Thursday, August 15, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Melihat Yang Selalu Ke Hadapan



Kita hidup untuk hari ini. Kita telah hidup semalam. Selalunya kita berdoa dan mengharap untuk hidup esok, lusa, tulat, langkat, minggu hadapan, bulan hadapan, tahun hadapan dan dekad demi dekad. Jika semalam adalah sejarah, hari ini kita membina sejarah yang lebih baik. Untuk esok kita rancangkan sejarah lain yang lebih gemilang.

1        Mungkin angan-angan kosong.
2        Mungkin cita-cita yang penuh dengan azam.
3        Kita sudah bertapak. Sudah ada asas untuk melakukan yang lebih baik.

Selalunya orang bermula dengan angan-angan. Maaf, angan-angan kepada orang Melayu dianggap sesuatu yang kosong. Apabila kita pinjam bahasa Inggeris, angan-angan menjadi vision. Sesuatu yang besar harapannya boleh dicapai dengan izin Allah. Jika kita sorot cerita-cerita karut orang Barat sebenarnya memulakan suatu episod besar dalam sejarah. Terbang ke bulan menjadi kenyataan. Mengembara ke pusat bumi menjadi kenyataan apabila banyak fakta mengenai gunung berapi didokumentari dan didokumentasikan. Apabila membicarakan tentang planet Marikh, akhirnya manusia mendapat banyak fakta dan visual dari sana. Filem Star Wars umpamanya mengasaskan adanya senjata laser atau peralatan menggunakan laser dalam kehidupan. Untuk memusnahkan atau untuk perubatan. Minda kita memiliki kapasiti untuk berfikir. Dalam teori brain storming angan-angan yang terlalu gila memungkinkan terciptanya sesuatu yang memberi manfaat besar kepada manusia. Lihat sahaja hasil kajian Issac Newton. Seluruh dunia menjadikannya sesuatu yang biasa-biasa sahaja. Kita menerimanya dengan senang hati. Sekiranya kita berada pada zamannya tentu ramai yang mengatakan bahawa ideanya adalah gila.

Kita boleh melihat. Penglihatan kita jelas. 20-20. Apa yang kita pandang sebenarnya. Mungkin kita memandang kosong. Tidak wajar kerana banyak yang boleh dipandang dengan adil. Dengan maknanya yang tersendiri. Dengan kesedaran bahawa yang kita pandang adalah ciptaan Allah Yang Maha Besar. Setiap yang kita pandang ada manfaatnya kepada kita. Menyedarkan bahawa kita terlalu kerdil. Terlalu kecil. Telalu seni untuk megatakan bahawa kita adalah hebat. Apatah lagi untuk mengatakan kita adalah besar. Kuasa jauh sekali. Kesemuanya milik Allah. Kita diberi pinjam yang sedikit. Terlalu sedikit. Tersangatlah sedikitnya. Bagaimana jika kita memandang terus ke hadapan. Kita sedar kita ada pengalaman semalam. Pengalaman itu mungkin indah atau sebaliknya jelik belaka. Manusia pada fitrahnya menginginkan yang baik-baik untuk dirinya. Untuk orang-orang yang dekat dengan dirinya. Kejayaan, kebahagiaan dan kesejahteraan. Anugerah Allah itu didatangkan tidak semudah yang kita jangka. Memang ada manusia yang dianugerahkan kesemuanya. Cuma pengalaman para anbia memberikan kita input untuk berfikir bahawa Allah memberi berbagai ujian untuk kita akhirnya menikmati erti kejayaan, kebahagiaan dan kesejahteraan itu.

1        Sifatnya pula mungkin sementara atau kekal.
2        Ianya beperingkat-peringkat. Pada suatu ketika ianya rendah. Pada ketika yang lain peringkatnya tinggi.
3        Yang kekal ialah sejarah silamnya. Sejarah masa hadapanya selalu berubah.
4        Kita berada dalam semua keadaan.
5        Tidak mungkin dulu, kini dan selamanya sama. Segala-galanya berubah apabila sampai masanya.

