Tuesday, August 13, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Wajah Agama Yang Berbagai Rupa



Suatu ketika saya dan isteri dihadapkan dengan persoalan yang agak mengelirukan. Isteri seorang sahabat bertanya, benarkan jika kita mandi wajib di bilik air maka mandi kita tidak sah. Berat benar soalannya. Dari mana fatwa tersebut. Tidak pula pernah dipelajari dari mazhab Syafiee. Saya dan isteri berpandangan. Setakat yang kami pelajari belum ada fatwa sebegitu. Benar air dua kolah adalah suatu keperluan. Benar juga tangki di rumah kita mungkin tidak cukup dua kolah. Pernyataan itu seperti logik. Tetapi ada satu lagi kelonggaran yang perlu kita pakai. Air yang sentiasa mengalir tidak perlu dua kolah. Apabila kita buka pili air maka mengalir keluarlah air. Pada ketika yang sama injap air di tangki air kita terbuka dan air dari luar mengalir masuk. Maksudnya apabila pili air dibuka air dari luar masuk pula. Air sentiasa mengalir ketika itu. Tidak ada fatwa yang menghukumkan bahawa jika kita mandi wajib ketika itu maka mandi kita tidak sah. 

Terpusing-pusing kami mencari jawapan kepada persoalan itu. Pada masa yang sama isteri rakan saya tadi bercerita tentang kepelbagaian cara wuduk dan solat rakan-rakan sekerjanya di sebuah kilang elektronik di PJ. Antaranya apabila solat disusun batu untuk menyentuh dahi mereka. Ramai pula yang apabila wuduk bermewah-mewah dengan air. Kisah ini kira-kira lapan tahun dahulu. Ketika itu maklumat yang saya ada tidak banyak. Namun dari cerita yang disampaikan ada berbagai kemungkinan resapan agama yang tidak difahami tetapi diambil sebagai amalan. Mungkin disampaikan secara bermanhaj. Atau mungkin penyampainya juga tidak tahu bahawa yang diamalkannya adalah menyimpang dari Sunnah Wal Jamaah. Cerita air tadi terus berkisar. Lama juga kami mencari jawapan. Akhirnya saya bertanya bagaimana kaedah berwuduk orang yang mengatakan tidak sah mandi wajib dengan air paip di rumah. Isteri sahabat saya mengatakan bahawa apabila membasuh kepala digunakan sebanyak-banyak air untuk membasahi seluruh rambut. Ketika itu sangkaan saya memang sah.

Lalu saya katakan bahawa sahabatnya itu bermazhab Hambali. Sunnah Wal Jamaah juga tetapi berlainan mazhab dangan Syafiee. Basuhan rambut ketika wuduk adalah kelainan yang agak ketara antara empat mazhab yang utama. Bagi mazhab Syafiee hanya perlu sedikit air. Mazhab Hambali menggunakan sebanyak-banyak air. Ketika itu barulah terasa mudah untuk manjawab persoalan tentang mandi wajib. Untuk kita yang bermazhab Syafiee tiada masalah. Untuk yang bermazhab Hambali, saya tidak tahu untuk memberi jawapan. Mungkin mereka mandi di tempat awam seperti sungai dan tasik. Saya tidak tahu. Dengan ilmu fiqh sunnah yang saya ada saya terangkan serba sedikit perbezaan antara empat mazhab utama iaitu Hanafi, Maliki, Syafiee dan Hambali. Mudah-mudahan sahabat saya dan isterinya memahami kedudukan perkara. Mudah-mudahan tidak lagi keliru dengan perkara-perkara yang didatangkan kepada mereka.

Sebenarnya kekeliruan tentang mazhab dan lain-lain ikutan seperti Syiah, Muktazilah dan sebagainya banyak berlegar dalam masyarakat kita. Sebab itu ramai yang menyebarkan ajaran yang berbeza dari ajaran arus perdana. Apabila saya mempelajari agama secara ilmiah banyak yang saya fahami walaupun pada peringkat dasar. Banyak persamaan antara mazhab. Namun pada masa yang sama ada sedikit perbezaan kecil. Orang kita pula selalu mengambil yang berbeza itu untuk dibesar-besarkan tanpa mengetahui usul perkaranya. Tanpa mengetahui fiqhnya. Tanpa mengatahui usul fiqhnya. Ramai yang hanya mengikut. Bertaqlid sahaja tanpa mengerti. Ianya berlaku dan terus berlaku. Barangkali kita semua harus muasabah diri supaya berada di jalan lurus yang hak. Yang digariskan oleh al-Quran dan hadith. Disampaikan oleh mereka yang arif tentang agama. Tidak oleh sebarangan orang. Kelemahan kita kadang-kadang ialah mudah menerima tanpa memeriksa fakta dan ilmu yang disampaikan.

Satau lagi yang menggerunkan saya ialah perubatan Islam. Kita juga banyak terpedaya dengan amalan perubatan ini. Pada zahirnya memang benar ayat al-Quran yang kita dengar. Cuma saya tidak pasti adakah ayat al-Quran itu dibaca dengan betul. Betul tajwidnya. Betul makhrajnya. Betul sifat-sifat hurufnya. Betul panjang dan pendeknya. Betul dengungnya. Betul tafhim dan tarqiqnya. Betul imalah dan naqlnya. Betul idgham dan ihfa’nya. Betul taghlidznya. Sesiapa yang mendalami al-Quran pasti mengetahui bahawa salah makhraj maka salahlah maknanya. Salah sifat maka salahlah maknanya. Begitu juga panjang dan pendek boleh mengubah makna. Ada pula yang menggunakan istilah agama sebagai bentuk bayaran. Umpamanya digunakan istilah zakat tetapi bukan untuk zakat harta. Istilah fidyah tetapi tiada kaitan dengan puasa Ramadhan. Hal-hal seperti ini mengelirukan. Zakat adalah khusus untuk harta, wang atau hasil pertanian dan ternakan. Sesetengah perubatan Islam mengenakan zakat kepada pesakit terutamanya yang dikatakan berkaitan dengan saka. Panjang ceritanya tetapi cukup untuk setakat itu dahulu.

