Thursday, January 29, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Mengajar Anak-Anak Tulis Baca



Kita berhadapan dengan berbagai cabaran media dan hedonism. TV umpamanya adalah sumber hedonism paling mencabar. Telefon bimbit dan I-phone walaupun pengaruhnya amat meluas tetapi tidak kepada anak-anak kecil. Kali ini kita berbicara mengenai pendidikan awal terhadap anak-anak. Termasuklah cucu dan cicit bagi mereka yan berkenaan. Kadang-kadang kita megambil sikap mudah. Anak-anak kecil diletakkan di hadapan TV. Mereka dididik secara salah menonton paparan yang bukan hak.

1                    Perkataan dan istilah yang didengar bukan hak. Tidak sesuai mengikut peringkat usia anak-anak kecil.
2                    Gelagat yang dipertonton banyak yang tidak islamak. Pegang, sentuh dan peluk yang bukan hak.
3                    Ketawa yang berlebihan sedangkan yang digalakkan ialah menyesali diri. Muasabah diri. Banyak bertaubat. Banyak menangis mengenangkan diri sebelum mati dan sesudah mati.
4                    Banyak nyanyian sedangkan yang perlu didengar dan disebut ialah zikir, ayat al-Quran dan pujian ke atas kebesaran Allah.
5                    Banyak pakaian yang tidak menutup aurat. Menentang ajaran agama dan menyalahi didikan kepada anak-anak kecil.
6                    Banyak waktu terbuang sedangkan ianya wajar digunakan untuk membaca, menghafal al-Quran, mengaji, bertalaqqi, berdiskusi, mendengar ceramah dan berbagai lagi manfaat waktu untuk agama.

Kita bukan bercakap mengenai remaja. Kita bercakap mengenai anak-anak sejak mereka dilahirkan hingga usia mereka tujuh tahun. Atau mungkin sewaktu usia mereka lima tahun. Sebelum lagi mereka ke TADIKA atau PASTI. Kita terlalai ketika usia anak-anak sebegitu muda. Apa yang kita fikirkan ialah selalunya kita hiburkan mereka secara salah. Menyalahi didikan yang boleh mendekatkan mereka kepada agama. Kepada Allah. Kerap sangat kita melihat situasi yang tidak wajar.

1                    Anak-anak kecil diajar menyanyi. Kadang-kadang senikata lagu itu layak untuk orang dewasa sahaja. Mereka tidak tahu ertinya senikata lagu yang mereka nyanyikan. Mereka selayaknya diajar untuk menghafal ayat-ayat al-Quran. Didik mereka untuk mengulangnya berkali-kali seperti zikir. Semasa mereka kecil inilah ayat-ayat tersebut mudah menjadi darah daging kepada mereka. Jiwa mereka masih terlalu bersih. Lidah mereka masih lembut. Hati mereka masih mudah diisi. Biar mereka mengulang baca semasa bermain. Semasa berlari. Semasa di dalam kenderaan. Biar ayat-ayat al-Quran bermain di mulut mereka. Di bibir mereka. Mudah-mudahan lekat di hati mereka.
2                    Anak-anak kecil diajar menari. Sewajarnya mereka diajar solat. Melakukan gerakan-gerakan solat dari solat fardhu hinggalah solat sunat. Biar mereka jinak dengan solat bukan dengan tarian.
3                    Anak-anak kecil perempuan berpakaian yang kurang islamik. Tidak labuh dan tidak memakai tudung atau telekung. Tidak dididik untuk menutup aurat sejak mereka kecil lagi. Semasa mereka berusia muda inilah mereka perlu dibiasakan supaya menjadi perisai yang menahan mereka dari hal-hal yang bukan islamik.
Banyak bukti yang menunjukkan bahawa anak-anak kecil sangat mudah dididik ke arah yang betul. Baru-baru ini sepasang suami isteri berjaya menjadikan anak perempuannya yang berusia tiga tahun enam bulan menghafal 30 juz al-Quran. Dalam masa kira-kira enam bulan sahaja. Dari bangun tidur hingga anak itu tidur minatnya membaca dan menghafal al-Quran. Ibu dan bapa yang mengawal anak. Masih boleh menonton TV tetapi pilihkan rancangan yang mendidik mereka. Bukan semua rancangan apa yang ada. Bukti-bukti penyelidikan menunjukkan bahawa menghafal al-Quran banyak kebaikannya.

