Thursday, September 19, 2013

Tudung Yang Tiada Bicara




Tudung adalah isu Islam dan bukan Islam. Di negara bukan Islam isu tudung sangat meruncing. Ada undang-undang yang mencegah wanita Islam dari memakai tudung. Purdah atau niqab lagilah ditentang mereka kerana luar biasa kepada mereka. Baik di Eropah atau di Amerika Utara tudung dilihat seperti suatu fenomena negatif. Dilihat sebagai primitif. Seolah-olah wanita mengundur ke belakang. Masalahnya:

1       Tidak semua wanita Islam yang memahami tentang tudung.
2       Ramai juga yang memakai tudung tetapi tidak memenuhi syaratnya yang sebenar.
3       Ramai yang menganggap tudung adalah isu remeh.
4       Di setengah negara bukan Islam ada undang-undang yang mencegah diskriminasi dalam apa bentuk sekalipun.
5       Di Malaysia ramai majikan bukan Islam mendiskriminasi pemakai tudung.
6       Lebih menyedihkan lagi majikan yang beragama Islam juga termasuk dalam golongan yang turut mendiskriminasi pemakai tudung.


Di manakah letaknya tudung dan pemakainya? Tudung bukan sekadar haisan. Bukan sekadar pakaian. Jika dikira kebiasaan, pemakaian tudung berlaku di mana-mana. Di Russia, Itali, Greece, perancis, Jerman, Scotland, Wales, Poland, Hungary, Albania dan banyak negara lain tudung dipakai oleh wanita desa. Tudung kepada mereka hanya pakaian. Dipakai di kepala. Mengelak terik cahaya matahari. Mengelak dari rambut mereka ditiup angin kencang dan menjadi kusut masai. Mengelak dari sejuk kerana salji. Tiada nilai agama pada pemakaian tudung. Untuk orang Islam tudung adalah sesuatu yang amat berbeza. Pada tudung ada nilai agama yang ditentukan oleh Allah SWT. Perhatikan petikan maksud ayat al-Quran berikut:
         Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali   yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher           bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka       memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka    …..……. An-Nur 24:31



Jika ditanya kepada lelaki jawapannya hampir sama. Seluruh tubuh wanita menarik pandangan mereka. Rasanya tiada kecuali. Hanya lelaki yang berkecuali sahaja yang terkecuali. Dari hujung rambut hingga hujung jari kaki wanita kesemuanya menarik perhatian lelaki. Mana mungkin lelaki memandang tanpa erti wanita yang tutupan auratnya tidak sempurna.  Transisi pakaian wanita Melayu Islam sangat panjang. Pada zaman dahulu mereka digambarkan dengan berkemban sahaja. Terdedah dari dada ke kepala. Terdedah bahagian kaki. Pada ketika yang lain wanita Melayu Islam memakai tudung dari kain batik atau songket atau kain pelikat. Dikerubung di kepala. Menutup bahu dan dada. Labuh hingga ke punggung. Aurat wanita adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Maka bentuk gtubuh wanita adalah aurat. Terlaranglah pakaian yang:

1       Ketat.
2       Singkat.
3       Jarang. Nampak bayangan kulit atau bentuk.
4       Berlubang.
5       Koyak atau sengaja dikoyakkan.
6       Terbelah hadapan, belakang atau tepi.
7       Berlengan pendek.
8       Nampak pusat.
9       Nampak pinggang.
10  Berlengan besar hingga kelihatan yang di dalam.
11  Plunging neckline.
12  Plunding backline.
13  Melekat di kulit.


Pada suatu ketika, tudung tidak lagi dipakai kecuali oleh golongan tua. Itupun selendang yang hanya disangkut di kepala. Sebahagian rambut di bahagian hadapan sengaja terkeluar. Masih ramai yang memakainya begitu. Tahun-tahun 60an berlaku gerakan kebangkitan Islam. Sejak itu ramai wanita Melayu Islam memakai tudung. Tidak semua. Masih ada yang menganggap tudung adalah hak peribadi. Tarbiah belum menusuk hati. Hidayah belum sampai. Usaha dakwah belum memberi impak kepada mereka. Nampaknya tudung belum lagi dianggap wajib walaupun ilmuan dan ulamak sudah menggesa demikian. Nas al-Quran dan hadith sudah jelas tuntutannya dengan memberi berbagai penekanan. Memberikan gambaran akibat kerana tidak memakai tudung.