Di hadapan sana bergantung kepada penglihatan kita. Jelas atau berkabus. Dengan peralatan yang canggih kita boleh melihat di sebalik kabus. Di sebalik gelap malam. Alat itu tidak semestinya peralatan fizikal seperti teropong. Yang lebih penting ialah peralatan yang dinamakan ilmu. Dengan izin Allah ilmu banyak membantu manusia untuk menjalani kehidupan di atas muka bumi ini dengan yakin dan berwawasan. Wawasan itu dengan ilmu. Memandang ke hadapan dengan ilmu. Bukan dengan mata kasar semata-mata. Kerana itu:

1        Tiada pengganti ilmu.
2        Ianya perlu dicari mengikut kemampuan yang ada. Kapasiti minda, masa, kos dan sebagainya.
3        Kekuatan hasrat dan azam mesti ada untuk menjadi lebih baik. Lebih luar biasa dari biasa-biasa sahaja. Tidak menjadi terlalu lumrah. Menjadi tidak signifikan.
4        Ilmu mengangkat darjat. Sekurang-kurangnya lebih mengetahui dari setengah orang lain yang tidak tahu apa-apa langsung.
5        Ilmu mengangkat amal ke peringkat yang lebih global. World view yang lebih luas. Lebih terbuka. Lebih benyak memberi peluang kepada minda untuk meneroka lebih jauh dan lebih luas.

Manusia yang terlalu berserah menafikan haknya untuk menjadi lebih baik. Dalam setiap gerak ada usaha yang tertentu. Mungkin boleh kita ambil iktibar dari kisah Siti Maryam setelah sahaja melahirkan Nabi Isa a.s.  Dalam keadaan lapar, dahaga dan letih lesu dia diperintahkan supaya menggoncang sepohon kurma yang besar dan tinggi. Kepada minda orang Melayu umpamanya arahan seperti itu seperti hendak membunuh. Tidak masuk akal. Nanti dulu. Bagaimana jika arahan Allah. Siti Maryam yang dibesarkan sebaik-baik wanita menuruti perintah itu. Secara hakikatnya pohon itu tidak bergerak sedikitpun. Tidak begoyang langsung.  Namun buahnya yang masak berguguran jatuh ke bawah. Buah itulah yang menjadi rezeki Siti Maryam. Memberi tenaga kepadanya. Melancarkan air susu untuk Nabi Isa a.s. Sesuatu yang datangnya dari Allah tiada soal jawabnya. Tiada dalih-dalihnya. Wajib dilakukan kerana ada manfaatnya untuk kita. Balasannya mungkin di dunia atau di akhirat. Mungkin juga di dunia dan di akhirat. Balasannya hak Allah. Tanggungjawab untuk malakukannya hak kita.

Apabila kita berhasrat untuk hidup esok maka kita kenalah merancang yang terbaik untuk diri kita dan untuk diri orang-orang yang dekat dengan kita. Kita berserah hanya pada peringkat akhir apabila segala usaha telah dilakukan mengikut kapasiti yang kita ada. Setalah kita berdoa dengan sebanyak-banyaknya. Setelah kit arasa tiada lagi yang mampu kita lakukan. Apa yang saya cadangkan ini mungkin berat tetapi banyak membantu pada masa hadapan.

1        Jangan berhenti belajar. Belajar memberikan input yang berbagai. Pemikiran kita lebih banyak membuka untuk berfikir lebih besar. Lebih banyak. Lebih tinggi.
2        Tambahan ilmu bermakna tambahan untuk membuka ruang minda yang selama ini mungkin terlindung. Setiap orang mengalami sindrom pandangan haizat. Tidak melihat sudut yang sepetutnya dilihat. Ilmu membantu ke arah itu.
3        Ilmu memberi laluan yang lebih luas dan lebih panjang. Banyak alternatif yang akan terbuka di hadapan kita.
4        Ilmu memberi ruang untuk menambahbesar kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Semakin manusia belajar sebenarnya pandai itulah yang kita dapat. Yang namanya semakin pandai ialah keupayaan menggunakan pemikiran peringkat tinggi. Ahli psikologi menggunakan istilah otak kanan dan otak kiri. Saya hanya ingin memberi yang santai dan ringan. Untuk sama-sama kita fikir dan renungkan bersama. Ramai orang terlalu berserah. Tunggu sahaja apa yang Allah anugerahkan. Pada suatu peringkat ianya benar. Tetapi pada kebanyakan hal kita diperintahkan supaya berusaha. Terus berusaha untuk memperbaiki keadaan. Jika tidak, kita berada di tahap yang terlalu dasar. Di bawah. Selalu dilangkau oleh orang lain. Tidak dilihat. Tidak signifikan. Selalu dilepas pandang oleh orang lain. Tugas kita ialah mengangkat diri. Memberi manfaat kepada orang lain. Kepada seberapa ramai orang lain. Dengan ilmu. Dengan harta. Dengan kerja amal. Dengan nasihat dan dengan kebijaksanaan kita.

Ramai orang selalu lupa bahawa ramai orang yang mengharapkan dirinya:

1        Pasangan hidupnya.
2        Ibu dan bapanya.
3        Ibu dan bapa mertuanya.
4        Adik beradiknya dan adik beradik pasangannya.
5        Saudara maranya.
6        Sahabat handainya.
7        Rakan sekerjanya.
8        Masyarakat sekelilingnya.
9        Nearanya.
10   Agamanya.
11   Jangan lupa tuntutan Allah dan tuntutan RasulNya.

Kita tidak boleh menunggu segala-galanya digugurkan dari langit. Banyak jalan yang Allah buka untuk kita lalui dalam mencari yang terbaik untuk diri kita dan orang-orang di sekeliling kita.

1        Malas, bukan kata kosa orang yang tinggi wawasannya.
2        Tidak berminat, bukan minda orang yang hasratnya ke hadapan.
3        Tunggu, bukan minda orang yang ingin terus maju.
4        Nanti, bukan urusan orang yang mengejar kejayaan.
5        Lambat lagi, bukan ideologi yang terbaik bagi orang yang hidup kerana maut boleh datang pada bila-bila masa tanpa mengira usia.
6        Sedang mencari ilham, bukan lagak orang yang berusaha.
7        Belum ada seru, bukan sikap orang yang ingin kemajuan.
8        Banyak tidur, bukan prinsip orang yang ingin hidup lebih bahagia.
9        Masih muda, bukan sikap orang yang di hadapanya banyak tanggungjawab yang nanti datang  berombak dan berdesah-desah melebihi tsunami.
10   Minat saya bukan di situ, bukan sikap terbaik bagi mereka yang inginkan yang maksimum dan optimum untuk dirinya dan orang-orang yang dekat dengan dirinya.
11   Tiada masa, alasan orang banyak menghabiskan masa dengan sia-sia. Menfaat tidak dicari. Sebaliknya masanya dibuang dengan berborak, mengelamun, berdengkur atau banyak hal lain yang tidak termasuk dalam senarai amal baik.


Jika kita boleh duduklah sebentar. Pandang ke hadapan. Buang yang berbalam-balam. Buka minda dan hati. Lihat harapan yang mengamit. Peluang yang melintas di hadapan mata. Keindahan yang menggemerlap. Kesejahteraan yang menenangkan. Pilihan kepada kita. Benar. Tetapi malang jika kita melepaskannya hanya kerana kita terlalu menjadi diri kita yang terlalu menyendiri. Kita hanya perlu sedikit minda yang terkehadapan. Membuka laluan lebih baik untuk masa hadapan semua yang diharapkan. InsyaAllah Allah bersama kita jika kita serahkan segala usaha kita kepadaNya.

No comments:

Post a Comment