Saturday, June 14, 2014

Siri Empat: Padang Merbuk 20 Februari 1956

rentetan22
20 Februari 1956 Tunku melaungkan Merdeka di Padang Merbuk, Bandar Hilir, Melaka.


Siri Empat:


Padang Merbuk di Melaka adalah sejarah besar dalam Permasyuharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh itu ialah 20 Februari 1956. Beberapa hari sebelumnya Tunku dan rombongannya baru pulang dari London iaitu pada . Kerajaan British mengesahkan bersetuju dengan sepenuhnya memberi kemerdekaan kepada tanahair yang hauskan kebebasan pada 8 Januari 1956. Haji Abas dan rakan-rakannya adalah antara ribuan manusia yang membanjiri Padang Merbuk. Yang menyaksikan sendiri Tunku melaungkan perkataan “MERDEKA”. Laungan yang berkali-kali itu disambut dengan gemuruh oleh khalayak. Keterujaan menerima BAHTERA MERDEKA begitu syahdu. Lagu ciptaan Jimmy Boyle itu selalu benar berkemundang di radio. Manifestasi sebuah kemerdekaan. Sayu, nostalgik dan mengujakan. Maka belayarlah sebuah negara yang baru merdeka. Meredah lautan mencari tepi untuk mempersadakan bahtera itu di pentas dunia.

Tunku, Abdul Razak, Kolonel H. S. Lee dan V. T. Sambathan adalah antara mereka yang bersama-sama berunding dengan British untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Penerbangan komersil belum ada lagi. Bayangkan pelayaran menggunakan kapal laut. Merentasi Lautan Hindi, Laut Merah, Terusan Suez, Laut Mediterranean dan Lautan Atlantik untuk ke London. Pelayaran yang mengambil masa yang panjang. Pergi sahaja kira-kira sebulan. Di London selama sebulan. Perjalanan balik juga sebulan. Tiga bulan yang dinanti dengan penuh debaran. Yang menanti menunggu berita gembira yang penduh sensasinya.

Haji Abas bukan keseorangan. Batu Pahat menghantar nama-nama besar ketika itu. Tentu ramai yang masih ingat nama-nama seperti Tan Sri Saadon Zubir (Ketua Pemuda UMNO ketika itu), Kamisan Haji Ashari, Haji Othman Taib, Sri Tan Syed Nasir, Datuk Taha, Datuk Syed Isa dan ramai lagi. Dari kampungnya termasuklah Juhari, Wak Sunu dan beberapa orang yang lain. Penulis tidak dapat hendak merakamkan dengan terperinci sukarnya untuk sampai di Melaka pada zaman itu. Untuk ke Melaka hanya ada dua jalan. Pertama, dari Batu Pahat ke Muar kemudian ke Melaka. Keduanya, dari Ayer Hitam melalui Yong Peng, Parit Sulung, Muar dan kemudiannya Melaka. Kenderaan yang ada sama ada bas atau lori. Rasanya tidak ada antara kita yang bersedia untuk menggunakan lori dari Batu Pahat ke Melaka. Bas sudah dikira kendaraan yang sangat mewah. Kereta sangat suatu keistimewaan. Tidak ramai yang memilikinya. Ahli politik tidak memilikinya. Penyokong politik memang putih mata untuk memilikinya. Demi sebuah kemerdekaan lautan api diredah. Ianya bukan episod cinta tetapi sebuah kecintaan kepada negara tersayang.

Sehari sebelum hari bersejarah 20 Februari 1956, Haji Abas menggilap kasut kulitnya hingga berkilat. Jenuh menggilap kasut itu. Kasut zaman itu berat dan tebal. Bila dipakai terasa beratnya. Tetapi apabila melangkah, derap bunyi kaki sangat mantap menghentak tanah. Tidak kira apa jenamanya, yang penting kilatnya. Jika boleh hingga seperti cermin. Ingat cerita P Ramlee mengenai Bujang Lapuk? Begitu sebenarnya amalan ketika itu. Baju dan seluar yang hendak dipakai pada hari esoknya dilipat serapinya dan diletakkan di bawah tilam selama semalaman. Pada hari esoknya apabila pakaian itu dikeluarkan ianya kelihatan licin dan kemas. Tidak perlu hendak diseterika. Pada masa itu Haji Abas belum mampu untuk membeli seterika tembaga yang dipanaskan dengan membubuh arang atau kadang-kadang tempurung yang dibakar di dalamnya. 