Penjajahan minda terhadap orang Melayu-Islam sangat kuat. Kekal bersarang dalam minda walaupun kita sudah merdeka selama 56 tahun. Ibarat seorang wanita, sudah berada dalam zon emas. Bukan dewasa lagi. Sudah melewati zaman muda. Walaupun di sekolah menengah kebanyakan pelajar wanita bertudung, malangnya apabila tamat SPM ramai antara mereka yang mencampakkan tudung untuk dibakar api dunia. Sewaktu melamar kerja kerana ingin berkerjaya, ramai majikan yang meminta mereka menanggalkan tudung jika ingin bekerja. Jika ingin naik pangkat. Jika ingin mendaki tangga kerjaya. Malah di agensi dan organisasi pemerintah, tudung tidak dianggap kritikal. Tidak diwajibkan kerana ianya tuntutan agama. Sesetengahnya diremehkan. Ramai yang menyangka tidak memakai tudung selari dengan peradaban Barat. Maju, moden dan canggih. Advanced and sophisticated.


 Persepsi ini salah dan merimaskan. Kadang-kadang kita terlebih perasan. Kita bukan maju sendirian. Maju banyak konotasinya. Banyak konteksnya. Ingat kembali kisah Nabi Sulaiman a.s. Teknologi memindahkan istana Balqis terlalu pantas. Orang Yunan sudah membina alat astronomi yang tidak difahami orang sekarang. Firaun membina piramidnya. Begitu juga orang Inca di Amerika Selatan. Orang Aztec sama juga. Nabi Nuh membina kapal yang pertama. Kaum Imad membina menara yang menjulang langit. Kaum Nabi Salleh memahat gunung untuk dijadikan penempatan mereka. Maju  mengikut konteks zaman dan tahap keperluannya. Iskandar Zulkarnain membina tembuk yang menghalang Yaajuj dan Maajuj. Dalam semua zaman ada kemajuan. Moden? Apa sahaja yang baru adalah moden. Benarkah kita moden? Jika kita mengatakan diri kita moden maka kita dapati kita adalah anatara umat yang terkebelakang. Singapura 20 tahun di hadapan kita. Jepun dan Korea jauh, terlalu jauh di hadapan.

Sebab itu memakai tudung bukan kolot. Bukan orthodox. Bukan fundamentalist. Bukan juga jahil. Pakaian yang dituntut sepanjang hidup manusia. Hingga ke akhirat. Kita banyak dengar dan baca cerita negatif tentang tudung di negara Barat. Itu yang dihighlightkan dalam media Barat. Media kita kutip tanpa meletakkannya pada perspektif yang benar mengikut tuntutan Islam.  Berita dari Barat dianggap autentik. Tidak dibetulkan. Tidak diedit mengikut tuntutan yang sebenar. Orang kita yang tidak begitu arif tentang agama mengambil berita tidak benar itu sebagai saranan. Sebagai ikutan. Ramai mereka yang berada di saf pimpinan tidak mengendahkan tudung. Isu peribadi. Isu pilihan. Isu alternatif. Dokongan negara Islam terketepi. Islam sebagai agama persekutuan terpinggir. Undang-undang yang ada tidak diuar-uarkan supaya kanak-kanak sekolah mengetahuinya. Ibu bapa mengetahuinya. Semua penduduk Malaysia mengetahuinya. Masukkan dalam kurikulum sekolah. Selayaknya semua warganegara maklum dan serius menghormati agama orang lain.


Tanpa usaha keras semua yang terlibat, isu tudung kerap timbul sewaktu wanita muda menghadiri temuduga. Syarat diterima bekerja jika bersedia menanggalkan tudung. Aduhai! Malaysia negaraku. Mereka tidak salah. Kita yang Islam yang salah.  Sebelum mereka memulakan perniagaan syarat wanita dibenarkan memakai tudung tidak dikenakan. Apa yang boleh kita lakukan?

1       Sebarkan maklumat menengai wajib perlunya pemakaian tudung di kalangan wanita Islam.
2       Masukkan dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah. Guru perlu menerangkan dengan jelas konsep dan hukumnya.
3       Cara pemakaian tudung yang memenuhi syariat.
4       Masyhhurkan undang-undang anti diskriminasi dalam apa bentuk sekalipun. Sama ada agama, budaya, warna kulit, gender dan sebagainya.  
5       Didik anak-anak supaya celik undang-undang. Tahu saluran aduan. Kaedah aduan dan sebagainya.
6       Kita hendaklah bersuara. Diam dan bising di belakang tidak menyelesaikan masalah.
7       Gunakan saluran Jabatan Buruh, Kementerian Sumber Manusia, ADUN, Ahli Parlimen, media elektronik, media cetak dan banyak lagi.
8       Setiap maklumat sertakan kronologi peristiwa. Elok sebelum memulakan temuduga buat rakaman melalui telefon bimbit masing-msing.
9       Sekadar panduan, catatkan:
a.     Tarikh:
b.     Masa:
c.      Tempat: Nama syarikat, organisasi, agensi.
d.     Panel penemuduga:
                                                   i.      Pengerusi:
                                                 ii.      Kedua:
                                              iii.      Ketiga:
                                              iv.      Keempat:
                                                 v.      Kelima:
e.      Ahli panel yang memberi komen diskriminasi:
f.       Butiran diskriminasi:
                                                   i.      Kelayakan
                                                 ii.      Kemahiran
                                              iii.      Bahasa
                                              iv.      Pakaian
                                                 v.      Agama
                                              vi.      Bangsa
                                            vii.      Kaum
                                         viii.      Adat
                                              ix.       
g.     Lain-lain



Secara jujurnya semua bentuk diskriminasi wajib dihentikan. Di Barat bentuk diskriminasi terhadap Islam semakin berkurangan. Semakin ramai antara warganegara mereka yang memeluk Islam. Pemerintah mereka semakin terbuka minda. Sekiranya mereka yang bukan Islam di Barat boleh membuka hati mereka mengapa kita tidak. Kita hidup bersama. Bersekolah bersama. Berjiran. Sandar bersandar. Begitulah sukarnya mereka yang lemah ekonominya. Subjected to being discriminated. Ridiculed. Embarassed. Seharusnya kita sudah lama independent economically. Kita jadi majikan. Bukan kuli. Baru boleh kita dictate our own terms. Selagi itu tidak terjadi, apa-apa yang dikaitkan dengan Islam diletakkan di bawah tapak kaki. Dipijak dan diijnak. Menjeritlah. Tiada siapa yang mendengar. Orang tidak peduli. Kita kehilangan savior.

Tuesday, September 10, 2013

Transformasi Yang Berhormat



Kisah 1:

Saya berbual dengan beks seorang MP (Ahli Parlimen). Seorang sahabat sejak dari waktu di sekolah menengah. Kebetulan sama belajar di universiti. Dialog kami berdua.

Saya: YB, saya bercadang untuk menyumbang di kawasan YB.
YB:    Apa yang hendak you sumbng?
Saya: Dalam bentuk sesi motivasi di kalangan pelajar sekolah menengah.
YB:    Bagus jugak. Tapi you pegawai division one kan?
Saya: Ya

Perbualan kami terhenti setakat itu. Tersentap hati saya dengan sebutan division one itu. Saya banyak juga makan garam. Mengerti apa yang tersirat  di sebalik pertanyaan YB tersebut. Seorang sahabat yang saya kenal hati budinya tetapi memberi respons yang menjengkalkan hati saya. Saya tidak dapat mengagak apa yang pembaca faham dari dialog ringkas tetapi padat itu. Dialognya kecil. Namun implikasinya sangat mengesankan. Sebagai bukan orang politik saya memahami hati seorang YB. Menjaga domainnya sebagai orang politik. Seorang ahli politik banyak bertindak dengan syak wasangka. Cuba membaca yang tersirat. Memberi respons sewajarnya. Pembaca ingin tahu jawapannya?