1                    Mudah menghafal hal-hal yang lain seperti formula, sifir, fakta dan teori-teori seperti yang dipelajari di sekolah.
2                    Daya ingatan lebih kuat.
3                    Cerdas berfikir dan sentiasa bergerak maju. Tidak statik dan suka intuitif.
4                    Daya fikir juga lebih kuat kerana mata, lidah dan seluruh derianya menumpu kepada al-Quran.
5                    Ulamak zaman dahulu menghafal al-Quran terlebih dahulu sebelum mempelajari apa-apa yang lain. Seperti kita maklum kerana itu mereka menjadi pakar dalam banyak bidang. Ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran terpancar menjadi ilmu-ilmu berguna untuk kegunaan di dunia.

Mendidik anak-anak biarlah seawal yang mungkin. Ajar mereka bercakap secepat mungkin. Bercakap dengan sukukata yang lengkap. Jelas sebutannya. Tersusun tertib dan intonasinya. Ajak mereka selalu berbual, bercakap, menyebut sesuatu dengan betul. Bercerita dengan bahasa baku. Dengan ayat sempurna. Dengan istilah yang tepat. Cari ruang dan peluang untuk bercakap dengan anak mengenai apa sahaja tajuk. Mungkin melayan mereka bercerita mengenai apa yang mereka lihat. Apa yang mereka pegang. Apa yang mereka tahu. Atau apa yang mereka baca. Atau cerita-cerita lain yang terlintas pada fikiran mereka. Layanan bercakap itu membina perbendaharaan kata mereka. Cara sebutan yang betul. Menggunakan susuk ayat yang betul. Menggunakan perkataan dan istilah yang betul. Tegaskan supaya mereka bercakap dengan ayat yang jelas. Mulakan dari ayat yang pendek hingga mereka boleh menguasai ayat yang lebih panjang hingga ayat yang lebih kompleks. Setiap pertanyaan anak hendaklah dilayan sepenuh hati. Beri jawapan yang jelas dengan contoh-contoh yang dapat mereka faham. Suatu ingatan dari penulis, anak-anak kecil apabila bertanya perlukan jawapan yang panjang lebar. Bukan yang ringkas dan padat untuk memendekkan perbualan.

Sejak awal, perkenalkan dengan huruf Arab atau Jawi, huruf rumi dan angka. Lebih banyak bahasa lebih baik. Melayu, Arab, Inggeris atau bahasa ibunda/keluarga seperti Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Aceh, Bajau, Dusun, Jakun, Sakai, Dayak, Murut dan sebagainya. Kepelbagaian itu hendaklah berperingkat-peringkat. Pada mulanya ajarkan mereka yang asas seperti Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Dari awal lagi ajar mereka menghafal ayat-ayat lazim bermula dari surah al-Fatihah. Pindah kepada surah-surah yang lain seberapa banyak yang lain. Kenalkan huruf supaya mereka boleh mengenal dan membezakannya antara satu huruf dengan huruf yang lain. Apabila mereka sudah mengenal huruf pindah membaca al-Quran. Sambil membaca sambil menghafal. Sekitar usia empat tahun cantik jika sudah khatam al-Quran dan pada masa yang sama sudah menghafal banyak surah-surah lazim dan surah-surah yang tidak panjang. Pada masa yang sama juga ajar mereka membaca Jawi dan rumi. Insyaallah sebelum masuk ke TADIKA anak-anak sudah pandai membaca dan menulis. Yang lebih cantik lagi mereka sudah khatam al-Quran. Bertambah cantiknya kerana mereka sudah menghafal banyak surah dari al-Quran.

Jika ini dapat dilakukan oleh pasangan ibu dan bapa muda penulis yakin anak-anak bukan menyanyi tetapi menghafal al-Quran. Mereka bukan menari tetapi berjamaah dengan keluarga atau di masjid dan surau bersama jamaah setempat. Mereka bukan bermain tetapi banyak membaca, membina aqli mereka ke tahap yang lebih tinggi dari tahap usianya. Tutur bicaranya bukan senikata lagu tetapi al-Quran. Mudah-mudahan generasi ulum al-bab bukan hanya khayalan. Ianya realiti bagi yang mahu mengerti. Ketepikanlah yang lain. Anak-anak kita tanggungjawab kita. Mereka adalah kain putih. Warna dan berusnya di tangan kita. Warnailah mereka dengan warna akhirat. Insyaallah

Bingkisan Dari Kaherah: Anak-Anak Mandiri



Bagaimana mendidik anak sebenarnya. Dari siapa kita perlu belajar. Kepada siapa pula hendak bertanya. Dalam hal ini kita selalu terlepas pandang akan hal-hal yang penting dalam hal mendidik anak. Bayangkan situasi dan senerio ini:

1                   Anak-anak yang memulakan persekolahan pada tahap satu masih menghisap puting kosong. Puting yang tidak mengandungi apa-apa. Tidak mengenyangkan. Tidak menambah manfaat. Hanya kebiasaan dan ketagihan yang tidak terkawal. Menjadi bahan lawak guru dan rakan-rakan murid yang lain. Yang lucunya bukan anak itu. Ia tidak tahu apa-apa kerana kebiasaan itu dibiarkan berlarutan melebihi masa yang seperlunya. Ibu dan bapanya yang dilihat lucu. Masakan anak sebesar tujuh tahun masih belum meninggakan kebiasaan seorang bayi. Imej ibu dan bapa yang tercalar. Maruah ibu dan bapa yang cemar. Kelemahan dari segi kemahiran mendidik anak-anak. Lambat mematangkan mereka seiring dengan usia mereka.
2                   Anak-anak yang sudah bersekolah masih lagi minum menggunakan botol berputing. Puting juga tetapi berisi air. Ada manfaatnya tetapi sudah terlalu melampaui keperluannya. Apabila motor tubuh badan anak-anak sudah boleh berfungsi seperti memegang, mereka perlu diajar untuk makan sendiri. Minum sendiri. Mulakan dari awal. Pada awalnya memang tumpah. Makannya bersepah. Bersabarlah. Tidak lama. Apabila sudah dimahirkan ibu dan bapa juga yang senang. Anak sudah boleh makan dan minum sendiri. Mereka hanya perlu dipantau dari masa ke semasa supaya apa yang mereka lakukan adalah betul. Umpamanya makan dengan tangan kanan. Memegang sudu dan garpu dengan betul. Mengambil lauk dengan betul. Menyuap dengan betul. Tidak tamak atau gelojoh. Belajar menyukat kuantiti makanan atau minuman pada waktu makan. Tidak berlaku pembaziran. Tidak pula berebut-rebut. Didik mereka untuk berkongsi makanan dengan ahli keluaga atau rakan atau saudara-mara.
3                   Anak-anak yang sudah bersekolah berkejar apabila balik ke rumah kerana kehausan tidak menyusu ibunya selama berada di sekolah. Wajarkan bahawa anak-anak berhenti menyusu ibunya sewaktu usianya mendekati dua tahun. Pada usia dua tahun dia sudah bebas dari mengulit ibunya sepanjang masa. Tentu luarbiasa apabila anak yang berusia 10 tahun masih menyusu ibunya.
4                   Anak-anak yang sudah bersekolah masih perlu disuap sehingga ibunya tidak dapat berbuat kerja lain selain dari mengadapnya sahaja. Tugas ibu dan bapa ialah memandaikan anak-anak. Menjadikan mereka berdikari seawal mungkin. Ibu-ibu umpamanya bukan dayang sepenuh masa. Bukan inang sepenuh masa. Anak-anak zaman tahun 1950an seawal usia lima tahun atau lebih awal sudah pandai menanak nasi. Boleh mengukur kelapa. Memetik sayur di sekeliling rumah. Menyuapkan adik-adiknya makan dan minum. Memandikan dan mendodoikan adik-adik untuk tidur. Ibu dan bapa mereka mungkin ke bendang atau menoreh getah. Atau si ibu sibuk mengurus rumah.
5                   Anak-anak yang bersekolah belum kenal tata sosial. Ada anak-anak yang belum mengetahui tata bersosial dengan guru atau dengan rakan sekelas. Mereka tidak tahu hendak meminta izin untuk ke bilik air umpamanya. Tidak tahu mengucapkan terima kasih. Tidak tahu cara meminta maaf. Tidak tahu membantu rakan yang berat membawa buku. Tidak tahu meminjamkan pensil kepada rakan yang tidak membawanya.
6                   Ada anak-anak yang sangat berat mulutnya. Tidak hendak hanya geleng kepala. Jika setuju hanya angguk-angguk kepala. Jika tidak tahu hanya mengangkat bahu. Kesemua ini adalah salah. Salah dari segi komunikasi. Salam dari segi intersksi. Salah dari segi sosial. Tolong jangan didik mereka begitu. Jika tidak katakan tidak. Jika ya katakan ya. Didik anak-anak supaya mengungkan kata tidak, ya, tahu, mahu, tidak tahu dan sebagainya. Didik mereka untuk menyatakannya dengan perkataan. Dengan bercakap secara lisan. Jangan galakkan mereka berinteraksi dengan anggota tubuh badan sahaja. Kita hendak anak-anak bercakap. Menggunakan mulut mereka untuk bercakap. Pastikan apabila bercakap suaranya cukup kuat. Teratur. Tidak menjerit atau bercakap laju. Didik mereka menggunakan ayat penuh dengan istilah yang sesuai. Lebih tepat lebih baik.
7                   Didik anak-anak supaya memahami maksud bergilir-gilir. Bukan berebut-rebut. Bercakap ikut giliran. Membeli makanan secara bergilir. Masuk ke kelas bergilir-gilir. Keluar kelas bergilir-gilir. Kesemua ini adalah untuk mendisiplinkan kehidupan mereka. Bahwa setiap sesuatu ada peraturannya. Berkongi semua keadaan dengan orang lain.

