Saturday, July 13, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Antara Musim Bunga dan Musim Panas

Buah aprikot muda

Gugusan anggur segar dari ladang

Montok-montok dan manis

Yang hijau buah zaitun segar. Lazat. Yang kemerah-merahan sejenis aprikot leper. Lebih lazat lagi.

Wow! Isi buah zaitun.

Pokok aprikot di tepi rumah. Kami tinggalkan sebelum masak. 

Bergayutan

Aprikot leper

Kecur air liur bila teringat

Yang ini aprikot masam. Adui terus terliur. Makan dengan garam.

Isinya gebu.

Aprikot lain. Manis. Ramai orang beli yang dikeringkan di Madinah dan Makkah.

Memandang sahaja sudah berkenan di hati 

Belum merasa belum tahu nikmatnya

Buah zaitun bergayutan. Mungkin dua bulan lagi dituai. Dijeruk dan dijadikan minyak.

Buah anggur yang besar gugusnya. Jika ini menjadi tanaman biasa di Malaysia, alangkah indah dan nikmatnya.

Buah tin. Antara buah yang selalu disebut dalam al-Quran. Wattini wa zaituun. Masih muda.

Ladang buah tin

Ambil kenangan



Keindahan empat musim tidak dapat digambarkan dengan cerita. Perkataan dan ayat tidak dapat memperhalusi keindahannya. Malah gambar pegun atau video sekalipun sukar memberikan gambaran yang sebenarnya. Musim sejuk memang sejuk. Sesejuk berada di dalam peti ais. Bukan sekejap tetapi berlarutan dari akhir bulan November hingga bulan April. Secara rasminya musim sejuk hanya tiga bulan. Disember hingga Februari. Tetapi di Jordan sejuknya berlarutan hingga sepanjang bulan April. Mungkin kedudukan Jordan yang bergunung-ganang mempengaruhi iklimnya. Umpamanya pada akhir bulan Mac suhu di Kaherah sudah melebihi 20°C tetapi di Amman, Jordan suhunya di bawah paras itu. Hingga hampir akhir bulan April suhunya masih rendah.  Masih perlu memakai baju tebal. Tidur malam berselimut tebal. Namun bunga-bungaan sudah mula mengembang. Menyerlahkan warna dan ronanya. Bentuknya tentulah berbagai. Tidak ada di Malaysia. Walau bagaimanapun jika pembaca rajin ke kedai-kedai yang menjual bunga-bunga tiruan atau plastik kebanyakan bunga-bunga tersebuat adalah replika bunga-bunga yang ada di negara beriklim sederhana. Hatta rerumputnya ditiru untuk digilai oleh orang-orang yang gilakan keindahan dalaman.

Seperti saya katakan tadi keindahan berada di negara yang beriklim empat musim tidak dapat diceritakan secara pasti. Mengalaminya sendiri memang tiada tolok bandingnya. Kilibat burung yang pertama memberi isyarat bahawa musim sejuk sudah berakhir. Kicauan beburung itu menunjukkan keriangan menanti musim yang semakin  panas. Bebunga tentunya mengembang bersamanya turun madu dari syurga. Santapan beburung dan lebah. Madu yang sedikit fitrahnya dihimpun oleh jutaan kali lebah yang kecil untuk kebaikan manusia. Menjadi minuman dan sumber kesihatan. Ada sejenis pokok atau buah yang mendahului pokok-pokok yang lain. Pokok badam berbunga sebelum menumbuhkan dedaun pada dahan dan rantingnya. Pokok-pokok yang lain menumbuhkan dedaun sebelum mengeluarkan bunga. Bunga pokok badam berwarna putih. Mewah menyelubungi dahan dan rantingnya. Kira-kira pada akhir bulan Mac buah badam muda sudah mula dijual. Masam-masam manis rasanya. Dimakan dengan dicecahkan garam. Seperti memakan mangga muda. Memecahkan selera. Megecurkan.