Ada beberapa perkara yang mungkin boleh kita fikirkan semula.

1        Pelajaran dan pendidikan agama hendaklah melampaui sekolah kebangsaan dan sekolah menengah.
2        Pengisian silibus pendidikan agama diperluaskan supaya ada maklumat tentang kepelbagaian mazhab. Perbezaan yang ketara antara mazhab-mazhab itu.
3        Ada hal-hal yang perlu dijelaskan supaya tidak timbul keleliruan yang sengaja diwujudkan. Masyarakat secara umumnya perlu dimaklumi bahawa mereka dituntut bermazhab Syafiee tetapi pada masa yang sama mengetahui adanya mazhab lain yang berlainan sedikit amalannya. Pokonya tidak berbeza. Rantingnya sahaja yang mungkin sedikit berbeza. Ada yang berbeza sangat ketara dan ada yang berbeza sedikit sahaja.
4        Guru-guru agama sewajarnya mereka yang berpengetahuan tinggi dalam berbagai mazhab supaya apa sahaja pertanyaan dapat dijawab dengan yakin dan pasti. Khalayak dapat menerima ajaran yang hak bukan yang tempelan-tempelan sahaja.
5        Pihak yang berwajib hendaklah berusaha supaya pendidikan agama diberi nafas baru.  Betulkan kekeliruan yang ada agar ramai umat Islam yang yakin berada di jalan yang hak. Jalan lurus.
6        Kelas-kelas agama di masjid dan surau perlu juga diberi nafas baru. Datangkan ustaz dan ustazah yang terkehadapan ilmu dan ilmiahnya.
7        Semua peluang untuk memberi didikan yang betul diusahakan oleh semua pihak supaya umat Islam mendapat input yang hak sahaja.

Jika kita perasan selalunya mereka yang terpengaruh dengan ajaran-ajaran selain mazhab Syafiee adalah mereka yang dikira pandai atau dikira tidak berada dalam kategori pandai. Kategori kedua hanya ikut apa orang kata. Apa orang lain buat mereka ikut tanpa menyelidik atau mengkaji. Mereka tidak ada kapasiti unutk berbuat begitu. Berbeza dengan orang kategori pertama. Ramai yang pandai-pandai ini berada di IPT atau memegang jawatan yang tinggi-tinggi. Ada PhD atau ijazah sarjana sama ada tempatan atau luar negara. Kebanyakannya dari luar negara. Persoalannya mengapa? Mari kita lihat senarionya. Pendidikan agama di Malaysia masih berkonsep lama. Ramai yang mengatakan dogmatik. Isunya berlegar-legar di sekitar hukum itu dan hukum ini. Benar ianya mustahak. Tetapi ada golongan yang sangat dahagakan sesuatu  yang global. Bersifat universal. Memerlukan pemikiran tinggi. Maka mereka ini mencari alternatif yang sesuai dengan pemikiran mereka. Logik. Sesuai dengan zaman dan berbagai tarikan pemikiran  terkini.

Satu hal yang tidak dapat dinafikan ialah mereka yang dikelompokkan dalam golongan pandai tidak dididik selari dengan agama. Mereka tidak dibimbing dari bawah untuk megenal agama mereka. Pembentukan agama dari dasar. Dari wahyu pertama. Sejarahnya yang gilang gemilang. Urutan peristiwa yang digariskan dengan wajar oleh ulamak dahulu.  Maka apabila berlaku lompang kosong pada minda mereka apa sahaja yang diinput kepada mereka memenuhi ruang kosong itu. Apatah lagi jika yang berdakyah (bukan berdakwah) itu orang bijak-bijak belaka. Hujjahnya menyakinkan. Maka orang pandai-pandai ini menerima hujjah tersebuat. Hanya pada logik akal. Mereka tidak melihat pada logik agama. Tanpa asas agama mereka tidak dapat melihat logik agama yang berasaskan iman. Umpamanya perbincangan mengenai alam ghaib seperti akhirat hanya dapat diterima dengan iman. Jika al-Quran dan hadith tidak dirujuk dengan ilmu maka yang mereka temui ialah kekurangan-kekurangan kefahaman. Lalu secara mudah mereka menerima apa sahaja yang disogokkan sesuai dengan minda mereka.


Kerana itu agama hendaklah disusur dari bawah. Dari dasarnya. Dari yang mudah kepada yang kompleks. Dari yang dekat kepada yang jauh. Dari yang jelas kepada yang memerlukan pemikiran tinggi. Sampai masanya pakar-pakar agama bermuzakarah bersama umarak untuk membetulkan keadaan. Kita tidak boleh mengejar dunia dan berhenti di situ.  Kita kena bawa diri kita dari dunia ke akhirat. Itulah destinasi kita yang terakhir. Secara individu itulah matlamat kita. Secara jamaie itu juga matlamat kita. Maka pemimpin dan siapa sahaja dalam kategori itu akan ditanya peranannya dalam membawa ummat untuk ke syurga. Jika tidak diusahakan maka kita tidak akan dapat menjawabnya nanti.

No comments:

Post a Comment