Saturday, July 13, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Yang Mana Didahulukan Antara Ramadhan dan Syawal



Kadang-kadang tersentap juga hati menjelang Ramadhan. Setiap tahun dikomersilkan. Orang kita turut mabuk seperti ikan dalam lumpur. Ramadhan belum tiba tetapi pesta hari raya sudah bermula. Di mana silapnya? Kita ingin menyambut Ramadhan atau menjadikan Ramadhan sebagai syarat sahaja. Memenuhi tuntutan agama. Hati dan seluruh jiwa raga kita hanya untuk hari raya rupanya.  Sukar memahami dari mana datangnya keghairahan untuk berhari raya. Sedangkan haru raya hanya sehari sahaja. Hanya pada Syawal pertama sahaja. Syawal kedua hingga ketujuh bukankah puasa Syawal yang lebih afdhal. Mana lebih utama, agama atau adat. Kita sudah terlalu lama tersasar dari landasan yang benar. Banyak perayaan yang kita sangka berkerangka agama tetapi sebenarnya lebih adat dari agama. Hanya di negara-negara di Tenggara Asia melebihkan hari raya berbanding Ramadhannya sendiri. Di negara Arab, Ramadhan dilebihkan dari Syawal. Keutamaannya begitu. Kita sahaja yang melakukan melebihi keperluan. Kita semakin tidak menjaga tertib keutamaan menjalankan ibadat dan beragama.

Kali pertama di Mesir pengalaman Ramadahan sangat berbeza. Orang Malaysia sibuk memasang lampu panjut menjelang hari raya. Semasa di Ipoh dahulu, menjelang hari raya terang benderang kampung dan taman dengan lampu panjut. Ada pesta dan pertandingan. Cuba kita tanya diri kita sendiri. Ke mana sebenarnya kita dibawa arus. Kebijaksanaan atau pembaziran sumber. Tiada nas dan dalil yang menandakan lampu panjut itu perlu. Di Johor pula orang sibuk dengan malam tujuh likur. Disibukkan juga dengan memasang lampu minyak tanah. Dibuat dari buluh atau pelita. Sekarang dijual secara komersil di pasaraya. Untuk apa lampu-lampu itu. Cuba kita fikir secara rasional agama. Bukan rasional adat. Bukan rasional kebiasaan. Jika terlalu jauh tersasar takut menyentuh akidah. Bahaya pada diri. Dalam istilah agama menzalimi diri sendiri. Yang menerima akibat di akhirat nanti diri yang membuatnya sendiri. Bukan orang lain. Sebab itu jika tidak tahu, banyakkan bertanya. Belajar dari mereka yang arif. Jika sudah tahu, amalkan berlandaskan agama.

Di Mesir Ramadhan ditunggu sebelum datangnya. Cuma entah di mana silapnya mercun yang banyak diletupkan. Bunga api yang dipancarkan. Tiada juga nas yang menyuruh begitu. Sekali lagi adat menguasai pemikiran. Kegembiraan yang menyimpang dari tuntutan. Ramadhan adalah sesuatu yang syahdu. Datangnya sekali dalam setahun. Setiap perbuatan baik digandakan. Tentu juga setiap perbuatan yang sebaliknya digandakan dosanya. Banyak perbuatan baik yang perlu dilaksanakan. Pilih sahaja mana yang boleh dilaksanakan. Ada yang ringan. Ada yang berat. Jika larat buat semua. Membaca al-Quran rasanya antara yang paling ringan. Syaratnya sudah pandai membaca dengan lancar. Jika belum, elok juga belajar al-Quran dalam bulan Ramadhan. Mulakan sesuatu yang selama ini terabai. Membaca merangkak-rangkak banyak pahalanya. Setiap huruf yang dibaca ada pahalanya yang tersendiri. Pahala belajar besar ganjarannya. Pastinya berganda-ganda kerana barakah Ramadhan. Yang sudah pandai jangan leka. Banyakkan membaca. Tambah pula dengan memahami maknanya. Tambah lagi dengan mengamalkan seperti makna yang difahami. Selak seberapa banyak tafsir al-Quran. Selami pandangan dan pendapat yang berbeza supaya al-Quran mantap difahami hingga ke dasarnya.

Maknanya Ramadhan ditunggu dan disambut dengan persediaan mental orang beragama. Bukan orang beradat. Datangnya setahun hanya sekali. Perginya selepas sebulan. Bilangan harinya tidak penting. 29 hari atau 30 hari adalah ketentuan Allah. Ramadahan berdasarkan kitaran bulan (qamar) bukan matahari (syams). Bila nampak atau dikira wujud anak bulan Ramadahan maka esoknya berpuasalah kita. Apabila kelihatan atau dikira wujud anak bulan Syawal maka berharirayalah kita. Hari raya bukan penamat segala-galanya yang namanya ibadat. Amalan baik. Walaupun pada bulan Ramadahan pahalanya berganda, selepas Ramadahan pahalanya tetap ada. Ikhlas yang penting. Bila mula puasa dan bila mula hari raya ditentukan oleh pemerintah. Kita rakyat wajib taat kerana kita tidak mahir ilmu falak. Anak bulan di tempat kita tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Selalu terlindung dek awan. Maka kita sandarkan kepada pemerintah untuk membuat keputusan. Bagi yang mahir dalam ilmu falak mungkin boleh membuat keputusan sendiri tetapi tidak boleh dikongsi atau dipindahkan kepada orang lain. Khusus untuk dirimya sahaja. Individu seperti raja atau sultan sahaja yang boleh memberi perintah. 

Hiasan malam sukar dilihat di awal Ramadhan. Kita di Malaysia berhias untuk menyambut hari raya. Bukan Ramadhan. Di Mesir sebelum Ramadhan lagi sudah sibuk memasang lampu lup-lap. Lampu warna warni. Lampu gantung seperti tanglung bertulis Allah dan sebagainya. Pada waktu malam kelihatan semua jalan terang benderang dengan lampu jalan dan lampu-lampu tambahan. Orang Arab pula suka bersiar pada waktu malam. Selepas solat tarawih mereka berjaga hingga waktu sahur dan solat Subuh. Selepas Subuh baru mereka keletihan. Subuh pula kira-kira pukul 3.30 pagi. Maknanya mereka ada masa untuk tidur selama 4 jam sebelum pergi kerja pada pukul 7.30 pagi esoknya. Pada malam bulan Ramadhan meriah dengan berbagai aktiviti. Lebih meriah dari bulan-bulan sebelumnya. Mereka suka menghidupkan malam. Pukul 12.00 tengah malam kanak-kanak masih lagi berkeriau. Masih bising. Kenderaan menderu dari hujun ke hujung jalan.

Saya kurang arif dari mana datangnya budaya mercun. Di negara kita apabila menjelang hari raya ada sahaja mata yang buta. Ada tangan dan jari yang putus. Ada telinga yang rabit. Tidak pernah serik-serik. Mungkin elok jika mereka yang sukakan mercun dan bunga api ini kita letakkan di sebuah stadium. Longgokkan di hadapan mereka 10,000 lori besar yang sarat dengan mercun dan bunga api. Paksa mereka letupkan kesemuanya satu persatu sepanjang minggu. Makan minum di situ. Solat di situ. Biar badan dan pakaian mereka berbau belerang.  Biar telinga mereka bingit. Biar tangan mereka pijar meletupkan mercun . Biar mata mereka berpinar memandang cahaya bunga api. Apabila kita kaji kesemuanya itu adalah kegilaan mereka yang tidak mengetahui. Yang tidak arif membuat penilaian. Yang terhijab dari melihat yang hak. Kesemuanya adalah sumber kelekaan. Pembaziran wang ringgit. Pembaziran masa. Perbuatan sementara yang mungkin merenjatkan pertumbuhan akal. Melakukan sesuatu yang tiada nilai agama atau kebijaksanaan tentulah menumpulkan pemikiran yang waras.


Suasana Ramadhan perlu dipenuhi dengan ibadat. Melakukan kebaikan dalam berbagai bentuknya. Banyak pilihan yang mendatangkan pahala. Jangan biarkan diri hanyut tanpa pemikiran yang menjangkau jauh ke hadapan. Ke akhirat. Bukan sekadar sebulan apabila tamat Ramadhan. Rendang dan ketupat hanya juadah. Bukan kewajipan. Tiada wajibnya. Pahalanya ada kerana menjamu orang lain. Tetapi, tetapi bukan sesuatu yang dianggap wajib. Wajibnya tiada.  Terlalu banyak kegilaan hari raya yang bukan hak. Bagi orang Johor umpamanya, lodeh bukan wajib. Sediakanlah ala kadar. Kacang panjang jangan diwajibkan. Penjual sayur juga yang berganda untungnya. Tauhu dan taugeh juga bukan wajib. Sediakan sekadar perlu. Terlalu beria-ia seolah-olahnya berdosa jika tidak disediakan. Ibadat yang mesti dibezakan dari adat. Nilai kembali antara Ramadhan dan Syawal. Ramadhan sebulan lamanya. Syawal hanya sehari. Mana lebih besar. Memanglah orang Melayu menyambut Syawal hingga sebulan. Ada yang hingga tiga bulan. Rasanya sudah keterlaluan. Cukup-cukuplah beraya. Nilai semula Ramadhan kita. Ramadahan dan Syawal dalam nisbahnya 30:1. Sepatutnya kita rayakan Ramadhan 30 kali ganda dari berhari raya.  Boleh kita fikirkan semula?

No comments:

Post a Comment