1        Orang division one tidak boleh aktif dalam politik kepartian. Jawatan saya ketika itu dalam kategori tersebut. Division one.
2        YB tersebut khuatir saya membina kekuatan melalui ceramah motivasi di kawasan YB yang juga kampung halaman saya. Takut saya menjadi pesaingnya. Rakan-rakan saya di kawasan itu. Saudara mara saya di kaswasan itu/
3        Ungkapan , you division one sangat menghiris hati saya. Saya orang akademik. Politik hanya sekadar mengambil tahu sahaja.

Pada dasarnya penjawat awam yang berstatus division one dilarang terlibat dalam politik. Saya pernah menghadiri mesyuarat sebuah parti politik. YB yang menjadi pemerhati bahagian sangat berwaspada terhadap orang-orang yang berkelayakan division one. Bercakap tidak boleh. Bertanya tidak boleh. Berhujjah tidak boleh. Membangkang jauh sama sekali. Yang menjadi kemusykilan saya ialah mengangkat tangan dalam konteks menyokong atau membantah sesuatu cadangan dibolehkan. Bercakap tidak boleh tetapi menangkat tangan boleh.  Maknanya dalam parti politik orang yang dalam kategori dividion one dibisukan. Pada masa yang sama tangan mereka diperlukan dalam kiraan undi.  Seorang pegawai division one adalah ahli pasif. Orang pandai jangan harap mendapat tempat dengan mudah dalam parti politik. Dalam suatu kisah yang lain seorang ahli politik yang memiliki ijazah PhD tidak terpilih dalam pertandingan untuk jawatan ketua pemuda bahagian di sebuah negeri. Yang menang hanya seorang yang berkelulusan SPM. Bukan bermakna kelulusan SPM tidak bijak. Namun persepsi masyarakat begitu. Ada kekurangan dari segi akademik. Tidak terasah kognitifnya ke peringkat tinggi. Dalam apa keadaan sekalipun, kelayakan akademik adalah penting.

Kisah 2:

Saya menghubungai seorang YB yang baru menang dalam PRU13 yang lalu. Beberapa kali saya buat panggilan tidak berjawab. Datang pula sms meminta saya membuat sms sahaja. Kami berbalas mesej.

YB:    sms je. Saya sdg mesyuarat.
Saya: Assalamualaikum YB. Saya Haji Yusof dari Batu Pahat. Saya cadang nak                      jumpa YB. Bila agaknya YB habis mesyuarat. Saya di JB sekarang.
YB:   Berkaitan dgn apa ye? Boleh jelaskan.
(Saya jelaskan maksud hajat saya yang sebenar. Maaf ada kerahsiaan.)
YB:   Siapa ni?
(Saya terangkan butiran mengenai diri saya)
Selepas itu saya hantar gambar wajah saya supaya mudah dikenali.

Dialog melalui sms hanya setakat itu sahaja. Saya menjadi tawar hati. Tidak menghubunginya lagi hingga sekarang. Kecewa hingga ke dasar hati. Apa masalahnya dalam hal ini? Dalam kes pertama YB tersebut menjaga domainnya hingga tidak membuka ruang langsung untuk menambah baik dirinya dan domainnya. YB yang baru ini bekas seorang penjawat awam. Saya mengenalinya sekian lama. Banyak kali  bersamanya dalam majlis-majlis. Setelah menjadi ahli politik dia masih lagi memakai baju penjawat awam. Transformasi belum berlaku pada dirinya. Ada banyak perbezaan antara penjawat awam berbanding seorang ahli politik. Khususnya apabila mereka menjadi YB.

