Thursday, October 16, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Sekitar Iskandariah


Santai sebentar di Montazah, Iskandariah. Sebuah pusat peranginan tepi pantai Laut Mediterranean

.

Kebanyakan bandar di Mesir adalah bermula sebagai bandar purba. Penuh dengan sejarah gemilangnya masing-masing. Ada sejarah besar dan ada sejarah kecil. Kedudukan Mesir di Utara Afrika sangat strategik. Menemukan antara Afrika dan Asia. Menghubungkan antara Mesir dengan dunia Arab yang lain. Kebetulan jalur  negara Islam di Utara Afrika bermula dari Mesir hingga ke pantai barat Afrika khususnya ke Maghribi atau Moroko. Sebagai antara negara di pesisir Laut Mediterranean, Mesir tidak terkecuali terlibat dari kancah politik negara-negara sekitarnya. Legenda kerajaan Cartage, Greece, Roman (Italy) dan kemudiannya Perancis dan British mengadun sejarah Mesir sedemikian rupa. Sejarah Islamnya sudah terlalu lama sejak Nabi Yusof dan Nabi Musa lagi. Malah di buminya terdapat makam-makam yang bersemadi Nabi Danial, Nabi Harun, Lokman al-Hakim dan ramai sahabat Nabi. Bahawa di Mesir ini juga bersemadi Imam Syafiee. Tidak lupa juga pejuang-pejuang seperti Mohamad Abduh dan Hassan al-Bana.

Tentunya sesuatu yang indah apabila dapat berada di Iskandariah. Pada mata kasar ia tiada berbeza dengan bandar-bandar lain yang lokasinya di tepian pantai. Tetapi apabila kita menelusuri sejarah silamnya barulah kita mengerti mengapa Iskandariah menjadi gah. Menjadi indah dalam kenangan. Berada di kota penuh sejarah ini bukan lagi mimpi bahkan suatu keterujaan yang melampaui jangkaan. Kali pertama melihat Laut Mediterranean di Matruh dahulu sudah terasa nikmatnya menyaksikan keindahan ciptaan Allah. Laut Meditrerranean benar-benar laut tenang seperti yang selalu penulis baca sebelum menjejak kaki ke Mesir. Seperti tidak telihat alun atau riak air memecah pantai. Tidak terdengar ombak yang menghambur dan menghempas batu. Yang dirasa hanyalah suatu ketenangan. Damai yang bukan kepalang. Laut tidak meriuhkan suasana dan hati. Tidak seperti di negara kita. Di mana pantai sekalipun kita mendengar ombak memecah pantai. Kita melihat alun yang berturutan menghala ke pantai. Tetapi di Iskandariah penulis hanya melihat hempasan lembut alun kecil memecahkan percikan air yang memutih. Tiada bunyi yang jelas. Hanya dapat dipandang dengan indahnya. Buih-buih putih yang enak pada pandangan mata. Tranquility is here.

Berhari raya Eid al-Adha di Iskandariah tiada dalam perancangan yang jitu. Terfikir beberapa minggu sebelum memulakan ziarah. Mungkin enak di Iskandariah. Untuk merasakan kelainannya. Lain dari Malaysia.  Di Kaherah jarang juga solat yang berbeza. Benarlah apabila umat Islam benar-benar menghendaki, ruang masjid tidak dapat menampung jamaah yang melimpah ruah. Segala ruang perlu digunakan. Sama ada jalanraya atau kaki lima kedai. Menziarahi makam-makam Nabi Danial, Lokman al-Hakim dan sahabat Nabi, Abu Dardak, terasa pilu pula. Terasa hampir  dengan mereka yang hampir dengan Allah dan RasulNya. Sesungguhnya bumi anbia’ bukan sebarangan tanah. Bukan sebarangan bumi. Bumi di sini pernah diinjak dan dijejak oleh nabi dan rasul. Kita tidak tahu tapak siapa yang kita jejak. Yang indahnya ialah perasaan bahawa di sini dahulu telah hidup nabi dan rasul. Telah hidup sahabat nabi. Telah hidup mereka yang berjuang untuk mengembangkan syiar Islam di benua Afrika.

Mereka dirikan pentas. Tempat imam solat dan membaca khutbah.

Sebenarnya jalanraya ini berhampiran masjid. Jamaah yang sangat ramai ini tentu sekali tidak mungkin muat di masjid itu.

Sebenarnya sangat seronok suasananya. Santai, rehat. Ruang selepsa solat sangat luas.

Bentang apa sahaja hamparan di atas jalanraya. Solat beramai-ramai.

Ada bahagian dibentang karpet.

Memang ramai. Bersama ahli keluarga.

Santai mendengar khutbah di awal pagi.

Khutbah masih berkumandang.

Lelaki dan wanita sama ramainya.


Cabutan bertuah sempena Eid al-Adha.


Nombor-nombor sedang dipanggil.

Pemenang cabutan bertuah mendapat hadiah seekor kambing bebiri.


Selepas solat masih ramai lagi.