Usia tujuh tahun adalah uisa anak-anak sewajarnya sudah mandiri. Sudah berdikari. Sudah bebas dari pertolongan ibu-bapa atau adik-beradik kecuali hal-hal yang berat, tinggi, jauh dan sebagainya. Apabila bersekolah anak-anak seharusnya sudah:

1                   Boleh mengurus diri seperti mandi, makan dan minum, beristinjak dan memakai pakaian yang sesuai. Berbedak, bersikat dan berpakaian kemas.
2                   Mengenal waktu dan mengetahui pentingnya menjaga waktu. Tidak perlu lagi dijerit-jerit dan dibentak-bentak. Mereka tahu menjaga waktu. Berperanan mengikut waktu. Terutamanya menjaga waktu solat.
3                   Mengenal wang dan tukarannya. Membezakan antara wang besar dan wang kecil. Jika boleh sudah mengetahui wang tukar dan baki setiap wang yang dibelanjakan.
4                   Mengenal bahaya dalam perjalanan seperti terhadap orang asing yang tidak dikenali. Bahaya kotor. Risiko kemalangan.

Ramai ibu dan bapa yang tidak mengetahui impliksi anak-anak yang belum berdikari ini kepada guru dan sekolah.

1                   Ada ibu yang berada di sekolah berbulan-bulan lamanya kerana menemankan anak-anak yang baru berada di tahap satu. Keberadaannya diperlihatkan kepada si anak. Sewaktu rehat anaknya perlu disuap atau ditemankan berbelanja di kantin sekolah. Banyak kerja lain yang tergendala. Rumah ditinggalkan. Anak-anak yang lain diserahkan kepada orang lain untuk menjaganya. Silapnya kerana anak itu tidak dimatangkan seawal mungkin supaya boleh berdikari. Boleh bersosial dengan rakan sebayanya. Supaya ibu itu bebas untuk melakukan kerja lain yang menjadi tugasnya di rumah.
2                   Ada guru yang terpaksa menjadi ganti kepada ibu dan bapa. Murid-murid mereka membuang air besar dan kecil tanpa boleh beristinjak. Itu belum anak-anak yang buang-buang air di kelas. Yang termuntah. Guru kelas itu yang terpaksa membasuh tubuh badan si anak. Membasuh kelas. Dan berbagai lagi yang tertanggung di bahu seorang guru sekolah kebangsaan. Hanya mereka yang sifat guru dan keibuannya sangat tinggi sahaja yang berupaya menghadapi kesemua karenah anak kecil yang baru bersekolah.
3                   Paling menggusarkan ialah keselamatan anak-anak. Ada masanya ibu atau bapa lambat mengambil anak dari sekolah. Ibu dan bapa perlu maklum bahawa tugas guru bukan hanya mengajar sahaja. Selepas tamat sesi mengajar guru perlu segera pulang ke rumah untuk makan, mandi, solat dan menukar pakaian. Pukul 3.00 petang ia mungkin diperlukan di sekolah untuk melaksanakan tugas-tugas kokurikulum. Pada tahap ini ibu dan bapa ramai yang tidak maklum. Guru banyak tugasnya. Menjadi sulit kepada guru apabila ada anak murid yang lambat diambil ibu atau bapa mereka.


Anak-anak adalah aset penting ibu dan bapa. Mereka adalah harapan masa hadapan mereka. Lebih cepat mereka matang lebih baik untuk mana-mana pasangan ibu dan bapa. Beajarlah sebanyak mungkin. Bertanyalah sebanyak mungkin. Buatlah pengamatan sebanyak mungkin. Orang lain telah melakukannya. Banyak manfaatnya belajar dari mereka yang lebih arif. Dari pengalaman mereka. Bagi ibu dan bapa muda inilah masanya untuk belajar dari mereka yang sudah berpengalaman. Bukan susah ‘copy and paste’ sahaja. Mungkin tambah kosmetiknya sahaja.

