Wednesday, March 25, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Bila Datang Rindu



Bila kita berasa rindu? Teringin sangat untuk bertemu dan bersua. Untuk menatap wajah-wajah yang dekatnya ingin disapa. Didakap dan dicium. Rindu dan dendam. Gundah dan gulana. Libang dan libu. Teringat-ingat dan terbayang-bayang. Tersebut di bibir. Terimbau saat demi saat.  Apabila masa terlalu lama geraknya. Terlalu panjang waktunya. Menanti yang selalu dirasa siksa.  Rindu:

1                    Kerana lama tidak bersua. Tidak bertentang mata. Tidak menatap wajah-wajah yang dahulu bersama selalu. Atau belum lagi dapat bersua.
2                    Kerana jauh. Jarak yang memisahkan antara yang dahulunya dekat.
3                    Orang baru yang hanya beritanya didengar. Gambarnya ditatap tetapi belum bersentuhan. Belum dicium wanginya. Belum ditimang rindunya. Belum diriba sayangnya. Belum didakap kasihnya.
4                    Masa yang telah berlalu. Rindu zaman kanak-kanak. Rindu kenakalan yang berulang-ulang. Rindu keter ibu. Rindu marah bapa. Rindu saat-saat tercalar dan luka. Rindu teman sepermainan. Rindu waktu-waktu lulus dan gagal ujian. Masa lalu yang penuh dengan berbagai ragaman peristiwa.

Manusia seperti kita banyak agendanya. Ada sahaja yang perlu dilakukan. Apabila kita beragenda maka orang-orang yang ada di sekeliling kita juga terkena agenda yang kita rancangkan. Mereka tidak terlibat secara langsung tetapi tertempias kerana agenda kita. Seperti kata pakar sosiologi bahawa manusia adalah makhluk bersosial. Maksudnya suka bersama. Suka berkumpul. Suka berada bersama mereka yang disayangi dan dikasihi. Maka apabila keadaan tidak memungkinkan untuk bersama rindulah jadinya. Merindui adanya mereka di sekeliling kita. Ingin berbicara. Ingin pandang memandang. Ingin bersentuhan fizikal dan perasaan. Selalunya kembara menjadikan kita berpisah. Lama atau sekejap bukan isunya. Berpisah itu yang jadi masalah. Ada rindu menggamit bila tidak bersua. Tidak bertentang mata. Pastinya kerana agak lama berbanding hari dan minggu.

Kembara adalah suatu nikmat yang tiada bandingnya. Pergi menjauh yang beragenda. Masanya mungkin berjadual. Jika saat dikira lama tentu sahaja bulan dan tahun sangat lama. Terlalu banyak saatnya jika dikira. Dalam lama itulah selalu dihitung tahun dan bulan. Minggu dan hari. Malah jam dan saat.  Semakin dekat semakin banyak kiranya. Semakin galak melihat takwim harian. Bila, bila dan bila. Ada riak teruja mengira masa. Ada riak memancar di mata. Senyum yang memanjang. Jari jemari bergerak menghitungnya. Mulut bergerak dan perasaan bertambah girangnya. Pengakhiran kembara yang lama akan diakhiri dalam masa terdekat. Tunggulah. Kembali jua akhirnya. Bak bangau ke belakang kerbau jua. Setiap yang dirndui akan terubat dengan pertemuan. Dengan keberadaan bersama.