Ibadah qurban dijalankan di mana sahaja. Mungkin di dalam kedai.

Darah sembelihan qurban terdapat mengalir di mana-mana. Merah menyala. Kepada penduduk di Mesir ianya perkara biasa.

Menjadi saksi bahawa ibadah qurban telah dilaksanakan.

Dalam setiap bandar pasti ada pandangan keduanya. The other side of Alexanderia. Bangunan-bangunan di tepi pantai Laut Mediterranean memperlihatkan kehidupan mewah pelancong-pelancong asing. Hotel-hotel mewah berderetan sepanjang pantai. Pilihan di hati masing-masing. Namun begitu di sebalik kemewahan itu tersimpan kehidupan yang serba seadanya. Bangunan-bangunan lama yang perlukan pembaikan. Dinding yang retak dek luluhawa dan perubahan suhu serta perubahan musim. Cat yang berulang dan berlapis-lapis. Besi jeriji yang karat. Lift yang tidak berfungsi. Tangga yang dituruni dan dinaiki dengan penuh hati-hati. Lorong-lorong yang turapannya ala-kadar. Jalan-jalan sempit yang perlukan kesabaran. Lopak air yang bertakung tidak tahu ke mana hendak mengalir. Merah penuuh darah haiwan ibadah qurban. Pangsapuri yang usang menuntut ganti. Di situlah mereka hidup serba seadanya. Kelangsungan hidup yang tidak seberapa harapnya. Begitulah di setiap bandar besar wujud sekelompok manusia yang serba kekurangan. Mereka bahagia dalam kekurangan itu.

Suatu hal yang penulis amati ialah penduduk Iskandariah agak peramah. Mungkin sebab di sini terlalu banyak pelancong. Ada kanak-kanak yang menyapa dalam bahasa Inggeris. How are you? Tidak kurang juga yang menyapa penulis dalam bahasa Mandarin. Ni haw ma? Berhenti sebentar untuk menerangkan bahawa penulis dari Malaysia bukan dari negara Cina. Muslim? Tanya mereka. Naam. Ya. Lalu keluarlah ungkapan, assalamualaikum. Atau ahlan wa sahlan, Seperti kita melihat orang putih kita tidak tahu dari negara mana mereka datang. Yang arif sahaja dapat mengenalpasti yang mana orang Inggeris dan yang mana orang German. Yang mana orang Italy dan yang mana orang Greek. Kepada orang Mesir mereka sukar membezakan antara orang Melayu, Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Cina, Filipina dan orang Asia yang lain. Begitu juga sukarnya membezakan orang Pakistan, Afghanistan dan Iran.

Penempatan penduduk di tepi pantai dilihat eksklusif dan elitis. Rumah besar-besar. Istana Raja Farouq yang ditinggalkan sunyi sahaja. Berisi dengan tetamu kerajaan asing apabila mereka membuat lawatan ke Iskandariah. Suatu kekaguman apabila terdapat sebuah bangunan cantik, bertingkat-tingkat dan besar rupanya rumah tempat memasak untuk Raja Farouq yang jaraknya kira-kira 500 meter dari istana. Suatu kemewagan Raja Farouq yang tidak terkata. Pembaziran seorang raja yang akhirnya digulingkan dengan rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jamal Nasr. Presiden Republik Arab Mesir yang pertama. Istana Raja Farouq di Montazah. Kawasan yang indah di tepi laut. Banyak aktiviti boating dan makan angin. Banyak restoran makanan laut di tempat ini. Iskandariah sempat juga dijejak. Ditelusuri sejarah silamnya. Ditinggalkan dalam abadi kenangan yang nanti diimbau bila rindu mengulit hati.



Di kanan adalah deretan hotel sepanjang pantai di Iskandariah. Di kiri pula Laut Mediterranean.


Pada hari bekerja jalan tepi pantai ini sesak dengan kenderaan.


Kelihatan Laut Mediterranean yang membiru airnya.



Jambatan ini menghubungkan sebuah pulau kecil yang menjadi tempat peranginan dinamakan Montazah.



Deretan meja dan kerusi menanti kehadiran pengunjung untuk menjamu selera pada sebelah malam.



Istana Raja Farouq dari dekat.



Dalam suasana menjelang senja ini, Montazah dalam keadaan damai. 




Montazah. Banyak restoran makanan laut.



Di serokan ini berlabuh kapal dan bot. Pada waktu-waktunya ramai pelancong yang menyewanya.


Istana Raja Farouq dilihat dati Montazah.



Seni di jambatan Montazah

Di Montazah menjelang senja.


Kenangan untuk diabadikan


Sembang dahulu sementara bersama


Santai beramai-ramai di Montazah.


Dari celah-celah daun pepohon ru terlihat bulan yang pucat di waktu siang

Rumah cantik yang menjadi dapur untuk memasak makanan yang dihidangkan kepada Raja Farouq dan keluarganya di istananya.


Hanya sebuah dapur. Cantiknya mengalahkan sebuah istana.



No comments:

Post a Comment