Saturday, July 20, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mencari CEO Sekolah Yang Profesional



Siapa sebenarnya yang paling penting di sekolah? Pengetua? Bukan. Guru? Lagi bukan. Pelajar? Yes. Bingo. Di sekolah insan yang paling penting ialah pelajar. Disebut juga murid. Di IPT siswa. Ditambah di awalnya dengan maha. Tidak diketahui maksudnya. Sama ada besar, tua atau terlebih pandai. Walau apapun mereka dikatakan paling penting dalam institusi pendidikan. Bangunan sekolah bergantung kepada jumlah pelajar. Bergantung kepada unjuran pelajar pada masa akan datang. Buku perpustakaan bergantung kepada bilangan pelajar. Guru yang didatangkan ke sekolah juga bergantung kepada bilangan pelajar. Ada masanya bergantung kepada subjek yang diajar. Bilangan masa mengajar. Banyak lagi perkiraan tetapi kesemuanya berpusat kepada pelajar dan bilangan mereka. Ini tidak bermakna pelajar berhak menentukan apa sahaja yang berkaitan dengan mereka. Keputusan di atas bergantung pula kepada keputusan politik. Bergantung kepada political will pemerintah. Tanpa political will banyak yang tidak dapat dilakukan. Sebaliknya banyak pula yang ditiadakan. Lalu bagaimana aspek pelajar ini harus ditangani.

Sekolah adalah institusi masyarakat. Agen yang melestarikan hasrat dan hayat sesebuah masyarakat. Sekolah secara berkesimbungan memanjangkan rupa bentuk sesebuah masyarakat. Maka staf sekolah diperlukan untuk mengendalikan urusan pentadbiran dan pengurusan sekolah. Agihan tugas, peruntukan kewangan, peruntukan sumber, perkembangan kurikulum dan kokurikulum. Seorang CEO sekolah dilantik untuk mengemudikan kejayaan dan kelangsungan sesebuah institusi pendidikan yang dinamakan sekolah. Maka apabila masuk menduduki sebuah kerusi empuk di sebuah bilik pejabat terbesar di sesebuah sekolah, pengetua boleh mentransformasikan dirinya menjadi berbagai rupa. Ada yang akhirnya demokratik. Ada yang autokratik. Ada yang benevolent. Ada yang leiszzeire faire. Mungkin ada yang tidak kisah langsung. Yang mana yang terbaik? Tidak ada kata penentu. Yang penting kesemua urusan sekolah berjaya dilaksanakan tanpa ada rasa takut atau tergugat. Semua staff  akhirnya akur dan selesa dengan keadaan yang ada.  Yang penting juga ialah masalah dapat diselesaikan. Keputusan dapat dibuat.

Walaupun pelajar sangat penting, kedudukan mereka sebagai penerima. Tidak ada sumbangan eksekutif. Suara mereka mungkin didengar. Menjadi pasif jika PIBG dianggotai oleh orang yang pasif. Yang tidak ambil tahu hal keadaan di sekolah. Khususnnya prestasi pelajar dan keperluan mereka. Di mana pula letaknya guru-guru? Ini sesuatu yang perlu difikirkan dengan wajar. Dengan pertimbangan yang rationale. Dengan pertimbangan yang profesional. Guru bukan buruh. Guru bukan kuli. Guru bukan budak suruhan.  Tidak kira apa pembawaan guru itu, secara peribadi  ia adalah seorang profesional yang terlatih. Yang diiktiraf sebagai guru. Dilantik sebagai guru. Tugasnya menjadi guru. Memiliki kewibawaan (authority) untuk mengajar dan menjadikan pelajar-pelajarnya belajar. Memiliki tanggungjawab  (responsibility) untuk melaksanakan apa-apa yang tertanggung ke atasnya. Mengajar dan melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengannya. Akhirnya guru digantungkan dengan acccountability iaitu tugas untuk menjawab apa-apa yang diperlukan darinya berkaitan dengan tugasnya. Cuba lihat senarai tugas guru yang selalunya over simplified. Tidak jelas dan longgar di sana dan di sini. Pada baris terakhir ada klausa yang tidak dimengerti maksudnya. Bunyinya ringan tetapi selalu memberatkan.

Melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan dari masa ke semasa.

Soalannya:

1        Arahan siapa?
2        Bila?
3        Di mana?
4        Untuk apa?
5        Berapa lama?
6        Ada peruntukan kewangan?
7        Ada peruntukan peralatan?

Situasi begini berlaku:

1        Guru banyak keluar wang dari sakunya sendiri tanpa sekolah membayar semula semua yang dibelanjakan. Boleh ibu bapa bayangkan. Seorang guru menghantar pasukan kuiz sekolah bertanding di sekolah lain. Guru menggunakan keretanya sendiri.

