Saturday, March 14, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Dewasa Yang Mendidik



Setiap pasangan ibu dan bapa inginkan anak-anak yang soleh dan solehah. Apabila mereka kembali ke rahmatullah ada anak-anak yang mendoakan mereka. Yang menitipkan mereka doa mohon keampunan dari Allah. Orang dewasa tugasnya banyak. Paling mencabar ialah mendidik anak-anak supaya mereka menjadi dewasa yang berharga. Bermanfaat kepada agama dan negara. Dewasa bukan bermakna usia sahaja yang bertambah. Melepasi angka 21 tahun. Yang itu usia. Yang dimaksudkan dewasa ialah dari segi berfikir dan dari segi bertindak. Sukar juga mereka yang berusia tetapi tidak dewasa.  Mereka yang dewasa ada kriterianya yang tersendiri.

1                    Mencurahkan pengalaman lama mereka kepada anak-anak atau kepada anak didik atau kepada rakyat bawahan.
2                    Menyediakan asas untuk yang muda membina kedewasaan dari segala aspek kewarganegaraan.
3                    Membina sikap dan sifat untuk menjadi dewasa yang penuh bertanggungjawab dan memikul kebertanggungjawaban kehidupan.
4                    Membina kecerdasan emosi supaya keadaan sekeliling dapat dikawal dengan rasional dan saksama.
5                    Merancang masa hadapan dengan penuh wawasan. Bersedia untuk memikul tanggungjawab dengan sepenuh relahati dan bukan paksaan. Kedewasaan adalah tuntutan ke arah tanggungjawab itu.

Ibu dan bapa adalah dua individu yang melahirkan. Yang menjadi pendidik awal kepada semua anak bangsa. Mereka melestarikan warisan budaya bangsa dan negara. Guru-guru melanjutkan tugas itu di sekolah. Enam tahun di sekolah kebangsaan. Lima tahun di sekolah menengah. Dua tahun di matrikulasi atau tiga tahun mengikuti kursus diploma. Kemudiannya mereka berada di IPT selama antara dua tahun setengah hingga empat tahun. Soalnya, adakah mereka yang menjadi graduan IPT sudah dewasa? Sudah matang? Itu soalan yang perlukan jawapan panjang lebar. Ramai mengatakan bahawa graduan adalah bahan mentah yang masih banyak proses menggilapnya. Ada yang menjadi dan ada yang tidak. Namun begitu mereka yang menjadi dalam kehidupannya sudah kelihatan sinarnya semasa menjadi pelajar. Ada juga dipanggil late developer. Membangunkan diri setelah keluar dari IPT. Tidak diberi harapan langsung oleh orang lain. Persekitaran membentuknya. Situasi menjadikannya berkembang sepadan dengan akademik dan jawatannya.

Jiran tetangga adalah antara mereka yang membantu dalam perkembangan seseorang individu. Jiran yang di sebelah rumah. Yang selalu bersama. Yang mengetahui senang dan susah. Yang mengetahui proses pembesaran dan pendewasaan seseorang. Secara tidak langsung jiran tetangga membantu dalam pendidikan tidak formal seseorang. Mungkin juga dalam pendidikan informal. Sebab itu jiran adalah antara mereka yang perlu dikasihi. Yang perlu dihormati. Yang perlu disusur galur dalam pendewasaan seseorang. Jiran tetangga membantu dalam perkembangan kemahiran sosial seseroang. Mereka juga membantu dari segi pembentukan budaya dan akhlak yang selari dengan agama dan kehendak masyarakat setempat dan semasa. Dari seseorang itu lahir hingga dewasanya jiran-jiran sangat mengetahui.

Kita tidak dapat lari dari pengaruh guru-guru yang bertugas secara profesional. Memiliki tauliah untuk menjadi pendidik. Telah melalui kursus dan sistem yang membolehkan mereka untuk menyampaikan ilmu dalam bidang mereka atau dalam bidang-bidang yang menjadi kepakaran mereka. Di negara kita gurulah yang diberi tanggungjwab secara rasmi untuk mendidik anak bangsa. Melestarikan kesinambungan kesejahteraan negara pada masa hadapan. Walau bagaimanapun guru bukan diberi kebebesasan untuk menyampaikan apa yang mereka rasa benar dan perlu. Mereka tertakluk kepada urusan Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung. Urusan kerajaan. Kurikulum yang ditentukan oleh pemerintah. Mematuhi sistem yang sudah dibina. Sekolah menjadi medan untuk mendewasakan anak-anak bangsa. Acuannya disediakan dengan perancangan yang tertentu mengikut kehendak kepimpinan negara.

Ramai profesional terlibat dalam sistem mendewasakan bakal warganegara yang berwibawa. Bangunan sekolah dibina oleh jurubina dan jurutera. Alatan mengajar disediakan oleh mereka yang profesional dalam penerbitan dan pengilangan. Melibatkan juga akauntan, peguam dan berbagai profesional yang lain. Mereka yang berkelayakan tersebut menyumbang secara tidak langsung dalam kelangsungan sebuah sistem pelajaran. Penglibatan profesional bukan sedikit. Malah ramai mereka yang menjadi penyelidik profesional. Sentiasa mencari jalan untuk memberikan yang terbaik dalam mana-mana sistem pelajaran. Sebab itu idea-idea baru dikongsikan oleh guru dari kebanyakan negara di dunia. Dalam hal pendidikan sepatutnya tidak ada negara yang terpencil kerana dunia sudah terlalu kecil dari aspek perhubungan. Hanya sebuah global village. Sesebuah negara tidak boleh seronok sendiri melaksanakan sistem pelajaran yang tidak relevan dengan masa.

Pendidikan tidak terlepas dari urusan penjawat awam. Di Kementerian Pendidikan terdapat penjawat awam Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Pegawai tabdir profesional yang terlatih. Dalam apa-apa pengurusan sekalipun perlu ada pentadbir aras tinggi yang mengendalikan pengurusan dan pentadbiran supaya selaras dengan dasar negara. Memenuhi tuntutan Perintah-Perintah Am dan bab-bab yang berkaitan. Termasuk juga pengurusan kewangan yang memenuhi keperluan Perbendaharaan Negara di bawah Kementerian Kewangan. Mereka adalah orang-orang dewasa yang tugasnya secara tidak langsung mendewasakan bakal warganegara pada masa hadapan. Walaupun guru mahir mendidik tetapi kawalan dari segi pentadbiran serta kemahiran mengurus bajet kadang-kadang terlepas pandang. Kerana itu sentuhan pegawai PTD diperlukan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran. Mereka dilatih untuk mentadbir negara. Melaksanakan dasar-dasar kerajaan Persekutuan.

Sesebuah negara dikendalikan oleh pemimpin berbagai peringkat. Dari Perdana Menteri hinggalah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Setiap peringkat pemimpin menjalankan tugas dan kuasa yang ada untuk menjamin sistem pemerintahan negara berjalan mengikut garispanduan yang ada. Juga memenuhi keperluan Perlembagaan Negara. Pemimpin memenuhi keperluan kepimpinan. Mereka berada di hadapan untuk membawa orang lain turut ke hadapan. Berada di atas untuk menaikkan orang lain ke atas. Pelajaran tidak terpisah dari politik. Political will yang menentukan sesuatu dasar yang dilaksanakan. Ke mana arah pelajaran ditentukan oleh pemimpin politik. Guru-guru hanya profesional yang mendokong dasar kerajaan. Bukan pegawai yang memandai-mandai. Anak-anak didik menjadi bahan mentah yang dicanai untuk menjadi warganegara berwibawa pada masa hadapan.

Agamawan berada di tempatnya yang tersendiri. Mereka sangat penting untuk mengawal kehidupan manusia di dunia supaya sampai ke jannah. Merekalah yang mendidik masyarakat yang beriman, berakhlak mulia dan beramal saleh. Dakwah adalah keperluan dalam menyebarluaskan agama supaya sampai ke sanubari mereka yang mendengarnya. Yang melihatnya. Yang membacanya. Yang berada bersamanya. Dalam dunia yang penuh pancaroba ini kita dibimbing supaya sentiasa berada dalam suasana halal dan wajib. Melarikan kita dari suasana haram dan syubhah. Manusia selalu berada antara nafsu dan akalnya. Agama mendidik akal dan mengawal nafsu. Akal pula diselarikan dengan perintah Allah dan menjauhkan dari larangan Allah. Akal yang terdidik memilih kebaikan dari kejahatan. Memilih pahala dari dosa.

Khalayak umum banyak juga peranannya. Mereka yang disekeliling kita selalu memberikan sumbangan secara tidak langsung. Kita belajar dari seorang mekanik sewaktu kita membaiki kenderaan kita. Belajar dari tukang yang membuat perabot. Belajar dari tukang masak untuk menyediakan makanan kegemaran kita sendiri. Belajar dari jurulatih sewaktu belajar memandu. Sewaktu bermain bola umpamanya. Maknanya semua mereka yang berada di sekeliling kita adalah guru dalam aspek yang tersendiri dan aspek yang berlainan. Kesemuanya mendidik kita dengan cara mereka yang tersendiri. Kita belajar dari semua yang ada di sekeliling kita. Tidak ada mereka yang terlepas dari belajar situasi itu. No man is an island. Maka beruntunglah kita jika kita hidup dalam persekitaran bergama. Persekitaran akademik. Persekitaran profesional. Kesemuanya membantu kita menjadi dewasa dan matang mengikut acuan yang hak. Yang benar. Yang betul.

Apa sebenarnya tugas media jika bukan menyampaikan yang hak. Mendidik hal-hal kebaikan. Memberikan contoh teladan melalui media yang ada. Media pula besar pengaruhnya. Malah kepada setengah orang apa sahaja yang dipaparkan melalui media dianggap benar. Dipercayai benar. Kerana itu di negara maju media menjadi alat yang sangat berkesan untuk mendidik. Di USA umpamanya terdapat TV untuk kanak-kanak dari pagi hingga ke petang. Video yang sama diulang-ulang dari pagi hingga ke petang. Dari hari Isnin hingga hari Jumaat. Video yang sama diulangtayang berulang-ulang. Tujuannya untuk propagate minda kanak-kanak mengenal dan mengetahui topik yang sama. Untuk mengajar bentuk mereka lukis. Mereka warna. Mereka nyanyikan. Mereka lakonkan. Mereka perlagaikan aktiviti hanya untuk melatih tubi minda, sebutan, persepsi dan variasinya. Di negara membangun seperti negara kita TV pendidikan terlalu  kering dan keras. Tiada jiwa. Sukar mendapat nafas darinya. Ianya wujud tetapi tidak dapat dimanfaatkan.

Kesemua yang disebut di atas, orang dewasalah yang memainkan peranan. Di negara maju TV tidak digunakan sewenang-wenang untuk merosakkan minda warganegaranya. Mentality mereka berbeza. Akal budi mereka berbeza. Mereka mengamalkan kebebasan bersuara tetapi mereka masih patuh kepada garspanduan yang ada. Kanak-kanak di bawah 18 tahun umpamanya tidak boleh menonton TV yang ada unsur seks atau keganasan. TV pula tidak menayangkan filem atau video yang mengandungi unsur lucah atau keganasan sebelum pukul 10.00 malam. Ibu dan bapa diingatkan supaya menggunakan budi bicara mereka semasa menontonnya. Parents, use your discretion and advice. Besar, jelas dan mungkin berwarna merah. Persepsi kita tentang USA seolah-olah mereka bobrok dalam semua hal. Percayalah, kadang-kadang mereka lebih Islamik dari kita yang Islam. Anak-anak mereka dididik untuk bebas. Bersuara dengan bebas. Mengeluarkan pendapat dengan bebas tetapi mereka diberi had-had yang dipatuhi. Kita yang selalu terpedaya seolah-olah yang kita tiru dari mereka dianggap kesemuanya benar. Realitinya anak-anak muda kita lebih gila dari anak-anak muda USA. Lakonan mereka di filem dan TV diyakini sebagai betul. Tanyalah mereka yang berada di USA atau yang baru kembali dari USA, benarkah apa yang kita tonton di filem dan TV terbitan mereka.


Malah kadang-kadang pemimpin kita menggunakan media seolah-olah rakyat terlalu tidak mengethui. Seperti mereka tidak mengetahui apa-apa. Banyak tingkah laku orang dewasa di negara kita yang membahayakan minda anak-anak muda. Mungkin di akhir zaman hal-hal yang lucah menjadi mainan. Penipuan dan dusta hanya antara dua bibir. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak zaman. Mereka yang menjadi anak dan cucu kita. Minda mereka terjual kerana kealpaan orang dewasa yang tidak menjaga masa hadapan keturunan mereka. Media kita sudah melampau had yang wajar kepada penonton Islam. Bantahan demi bantahan dilaungkan. Tindakan mengakhirinya tidak juga nampak bayangnya. Hanya keinsafan sahaja yang boleh digunakan untuk mengundur kesilapan ke belakang. Soalnya, siapa yang boleh menyedarkan pemilik media. Kita tanyalah diri kita sendiri. 

No comments:

Post a Comment