1                    Domain seorang penjawat awam hanyalah organisasinya sahaja. Dalam satu kawasan takluk yang kecil. Tugasnya khusus dan dikhususkan. Pegawai Tadbir Tanah hanya menjaga hal-hal yang berkaitan dengan tanah. Qadhi pula berkaitan dengan agama Islam. YB pula tugasnya mencakup semua perkara mengenai orang hidup dan mungkin juga orang yang sudah meningggal dunia.  Tidak ada pengkhususan yang khusus. Jika menjadi EXCO dia diberi tugas khusus di peringkat negeri tetapi melayani semua hal dalam kawasannya sendiri. Tanpa had.
2                    Penjawat awam bertugas lapan jam sehari. Lima hari seminggu. Bercuti semasa cuti umum. Cuti rehatnya mungkin 30 hari dalam setahun. Seorang YB bertugas 24 jam sehari. Tujuh hari seminggu. Tidak ada cuti semasa cuti umum. Tidak ada cuti rehat.
3                    Politik parti dan politik pejabat tidak sama. Ada kesamaan tetapi tidak sama. Politik pejabat melibatkan kewibawaan (authority), tanggungjawab (responsibility) dan penanggungjawaban (accountability). Dasar pejabat adalah jelas. Skop kerja adalah jelas. Spesifikasi jobnya jelas. Dalam politik parti everything is not impossible but not everything is possible. Orang politik jarang mengatakan yes. Tidak juga mengatakan no.
4                    YB baru tidak diberi pendidikan untuk menjadi true politician. Mereka menjadi ahli politik biasa-biasa sahaja. Dalam banyak hal YB gagal dalam berkomunikasi. Alat paling penting kepada ahli politik.

Apabila seorang rakyat berhajatkan wakil rakyatnya sewajarnya tidak ada hijab antara mereka. Terus dan telus. YB tidak perlu banyak soal. Banyak songel. Rakyat tahu YB sibuk. Namun rakyat didahulukan terutamanya pengundinya. Mereka yang memilihnya. Yang mengangkatnya berada dalam posisi itu sekarang. Bagaimana jika dialog berikut berlangsung?

Rakyat: Assalamualaikum YB. Saya nak buat temujanji dengan YB.
YB:       Waalaikum salam. Maaf saya sibuk sekarang. Boleh hubungi saya pukul                   5.00 petang ini?
Rakyat: InsyaAllah YB.


Tidak perlu bertanya siapa. Ada hal apa. Apa masalah. Boleh jelaskan. Dengan telefon mana ada ruang untuk memperincikan hajat hati. Letih jari mengetik teks panjang berjela. Tidak perlu hingga minta penjelasan siapa nama rakyat yang ingin membuat temujanji. YB adalah wakil rakyat. Bertugas untuk rakyat. Kata orang bijak pandai YB adalah hamba rakyat. Rakyat yang menjadi raja. Malangnya tidak ramai YB yang menghambakan diri. Rakyat kekal dirakyatkan. Untuk mereka yang beraspirasi untuk menjadi YB eloklah belajar protokol komunikasi. Bahasa diplomasi. Pendekatan diplomatik. Beradab dan berhemah. Usah sedikitpun terkurang adab. Secarikpun tidak. Jika itu berlaku cemarnya diri kekal diingat rakyat sampai bila-bila. Kadang-kadang rakyat bungkam dengan masalah mereka kerana YB tidak sensitif mengenal masalah rakyat. Tidak pula arif walaupun sekadar mengambil perhatian. Menyejukkan hati rakyat. Fikir-fikirkan. 

Saturday, September 7, 2013

Hidup Yang Semakin Mahal



Menjejak semula tanah tercinta tentulah banyak berbunga di hati. Meghirup udaranya yang segar. Memandang kehijauan yang meluas pandang. Tanah datarnya yang terbentang. Melaut di kejauhan. Bertemu anak cucu menyegarkan. Menyentuh dan mencium darah daging. Menatap cucu-cucu. Menimang dan memangku mereka. Membuai dan mendodoi. Mengingat zaman beranak kecil dahulu kala. Mulalah kembali tersibuk ke sana ke mari. Ada sahaja yang perlu dibuat. Yang perlu diselesaikan. Yang perlu diambil tahu. Menjadi tanggungjawab untuk merealisasikan kelangsungan kehidupan yang memang begitu. Yang perlu dibuat. Yang perlu dilaksanakan. Yang perlu ditutup fail kewujudannya. Siapalah kita tanpa membuat apa-apa yang berguna. Hal-hal yang memang tugas kita sendiri. Tanpa boleh memindahkannya  kepada orang lain. Cumanya yang sangat terasa ialah kos hidup. Semuanya terasa sangat mahal. Setelah berada di Mesir selama kira-kira dua bulan nikmat murah sudah tidak terasa lagi di Malaysia.

