Thursday, October 16, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Di Mana Letaknya Nilai Yang Bernilai



Sejak akhir-akhir ini kita banyak disajikan dengan hal-hal yang ironis dengan keadaan. Penuh dengan keganjilan-keganjilan yang sukar difahami. Sepertinya kita sudah hilang kawalan dalam banyak hal. Ibu dan bapa umpamanya hilang kawalan terhadap anak-anak. Guru hilang kawalan terhadap pendidikannya. Anak-anak muda dan remaja tergelincir ke dalam alam gelap yang bukan masanya mereka terokai. Pemimpin pula hilang kewarasan bila berfikir dan berbicara. Terdapat segolongan orang yang hanya dapat mengelengkan kepala. Suara kebaikan tenggelam. Suara dakwah hanyut. Suara nasihat tidak kesampaian. Motivasi sudah bukan ceritanya lagi. Andainya kita dapat berfikir sejenak kita seolah-olah melihat suatu kehancuran bangsa yang memang dirancang. Memang dilorongkan begitu.

1                Pembohongan dianggap benar kerana diulang dan berulang disebut dan dipaparkan.
2                 Kebaikan selalunya terlindung. Diselaputi dengan fitnah yang diorkestrakan.
3                 Dunia hiburan seolah-olah menentukan hidup atau mati. Selebriti jauh diagungkan berbanding dengan mereka yang menjadi negarawan ulung. Atau yang terkenal arif dalam bidang agama. Atau yang gigih usaha hingga berjaya dalam dunia keusahawanan. Atau mereka yang berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik.
4                    Hedonism menghakis amalan agama.
a.      Lebih menyanyi dari membaca al-Quran.
b.     Lebih menghafal senikata lagu dari menghafal al-Quran dan berzikir.
c.     Lebih banyak ke konsert, panggung dan pawagam dari ke masjid.

5                    Kegilaan seks sudah tidak mengira usia dari yang tua hingga yang kanak-kanak.
6                    Maksiat pula ada di mana-mana.

Mari kita sorot kembali sejak awal tahun 2014:

1                    MH370 hilang tanpa bekas.
2                    MH17 hancur berkecai.
3                    Kapal peronda TUDM hilang di Laut Cina Selatan.
4                    Ribut berlaku di sana sini.
5                    Buat pertama kalinya puting beliung berada di daratan (Pendang, Kedah)  sedangkan banyak kali ianya hanya di laut.
6                    Kemalangan jalanraya semakin memberat. Semakin ramai yang menjadi    korban.
7                    Pembunuhan semakin menjadi-jadi.
8                    Pembuangan janin dan bayi bertambah berganda-ganda.

Menjadi pendidik sudah bukan lagi suatu nikmat yang menyegarkan. Setiap hari ada sahaja yang mendebarkan. Yang memberatkan hati. Banyak yang perlu dilakukan untuk memandaikan anak didik tetapi pendidik terikat dengan banyak peraturan dan kekangan. Tidak pernah berlaku sedemikian semasa penulis mengajar di sekolah menengah dahulu. Ramai ibu dan bapa tidak memahami tanggungjawab pendidik. Ramai ahli masyarakat tidak membantu memapankan lagi sistem pendidikan. Menamba mana yang kurang. Mengukuh mana yang lemah. Kesemuanya tertanggung di bahu pendidik yang kadang-kadang tidak mendapat simpati atau empati dari mereka yang menjadi boss kepada pendidik. Siapa sebenarnya yang perlu diharap untuk membina bangsa. Membina negara. Kita tidak banyak opsen dalam hal ini.

