Hati seorang isteri dekat kepada suaminya. Hidup dan
matinya untuk suami. Kesetiaannya tidak pernah berbelah bagi. Sejak diterima nikahnya
hingga selamanya hanya itulah suaminya. Tidak ada pilihan yang lain. Walaupun sebelum
berkahwin banyak pilihan di hadapinya, tetapi apabila pilihannya telah
ditetapkan maka kekallah pilihan itu sebagai yang terbaik untuknya. Senang dan
susah bersama. Naik dan turun, pasang dan surut kehidupan berumahtangga
dihadapi dengan cekal dan tabah. Bersamanya doa dan harapan. Kepada Allah
diserahkan segala-galanya. Mengadu yang semampu. Memohon keredhaannya untuk
hidup dan semati dengan suami pilihannya.
Hati seorang ibu sentiasa pada anak-anaknya. Dari darah
dagingnya lahir anak-anak yang membesar dan mendewasa. Hidup menghidupkan warisan
keluarga. Anak-anak itu menghidupkan harapan bahawa hidupnya berzuriat panjang.
Akan lahir nanti cucu dan cicit. Lahir lagi seterusnya cucu dan cicit mereka. Kadang-kadang
perjuangan seorang ibu tidak pernah dinobatkan sebagai sesuatu yang indah. Yang
bertanda dengan mercu kejayaan gemilang. Pada hakikatnya perjuangan ibu yang
mengandungkan tidak dilihat oleh anak yang dikandung. Anak yang dilahirkan
tidak melihat ianya dilahirkan. Tidak mendengar sakitnya ibu melahirkan.Apatah lagi
turut merasakannya. Anak itu ada seorang ibu. Bukan dua dan bukan tiga. Seorang
sahaja yang mengandungnya. Seorang sahaja yang melahirkannya. Seorang sahaja
yang DNAnya mengalir di tubuh badannya.
Hati seorang nenek akrab pula kepada cucu-cucunya. Langkauan
generasi warisannya. Betapa menimang seorang cucu itu sangat membahagiakan. Tiada
siapa yang tahu bahawa cucu adalah lambang kebahagiaan seorang nenek. Bahawa anaknya
melahirkan zuriat yang menyambung warisan keluarga. Berkembang dan terus
berkembang. Maka apabila seorang cucu dihadirkan terlonjaklah pahatan riang
seorang nenek. Berulang indahnya menimang darah daging sendiri. Letih menimang
anak sudah lama hilang. Bergantilah musim untuk tangannya menimang cucu. Mengusap
dan meriba. Memeluk dan mendakap. Mencium dan mengucup. Memanjakan anak kecil
yang bernama cucu. Begitulah kasih dan sayang terhadap keturunan yang tidak
pernah sunyi dari kerinduan dalam berkeluarga.
Namun dalam membesarkan anak-anak keutamaan
seorang ibu ialah agama dan disiplin hidup dalam semua perkara. Membina
matlamat dan fokus kerjaya. Menganugerahkan yang terbaik untuk keluarga. Antara
perkara yang mendahului keperihatinan ibu ialah ketakwaan kepada Allah dan
Rasulnya dan kesejahteraan anak-anak dan cucu-cucu. Walaupun anak-anak sudah
berkerjaya dan berumahtangga dan mencipta kejayaan masing-masing tetapi ibu itu
masih tetap perihatin dengan keseluruhan kehidupan anak-anaknya. Ibu telah
melakukan yang terbaik dan sangat berharap anak-anak mengambil iktibar tentang
apa yang telah dididikkan kepada anak-anak dalam serba-serbi hal. Sama ada
kecil atau besar. Antara lain keutamaan ibu ialah kepentingan agama kepada
anak-anak. Keselamatan anak-anak. Pendidikan anak-anak. Kesihatan anak-anak. Kejayaan
anak-anak. Kebahagiaan anak-anak. Apabila anak-anak telah dewasa dan telah
berumahtangga fokusnya pula bertambah dengan keselamatan cucu-cucu. Pendidikan
cucu-cucu. Kesihatan cucu-cucu. Kejayaan cucu-cucu.
