Di
Canada baru saya amat mengerti apa sebenarnya erti hobi. Kesukaan untuk
suka-suka. Mengisi masa lapang yang santai. Mengubah dari rutin biasa yang
selalu menjemukan. Bagi setengah orang menjadikannya stress. Ketegangan yang selalu datang apabila hidup sampai ke tahap
burn-out. Lesu kerana berada dalam
situasi yang sama berulang-ulang. Variasinya tidak dicipta. Pengurusan bosan
dan burn-out tidak dicari. Dari zaman
anak-anak kita diperkenalkan dengan berbagai hobi. Rupanya hobi sanat diambil
berat oleh orang Barat. Orang Putih. Orang di negara maju. Orang kita, orang
Asia, orang Islam tidak menjadikannya sebagai sebahagian dari pentingnya hidup.
Ramai berpendapat hodi hanya membuang masa. Membuang wang. Membuang tenaga.
Membuang peluang-peluang lain yang mungkin tercipta. Ramai yang mengetahui
bahawa masa adalah emas. Bagaimana kita menterjemahkannya yang membezakan
antara kita dengan orang yang lebih advanced
budayanya.
Dalam
perjalanan ke Ottawa saya melihat dengan lebih dekat erti hobi. Canada adalah
sebuah negara yang sangat luas. Ramai juga penduduknya yang berada di kawasan
luar bandar. Bukan seperti kita, luar bandar bermakna hulu, jauh terperosok di
bukit, gunung dan sungai atau tasik. Di negara maju tempat tinggal bukan
menunjukkan perbezaan taraf hidup atau taraf sosial. Semua kemudahan
dihampirkan kepada mereka. Jalaraya jangan dibilang. Elektrik dan air adalah
keperluan asas. Di mana sekalipun mereka berkampung kesemua keperluan itu
disediakan untuk mereka. Hak setiap warganegara. Namun penduduk luar bandar di
Canada dan di Malaysia sagat jauh bezanya. Bak langit dan bumi. Cuba kita
pulang ke kampung. Atau tayang kembali dalam minda kita suasana di kampung. Apa
mereka buat sewaktu lapang. Bermain wau? Memancing? Bersembang? Paling banyak
barangkali. Kita kuat bersembang. Cerita yang berulang-ulang. Akademiknya hilang.
Fakta tidak dicari. Kenyataan tanpa bukti yang boleh dipercayai.
Tajuk
besar tidak pernah dibiasakan. Ancaman alam. Kelemahan pendidikan. Ekonomi yang
tidak mencukupi. Agama yang selalu disalah erti. Sosial yang semakin menakutkan.
Orang kampung selalu terbuang masanya. Tidak tahu apa yang seperlunya dilakukan
untuk mencari kelebihan kemahiran. Di Canada hobillah yang menyelamatkan mereka
dari hanya bersembang. Hampir setiap
rumah memiliki bengkel. Kesemuanya mengikut pilihan dan kesukaan mereka.
Penghuni rumah atau tanah menentukan jenis bengkel yang menjadi pilihan mereka.
Maksudnya mereka merealisasikan minat mereka dalam bentuk hobi. Bengkel itu
tidak perlu besar. Tidak perlu gah. Tidak perlu lengkap. Sekadar suka-suka.
Yang pentingnya mereka ada masa untuk dihabiskan memenuhi kehendak naluri
mereka. Mereka suka kepada sesuatu yang dibuat secara suka-suka. Suka-suka itu
lazimnya memberi manfaat untuk diri, keluarga, komuniti dan negara. Hobi menyumbang
kepada kesejahteraan masyarakat.
Asas kepada proses meniup gelas. Panas. Lembut. Mudah lentul. Kemahiran yang tinggi. Mereka yang berpengalaman boleh merekacipta berbagai-bagai bekas kaca atau gelas.
Warna bukan masalah. Ada bahan. Ada teknik. Ada komitmen. Ada kesungguhan.
Bagi botol yang besar perlu dibantu untuk memutar dan mengawal proses membesarkannya.
Aduhai. Berwarna-warni. Perlu dikembangkan di sini. Tentunya nanti memberi impak yang besar kepada industri pelancongan dan seni.
Orang kita tidak lagi melibatkan diri dengan hobi seperti ini. Alangkah baiknya jika ianya menjadi suatu aktiviti bermanfaat. Masa terisi. Hasilnya menawan. Dalam jangka panjang boleh mendatangkan kemewahan ekonomi.
Lihatlah betapa indahnya hasilan meniup gelas. Ia menjadi hasil seni.
Saya
sampai di bengkel meniup botol. Membuat
botol istilah orang Malaysia. Sukar hendak saya ceritakan kerana saya tidak mahir
dalam ilmu kejuruteraan. Apa yang saya lihat ialah botol dibuat melalui tiupan.
