Friday, July 19, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Di Manakah Kecintaan Kita Kepada Islam



Kita sedang berpuasa sekarang. Bulan ini bulan apa? Pastinya ada dua jawapan. Pertama mengatakan sekarang bulan Julai. Cukup? Cukup. Sekarang bulan Julai. Apa signifikannya bulan Julai? Setakat ini tidak ada. Bukan bulan Ramadahankah sekarang ini? Saya berpuasa Ramadhan. Bulan ini bulan Ramadhankah? Yang mana sebenarnya. Bulan Julai atau bulan Ramadhan. Isu ini mudah tetapi di mana kita sebenar-benarnya dalam isu ini. Dalam skop agama kita di mana. Penganut, pengamal atau pengikut. Jika kita mengaku Muslim, mengapa tidak tahu takwim Islam. Tidak merasa signifikannya bulan-bulan Islam kepada diri kita. Tidak merasakan besarnya bulan-bulan Islam yang kita tinggalkan itu. Kita terlalu selesa dengan bulan Masehi sehingga kita lupa hak yang dituntut ke atas kita. Hak seorang Muslim terhadap agamanya. Ramai yang mengingat 1 Januari, 14 Februari, 1 Mei, 31 Ogos dan 25 Disember. Itu belum hari guru, hari ibu, hari bapa, hari peladang dan hari-hari yang selalu disambut tanpa mengetahui hakikatnya. Ada hari-hari yang perlu kita sambut. Ada yang dikatakan haram disambut. Tetapi itulah yang galak disambut. Ikut trend. Maka apabila orang masuk lubuk anak-anak muda kita pun masuk lubuk juga. Yang lain dikatakan tiada signifikannya dari segi agama. Jadi sia-sia sahaja. Hari-hari yang tiada maknanya dalam agama.

Kita sudah terlalu mendarah daging dengan bulan-bulan yang namanya Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan Disember. Semuanya berkisar pada bulan-bulan itu. Hari lahir, ulangtahun, nikah kahwin, kenduri kendara, perjalanan, maulid dan banyak lagi perayaan Islam yang tidak dinisbahkan kepada bulan Islam. Kita tahu maulid al-Rasul pada 12 Rabiulawal tetapi kita sebut tarikh Masehinya. Hilang signifikan bulan Rabiulawal. Bulan padanya dilahirkan seorang Rasul akhir zaman. Penghulu kepada semua Rasul. Rasul yang padanya disempurnakan Islam dan Allah redha Islam menjadi agama umat Muhmmaad. Kalander kita kalander berasaskan tahun Masehi. Kiraan matahari. Penjajahan ekonomi dan minda terhadap umat Islam menghakis kecintaan kita terhadap tahun dan bulan hijrah. Pusing mana sekalipun kita kembali kepada tahun dan bulan Masehi. Apabila sesuatu itu diambil dari kita, maka kita kehilangannya. Kita sendiri membuat pilihan untuk menolak dari menggunakan tahun dan bulan Hijrah. Kita sebatikan diri kita dengan Masehi. Kerana itu kita semakin jauh dan menjauh dari semangat beragama. Mari kita lihat antara signifikannya bulan-bulan Islam:

Bil
Bulan
Signifikannya

1
Muharram
Nabi Musa AS selamat dari Firaun. (Firaun tenggelam di Laut Merah).
2
Safar
Banyak di kaitkan dengan Nabi Nuh AS
3
Rabiulawal
Kelahiran Rasulullah SAW
4
Rabiulakhir

5
Jamadilawal

6
Jamadilakhir

7
Rejab
Isra’ dan Mi’raj
8
Syaaban
Berubahnya qiblat dari mengarah ke Baitul Maqdis ke Makkah (Baitullah)
9
Ramadhan
Puasa
10
Syawal
Idilfitri                 
11
Zulkaidah
                            
12
Zulhijjah
Idiladha
Wukuf di Arafah
Ibadah Qurban


Bulan-bulan Syawal, Zulkaidah dan Zulhijjah adalah tiga bulan-bulan haji. Kita tahu 1 Muharram, 1 Syawal dan 10 Zulkaidah. Tarikh-tarikh yang lain kesemuanya sudah tiada nisbahnya kepada Islam. Mungkin bulan Ramadhan agak signifikan sebab panjangnya sebulan. Lama dirasa. Teringat lapar dan dahaga. Maka kita ingat puasa di bulan Ramadhan. Namanyapun puasa Ramadhan. Cuba bandingkan antara bulan-bulan Masehi dan bulan-bulan Hijrah. Kita perhati sama-sama. Hendak memulakannyapun suatu dilema yang besar. Hendak dilihat yang Masehi dahulu kemudian dilihat yang Hijrah. Atau dilihat yang Hijrah kemudian dilihat yang Masehi. Untuk itu sahaja kita sudah semakin payah hendak membuat keutamaan. Malang sungguh Islam. Menjadi terlalu tidak signifikan. Benarlah sabda Rasulullah, Islam asalnya dagang, ia akan kembali dagang. Maksudnya dari hina menjadi mulia. Dari mulia kembali menjadi hina. Apa sahaja yang dikaitkan dengan Islam dilihat tidak menarik. Sebab itu apabila kita menyambut hari-hari perayaan Islam kita selitkan dengan hal-hal yang tidak Islamik. Bukan Islamik. Jauh dari sifat Islamik.