Wednesday, January 21, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Membina Anak-Anak Zaman



Lain padang lain belalangnya. Merantau jauh membuka mata untuk melihat kelainan-kelainan yang Allah ciptakan untuk tatapan kita. Kali ini penulis mengajak pembaca membuat tinjauan bagaimana warga Mesir membina karakter pejuang agama di kalangan kanak-kanak mereka. Apa yang penulis lihat tidak pernah berlaku di Malaysia. Dalam adat kita anak-anak selalunya dijauhkan dari orang dewasa. Yang dewasa hendak berbual dengan selesa kerana topik perbualan mereka layak didengar oleh orang dewasa sahaja. Itulah malangnya sebuah warisan yang tidak ada benarnya. Salah dalam mendidik anak. Kita mengetahui bahawa anak-anak perlukan bimbingan dari mereka yang dewasa terutamanya dari ibu-bapa mereka dan sahabat-sahabat ibu-bapa mereka. Tetapi apabila mereka yang diharapkan selesa dengan topik terlalu khusus untuk orang dewasa maka anak-anak terpinggir. Tidak diberi peluang menikmati topik-topik membina minda dan jatidiri warisan mereka.

Banyak topik yang boleh dibincangkan secara ilmiah. Topik agama umpamanya berbentuk global. Begitu juga teknologi, sains, ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan banyak lagi. Apabila anak-anak hadir dalam pertemuan-pertemuan santai elakkanlah dari membincangkan topik-topik yang berunsur mengumpat, mencela, menghina atau topik-topik yang berbentuk fitnah. Apatah lagi topik-topik yang lucah, ganas dan marah-marah. Banyak topik lain yang lebih segar. Lebih membina akhlak. Membina minda. Meluaskan skop pemikiran. Kita tidak perlu sempitkan dengan kebiasaan kita. Kita sepatutnya sudah lama meninggalkan kebiasaan-kebiasaan yang sia-sia yang menambah dosa sahaja. Yang hanya menyorot ke belakang keindahan sosial dan generasi kita. Sudah sampai ketikanya kita berusaha untuk lebih membina minda anak-anak supaya mereka menjadi warganegara yang memandang ke hadapan. Masa lalu dijadikan batu lonjakan untuk lebih maju dalam banyak bidang.

Senarionya sangat mudah. Boleh dilakukan pada bila-bila masa. Malah di mana-mana sahaja.
1                   Bawa anak-anak bertemu dengan alim ulamak agama. Biar mereka mendengar perbualan yang berkaitan dengan agama. Mereka menjadi selesa dengan sebutan Allah, Rasulallah, Malaikat, al-Quran, Qada’ dan Qadar, Qiamat, Syurga dan Neraka. Anak-anak ini membesar dalam lingkungan istilah-istilah akhirah dan bukan dunia sahaja. Nama-nama pejuang agama dan mereka yang syahid menjadi motivasi untuk berjuang ke arah agama.
2                   Bawa mereka bertemu dengan alim ulamak mengenai ilmu keduniaan seperti doktor perubatan, jurutera, peguam, sosiologis, pakar motivasi, usahawan dan sebagainya. Buka minda anak-anak supaya berjaya di dunia. Apabila digabungkan dengan nombor 1 maka terdapatlah gabungan dunia dan akhirat. Paduan yang tidak boleh dipisahkan.
3                   Bawa anak-anak ke majlis-majlis ilmu. Didik mereka untuk berdisiplin apabila berada dalam majlis-majlis ilmu. Mendengar dengan taat. Belajar mencatat butiran yang didengar. Balik ke rumah berikan masa dan peluang anak-anak bertanya dan berhujjah. Betulkan persepsi yang salah. Bantu dengan menyediakan bahan bacaan yang ilmiah.

