Thursday, August 15, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Degup Yang Degupnya Jantung



Baru terima berita bahawa episod tahun 2011 akan berulang lagi. Rakyat Malaysia mungkin akan dikeluarkan dari Mesir jika keadaan memerlukan. Sekarang sudah darurat. Peringkat seterusnya tidak diketahui. Kami hanya membaca berita dari luar. Rasanya orang di tanahair lebih mengetahui. Cuma biasanya berita yang sampai yang mungkin double-sided. Atau sided. Berita al-Jazeera mungkin lebih dipercayai. CNN, BBC atau yang lain kena lihat arus dan arahnya. Sekarang internet sahaja yang dapat kami rujuk. Atau berita dari anak-anak. Dunia tidaklah terputus langsung. Kemungkinan hari-hari berikutnya hanya Allah Yang Maha mengetahui. Kami hanya berkeupayaan berdoa dan mengharap yang terbaik. Ketika ini masih suasana hari raya. Masih ada yang bercuti. Keadaan sekarang menjadikan cuti dan hari raya bercampur baur natijahnya. Yang mana satu sebenarnya. Keutamaannya sudah tidak diketahui lagi. Bagi rakyat asing seperti saya degup jantung semakin kencang. Hasrat hati dan hasrat kerajaan mungkin berbeza.

Malam ini nampaknya ramai pelajar Malaysia yang sudah berhimpun di rumah-rumah negeri masing-masing untuk menunggu arahan kerajaan selanjutnya. Memang darurat jadinya. Degup jantung saya makin meningkat. Banyak yang perlu difikirkan.

1        Keselamatan diri dan isteri.
2        Status pelajaran di sini.
3        Jalan pulang yang belum diketahui.

Saya baru sebulan di sini. Baru tamat mustawa thani. Kelas kedua. Cadangnya hendak melanjutkan pelajaran hingga ke mustawa thaniya asyara. Kelas keduabelas. Hingga lebih setahun. Dalam keadaan darurat seperti sekarang tidak ada ketentuan yang pasti. Walau bagaimanapun kami perlu bersiap sedia untuk apa sahaja kemungkinan. Darurat memerlukan persiapan mental, fizikal dan psikologi. Tidak ada kecuali melainkan mengikut arus yang sewajarnya. Arahan adalah sesuatu yang pasti dipatuhi. Negara melindungi semua rakyatnya. Rakyat pula tertakluk kepada perlindungan itu. Serba salah jadinya. Hajat hati hendak belajar. Bila balik berbagai pula kemungkinan lain akan berlaku. Apapun didoakan segalanya berjalan dengan sebaiknya. Diri saya milik Allah. Keamanan milik Allah. Malapetaka ini ada hikmah di sebaliknya. Atau yang didatangkan untuk menguji diri kita. Sejauh mana iman kita. Setinggi mana kecintaan kita terhadap Allah yang mencipta kita.

Beberapa orang saya hubungi. Masing-masing diminta bersedia. Menanti arahan yang tidak berapa ditunggu. Jika dibenarkan rasanya mahu sahaja berdiam diri di sini. Menanti segalanya reda sendiri. Surut dari ganasnya. Kendur dari kecuhnya. Menurun darjah panasnya. Apabila keadaan kembali sejuk bolehlah dismbung semula apa-apa yang dihajatkan. Dalam keadaan sekarang ini yang boleh dilakukan ialah tunggu dan lihat. Banyak mendengar. Banyak menghidu sebarang kemungkinan. Hati-hati adalah kunci kepada keselamatan diri. Tidak boleh lepas laku. Tidak boleh lepas cakap. Tidak boleh membebaskan diri seperti biasa. Banyak batas-batas yang perlu dijaga. Yang perlu dikawal. Yang perlu diambil hal. Sesuatu yang tidak dapat dijangka. Kesemuanya situasi yang tidak menentu. Volatile. Sesuatu yang sudah bermula panas payah padamnya. Di tanahair tentu kesemuanya cemas. Melihat media tentu sekali mendebarkan. Seperti keseluruhan negara Mesir ini dilanda musibah besar. Walaupun kejadian berlaku di tempat yang selektif persepsi negatif tetap bersarang di hati anak-anak, saudara mara, sahabat handai dan kenalan yang mengetahui.