Berjauhan adat manusia biasa. Banyak urusan hidup yang perlu dipenuhi. Kadang-kadang kita perlu pergi jauh kerana hanya di tempat jauh itu sahaja kita mendapat apa yang dihajati. Untuk pergi jauh perlukan banyak pengorbanan. Pastinya jauh disertai dengan lama. Maka bertambahlah rasa rindu yang bergejolak dalam hati apabila berpisah dengan orang-orang yang disayangi. Walaupun teknologi boleh menghubung jarak namun pertemuan bersemuka lebih dinanti. Sementelahan itu pula banyak yang ditinggalkan tentu banyak perubahannya. Pepohon yang kecil sudah membesar. Cucu-cucu telah bertambah. Anak buah ramai yang berumahtangga. Paling kurang sudah bertunang. Ada yang lebih menyayat hati. Ada antara mereka yang dikasihi meninggalkan kita untuk menemui Allah. Kerana itu jauh menjanjikan suatu kerinduan yang sesuai dengan jarak masanya. Jarak  tempatnya. Kata orang tua, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Berpisah sementara banyak manisnaya. Banyak wanginya. Berpisah diterjemahkan menjadi rindu.

Dalam hidup ini ada sahaja orang baru yang datang kepada kita. Bagi anak muda tentu sahaja ada yang datang mengetuk hati. Bagi yang sudah berumur, orang baru tentunya cucu dan cicit. Bertambah dari masa ke semasa. Itu adalah keturunan dan warisan keluarga. Ada darah dan daging yang mengalir di tubuh mereka. Kata orang sekarang DNA kita mengalir dalam tubuh anak, cucu dan cicit. Tentu ada rasa kerinduan dalam hati apabila ada orang baru dalam warisan keluarga. Lelaki dan perempuan yang comel dan wanginya rindu dihidu. Wangi dicium. Wangi didakap. Wangi seorang bayi. Masih suci dan bersih dari dosa. Ragamnya merindu zaman yang sudah berlalu. Zaman anak-anak baru dilahirkan. Berputar hidup ini. Sekarang anak-anak kita yang melahirkan cucu-cucu pula.

Padang, sawah dan ladang tentu sahaja dirindui. Tempat berlari dan bermain. Tempat belajar hidup sebagai kanak-kanak dan remaja. Andainya zaman itu dapat dikembalikan kita semua rindu pada zaman kanak-kanak kita. Tanpa tanggungjawab. Tanpa sebarang susah dan kecewa. Semuanya indah. Hidup seadanya yang banyak mengajar erti hidup itu sendiri. Sesungguhnya masa yang berlalu membawa bersama segala kenangan indah. Lazimnya kita mengingat yang indah-indah belaka. Matlamat kita mencari keindahan. Kebahagiaan. Kerana itu yang indah lebih dominan dalam minda berbanding dengan yang pahit dan getir. Dalam kembara kita juga menemui sesuatu yang akan menjadi kerinduan kerana ditinggalkan. Tempat baru yang banyak menambahnilai diri. Menyaksikan ragaman gelagat manusia yang berbeza tempat dan budaya.   

Hidup kembara banyak mengajar ketahanan diri dan ketahanan minda. Banyak yang perlu dipelajari dari saat pertama menjejak kaki hinggalah kita tinggalkan tempat itu untuk mungkin untuk jangka waktu yang panjang atau untuk selama-lamanya. Lain padang lain belalangnya. Lain tempat lain budayanya. Banyak yang dialami tidak pernah serupa dengan di negara sendiri. Umpamanya bersedekah kepada yang memang benar-benar memerlukan. Ramainya pelarian dan warga tempatan yang memang susah hidupnya. Hujan itu dianggap rahmat kerana sangat, sangat jarang turunnya. Tidak pula lebat. Cukup syahdu melihat titisan air hujan yang hanya rinrik-rintik sahaja. Cukup membasahi bumi. Bergenang di jalanraya. Memercik dilanggar kenderaan yang tiada putusnya dalam bandaraya besar seperti Kaherah. Penduduknya yang hampir 20 juta orang menjadikannya tidak pernah sunyi. Aduhai!


Segala-galanya akan dirindui apabila pulang ke tanahair. Namun begitu rasa bersyukur yang teramat sangat kerana Allah mengizinkan kembara ini. Berakhir suatu lagi episod kembara diri. Alhamdulillah. 

No comments:

Post a Comment