Di Mesir, anak-anak selalu ditemukan dengan mereka yang alim di masjid. Selepas solat Jumaat umpamanya anak-anak bertemu dengan imam lama. Imam yang masih setia dengan masjid. Walaupun tidak lagi memberikan khutbah Jumaat, imam tersebut masih menjadi imam solat fardhu. Masih menjadi muazzin pada hari Jumaat. Imam yang seorang ini sudah tidak boleh duduk untuk tasyahud awal atau akhir. Ia duduk di kerusi. Walaupun masih boleh bertahan semasa duduk antara dua sujud tetapi dengan menegakkan badan sambil berlutut sahaja. Setiap tamat solat ada sahaja anak-anak yang berusia antara lima hingga 12 tahun datang bertemu dengannya. Mereka dipeluk dan dicium. Sewaktu bulan Ramadhan lebih ramai anak-anak yang datang ke masjid. Termasuk anak-anak perempuan yang berusia bawah lima tahun. Kerencaman bermazhab mewarnai suasana masjid. Situasinya berbeza dengan kita.

Bertemu dengan orang alim memberikan suatu pengalaman yang tersendiri kepada anak-anak.

1                   Mereka belajar hadir bersama orang dewasa. Mencontohi apa sahaja amal ibadat yang dilaksanakan. Mereka bukan tenggelam dalam teori sahaja. Praktikalnya dilihat setiap masa.
2                   Menumpang aura orang dewasa yang alim dan banyak ilmu. Berpengalaman dalam masjid dan agama. Ianya memberikan suatu motivasi bahawa yang alim agama berada di tempat yang tinggi. Dihormati dan disegani. Mereka pula perlu didekati. Bukan hanya dalam hal-hal penting tetapi pada setiap waktu dan peluang. Bukan bila hendak bernikah kahwin dan semasa mengurus jenazah sahaja.
3                   Dakapan dan ciuman memberikan kehangatan peribadi antara mereka yang alim dengan anak-anak. Memberikan mereka sifat berani. Sifat untuk taat. Sifat untuk mencontohi. Sifat untuk berada pada posisi itu apabila mereka dewasa kelak.

Kanak-kanak di Mesir dan Jordan tidak ke masjid untuk berada dalam kelompok mereka sahaja. Berbual dan bersembang. Mereka berada di saf-saf bahagian hadapan. Ruang-ruang kosong mereka isi sebagai jemaah yang arif. Bukan main-main. Tiada diskriminasi antara dewasa dan kanak-kanak. Tiada halangan dari AJK masjid. Tiada gangguan sesiapapun. Apabila mereka berada di saf orang dewasa mereka tidak membawa rakan-rakan mereka bersama. Mereka seorang diri bersama orang dewasa. Dengan itu mereka lebih tenang. Lebih khusyuk. Lebih menjiwai keberadaan mereka di masjid. Melaksanakan amalan agama bersama mereka yang dewasa. Pelajaran agama mereka disempurnakan dengan amali bersama orang dewasa. Bukan bersama rakan-rakan mereka sahaja yang lazimnya terdedah kepada kecenderungan untuk bermain, bergurau senda, mengganggu rakan-rakan yang tulen ibadatnya.

Bersama orang dewasa banyak manfaatnya.

1                   Mereka cepat dewasa. Berada di persekitaran orang dewasa menjadikan mereka selalu sedar bahawa mereka wajib mencontohi mereka yang di sekelilingnya. Akhlak mereka terbina. Amalan mereka terkawal. Membaca al-Quran umpamanya menjadi ringan sebagai amalan.
2                   Mematuhi disiplin ibadat. Tidak berbual tanpa hak. Tidak mengganggu orang lain kerana yang berada di sekelilingnya adalah mereka yang dewasa.
3                   Membetulkan kesilapan tan tanggapan dengan membuat pengamatan sendiri. Semua contoh itu di hadapan mata mereka sendiri.
4                   Membina keyakinan diri. Tidak ramai anak-anak yang berani bersama golongan dewasa tanpa latihan dan didikan. Membiasakan diri membina kekuatan diri ke arah itu.
5                   Pengalaman mereka lebih luas berbanding dengan rakan-rakan mereka yang lain. Buah fikirannya dibina melalui mendengar butiran perbualan orang dewasa. Melalui melihat perbuatan orang dewasa.

Banyak paradigma yang perlu disesuaikan dengan keadaan. Andainya kita yakin bahawa anak-anak menjadi warisan kita maka mereka yang berwajib mengenai masjid perlu mengubah cara berfikir:

1                   Al-Quran hendaklah diletakkan di tempat dan rak yang mudah dicapai oleh makmum atau jamaah. Bila ada luang waktu mereka boleh membaca al-Quran walaupun untuk beberapa minit sahaja. Sementara menunggu azan atau sementara menunggu waktu.
2                   Beri peluang kepada kanak-kanak untuk mengisi ruang saf di bahagian hadapan walaupun mungkin bukan saf pertama atau kedua. Anak kecil bersama bapanya. Anak-anak yang sudah baligh atau berakal di celah-celah orang dewasa. Anggap ianya sebagai didikan dan amali dalam melaksanakan amalan agama.
3                   Adakan aktiviti kanak-kanak di masjid seperti gelanggang permainan, bilik mengulangkaji dan tuisyen agama dan amalannya.