Seterika tembaga ini satu-satunya yang digunakan untuk menjadikan baju agak kemas. Sukar sungguh mengendalikannya. Tidak boleh terlalu panas. Haji Abas mampu memilikinya beberapa lama kemudian. Setelah Persekutuan Tanah Melayu merdeka.


Segala-galanya atas tanggungan sendiri. UMNO belum ada dana. Perikatan belum ada dana. Tambang pergi dengan wang dari saku sendiri. Dari mana-mana wang yang tersimpan. Makan minum ditanggung sendiri. Pastinya ramai yang bergolok bergadai kerana ingin berada bersama sejarah besar negara. Penulis sendiri merasakan gema dan getarnya tarikh itu. Sibuknya orang kampung untuk mengerti yang namanya merdeka. Sebuah perjuangan yang akhirnya membebaskan negara dari cengkaman British. Dari 1824 hingga 1957 adalah suatu jangkamasa yang agak panjang. 1824 adalah Raffles berada di Singapura. Terhelah Sultan Hussein kepada Raffles. Itu belum cerita Tok Janggut, Dol Said, Mat Salleh dan ramai lagi yang tersimbah darahnya untuk memerdekakan negara. 1874 berlakunya Perjanjian Pangkor. Bermulanya secara rasmi sejarah hitam negara. Penjajahan bermula di Tanah Melayu. 1957 kita merdeka. Haji Abas bersama detik dan sejarah itu.

Manusia yang berpusu-pusu pada tarikh 20 Februari 1956 itu tentulah kegirangan. Senyum yang memanjang. Semangat menjelma dari segenap anggota tubuh badan. Mereka yang sakit terasa kebah. Yang hidupnya susah seperti Haji Abas masih berpeluang berada di tempat bersejarah itu. Perbualan hanya berkisar tentang kemerdekaan. Tentang Tunku. Tetang UMNO. Tentang Perikatan. Tidak ada yang lebih penting selain dari kemerdekaan. Belum ada cerita pembangunan. Belum ada cerita untuk memajukan negara. Tidak diketahu baying dan wajahnya kemerdekaan itu sendiri. Yang ada hanya laungan merdeka. Menyebut merdeka. Menjerit merdeka. Memahat hati nurani dengan merdeka. Tidak ramai yang berani menjangka apa selepas merdeka. Apa kerangka sebenarnya yang akan dibawa kepimpinan negara pada waktu itu.

Untuk pertama kalinya belenggu yang memberat terurai dengan kemerdekaan. Suatu penantian yang cukup lama. Yang telah mengorbankan ramai pejuang bangsa. Yang darah mereka mengalir untuk dituntut bela. Sampai masanya British dirtunjukkan pintu keluar. Keluar dari negara yang dijajah dengan selesanya. Berkelip mata mengingat bagaimana tumbangnya Melaka kepada Portugis. Beralih kepada Belanda. Kemudiannya British-Jepun-British. 20 Februari 1956 detik yang dinanti-nantikan apabila Tunku dengan rasa syukur mengumumkan tarikh rasmi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sambutannya pada tarikh 31 Ogos 1957 diadakan di Kuala Lumpur. Hingga di Padang Merbuk, Bandar Hilir, Melaka upaya Haji Abas. Serak suaranya melaungkan merdeka. Tenang hatinya melihat lagi Tunku dengan loghat Kedahnya. Jalinan semangatnya bersama khalayak dibawa pulang dengan penuh nikmat dan syukur. Merdeka juga negaraku, bisik hati Haji Abas.

rentetan6
8 Januari 1956
YTM Tunku dan Lennox Boyd (Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris) menandatangani Perjanjian Merdeka di London.


rentetan1
1 Januari 1956
Dari kiri: Datuk Ahmad Kamil, Datuk Dr Ismail, Datuk Hj Abdul Wahab, YTM Tunku Abdul   Rahman, Dato' Mohammad Seth, Kolonel Sir H.S. Lee, Dato' Abdul Aziz Majid dan Datuk Abdul Razak Barisan belakang: T.H. Tan (Setiusaha Wakil Perikatan) dan Abdul Kadis Shamsuddin (Setiuasaha wakil Raja-raja)



rentetan12
20 Februari 1956
En Ghafar Baba, mempengerusikan perhimpunan raksasa di Padang Bandar Hilir, Melaka.

1 comment: