Saturday, June 14, 2014

Siri Lima: Merdeka Dalam Ralat Yang Panjang




Detik-detik terakhir perjuangan kemerdekaan tidak dapat disertai oleh Haji Abas. Ketika Tunku  melaungkan merdeka di Stadium Merdeka Haji Abas terlantar di rumah. Hanya semangatnya sahaja yang bersama Tunku. Sampai bila-bila. Sampai sekarang, sesudah 58 tahun.


Siri Lima:


Padang Merbuk telah ditinggalkan dalam kenangan yang mengesankan. Haji Abas kembali ke kampungnya. Parit Mohamad, Parit Sulung, Batu Pahat, Johor. Kampung yang jauh terpencil di luar bandar. Jalan perhubungan hanya dengan sungai sama ada untuk ke Bandar Penggaram atau ke pekan Parit Sulung. Itu adalah cerita 58 tahun yang lalu. Cerita semasa cucu, cicit dan piut Haji Abas belum lahir. Cerita yang bukan dongeng tetapi realiti zaman yang berbeza. Bukan untuk diungkit tetapi untuk kembali mengerti bagaimana susahnya sesuatu zaman yang dahulu. Zaman yang jika diundur pastinya hanya kepayahan sahaja yang ada. Cerita mengejar suatu kemerdekaan untuk sebuah negara yang bermaruah. Hadiah untuk anak cucu yang akan mewarisinya. Bukan janji keindahan yang datang bergolek. Bukan janji yang pilih datang melayang. 20 Februari 1956 bukan janji yang indah-indah belaka untuk Haji Abas.

Ketentuan Allah tiada siapa yang tahu. Beberapa ketika sekembalinya Haji Abas dari sama-sama menyambut Tunku di Padang Merbuk, Melaka, Haji Abas ditimpa musibah. Kakinya sakit yang teramat sangat. Tidak boleh berbalut. Tidak boleh bersetokin. Tidak boleh berkasut. Kedua-dua tapak kakinya perlu dibersihkan selalu. Dilap kering supaya tidak semakin memberatkan sakitnya. Seorang lelaki, seorang suami dan seorang ayah yang seperti lumpuh tidak boleh bergerak untuk berjalan dengan sempurna. Hidupnya hanya di dalam rumah. Pergerakannya terbatas. Malah untuk membuang air besar dan kecil terpaksa di dalam rumah. Rumah kampung yang berlantaikan papan itu ditebuk untuk membuat lubang. Dari lubang itulah Haji Abas melepaskan hajatnya. Tidak terbayang seorang lelaki yang lincah, hanya mampu bergerak lemah. Perlu banyak dibantu untuk semua keperluannya. Keadaan yang menuntut banyak kesabaran yang sangat tinggi dari isteri dan anak-anak. Sementelahan pula tandas orang di luar bandar terletak di luar rumah.

Penyakit yang seperti kayap air itu ditanggung terlalu lama. Merekah, merah, gatal dan sakit bercampur baur. 31 Ogos 1957 hanya dapat didengar melalui cerita orang lain. Melalui cerita dari mulut ke mulut. Dia tidak lagi dapat menatap wajah Tunku. Tidak lagi dapat bersama di Stadium Merdeka. Tidak dapat sama-sama melaungkan gema merdeka bersama rakyat yang sudah bebas. Kebersamaannya untuk terus “merdeka” terkandas kerana penyakit yang Allah cubakan ke atasnya. Keterbatasan kesihatannya merupakan tekanan hebat kepada keluarganya. Hajjah Aminah terpaksa mengambil alih tugas mengendalikan rumahtangga. Paginya menoreh bersama anak sulung. Ada anak yang merawat Haji Abas sepenuh masa. Makan, minum, mandi dan menguruskan dirinya sepanjang masa. Rumah itu seperti sebuah rumah sakit layaknya.