Jika kita  melihat kepada pendidik, tugas mereka melampaui profesion mereka. Mengajar hanya sebahagian kecil dari tugas mereka. Banyak kerja perkeranian yang sepatutnya dilaksanakan oleh mereka di bahagian perkeranian. Banyak kerja rumah yang perlu disemak saban hari. Sekolah pula penuh dengan aktiviti yang bukan akademik. Terlalu banyak. Menjadi KPI pula kepada pengetua atau guru besar. Secara jujur apa impaknya kepada perkembangan diri pelajar.  Apa impaknya kepada kepimpinan yang bakal dilahirkan. Apa impaknya kepada kesejahteraan sosial. Apa impaknya terhadap kemurnian agama. Apa impaknya terhadap masa hadapan bangsa. Sistem pendidikan kita seperti banyak kelonggarannya. Ada yang tidak beres. Politik adalah sistem yang mengawal pendidikan. Tetapi politik tidak boleh mempolitikkan pendidikan. Mempolitikkan pendidik. Mempolitikkan pelajar. Mempolitikkan ibu dan bapa. Mepolitikkan institusi sekolah itu sendiri. Perlu ada kelapangan berfikir, menganjak paradigma dan mengarah kepada kesejahteraan jangkapanjang.

Ada dua perkara yang menyentuh hati penulis dalam minggu ini. Kedua-duanya berkait dengan mereka yang mampu. Tanpa banyak berfikir ianya boleh menjadi precedent. Ikutan. Sebuah hospital swasta memberi tawaran percuma kepada seorang artis yang pada hakikatnya mampu membayar. Hospital itu inginkan milage sebagai hospital popular. Sepatutnya hospital menawarkan pakej terbaik dengan bayaran yang mungkin juga terbaik. Cuma ianya disempurnakan mengikut kadar kos yang perlu dibayar. Kita banyak hilang priority. Keutamaan. Yang berkemampuan diberi layanan percuma sedangkan yang tidak mampu terkedu kaku dengan bayaran tinggi yang dikenakan. Apakah yang miskin tidak boleh menuntut layanan seperti selibriti yang berkenaan kerana mereka memang tidak berkemampuan. Pihak pengurusan hospital adalah mereka yang berpengalaman dan tergolong dalam kalangan bijak pandai. Mengapa seorang professor terkenal tidak mendapat rawatan percuma. Mengapa seorang pakar tidak mendapat rawatan percuma. Mengapa seorang yang menjadi aset negara tidak mendapat rawatan percuma dari hospital swasta.

Bagaimana seorang menteri berfikir dan berbicara. Pada tahap tinggi atau pada tahap rendah. Mereka yang berkemampuan tinggi dimanjakan dengan kadar cukai yang rendah. Takut mereka lari meninggalkan negara ini. Mari kita semak. Mereka menjadi kaya kerana usaha mereka. Tetapi mereka menggunakan sumber negara. Bahan mentah negara. Menggunakan tenaga warganegara. Menggunakan elektrik yang dijana Tenaga Nasional. Menggunakan air bersih yang menggunakan air aset negara. Sungai dan mungkin tasik milik negara. Bagi yang Muslim mereka senyap-senyap membayar zakat. Bagi yang bukan Muslim tentu ada tanggungjawab sosial. Social responsibility. Bukan perkara asing. Semua usahawan dalam dunia mengetahui aspek ini. Malah ada doktor perubatan yang memberi rawatan percuma. Ada peguam yang memberi perkhidmatan percuma. Tentulah wajar bagi yang kaya melimpahkan sedikit kemewahannya kepada masyarakat di sekeliling mereka.


Kebajikan rakyat adalah tanggungjawab pemerintah. Cara mengurus kebajikan hendaklah dilihat adil. Dilaksanakan dengan adil. Keadilan sosial yang memberi impak kepada kebajikan itu sendiri. Kesemuanya disempurnakan mengikut keutamaan. Priority. Kita tidak boleh lari dari kewarasan berfikir. Perancangan kita untuk 2020 tinggal beberapa tahun sahaja. Kita masih kekal berfikir pada tahap 20 tahun yang lalu. Tidak menampilkan pemikiran tinggi. Yang berimpak tinggi. Yang produktivitinya berganda. Kita terlalu banyak bergayut kepada yang lama. Gaya lama. Pemikiran lama. Tanpa pula ada rejuvenation. Tidak dikembangkan sebagai sesuatu yang besar dan semakin menambahkan kesejahteraan. Adakah kita menjadi Lebai Malang selamanya. Tidak mungkin hanya cendol rujukan kita. 

No comments:

Post a Comment