Nikmat bernegara bukan hanya merdeka. Nikmat itu perlu disatuni dalam berbagai aspek. Yang membahagiakan selalunya ialah kehidupan dalam serba serbi kemampuan. Ada dua hal yang melegakan. Pertama kos hidup yang rendah sementara taraf hidup pula yang tinggi. Atau keduanya, kos hidup tinggi dalam taraf hidup yang tinggi. Kedua-duanya bersandarkan kepada pendapatan boleh guna.  Bukan pendapatan kasar semata-mata. Becakap tentang hal-hal yang berkait dengan ekonomi perlukan penelitian minda yang tajam. Yang dilihat bukan fizikal semata-mata. Kita bercakap tentang nilai wang. Ianya bukan besar atau kecilnya wang  yang sukar difahami. Sukar juga memahami konsep kuasa beli. Mungkin perlu bahasa yang mudah. Bahasa yang paling dasar. Andaikan kita selalu mengisi minyak sebanyak RM20 setiap kali. Sewaktu minyak RON95 berharga RM1.90 dengan RM20 kita dapat mengisi sebanyak 10.5 liter minyak. Apabila harganya menjadi RM2.10 kita hanya dapat mengisi sebanyak 9.5 liter. Maksudnya kenaikan 20 sen sudah mengurangkan sebanyak satu liter. Bagi sebuah motorsikal satu liter boleh ditunggang sejauh berpuluh kilometer. Mungkin berhari-hari pergi dan balik kerja.

Jika kita mengisi minyak sebanyak RM20 setiap hari kita kehilangan satu liter setiap hari. Kita rugi sebanyak RM2.10 setiap hari. Andaikan ianya berlaku pada hari kerja sahaja. Kita bekerja lima hari seminggu atau 20 hari sebulan. Dan kira-kira 200 hari setahun. Mudah-mudahan pembaca sudah boleh mencongak. Setahun kita kehilangan 200 liter. Bermakna sebanyak RM420. Itu belum pergi berkelah. Belum pergi kenduri kahwin. Belum urusan keluarga. Belum urusan kerja di luar  kawasan. Dan perjalanan-perjalanan lain dalam kehidupan seharian kita. Jika orang membuat kenyataan bahawa 20 sen tidak perlu dibesar-besarkan orang itu tidak mengiranya dalam jumlah besar. Tidak dikira dalam jumlah minggu , bulan dan tahun. Dia hanya mengira angka 20 sen terus-terusan. Yang dilihat hanya 20 sen. Dia tidak melihat kesan pengganda (multiplier effect). Dia tidak melihat kesan rantaiannya (chain reaction) yang tidak dapat dinafikan. Jika dikatakan kita semakin miskin takut nanti ramai yang mencebik.

Kita baru bincangkan kesan kenaikan minyak hanya 20 sen seliter. Kita sudah rugi kira-kira RM420. Hanya minyak semata-mata. Apabila harga barang-barang lain melambung sekitar 10% atau 20% kerugian kita akan berlipat kali ganda. Bukan RM420 tetapi mungkin beribu-ribu RMnya. Atas alasan apa sekalipun harga barang-barang akan naik. Sudah mula naikpun. Kepada orang ramai yang difikirkan hanya 20 sen yang dilihat sangat kecil. Apabila berbelanja baru disedari bahawa barang yang dapat kita beli semakin kurang berbanding dahulu. Timbangannya semakin ringan. Kuantitinya semakin kurang. Kualiti mungkin sama. Jika kita membeli kuih ada dua kemungkinan. Saiznya mungkin semakin kecil atau jika saiznya sama harganya pula semakin mahal. Sebab itu ahli-ahli ekonomi tidak bercakap hanya nilai yang dilihat. Sebaliknya dilihat juga nilai rantaianya. Nilai yang terkait. Nilai yang berganda-ganda kesannya. Tidak semua orang memahami struktur dan kesan ekonomi. Walau bagaiamanapun cukuplah memahami bahawa barang yang kita beli dan bawa balik semakin berkurangan atau semakin mahal.