Mulalah episod melihat berbagai buah mula berbunga. Mengeluarkan putik dan membesar buah-buah itu di hadapan mata. Indahnya putik-putik buah tin, zaitun, anggur, iskadania, berbagai jenias aprikot, pear, ceri dan yang lain-lain. Satu persatu buah-buah itu mencecah bibir, dikunyah dan dinikmati kelazatannya. Ada yang sedikit masam tetapi pada kebiasaannya manis-manis belaka. Beberapa jenis buah hanya manis-manis buah sahaja. Tembikai hami yang datang dari negara Cina yang terdapat di negara kita manis-manis belaka. Yang ada di Jordan manis-manis buah sahaja. Apabila melalui kedai-kedai buah-buahan maka dibariskan berbagai jenis buah dengan warna, saiz dan rupa bentuknya yang tersendiri masing-masing. Lupa durian, manggis, rambutan, pulasan, duku, langsat, dukong dan berbagai lagi buah hutan seperti buah keranji, buah sentul dan sebagainya. Pada bulan Jun banyak buah yang sudah boleh dimakan. Menikmati buah tin dan anggur segar sangat mengujakan. Sayangnya buah zaitun hanya boleh dinikmati pada bulan ogos barangkali. Masih terlalu kecil sewaktu saya tinggalkan.

Di tepi rumah saya terdapat sepohon anggur. Sepanjang saya duduk dari bulan Januari hingga bulan Mac, pokok itu memang mati. Kulitnya pada batangnya terkopak-kopak. Kering dan dilihat mata kasar memang seperti pokok mati. Rantingnya mudah dipatahkan seperti ranting kering. Rapuh sungguh. Apabila berakhir musim sejuk, rerantingnya mula tumbuh tunas-tunas daun. Rupanya pokok itu tidur sepanjang musim sejuk. Mengeramkan dirinya untuk tumbuh semula apabila suhu meningkat. Setelah dedaunnya melebat tumbuhlah bebunga dan kemudiannya putik-putik anggur yang kecil lonjong bertangkai-tangkai. Saya sempat melihat anggur hijau yang masaknya kekuning-kuningan. Merasanya yang masih segar pada tangkainya. Manis, enak dan apa lagi jika tidak lazat. Pertama kali merasa buah tin segar mengkhayalkan perasaan. Di Malaysia hanya sempat merasa yang kering sahaja. Tidak mungkin merasa yang segar. Buah tin tidak tahan lama. Paling enak selepas dipertik terus dimakan. Selepas berjam-jam ia menjadi lembut dan hilang enaknya.

Buah aprikot yang berbagai juga enak dimakan. Paling saya suka ialah aprikot  yang pipih bulat bentuknya. Manis dan menyegarkan. Kali pertama merasanya seperti tidak mahu makan buah-buah yang lain. Terlalu lazat. Saya tidak sempat makan buah aprikot di rumah yang saya duduki. Belum masak lagi. Masih hijau. Mungkin pada bulan Julai baru boleh dituai. Gugusan buah anggur mengasyikkan. Jika rajin berjalan-jalan di sekitar kawasan tempat tinggal, sangat seronok memandang buah anggur yang bergugusan. Bertangkai-tangkai. Lebat selebatnya. Begitu juga buah zaitum yang bergayutan ditiup angin. Buah tin pula mercup di hujung ranting. Kadang-kadang terlindung dari dedaunnya yang lebar menghijau. Memandang kesemuanya sudah memadai seronoknya. Memakannya lagilah tidak terkira enaknya. Di Jordan buah tembikai besar-besar belaka. Merah-merah isinya. Manis kerana disinari cahaya matahari yang panas sekarang ini. Tidak terdaya membelinya kerana saiznya yang besar. Mereka tidak pula menjual tembikai yang dibelah-belah seperti kita di Malaysia. Lain tempat lain adatnya.


Tidak pula lupa, pada masa yang sama sayur-sayuran juga mula datang melambak-lambak. Kesemuanya segar dari ladang. Kobis masih dengan dedaun hijaunya. Bunga kobis juga begitu. Dengan dedaunnya sekali. Dedaun itu boleh pula dibuat sayur. Seperti dedaun lain. Buah jagung antara yang banyak di Jordan. Jagung manis. Besar-besar belaka. Boleh dibeli di mana-mana sahaja. Beberapa buah atau sayur yang lain nampaknya hilang dari pasaran. Umpamanya pada musim sejuk banyak dijual keledek. Pada musim bunga keledek itu tidak dijual lagi. Mungkin bukan ditanam di Jordan. Saya tidak pula menyiasat. Yang menyeronokkan ialah pada musim panas sangat banyak kesegaran hasil buah-bahan dan sayur-sayuran. Enak dan lazat. Sewaktu ke Umu Quais, kami sempat singgah di ladang gandum. Sedang masak menguning. Kali pertama melihat tangkai gandum mengujakan juga. Teringat istilah sumbulah seperti selalu disebut dalam al-Quran. Pastinya saya akan selalu rindu musim bunga di Amman Jordan. Mudah-mudahan Mesir memberi saya kelapangan. Keindahan berkelana di negara orang. 

No comments:

Post a Comment