Bawa anak-anak ke masjid. Tarik mereka. Program reaching out perlu untuk membina anak-anak zaman yang penuh dadanya dengan agama. Cintakan Allah dan RasulNya. Sayangkan agamanya. Mudah-mudahan pada akhir zaman ini masjid menjadi penuh dengan bakal pejuang akhirat. Bentuk mereka di dunia.

Tuesday, January 6, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Siapa Ibu Jika Tidak Anak Di Hatinya



Hati seorang isteri dekat kepada suaminya. Hidup dan matinya untuk suami. Kesetiaannya tidak pernah berbelah bagi. Sejak diterima nikahnya hingga selamanya hanya itulah suaminya. Tidak ada pilihan yang lain. Walaupun sebelum berkahwin banyak pilihan di hadapinya, tetapi apabila pilihannya telah ditetapkan maka kekallah pilihan itu sebagai yang terbaik untuknya. Senang dan susah bersama. Naik dan turun, pasang dan surut kehidupan berumahtangga dihadapi dengan cekal dan tabah. Bersamanya doa dan harapan. Kepada Allah diserahkan segala-galanya. Mengadu yang semampu. Memohon keredhaannya untuk hidup dan semati dengan suami pilihannya.
         
Hati seorang ibu sentiasa pada anak-anaknya. Dari darah dagingnya lahir anak-anak yang membesar dan mendewasa. Hidup menghidupkan warisan keluarga. Anak-anak itu menghidupkan harapan bahawa hidupnya berzuriat panjang. Akan lahir nanti cucu dan cicit. Lahir lagi seterusnya cucu dan cicit mereka. Kadang-kadang perjuangan seorang ibu tidak pernah dinobatkan sebagai sesuatu yang indah. Yang bertanda dengan mercu kejayaan gemilang. Pada hakikatnya perjuangan ibu yang mengandungkan tidak dilihat oleh anak yang dikandung. Anak yang dilahirkan tidak melihat ianya dilahirkan. Tidak mendengar sakitnya ibu melahirkan.Apatah lagi turut merasakannya. Anak itu ada seorang ibu. Bukan dua dan bukan tiga. Seorang sahaja yang mengandungnya. Seorang sahaja yang melahirkannya. Seorang sahaja yang DNAnya mengalir di tubuh badannya.


Hati seorang nenek akrab pula kepada cucu-cucunya. Langkauan generasi warisannya. Betapa menimang seorang cucu itu sangat membahagiakan. Tiada siapa yang tahu bahawa cucu adalah lambang kebahagiaan seorang nenek. Bahawa anaknya melahirkan zuriat yang menyambung warisan keluarga. Berkembang dan terus berkembang. Maka apabila seorang cucu dihadirkan terlonjaklah pahatan riang seorang nenek. Berulang indahnya menimang darah daging sendiri. Letih menimang anak sudah lama hilang. Bergantilah musim untuk tangannya menimang cucu. Mengusap dan meriba. Memeluk dan mendakap. Mencium dan mengucup. Memanjakan anak kecil yang bernama cucu. Begitulah kasih dan sayang terhadap keturunan yang tidak pernah sunyi dari kerinduan dalam berkeluarga.

Namun dalam membesarkan anak-anak keutamaan seorang ibu ialah agama dan disiplin hidup dalam semua perkara. Membina matlamat dan fokus kerjaya. Menganugerahkan yang terbaik untuk keluarga. Antara perkara yang mendahului keperihatinan ibu ialah ketakwaan kepada Allah dan Rasulnya dan kesejahteraan anak-anak dan cucu-cucu. Walaupun anak-anak sudah berkerjaya dan berumahtangga dan mencipta kejayaan masing-masing tetapi ibu itu masih tetap perihatin dengan keseluruhan kehidupan anak-anaknya. Ibu telah melakukan yang terbaik dan sangat berharap anak-anak mengambil iktibar tentang apa yang telah dididikkan kepada anak-anak dalam serba-serbi hal. Sama ada kecil atau besar. Antara lain keutamaan ibu ialah kepentingan agama kepada anak-anak. Keselamatan anak-anak. Pendidikan anak-anak. Kesihatan anak-anak. Kejayaan anak-anak. Kebahagiaan anak-anak. Apabila anak-anak telah dewasa dan telah berumahtangga fokusnya pula bertambah dengan keselamatan cucu-cucu. Pendidikan cucu-cucu. Kesihatan cucu-cucu. Kejayaan cucu-cucu.