Pengalaman saya di negara orang berlainan sekali. Ubi keledek di Kaherah hanya 2.50 junaih sekilogram. Atau RM1.15 sahaja. Begitu juga cili merah. 2.50 junaih atau RM1.15. Buah anggur 6.00 junaih atau RM2.70. Di Batu Pahat anggur dijual sekitar RM25.00 sekilogram. 10 kali ganda harga di Mesir. Di Kaherah. Ubi keledek di Malaysia RM3.90. Cili merah sekitar RM9.00. Jika harga sebegini berlaku di Kaherah, huru hara negara. Di Malaysia ramai yang hanya terliur. Di Mesir makan anggur perkara biasa. Begitu juga di USA. Negara yang disebut land of plenty.  Memanglah nilai dollar tiga kali ganda ringgit Malaysia tetapi kos hidup di sana rendah. Saya telah tinggalkan USA 27 tahun yang lalu. Namun saya rasa buah anggur di sana sekitar RM3 sahaja. Di Malaysia semua peniaga berlumba-lumba menaikkan harga barang. Pemerintah pula membiarkan keadaan itu terjadi. Mudah. Apabila peniaga banyak untung, kerajaan banyak dapat cukai. Siapa sebenarnya yang membayar cukai itu. Peniaga tidak membayar dari poket mereka sendiri. Yang mereka bayar kepada kerajaan ialah wang pengguna. Siapa pula pengguna jika bukan rakyat jelata. Kita semua. Saya, tuan, saudara mara kita, sahabat handai kita dan jiran-jiran kita. Di negara lain mereka berusaha mengurangkan kos supaya pengguna menikmati kehidupan yang lebih selesa. Bukan menghimpit rakyat. Bukan menyesakkan nafas. Bukan menjerut leher dan perut.

Ekonomi di negara barat adalah laissez-faire. Pasaran yang menentukannya sendiri. Tetapi, tetapi, tetapi usahawan di sana berusaha meminimumkan kos. Economic of scale untuk mengurangkan kos tetap. Fixed costs. Penjimatan kos dikembalikan kepada pengguna. Maka barang-barang keperluan harian sangat rendah harganya. Nikmat untuk semua orang. Semua rakyat. Barangan mewah barulah tinggi harganya. Hanya untuk mereka yang berkemampuan. Rakyat biasa membeli barangan mewah yang sudah terpakai. Kerajaan menjadi pengadil. Pengawal. Menaik atau  menurunkan harga mengikut tuntutan ekonomi pada sesuatu ketika. Malang. Kita belajar ekonomi tetapi tidak mengaplikasikannya  untuk faedah ramai. Maslahah umum tidak diberi perhatian. Terasa benar di negara orang banyak murahnya. Terasa pula di negara sendiri perit kehidupan.

Kepada mereka yang berpendapatan tinggi kenaikan apa-apa barang tidak pernah membebankan mereka. Pendapatan mereka ratusan ringgit sebulan. Ada yang berjuta-juta ringgit yang mereka perolehi. Kenaikan harga tidak menjejaskan kehidupan mereka. Membeli minyak kepada mereka seperti membeli air mineral. Bagai penjawat awam di peringkat tinggi atau penjawat politik, membeli minyak bukan hal besar. Mereka mampu. Elaun bukanan untuk keraian sahaja beribu-ribu ringgat jumlahnya. Mereka tidak terasa tergigit. Tidak terasa tergigit. Tidak mungkin terhimpit dan sersepit. Mereka harus memandang ke bawah. Ke lapangan. Tidak semua orang mampu berhadapan dengan kenaikan harga. Yang belum membeli rumah umpamanya, semakin jauh harapan dan impian mereka. Bantuan one-off sekali setahun tidka banyak membantu mereka. Yang lebih baik ialah penurunan harga barang-barang. Mereka menikmati saat-saat sebegitu. Hal-hal harian. Paling lama cerita minggu. Tidka bulan atau tahun.


Golongan berpendapatan rendah inilah yang kuat menyokong mana-mana kerajaan di dunia. Sewajarnya mereka mendapat nikmat itu. Nikmat harga rendah. Kehidupan bertaraf tinggi. Hidup dalam suasana yang lebih mewah. Banyak pilihan. Beri mereka pilihan.