Tuesday, October 28, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Perjalanan Ke Dumyat



 
Sangat teruja hingga jadi seperti pekerja ladang kurma pula.


Kami bermula lewat dari Iskandariah ke Dumyat. Hampir pukul 11.30 pagi baru bertolak. Walau bagaimanapun perjalanan itu tidak menjemukan. Mata  memandang ka kanan dan ke kiri melihat apa yang dapat dilihat. Paling menonjol ialah pepohon tamar yang buahnya sedang tua memerah dan ada yang berwarna cokelat muda. Sepanjang-panjang jalan di kanan dan di kiri. Ada yang berbentuk ladang dan ada yang milik penduduk setempat. Malah ada juga pokok tamar liar di tepi-tepi jalanraya. Hampir-hampir kesemuanya sedang berbuah. Ada setengahnya sedang berputik. Hari itu hari Sabtu. Semua Muslim menyambut Eid al-Adha. Banyak gerai menjual kurma di tepi-tepi jalan seperti rakyat Malaysia menjual durian, manggis, cempedak, pisang, nanas, keladi dan sebagainya. Malangnya kebanyakan gerai-gerai itu ditutup. Tuannya berhari raya barangkali.

Melihat tandan-tandan kurma yang bergayutan memanglah sangat mengujakan. Kecur juga air liur dibuatnya. Jika ada yang mengandung pastinya terliur yang amat sangat. Kami pujuk drebar untuk berhenti jika sekiranya terdapat gerai yang dibuka. Akhirnya setelah beberapa jam perjalanan terdapat sebuah gerai yang dibuka. Bergegas turun dari bas kebanyakan dari kami. Di gerai itu buah kurma sudah siap dibungkus. Setiap bungkus empat kilogram. Hanya 20 LE (paun Mesir). Kira-kira RM9.00. Kami tawar dan harganya diturunkan menjadi 15 LE sahaja. Kira-kira RM7. Maknanya kira-kira RM1.75 sekilogram. Mungkin ada antara pembaca yang pernah membelinya di Malaysia dengan harga antara RM45 hingga RM60 sekilogram pada bulan Ramadhan. Cuba kira. Berapa kali ganda agaknya? Oleh kerana buah itu sudah tua sudah hilang kelatnya dan timbul rasa manis. Masing-masing membelilah beberapa kotak.

Berada berhampiran kebun kurma mengujakan juga. Tandannya memang besar dan padat buahnya. Berat seperti buah kelapa sawit. Ramai yang bergambar di bawah pokok kurma. Menyorong buah kurma. Memegang buahnya. Sambil itu kami makan mana-mana buah yang sudah masak dan lembut. Masak di pokok. Segar kerana baru dipetik. Baru hendak dipilih untuk dijual. Dalam pada itu ada kenderaan lain yang berhenti. Orang Arab Mesir bukan membeli beberapa kilo. Mereka membeli beberapa tandan di samping beberapa paket yang sudah dibungkus. Bagi yang mengalaminya pada kali pertama memang teruja habis. Penulis sudah mengalaminya pada kali kedua. Kali pertama di Siwa sebelum itu juga tidak kurang keterujaannya. Cuma bermain di minda. Mungkinkah ladang kurma boleh wujud di Malaysia. Belum ada yang mencuba menanam seluas 10 atau 20 hektar umpamanya. Fikir-fikirkan.

Sebenarnya perjalanan ke Dumyat bukan hanya melihat buah kurma. Tanah di sepanjang jalan dari Iskandariah ke Dumyat dikira sangat subur. Air tawar pula banyak. Selain dari sungai terdapat juga tasik. Kesuburan tanah terjamin. Ianya terletak di lembangan Sungai Nil. Sangat luas. Berbagai dusun buah-buahan terdapat di sepanjang jalan itu. Selain dari kurma terdapat jambu batu, mangga, jagung, gandum, kobis, oren dan tanaman lain. Terdapat juga sawah padi yang buahnya sedang menguning. Di suatu lembangan yang sama terdapat tanaman padang pasir, tanaman beriklim sejuk dan tanaman beriklim tropika. Jalanraya menuju ke Dumyat terletak berhampiran Laut Mediterranean. Pokok kurma kelihatan hingga ke tepi pantai. Jika di Malaysia tentulah pokok kelapa yang melambai-lambai daunnya.

