentu. Tenaganya tidak terbatas. Sihatnya ditagih setiap masa supaya agenda akademik tidak tergangggu. Berdoa sebanyak-banyaknya supaya Allah kurniakan terang hati, tajam pemikiran, cepat menangkap dan dapat menganalisis sesuatu dengan cekap dan berkesan. Zaman menjadi pelajar adalah zaman yang penuh cabaran. Apabila tamat pembelajaran yang memakan masa antara empat tingga enam tahun yang tinggal hanyalah kenangan. Bilik kuliah yang usang. Dewan kuliah yang agam. Pensyarah yang berbagai rupanya. Buku dan kitab yang berbagai topik. Rakan-rakan yang berpisah akhirnya. Tempat jatuh yang selalu dikenang. Apabila bekerja dan berkerjaya mengharap imbuhan dan balasan penat lelah belajar. Sesekali mengimbas kembali imej-imej semasa menjadi pelajar. Selepas tamat belajar anda akan memasuki alam yang berbeza. Penuh dengan realiti. Bukan idealisma seperti sewaktu belajar dahulu.

1                    Jawatan eksekutif di sektor swasta atau penolong pengarah di jabatan kerajaan. Guru atau ustaz/ustazah berijazah.
2                    Pendapatan penjawat pengurusan dan profesional. Memulakan jawatan dengan gaji permulaan sekitar RM2,200 + elaun rumah RM700 + elaun kos sara hidup RM200 = RM3,100. Mungkin kurang mungkin lebih.
3                    Apabila dipanggil berceramah layak diberi honorarium (saguhati) paling rendah RM100 sejam + elaun perjalanan + elaum menginap + elaun makan. Jika dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur mungkin:

Ceramah 2 jam x RM100                          = RM200
Elaun perjalanan RM0.70 x 500 km          =       350
               Elaun menginap di hotel                           =       180
Elaun makan RM 60 x 1 hari                    =         60   
                              Jumlah                                      = RM790
               Lazimnya penganjur memberi sebanyak RM1,000 atau RM1,500.     
              Mengapa banyak? Menghargai susah payahnya semasa belajar dahulu. Payahnya mencari ilmu. Peritnya zaman menjadi pelajar. Mereka memberi penghargaan.
4                    Apabila naik pangkat elaun memberi ceramah mungkin meningkat menjadi RM200 sejam. Setelah menjadi pakar elaunnya bertambah menjadi RM400 sejam. Konsultan di luar pula elaunnya mungkin RM1,000 atau lebih sejam.  Jangan terkejut apabila anda mengikuti kursus-kursus atau seminar di luar kawasan atau pejabat, anda perlu membayar antara RM150 hingga RM1,500 seorang bergantung siapa yang menjadi penceramah atau fasilitatornya. Ada yang sehingga RM2,500 seorang.
5                    Jangan terkejut ada penceramah undangan yang bertanya berapa elaun ceramahnya untuk jangkamasa sejam. Tidak mungkin dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur tidak dibayar elaun. Atau dibayar sekadar RM100 untuk dua jam. Tiada pula tambahan elaun perjalanan, penginapan dan makan minum. Ingat kembali bahawa belajar itu susah. Banyak perbelanjaan, tenaga dan wang ringgit yang telah dihabiskan. Berilah peluang graduan-graduan  dan pakar-pakar ini mendapat ganjaran kerana penat lelah mereka. Untuk menyediakan suatu bahan ceramah umpamanya banyak yang dirujuk sama ada pengalamannya, ingatannya atau bahan-bahan lain yang berkaitan.
                                                                                                   
Zaman remaja dan muda adalah pengalaman yang tersendiri. Rugilah sesiapa yang tidak melaluinya dengan mendapat manfaat sebanyak-banyaknya. Kesemua yang menambah pengalaman itu menambah nilai peribadi. Lebih banyak nilaitambahnya maka lebih menyerlah yang empunya diri.  Semasa menjadi pelajar inilah anak-anak muda menimba apa sahaja pengalaman yang mungkin. Membaca sebenarnya menambah fikir. Banyak gagasan yang sebelumnya bertapak di fikiran. Belajar membuka ruang-ruang baru yang dahulunya terabai. Betapa minda dipenuhi dengan pemikiran yang bertambah aras tingginya. Belajar membantu kita membuat unjuran diri. Siapa kita pada suatu ketika pada masa hadapan. Andainya kita berbakat besar, masa hadapan kita sangat cerah. Banyak peluang untuk memaju dan mengembangkan diri dalam berbagai aspek.


Semua orang berharap menjadi pandai. Tidak pula ingin memandai-mandai. Tentulah berbeza antara keduanya. Yang pertama realiti sedangkan yang kedua hanya lakonan kosong semata-mata. Kita selalu berhadapan dengan kekeliruan mengenai The learnered myth. Intelek dan kebijaksanaan seharusnya berpijak di alam nyata. Kadang-kadang kita dilabel tidak bijak dalam sesuatu perkara hanya kerana kecuaian kita apabila berbicara atau apabila bertindak melulu. Mereka yang bijaksana selalunya banyak sabarnya. Untuk bercakap sepatah atau dua perkataan difikirkan dahulu banyak kali. Dipilih dahulu perkataan dan istilah yang paling sesuai. Ditimbang baik dan buruknya. Positif dan negatifnya. Ilmu dan kebijaksanaan perlu selari. Kelayakan akademik dan kebijaksanaan diseimbangkan. Apabila kebijaksanaan terhimpun dalam diri, itulah masanya untuk terus menimba ilmu. Tawaduhk dan tunduk kepada yang Maha Mengetahui. Kita hanya diberi sangat dan sangat sedikit akal yang dinamakan bijaksana. Terlalu sedikit. Manfaatkan sebaik-baiknya. Insyaallah banyak manfaatnya.

No comments:

Post a Comment