a.       Minyak tuang sendiri.
b.      Sarapan pagi pelajar-pelajar guru yang tanggung.
c.       Mungkin makan tengahari juga guru yang tanggung.
d.      Tidak banyak. Mungkin sekadar RM70. Itu baru dalam zon. Jika menang ke daerah, negeri. RM70 X 3 = RM210.
e.       Tiada elaun bertugas luar dan tidak mendapat elaun makan sehari.
f.       Untuk tugas hingga ke peringkat negeri seorang guru mungkin terpaksa menanggung hingga RM400.  Atau lebih. Itupun tidur di bilik darjah sekolah dengan membawa tilam, bantal dan selimut sendiri. Jarang yang dapat tidur di hotel yang paling murah. Itu juga belanja sendiri. Sebesar mana gaji guru. Kadang-kadang ibu bapa terlepas pandang semua ini. Mereka yang di atas juga sengaja melepas pandang. PIBG yang kaya mungkin boleh membantu. PIBG sekolah kampung bagaiman?
2        Banyak masa guru dihabiskan di sekolah. Kokurikulum. Latihan sukan. Latihan drama. Kelas tambahan. Kesemuanya percuma. Malah keluar wang sendiri.
3        Prestasi tahunan ikut pengetua. Yang rapat lebih perhatiannya. Yang bekerja selalu terabai.
4        Naik pangkat ikut kekananan atau ikut prestasi. Prestasi yang mana? Yang banyak berkorban harta benda kerana minat dan berminat tiada nilai.

Datanglah pengetua dengan autoritinya. Kata putusnya. Kehendaknya. Di mana kedudukan guru? Siapa guru akhirnya. Seharusnya wujud suatu iklim semangat berpasukan. Bersama mengendalikan sebuah institusi pendidikan yang selamanya bertambah masalahnya. Perubahan sosial semakin merumitkan. Perubahan demografi semakin menghantui perasaan guru. Perubahan ekonomi dan teknologi juga merimaskan. Guru menjadi semakin kecil dan tidak signifikan. Jika CEO sekolah hanya memandang kertas arahan dari atas tanpa disertai dengan rasa kemanusiaan maka guru-guru menjadi sampah di sekolah. Menjadi  tidak penting. Tidak dihormati.  Tetang hormat menghormati ini saya cuba gariskan seperti berikut:

1        Guru sesama guru hendaklah hormat menghormati. Hormati kepakaran masing-masing. Kehebatan masing-masing. Jangan transgress profesion guru lain. Guru Geografi haknya Geografi. Guru Sejarah haknya Sejarah. Jangan besar-besarkan perbezaan pendapat dalam bilik mesyuarat. Yang itu proses membuat keputusan. Pelajar melihat semua permasalahan guru. Jangan buka kepada pelajar.
2        CEO sekolah wajib hormatkan guru sebelum dirinya dihormati guru. Setelah kita memberi baru kita mendapat. Mungkin tidak perlu memberi. Layanan yang adil dan saksama sudah cukup membahagiakan guru.

3        Jika guru menghormati guru, pelajar akan menghormati guru. Apabila CEO sekolah menghormati guru pelajar akan lebih menghormati guru. Akhirnya orang yang paling dihormati pelajar ialah CEO itu sendiri. Situasi biasa. Mereka yang menghormati orang lain akan dihormati sudahnya. Penghormatan yang berkekalan walaupun CEO itu berpindah kerja. Walaupun sudah bersara. Walaupun sudah tiada lagi. Penghormatan dalam minda orang-orang yang pernah berurusan dengannya tidak pernah padam.

Semua guru dibekalkan dengan psikologi dan kaunseling. Prinsipnya satu. Hormati individu lain. Mereka membantu. Mereka ingin yang terbaik. Salah silap mungkin berlaku. Tetapi tidak mungkin bersesuaian CEO sekolah memarahi guru di hadapan pelajar. Sebarang teguran, nasihat, kaunseling, bimbingan atau apa sahaja hendaklah dilakukan di tempat tertutup. Sessi yang khusus. Empat mata. Rahsia. Di hadapan guru lain semuanya baik-baik belaka. Di hadapan pelajar semua guru tiada cacat celanya. CEO yang tidak profesional sebegitu tentu mencacatkan maruah guru. Harga diri guru jatuh sehina-hinanya di hadapan pelajar. Mereka yang belum dita’rifkan sebagai dewasa tidak mengerti erti aib dan maruah. Kepada mereka guru yang boleh dimarahi CEO bukan yang terbaik. Mereka mengundur diri dari menghormati guru. Dari mematuhi arahan guru. Mereka boleh sewenang-wenangnya mengadu kepada CEO. Kebenarannya belum tentu lagi sahih. Menghukum tanpa usul periksa juga kezaliman yang melampau. Jika semasa menjadi guru biasa dahulu dia pernah menerima situasi yang sama, jangan balas dendam. Hindarkan situasi itu berulang kepada orang lain.


CEO mestilah profesional jika dia hendakkan sekolahnya mencapai prestasi yang terbaik. Yang terbilang. Melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang.  Menjadi ketua bukan bekerja sendirian. Memanglah ada guru yang bersifat X. Perlu dikerah sepanjang masa. Tetapi ingat juga ada guru yang bersifat Y. Beri panduan sudah cukup. Semuanya beres. Ada pula yang bersifat X dan Y. Lihat situasi. CEO kenlah memainkan peranannya dengan saksama. Mesti tajam pemerhatian. Setiap seorang guru perlukan pemerhatian yang berbeza. Dibangunkan secara berbeza. Akhirnya guru yang sesuai dilambungkan ke paras yang setinggi mungkin. Apabila seorang CEO sekolah melahirkan ramai CEO-CEO baru di sekolah-sekolah lain maka namanya pasti gah. Dia berjaya membimbing bakal-bakal CEO dengan jayanya. Legasinya berkekalan. InsyaAllah. 

No comments:

Post a Comment