Pagi semalam isteri saya sepatutnya menduduki peperiksaannya. Dalam perjalanan pergi (kira-kira 15 minit perjalanan dari rumah) dilihatnya di kejauhan asap berkepul-kepul seperti bangunan terbakar. Keadaan berasap dan berkabus. Matanya terasa pedih-pedih sedikit.  Sesampainya di kelasnya dia diberitahu bahawa markas (institut) akan ditutup dan kelas dibatalkan hingga diberitahu kelak. Dikatakan polis sedang melakukan gempuran. Dalam perjalanan pulang menggigil lutut isteri saya. Ayat kursi tidak terlepas dari bibirnya. Takutnya bukan kepalang. Saya yang di rumah tidak tahu apa-apa. Apabila dia sampai di rumah kami buka TV. Aduhai itulah petaka yang kami lihat. Segala imej yang grafik seperti tidak tergamak untuk ditonton mata. Dada sebak melanda. Hati sejuk memikirkan angkara manusia. Sukar mempercayai ketergamakan manusia. Kejam yang tiada batasnya. Manusia yang sadis melakukannya di tempat sunyi. Terlindung dari mata ramai. Jika dalam keadaan terbuka membakar, menembak dan menggilis manusia lain yang tidak sehaluan tentulah melampaui tahap sadis.

Setakat ini orang melihat tangan Obama dan tangan Israel berada di atas orang-orang Mesir. Hari ini Obama menafikan peranananya dalam serangan semalam. Dia melepaskan diri dari bertanggungjawab. Masa hadapan Mesir bukan ditentukan oleh USA atau Eropah, katanya. Ia ditentukan oleh orang Mesir sendiri. Banyak makna yang tersirat tetapi saya berhenti setakat itu. Boleh dibincangkan dalam situasi lain yang lebih santai. Yang menjadi masalah selalunya ialah warga asing.  Apabila negara yang dipijak buminya bergolak, warga asing perlu dikeluarkan secepat mungkin. Sebelum segalanya merebak. Sebelum pintu keluar ditutup. Keselamatan warganegara dilindungi oleh negara. Warganegara menjadi tanggungjawab negara. Sama ada perginya atas urusan kerajaan atau urusan peribadi sudah tidak ada batas pemisah lagi. Yang penting selamat dahulu. Ceritanya kemudian. Hari-hari yang menyusul ini sangat kritikal. Hujung minggu pula. Tanpa rakan dan kenalan dunia terputus di sini. InsyaAllah segalanya dipermudahkan Allah.

Kami tinggal menyewa rumah di kejiranan yang agak aman. Hayyu Sabiq (Seven District) di Madinah Nasr (Nasr City) antara kawasan yang lebih tersusun. Markaz Nil tempat saya belajar hanya lima minit berjalan kaki. Kemudahan banyak di sini. Ramai pelajar Malaysia berada di persekitaran Hayyu Sabiq ini. Mudah berkelompok sesama sendiri. Bila kaedaan memerlukan boleh bantu membantu antara satu sama lain. Paling ramai rasanya pelajar wanita. Ditambah pula dengan pelajar dari Thailand, Indonesia dan banyak negara lain. Hayyu Sabiq menjadi antarabangsa dalam kelasnya yang tersendiri. Yang terasa asing ialah sukarnya mendapatkan makanan Asia kegemaran rakyat Malaysia. Hingga sekarang saya belum berjaya mendapatkan suun. Teringin lodeh suun tidak ada. Ingat sambal goreng jawa suun juga tidak ada. Tempe juga belum jumpa. Tauhu lagilah sukar didapati. Mungkin ada. Belum ditemui sahaja. Cili apa dan serai banyak. Ada pelajar Malaysia yang menanamnya secara komersil di sini. Alhamdulillah.


Rasanya belum panas tanah anbia ini dipijak. Belum hangat udara panasnya disedut. Belum luas datarnya diteroka. Malamnya belum dipandang indah. Siangnya belum dilihat  terang. Orangnya juga belum banyak disapa mesra. Situasi mungkin memisahkan diri. Menjauh sebentar untuk datang kembali kemudian. Untuk menjejak laluan yang sudah diteroka. Dilalui jalan yang sudah nampak terangnya. Yang sudah diketahui hujungnya. Sudah disurat senang dan susahnya. Masa sahaja yang diperlukan. Yang disusunatur supaya semuanya dicapai mengikut peringkat. Apabila degup jantung semakin kencang mudah-mudahan malam ini tidur kami lena. Esok ada berita yang lebih baik. Debar jantung mungkin tidak terkawal selepas solat Jumaat esok. Lazimnya solat Jumaat menjadi penanda aras suhu kepanasan. Tinggi atau rendah. Mudah-mudahan esok hujan atau turun salji luar biasa. Mudah-mudahan sesejuknya salji. Biar hati sejuk dan beku asalkan tidak kering dan keras.

No comments:

Post a Comment