Orang Malaysia tetap dengan makanan rujinya walaupun berada di luar negara. Tercari-cari  restoran yang menjual nasi. Di Dumyat Baru banyak restoran yang menjual nasi mandi atau kita namakannya nasi beryani. Kami singgah di Restoran Hadramaut. Lauk mengikut pilihan masing-masing. Ayam panggang atau daging kambing. Banyak atau sedikit mengikut selera. Yang seleranya besar pesan yang besar dan banyak. Yang perutnya kecil berpada-pada sahaja. Nasi di mana-mana restoran Hadramaut sama rasanya. Sama resepinya. Sama cara memasaknya. Lebih sedap berbanding nasi yang dimasak oleh orang Mesir. Nasi orang Mesir selalunya kurang air dan terasa keras seperti tidak masak. Di restoran itu kami makan sepuas-puasnya. Lagipun kami sampai di restoran itu kira-kira pukul 3.00 petang. Sudah melewati waktu makan tengahari. Memang lapar yang tersangat amat. Berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke muara Sungai Nil. Perjalanan kira-kira sejam dari Dumyat Baru.

Jika melihat peta, perjalanan dari Iskandariah ke Dumyat mungkin sekitar empat jam. Namun apa yang berlaku secara realitinya mungkin tidak begitu. Lazimnya melebihi dari perkiraan atau jangkaan. Banyak faktor yang mengakibatkannya begitu.

1                Faktor drebar kenderaan yang selalu mengakibatkan kelewatan khususnya pada waktu pagi.                Kadang-kadang tidak berada di bas semasa ingin meneruskan perjalanan seterusnya.
2                Faktor peserta. Lambat hendak memulakan perjalanan, lambat apabila berhenti untuk berehat 
           dan mengambil masa yang terlebih panjang untuk meneruskan perjalanan.
3                Waktu sarapan, makan dan rehat yang tidak ada ketentuan yang pasti.

Kita selalu diperingatkan bahawa masa itu emas. Tidak wajar mensia-siakannya. Tetapi realitinya kita belum dapat mengawal diri untuk mendahului waktu. Malah untuk selari dengan waktu sekali pun kita belum selalu menepatinya. Akibat semua ini siri lawatan terbatas. Ada tempat yang tidak dapat dilawati. Masa tiba yang terlalu lewat hingga menghilangkan kepuasan yang sepatutnya dikecapi. Alangkah baiknya jika semua ini disegerakkan. Diintegrasikan dalam kehidupan kita. Bahawa masa sangat berharga.

1                 Mendahului masa adalah yang terbaik. Lebih awal lebih santai. Tiada kebimbangan. Tiada 
            keluh kesah. Semuanya mengikut jadual.
2                 Mengikut masa dengan tepat. Masih sangat baik kerana kesemunya menepati waktu. 
            Perjalanan mengikut jadual.
3                Tidak menepati jadual. Lewat dan melewatkan. Banyak rungutan yang disuarakan dan yang 
            terpendam. Natijahnya banyak kelewatan berlaku kerana waktu teranjak dari satu jadual ke 
            jadual yang berikutnya.

Konotasi masa selalu menjadi keresahan dalam mana-mana program atau majlis. Malah dalam majlis rasmi sekalipun kehadiran tetamu utama kadang-kadang terlalu lewat berbanding jadual yang telah ditentukan. Lebih tinggi kedudukannya lebih lewat ketibaanya. Demi masa manusia sentiasa dalam kerugian melainkan mereka yang selalu ingat mengingati. Masa itu emas.

1                   Mahal nilainya.
2                  Tinggi kosnya.
3                   Mengganggu psikologi.
4                   Mengganggu emosi.
5                   Menjadikan tetamu yang lain turut mengambil ringan jadual yang  ditentukan. Akan ada 
             tetamu biasa yang lebih lewat dari tetamu utama.

Andainya kita boleh menjaga masa, alangkah baiknya. Contohilah malaikat ‘Izrail. Tidak cepat walau sesaat dan tidak terlewat walau sesaat. Tepat setepatnya. Cantik sangat jika kita boleh mengikut jejak ‘Izrail.





Siap untuk dijual. Hanya 4 paun sekilo atau RM2 sahaja. Besar, segar dan enak.


Bandar Dumyat baru


Lebih teratur dan luas



Berhenti makan di Restoran Hadramaut


Restoran Hadramaut


Dumyat Baru


Pintu masuk ke kawasan Muara Sungai Nil.


Sebuah masjid cantik bermenara dua. 

No comments:

Post a Comment