Kawalan udara, kawalan suhu dan kawalan gerakan menentukan kualiti botol atau
apa sahaja yang dibuat dalam bentuk gelas. Silica yang panas diadun dan
diletakkan di hujung sebuah laras panjang yang ditiup mengikut kemahiran
pelakunaya. Lebih mahir maka lebih baik hasilnya. Lebih halus. Lebih predictable. Berbagai bentuk botol yang
unik dibuat. Berbagai warna. Setiap satunya tidak pernah sama antara satu sama
lain. Meniup botol secara manual tentulah tidak dapat membangunkan sistem yang
mantap dan standard. Konsistensi yang mapan. Mungkin sengaja botol-botol itu
dicipta begitu supaya tercipta kelainan-kelainan mengikut selera. Bagi mereka
yang hasil kerjanya memusakan mereka boleh mengkomersilkannya pada harga yang
lumayan. Buatan tangan. Bukan buatan mesin. Bukan tool dan die. Bukan acuan tetap. Seronok juga melihat peniup botol
yang melakukan berbagai aksi untuk mengawal tiupan dan rekabentuk yang
dijangka. Begitu juga dengan kraf yang lain. Kebetulan sahaja di utara Amerika
ramai kaum Red Indian. Mereka sudah bukan lagi nomad. Tidak lagi memburu bison di Prairie. Ramai antara mereka terlibat mengkomersilkan kraf mereka.
Sepenuh masa mereka melakukan aktiviti memperbanyakkan kraf mereka.
Rasanya
terlalu banyak untuk disenaraikan. Cumanya saya ingin pindahkan kesemuanya ini
ke tanahair kita yang tercinta. Ramai orang kita tinggal di kampung. Tanah
mereka luas berbanding tanah bandar yang dikira mengikut meter persegi.
Alangkah bagusnya jika orang kampung diberi kemahiran yang boleh dijadikan hobi
yang komersil pada masa hadapan. Harus diintegrsikan dengan sistem persekolahan
supaya di sekolah guru-guru memberikan tumpuan kepada hobi yang diminati
pelajar-pelajar. Subjek kemahiran hidup tidak hidup di hati pelajar. Sains
rumahtangga tidak juga menjadikan orang perempuan di Malaysia terlibat dengan
industri butik atau pastry. Maaf.
Masih ramai yang banyak mengumpat. Barangkali kita sudah lupa kraf kita
sendiri. Mana gasing yang ligat. Mana barangan tembaga dari Terengganu. Kraf kayu
dari Kelantan. Bagi mereka yang biasa ke IKEA di Kuala Lumpur mungkin terlintas
untuk memperkembangkan kraf. Banyak barangan IKEA adalah hasil kraf individu
yang kreatif. Kreativiti menawan hati
dan citarasa. Dipasarkan ke seluruh dunia. Dikilang di negara yang kos buruhnya
paling rendah. Lazimnya Negara Cina. Kelebihan kraf yang ada melangkaui bangsa
dan budaya. Melampaui banyak aspek negara, iklim dan gaya hidup.
Tambahan
pula hobi tidak banyak membabitkan wang. Ramai orang yang tidak banyak membuang
wang dengan terlalu banyak melancong atau shopping
yang tidak menentu arah. Memenuhi minat melakukan hobi yang boleh dikomersilkan
mungkin akhirnya mendatangkan keuntungan. Banyak idea-idea luar biasa yang
dicapai melalui kegilaan kepada hobi. Kita di kampung Allah anugerahkan dengan
terlalu banyak bahan asli yang boleh mengambangkan hibi. Hobi pula jangan
terlalu terikat dengan standard. Apa orang buat kita tiru. Yang itu perlu
dielakkan kecuali masing-masing berkolaborasi untuk menkomersilkan produk
negara secara massa. Hobi lebih unik. Memenuhi minta yang santai. Yang tercipta
ialah hasil seni. Bukan komersil. Kita harus tahu membezakan antara
kedua-duanya. Pada ketika-ketika tertentu kita melihat banyak kegilaan yang
panas-panas suam. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada. Gila yang
tersekat-sekat. Tidak lestari dan berkesinambungan. Tidak salah kita meneroka
hal-hal yang bernilai sejagat. Namun begitu idea kecil dan seni yang bermanfaat
juga boleh mengisi ruangnya sendiri. Orang kita banyak potensi ke arah itu. Budayanya
kena betul. Falsafah hidup perlu disesuaikan. Pemikiran mesti dibuka untuk
menerima perubahan. Hati dan nurani mesti mencintai masa dan kerja. Demi masa.
No comments:
Post a Comment