Friday, July 19, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Guru Yang Baik Guru Yang Mendidik



Anda guru baru? Saya tahu kerana anda ditugaskan mengajar di kelas yang hujung-hujung. Kelas yang dielakkan oleh guru-guru lama. Semua guru yang berpengalaman mengelak dari mengajar kelas-kelas tersebut. Jika terpaksa apa hendak dibuat. Kebektulan anda datang. Baguslah. Kelas itu diserahkan kepada anda. Malang? Mungkin. Suka? Gila rasanya jika mengatakan suka.   Saya juga tahu anda guru baru kerana selalu teragak-agak bila berada dalam kelas. Pelajar selalu mentertawakan anda kerana cara anda bercakap tidak sama dengan cara mereka bercakap. Mereka bercakap Melayu tetapi loghatnya berlainan. Intonasi suara mereka berlainan. Bunyinya berlainan. Dilema? Sudah tentu. Menyesal? Sedikit. Tetapi ini tugas penting. Berbakti kepada anak bangsa. Cita-cita suci yang ditanam di IPT dahulu. Pensyarah yang lunak suaranya menusuk memberi kata semangat untuk berbakti kepada negara. Kepada watan tercinta. Kepada tanahair yang di sini tumpah darah anda. Anak bangsa saya masih dahakan ilmu. Mereka menanti guru yang boleh digurui. Yang boleh digantungi harapan untuk menjadi pandai. Untuk nanti keluar dari kemelut kemiskinan. Kemelut kejahilan. Kemelut kedaifan. Guru yang diharap membawa sinar cahaya terang yang benderangnya memenuhi seluruh hati yang di dalam. Supaya penuh berisi. Supaya dada sesak dengan kepandaian.

Setiap tahun situasi begini berulang. Tidak kira dari institusi mana anda belajar untuk mendapatkan ilmu mengajar. Sekarang sampai masanya anda bersendirian. Tiada siapa lagi yang boleh anda harapkan. Andainya anda rapat dengan mana-mana pensyarah IPT anda dahulu bolehlah bermanja-manja meminta tip itu dan tip ini. Minta bantuan spiritual untuk menghadapi situasai yang mencemaskan ini. Bukan selalu cemas. Kadang-kadang lemas juga. Anda terlalu baru untuk memahami keadaan. Sebenarnya tanyalah semua guru yang sudah terlalu lama dalam profesionnya. Kesemua mereka sudah terlalu biasa melalui apa yang anda lalui sekarang. Rasanya pengetua anda pernah melalui zaman-zaman gelap seorang guru baru. Baiklah sekarang anda berhenti sejenak. Tarik nafas panjang-panjang. Sedut dalam-dalam. Pejam mata. Heningkan pemikiran. Perlahan-perlahan tanya diri anda sendiri. Jangan tanya orang lain. Tanya diri anda sendiri. Untuk apa anda berada di sekolah anda sekarang.  Tidak ada orang paksakan? Tiada siapa yang pandai-pandai menghantar anda ke sini. Anda dengan rela hati meminta jawatan. Meminta untuk bertugas walau di mana sekalipun. Demi negara. Demi cita-cita. Demi kelangsungan seorang warganegara yang besar cita-citanya. Menjadi seorang pendidik berwibawa. Menjungjung langit sambil bertapak di bumi.

Take stock. Fahami situasi sekarang. Anda seorang guru. Diberi beberapa subjek untuk diajar. Pada akhir tahun diwajibkan menghabiskan silibus. Memberi ujian dan peperiksaan kepada pelajar. Perlu ada markah sama ada yang hitam atau merah. Diminta membuat laporan berapa orang yang lulus dan berapa orang yang gagal. Dari mereka yang lurus berapa yang mendapat A, B, C dan D. Macam pernah dengar semua itu. Tetapi masalahnya semasa latihan tidak sesukar dengan situasi semasa. Itu latihan. Merasa secebis dari rempah ratus pendidikan. Rencah yang hanya sekadar dicicip untuk mengenalpasti duna pendidikan yang sebenar. Yang sekarang anda hadapi adalah realiti. Bukan latihan. Ingat:

1        Anda sudah terlatih.
2        Sudah dibekalkan dengan falsafah, pedagogi, sosiologi, psikologi, kaunseling dan teknik mengajar.
3        Sudah menjalani latihan mengajar selama satu semester.
4        Sudah pernah mengajar yang sebenar-benarnya walaupun dalam situasi yang terpilih.