Anak seramai lima orang perlu disara. Haji Abas perlu dirawat. Banyak juga wang ringgit yang perlu dikorbankan. Derita Haji Abas menusuk qalbunya. Jauh membisa di dalam. Dia lumpuh sebagai ketua keluarga. Tiada peranan positif yang dapat disempurnakan. Nafkah tidak dapat diusahakan. Anak-anak tidak dapat diurus. Malah dirinya perlu diurus orang lain. Banyak kali hatinya menangis. Merintih mengenangkan nasib. Pada waktu-waktunya hanya air mata yang membasahi pipinya yang cengkung tidak berisi. Pada zaman itu orang kampung tidak pergi ke hospital. Tidak juga ke kelinik. Kos pergi suatu kepayahan. Kos keluarga untuk berulang-alik ke hospital adalah suatu hal lain yang perlu difikirkan. Budaya mencari rawatan di hospital masih belum wujud. Laungan merdeka belum lagi memasukkan istilah rawatan hospital ke dalam minda orang luar bandar. Orang seperti Haji Abas.

Maka dipanggillah mereka yang dikira pandai mengubat. Mungkin sekadar jampi serapah. Mungkin ada ubat untuk disapu. Namun sembuhnya tidak lagi diizinkan Allah. Suatu cabaran psikologi kepada Haji Abas. Kepada keluarganya. Perlu dirawat isteri sebelum tua dan uzur. Perlu dirawat anak sebelum masa selayaknya untuk menerima rawatan anak. Yang lazimnya dibalas apabila ibu dan bapa berada dalam zon tua dan uzur. Ketentuan Allah adalah sesuatu yang diredhai adanya. Namun derita batin Haji Abas tiada siapa yang tahu. Nalurinya tercalar. Keampuhannya sebagai lelaki tercabar. Dia hanya mampu berdoa. Bersyukur kerana masih dipanjangkan usia. Masih dapat memandang isteri dan anak-anak yang tidak dapat dibantunya untuk hidup selesa.

Episod derita itu bertimpa-timpa pada dirinya. Kemerdekaan tidak dapat disambut kegemilangannya. Malu, sedih dan terhina kerana terpaksa ditanggung oleh isteri yang dibebani dengan tugas mencari nafkah untuk keluarga. Terbeban perasaan kerana dirinya tidak mampu menambah rezeki keluarga tetapi sebaliknya menghabiskan banyak wang untuk rawatan dirinya. Kecewa kerana anak-anaknya yang sepatutnya bergelak ketawa meredam duka merawatnya. Anak-anaknya yang kecil tidak dapat diulit manja seorang ayah. Namun Allah memberinya kekuatan untuk meneruskan hidup. Penyakitnya beransur sembuh. Namun tidak boleh tersalah sedikit. Mungkin tersalah makan. Mungkin tersalah rawat, penyakit itu datang dan pergi. Bertahun-tahun ditanggung. Allah sahaja yang mengetahui beratnya hati Haji Abas dan penyakitnya. Berapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Bertahun-tahun kemudian barulah penyakit itu nyah dari dirinya. Dia kembali menikmati kesihatan yang seperlunya untuk terus memimpin keluarga.


Dalam usianya 100 tahun Haji Abas masih kuat berjalan bagi orang seusianya. Tentulah tenaganya sudah banyak menurun. Solatnya sudah lebih selesa dengan duduk di kerusi. Tangannya bolelah membuat kerja yang mudah dan ringan. Hanya pendengarannya sahaja yang sudah diambil Allah. Matanya masih agak awas. Seleranya masih segar. Tidurnya masih banyak lenanya. Pendek kata dia masih boleh mengurus dirinya sendiri. Kecualilah ketika sakit yang agak merumitkan pergerakannya. Masih boleh berjalan ke kedai. Masih boleh ke masjid dan surau. Alhamdulillah, uisa 100 tahun bukan semestinya sudah habis usiaguna. Masih dikira sihat untuk meneruskan episod hidup melampaui abad pertama dalam usianya. Yang penting negara ini telah merdeka. Dia telah melepasi zaman payah dan derita yang jika dikenang hanya airmata yang menggenang di mata. Anak-anak mungkin memahami. Cucu, cicit dan waris keturunannya mungkin hanya melihat masa yang statik. Tidak melihat latar dan sejarah lamanya yang penuh dengan duka lara.

No comments:

Post a Comment