Sifat seorang ibu pasti sama di mana-mana. Sewaktu anak-anaknya
masih kecil-kecil dahulu hinggalah kepada cucu-cucu, tentang keselamatan keluarga,
seorang ibu tidak berkompromi. Semasa anak-anak bersekolah cukup masa anak-anak
mesti sampai di rumah. Jika lewat banyak gundahnya. Tidak senang duduknya. Tingkap
dan pintu dijengah dengan kerapnya. Setiap bunyi diintai kembalinya anak dari
sekolah. Banyaklah nanti tanyanya apabila anak kembali dari sekolah. Perlu laporan
panjang dari anak-anak. Apabila anak-anak melahirkan cucu-cucu kebimbangan itu
seolah-olah berulang. Cucu-cucu adalah imej seorang nenek. Cerminan warisannya.
Kejayaan cucu-cucu adalah juga kejayaanya sebagai neneknya.
Seorang ibu yang perihatin tidak membiarkan
anak-anaknya bermain di luar rumah tanpa pengawasan. Tidak boleh bermain
sendirian di luar rumah. Tidak boleh merayau tidak tentu hala. Tidak boleh
pergi ke rumah kawan-kawan tanpa sebab yang menasabah. Tanpa urusan akademik.
Jauh sekali tidur di rumah kawan. Anak-anak tidur di rumah saudara mara yang tidak
keruan sekalipun ia tidak suka. Jika ia yakin dengan seseorang barulah dia
benarkan. Tentulah seorang ibu mendapat didikan yang terbaik dari bapanya. Datuk
dan nenek anak-anaknya. Menanggapi kepekaan tinggi terhadap status keluarga
yang miskin ketika bersama bapanya dahulu. Atau juga mungkin kaya mengikut
kadarnya. Sebagai seorang anak ia telah berbuat apa yang perlu membantu bapanya
untuk meringankan beban keluarganya. Mewarisi amalan rumahtangga dan mencontohi
keperihatinannya tentang rumahtangga. Seorang ibu telah mendidik anak-anaknya
tanpa mengira jantina. Kesemuanya wajar boleh menguruskan rumahtangga apabila
berumahtangga. Begitu juga harapannya supaya anak-anaknya berupaya menguruskan
kerjaya dan organisasi.
Anak-anak kekal abadi di hati seorang ibu. Terasa sangat
dekat di hatinya. Siang dan malam ia membelai perasaan sayang itu tanpa lelah. Tanpa
rasa bosan. Malah yang selalu dizahirkan ialah rindunya. Banyak disebut apabila
anak selalu menghubunginya. Disebut juga anak-anak yang jarang didengar
khabarnya. Rindu kepada anak rindu juga kepada cucu-cucu. Ada sahaja yang
diingat. Makan dan pakainya. Kesihatan dan cerdik pandainya. Suatu hal yang
selalu orang lupa ialah menantu. Apabila anak-anak sudah berumahtangga menantu
sudah menjadi anak tarafnya. Hubungannya tidak akan putus sampai bila-bila. Walau
apapun yang bakal terjadi. Sudah kekal menjadi mahram. Cerita tentang menantu
bukan sesuatu yang terpencil. Kadang-kadang rindunya kepada menantu bukan
kepalang. Risaunya juga bukan kepalang. Anak dan menantu diharap berjaya dan
berbahagia. Tidak ada yang lebih baik dari kebahagiaan anak-anak apabila
berumahtangga. Melahirkan seri dan aura indah dalam keluarga.
Sesiapapun rindukan ibunya. Mereka yang sudah
ketiadaan ibu sekalipun masih tetap rindukan ibunya. Fitrahnya begitu. Kerana itu
rinduilah ibu. Dia seorang sahaja yang rindunya tidak pernah bertepi. Tidak pernah
bersempadan. Tidak pernah ada penghujungnya. Hingga ke akhir hayatnya seorang
ibu kekal sebagai seorang ibu. Rindunya kepada anak-anak tidak pernah pudar. Demi
matahari dan bulan rindu itu bersinar sepanjang zaman. Ada rindu lain di hati
anak. Tetapi seorang ibu hanya anak-anak yang dirindunya. Itu sahaja yang abadi
dalam ingatannya.
Sayangilah ibu. Sayangnya membawa ke syurga.
Bila kali terakhir anda nyatakan sayang anda
pada ibu anda?
No comments:
Post a Comment