Situasi sekarang:

1        Pelajar tidak pandai membaca.
2        Tidak pandai membaca.
3        Tidak berminat belajar.
4        Tidak mendengar arahan dengan betul.
5        Tidak menumpukan perhatian.
6        Anda lemas sendirian.

Do not despair. Jangan risau. Pandang ke hadapan. Lihat dinding bilik anda selama yang mungkin. Cuba lakarkan pada dinding itu gambaran setiap orang pelajar anda. Yang lelaki dan yang perempuan. Yang kemas pakaiannya dan yang tidak kemas. Yang suka bermain dan yang suka tidur. Yang malas dan yang agak rajin. Bermacam karekter. Bermacam lagak mereka. Lihat seorang demi seorang. Apa persamaan antara mereka. Apa perbezaan antara mereka. Ketepikan perbezaan itu buat sementar awaktu. Lihat kembali persamaan. Usia mereka hampir sama. Tubuh badan mereka hampir sama. Kebanyakan mereka anak petani, orang kampung, pedalaman, kawasan sesak, ibu dan bapa kurang berkemampuan. Katahuilah. Pelajar-pelajar anda sedang tenggelam perlahan-lahan. Anda datang sebagai penyelamat mereka. Penyelamat mereka. Kedatangan anda memang ditunggu. Bukan sahaja oleh pengetua, bahkan pelajar-pelajar. Mereka menanti seorang guru yang menjadi penyelamat diri mereka. Mereka tidak dilahirkan untuk berada dalam situasi begini. Mereka tidak mahu. Keadaan menempatkan mereka di kelas ini.

Sekarang anda tahu bahawa anda bukan sebarang guru. Guru yang membawa harapan kepada mereka yang tidak diberi harapan. Mungkin pengetua tidak memberi harapan. Mugkin guru-guru lain yang berpengalaman tidak memberi harapan. Mungkin ibu bapa sendiri tidak memberi harapan. Apabila anda datang jangan kuburkan harapan mereka. Di sinilah, di sinilah cabaran yang seharusnya anda lalui. Anda boleh menghabiskan silibus tetapi bukan seperti mengajar pelajar di kelas terbaik. Tugs anda bukan supaya mereka lulus periksa. Mereka lebih senang dapat memahami satu atau dua istilah. Boleh membina ayat yang mudah. Boleh membaca walaupun merangkak-rangkak. Mereka tahu ada guru yang membantu mereka. Bukan mengabaikan mereka. Cuba pada peringkat awal:

1        Kenalkan mereka nama-nama alat barangkali.
2        Nama-nama istilah.
3        Ejaan sesebuah alat atau istilah.
4        Ulang sesuatu proses seberapa banyak yang boleh. Tidak cukup tiga kali. Mungkin 10 atau 20 kali. Munkin lebih.
5        Cuba baca aritkel dari blog saya Menangani Pelajar Nakal dan komen-komen yang berkaitan dengannya.
6        Cuba rapat dengan pelajar. Bercakap secara peribadi dengan mereka. Di mana sahaja bertemu mereka tanya nama mereka. Minta mereka eja nama mereka. Secara spontan tanya nama alat atau istilah yang telah anda ajar.
7        Jangan tunjuk pandai. Jangan sekali-kali. Berkawan dengan mereka untuk menusuk hati mereka. Beri masa untuk membuahkan hasil.
8        Selalu beredar dari seorang kepada seorang yang lain. Tidak perlu beri kerja rumah. Hal-hal spontan lebih baik ditangani segera.


Cabaran ini mungkin berat. Jangan risau. Buat perlahan-lahan. Apabila kelihatan sedikit peningkatan, buat catatan. Setiap pelajar harus ada catatan atau fail peribadi anda sendiri. Catatkan kemajuan yang mereka buat. Aspek apa yang menarik mereka. Ia akan membantu anda membuat laporan akhir tahun jika diperlukan oleh pengetua. Bubuh gambar pelajar jika boleh. Setiap kemajuan tunjukkan kepada yang empunya diri. Biar mereka tahu anda hendak menolong mereka.  InsyaAllah anda akan menjadi guru yang disayangi oleh pelajar. Menjadi guru yang disegani. Cuma berhati-hati. Takut ada guru yang iri. Selalu merendah diri. Sedang mencari tapak untuk membina kerjaya yang profesional. Kecilkan diri sekecil-kecilnya. Biar yang kelihatan ialah hasil kerja anda. Bukan anda yang kelihatan membesar. Saya doakan anda berjaya.

No comments:

Post a Comment