Monday, July 22, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Ramadhan Yang Mencari-cari



Dari kecil kita dididik untuk berpuasa. Ibu bapa yang perihatin mempastikan anak-anak dilatih berpuasa sejak dari kecil lagi. Masih ingatkah kita, kita bermula dari perlahan-lahan. Mula-mula berpuasa setengah hari. Hari kedua ¾ hari. Hari ketiga alhamdulillah sempurna sehari suntuk. Senang sahaja ibu bapa mengajar. Sesiapa yang tidak berpuasa dilarang turut campur semasa ahli keluarga yang lain sedang berbuka. Aduh pedihnya. Orang lain kesemuanya sedang berhari raya Maghrib itu. Berhari raya kerana sehari suntuk berpuasa. Menahan lapar dan dahaga.   Maka yang tidak berpuasa dihukum. Berat sungguh dirasakan hukuman itu. Orang lain makan dengan lazatnya. Kita hanya kecur air liur dari jauh. Ayah pula buat-buat tak pandang. Hendak menangis  salah sendiri kerana tidak berpuasa. Hendak minta simpati terasa berat. Kelu lidah. Esoknya kita berpuasa semula. Cukupkan sehari, dua hari hingga tamat Ramadhan. Ada beberapa perkara yang harus kita perhatikan:

1        Anak-anak dahulu lebih patuh kepada ibu bapa. Hendak tahu sebabnya? Antaranya kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada susu ibu. Naluri dekat kepada ibu dan bapa sangat kuat. Apa kata ibu dan bapa dipatuhi.
2        Makanan yang disediakan adalah halal 100%. Jadi darah dan daging yang halal. Minda mereka menjadi bersih.
3        Ibu bapa dahulu adalah good practicing Muslims.   Menjadi contoh kepada anak-anak. Tiada bantahan kerana tiada pilihan lain.

Sekarang cuba lihat di sekeliling kita. Ramai anak-anak yang tidak berpuasa. Mereka sudah baligh. Sudah berakal. Mukallaf. Islam. Sudah besar panjang. Tidak berpuasa sudah tidak lagi bersembunyi-sembunyi. Tidak lagi menyorok di belakang semak atau tembok. Makan dan minum seperti tiada apa-apa kepada mereka. Merokok berkepul-kepul di udara. Ramai yang nampak.

1        Mereka tidak lagi rasa bersalah.
2        Tidak ada autoriti yang mereka takuti.
3        Ibu bapa sudah hilang kawalan.
4        Institusi keluarga makin parah punahnya.
5        Institusi agama semakin jauh dari harapannya.

Kerosakan akhlak Muslim ini bukan berlaku di mana-mana negara slam. Ia berlaku di banyak negara Islam. Tiga hari berturut-turut saya melihat pemuda Mesir Islam yang tidak berpuasa. Pada hari Sabtu saya melihat seorang pemuda minum air di tengah bandar. Usianya sekitar 16 tahun. Semalam seorang kanak-kanak yang berusia sekitar 12 tahun makan buahdi tengah jalan. Pagi ini saya melihat seorang pemuda yang berusia 20an merokok di beranda sebuah kedai yang belum dibuka. Dalam pada usaha meningkatkan kesedaran Islam, ramai pula yang lupakan Islam. Amalan agama menjadi sangat terasing dalam kejelasan yang tiada kelamnya. Ramadhan hanya sebulan. Sebulan dalam setahun. Padanya diturunkan al-Quran. Mu’jizat paling agung kepada Rasul terakhir yang menjadi penghulu kepada semua Rasul-Rasul. Hebatnya menjadi Muslim sehingga Nabi Musa memohon untuk menjadi umat Nabi Muhammad. Nabi Musa sendiri adalah nabi ‘ululazmi. Antara lima nabi yang dilabelkan sebagai mengatasi nabi yang lain-lain.

Pada suatu malam bulan Ramadhan turun pula lailatulqadar. Hanya pada satu malam dalam setahun. Hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Pahalanya sangat besar.  Walaupun boleh dikira sebagai nisbah, pahala sebenarnya adalah hak Allah. Maknanya bulan Ramadhan adalah bulan barakah. Banyak pahala yang boleh diperolehi walaupun dari perbuatan baik yang sedikit. Maka pada bulan ini diwajibkan semua yang berkalayakan berpuasa. Di samping itu perbanyakkan berbuat apa sahaja yang dinamakan baik. Malangnya Muslim hari ini bukan Muslim yang penuh sopan dan beradab dalam bulan Ramadhan. Jika orang yang layak untuk tidak berpuasa dilarang makan di hadapan orang yang berpuasa, apatah lagi mereka yang tiada apa-apa uzur syarie. Dilarang meninggalkan puasa. Dilarang makan di hadapan orang yang berpuasa. Yang terang-terangan tidak berpuasa:

1        Mereka menghina agama mereka sendiri.
2        Merendahkan martabat orang Islam di mata orang bukan Islam.
3        Mereka akan merosakkan keturunan mereka apabila berkahwin nanti. Jika ibu dan bapa tidak berpuasa bagaimana nanti mereka dapat mendidik anak-anak mereka.
4        Pada hakikatnya mereka menzalimi diri mereka sendiri. Yang menerima seksa dan azabnya nanti ialah diri mereka sendiri. Tidak mungkin orang lain. Jika ibu dan bapa tidak mendidik mereka maka ibu bapa akan dipersoalkan di hadapan Allah nanti.
5        Antara lain orang bukan Islam sukar didakwah kerana contoh dari orang Islam sangat meragukan.

Apabila kita berada dalam kemewahan, kita selalu lupa kepada diri kita. Kita mengandaikan bahawa kemewahan itu suatu hak mutlak. Keistimewaan kerana kita manusia. Setiap perintah Allah ada rasionalnya. Di dunia ini memang kita mewah. Tetapi jangan lupa di bahagian dunia yang lain  ramai manusia yang kelaparan. Rakyat Palestin ramai yang makannya hanya sedikit. Suasana yang tidak damai di negara mereka bukan sahaja menghimpit perasaan bahkan juga menghimpit perut mereka. Bayangkan saudara kita di Syria. Entah makan entahkan tidak. Yang menjadi pelarian mungkin disediakan makanan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. Yang kekal di Syria tentu panjang deritanya. Bagaimana pula puak Rohingya di Myanmar. Panjang juga deritanya. Itu belum di negara-negara di Afrika yang mengalami kemarau bertahun-tahun lamanya. Bergantung kepada bantuan kemanusiaan dari negara lain. Manusia lain. Manusia yang sebenarnya saudara mereka. Anak-anak Nabi Adam dalam bentuk rupa yang berbeza.

Allah mewajibkan kita berpuasa supaya kita dapat merasakan penderitaan orang lain. Belajar untuk berhadapan dengan situasi yang mengakibatkan kita berlapar. Bagaimana orang yang berpenyakit. Mereka dalam kemewahan tetapi terpaksa berlapar kerana tubuh badan mereka tidak boleh menerima makanan.  Bagaimana apabila dunia terbalik. Orang kaya yang jatuh miskin. Dari puncak kemewahan mereka melarat tidak tentu makan dan minum. Maknanya puasa adalah latihan supaya kita boleh berhadapan dengan situasi yang berbagai dalam kehidupan kita. Ramai orang yang sesat di hutan berhari-hari lamanya.  Kapalterbang terhempas. Ada penumpang yang hidup. Makan? Mana ada. Berlapar. Terapung di laut berhari-hari. Lapar. Situasi puasa bukan berlaku dalam bulan Ramadhan sahaja. Cuma kita dididik supaya selalu berpuasa kerana lapar boleh datang dalam berbagai-bagai rupa dan bentuknya.

Jika kita merujuk kepada perubatan, rasanya terlalu banyak kebaikan berpuasa. Berbagai penyakit berkurangan deritanya jika berpuasa. Kerehatan kepada tubuh badan. Kepada perasaan. Kepada jantung. Kepada buah pinggang. Kepada perut. Sistem penghadaman berehat seketika. Bukan selama-lamanya. Di Malaysia puasa tetap masanya. Dari sebelum Syubuh hingga pukul 7.00 petang. Hanya selama 14 jam. Orang di Kaherah berpuasa selama 16 jam. Di bahagian lain dunia ada yang berpuasa dari pukul 2.00 pagi dan berbuka pada pukul 9.00 malam. Lebih lama lagi. Mungkin ada sedikit kelainannya berbanding di Malaysia. Di sini tidak terasa lapar. Atau dahaga. Bila berbuka cukup dengan sedikit makanan. Pasar Ramadhan memang tidak ada. Tidak ada yang menggoda selera. Mungkin dua senduk nasi sudah memadai. Berbuka semalam saya makan bertambah kerana ada gulai lemak udang. Selepas makan pening kepala kerana kekenyangan.  Maksudnya sesudah berpuasa berhari-hari, perut kita semakin kecil. Nafsu makan semakin berkurangan. Tubuh badan tidak pula terasa terlalu lesu hingga terpaksa merengkak atau mengesot. Masih boleh membasuh baju. Mengemop lantai. Memasak. Pergi belajar. Membneli barang di kedai.


Berpuasa menjadikan kita manusia normal. Hati dan jiwanya mungkin semakin kental. Belum tentu mereka yang tidak berpuasa memiliki stamina seperti orang berpuasa.

No comments:

Post a Comment