Sifat seorang ibu pasti sama di mana-mana. Sewaktu anak-anaknya masih kecil-kecil dahulu hinggalah kepada cucu-cucu, tentang keselamatan keluarga, seorang ibu tidak berkompromi. Semasa anak-anak bersekolah cukup masa anak-anak mesti sampai di rumah. Jika lewat banyak gundahnya. Tidak senang duduknya. Tingkap dan pintu dijengah dengan kerapnya. Setiap bunyi diintai kembalinya anak dari sekolah. Banyaklah nanti tanyanya apabila anak kembali dari sekolah. Perlu laporan panjang dari anak-anak. Apabila anak-anak melahirkan cucu-cucu kebimbangan itu seolah-olah berulang. Cucu-cucu adalah imej seorang nenek. Cerminan warisannya. Kejayaan cucu-cucu adalah juga kejayaanya sebagai neneknya.

Seorang ibu yang perihatin tidak membiarkan anak-anaknya bermain di luar rumah tanpa pengawasan. Tidak boleh bermain sendirian di luar rumah. Tidak boleh merayau tidak tentu hala. Tidak boleh pergi ke rumah kawan-kawan tanpa sebab yang menasabah. Tanpa urusan akademik. Jauh sekali tidur di rumah kawan. Anak-anak tidur di rumah saudara mara yang tidak keruan sekalipun ia tidak suka. Jika ia yakin dengan seseorang barulah dia benarkan. Tentulah seorang ibu mendapat didikan yang terbaik dari bapanya. Datuk dan nenek anak-anaknya. Menanggapi kepekaan tinggi terhadap status keluarga yang miskin ketika bersama bapanya dahulu. Atau juga mungkin kaya mengikut kadarnya. Sebagai seorang anak ia telah berbuat apa yang perlu membantu bapanya untuk meringankan beban keluarganya. Mewarisi amalan rumahtangga dan mencontohi keperihatinannya tentang rumahtangga. Seorang ibu telah mendidik anak-anaknya tanpa mengira jantina. Kesemuanya wajar boleh menguruskan rumahtangga apabila berumahtangga. Begitu juga harapannya supaya anak-anaknya berupaya menguruskan kerjaya dan organisasi.

Anak-anak kekal abadi di hati seorang ibu. Terasa sangat dekat di hatinya. Siang dan malam ia membelai perasaan sayang itu tanpa lelah. Tanpa rasa bosan. Malah yang selalu dizahirkan ialah rindunya. Banyak disebut apabila anak selalu menghubunginya. Disebut juga anak-anak yang jarang didengar khabarnya. Rindu kepada anak rindu juga kepada cucu-cucu. Ada sahaja yang diingat. Makan dan pakainya. Kesihatan dan cerdik pandainya. Suatu hal yang selalu orang lupa ialah menantu. Apabila anak-anak sudah berumahtangga menantu sudah menjadi anak tarafnya. Hubungannya tidak akan putus sampai bila-bila. Walau apapun yang bakal terjadi. Sudah kekal menjadi mahram. Cerita tentang menantu bukan sesuatu yang terpencil. Kadang-kadang rindunya kepada menantu bukan kepalang. Risaunya juga bukan kepalang. Anak dan menantu diharap berjaya dan berbahagia. Tidak ada yang lebih baik dari kebahagiaan anak-anak apabila berumahtangga. Melahirkan seri dan aura indah dalam keluarga.


Sesiapapun rindukan ibunya. Mereka yang sudah ketiadaan ibu sekalipun masih tetap rindukan ibunya. Fitrahnya begitu. Kerana itu rinduilah ibu. Dia seorang sahaja yang rindunya tidak pernah bertepi. Tidak pernah bersempadan. Tidak pernah ada penghujungnya. Hingga ke akhir hayatnya seorang ibu kekal sebagai seorang ibu. Rindunya kepada anak-anak tidak pernah pudar. Demi matahari dan bulan rindu itu bersinar sepanjang zaman. Ada rindu lain di hati anak. Tetapi seorang ibu hanya anak-anak yang dirindunya. Itu sahaja yang abadi dalam ingatannya. 

Sayangilah ibu. Sayangnya membawa ke syurga.
Bila kali terakhir anda nyatakan sayang anda pada ibu anda?