Ramadhan ini cukup cantik. Siangnya kita berpuasa. Kita tidak mengumpat. Tidak melakukan yang haram seperti merokok. Sopan dan beradab terhadap agama. Petangnya kita berbuka. Kita bertarawih dan makan sahur sebelum solat Subuh. Allah mengatur Ramadhan Karim secantik-cantiknya. Ganjaran sahaja sepanjang bulan. Bulan yang penuh syahdu. Dirindu dan diharap datangnya. Ditangisi perginya. Dibimbingi tiada bersuanya lagi. Apa yang terjadi selepas berbuka puasa pada akhir Ramadhan? Cuba ingat kembali akhir Ramadhan yang berlalu banyak kali dalam hidup kita. Kita sibuk menyediakan lauk pauk. Bukan menambah ibadat. Kita sibuk membuat kuih. Bukan menambah pahala. Kita sibuk menghias rumah. Bukan menghias amalan kita. Kita sibuk menonton TV. Bukan cuba menonton serba kekurangan yang ada pada diri kita. Mungkin cacat puasa kita.  Kita terkinja-kinja mengikut irama. Bukan berzikir kerana mengagungkan Allah. Kita menonton drama dengan tangisnya. Kita tidak menangis kerana Ramadhan sudah tiada.

Besarnya signifikan bulan-bulan Hijrah tidak dapat disangkal lagi. Bulan Rejab umpamanya adalah bulan Rasulullah diisra’ dan mi’rajkan Allah. Dari Makkah ke Baitul Maqdis dan kemudianya ke langit. Untuk menerima perintah bersolat fardhu lima waktu sehari semalam.  Solat pula dijadikan tiang agama. Tanpa solat cacat segala-galanya. Cacat imannya. Cacat Islamnya. Malah solat menjadi penentu sama ada pahala kita dikira atau tidak. Di akhirat, tanpa solat semua pahala yang kita buat diabaikan begitu sahaja. Maknanya pahala solat dulu yang dikira. Yang lain-lain mengikut selepsanya. Pahala solat mendahului senarai. Tanpa pahala solat, senarai itu ditiadakan. Semasa mi’raj itulah adanya syahadah. Selawat. Tasyahud. Rasulullah secara hakiki mengadap Allah. Sebab itu apabila solat, cuba insafkan diri bahawa kita sedang memindahkan diri kita mengadap Allah seperti yang berlaku ketika Rasulullah mengadap Allah. Jika dapat kita lakukan begitu solat kita tentu lebih bermakna. Lebih khusyuk. Dalam istilah agama ianya disebut ihsan. Beribadat seolah-olah kita melihat Allah. Oleh kerana tidak mungkin kita melihat Allah, maka kita terbalikkan suasana. Allah melihat kita. Allah memerhati kita. Allah sentiasa bersama kita.


Jika kita  tidak kembali kepada segala-galanya yang berkait dengan Islam kita akan kehilangan semua yang bernilai dalam kehidupan kita. Usia kita dikira mengikut Hijrah. Bukan Masehi. Kita ingatkan bahawa usia kita masih panjang. Pada hakikatnya berbaki sedikit sahaja lagi. Kita mengira mengikut Masehi sedangkan usia ditentukan  Allah mengikut Hijrah. Lebih cepat ajalnya. Lebih cepat meninggalkan dunia yang terlalu kita cintai ini. Marilah kita kembali kepada mencintai semua yang Islamik. Orang tercari-cari yang Islamik. Ianya di hadapan mata kita. Al-Quran dan al-Haditah sentiasa menanti untuk dibaca. Ditafsir. Diamalkan perintahnya. Meninggalkan larangannya. Rujuk dan rapatlah dengan ulamak. Mereka mengerti tentang agama. Agama bukan hal main-main. Benar kubur masing-masing. Tetapi kubur kita orang yang gali. Kita dimandikan.  Bukan mandi sendiri sebelum mati. Kita dikapankan. Bukan berkapan sendiri. Kita disembahyangkan. Tidak mungkin kita sembahyang sendiri kerana kita sudah mati. Insafi peringatan yang selalu kita baca. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Benar, kubur lain-lain tetapi kubur kita orang tolong uruskan. Maka nasehat menasehati dalam perkara yang hak adalah suatu tanggungjawab besar kepada umat Islam. Dakwah yang selalu kita tinggalkan. 

No comments:

Post a Comment