Tuesday, October 9, 2012

Cleaveland: Mengetahui Aturan Perjalanan Dunia


Cleveland di US. Dari Narita kami singgah di Cleveland. Ada sesuatu yang saya rasa mengelirukan. Kami hendak ke Canada. Destinasi kami ialah Toronto. Saya sendiri berasa terkejut kerana bagasi kami diperiksa di Cleveland. Passport kami dicop di Cleveland. Kami belum mendarat di Toronto. Kami belum sampai di Canada. Bumi Canada belum kami pijak. Apa sebenarnya implikasi politiknya. Implikasi pentadbiran kedua negara itu. Banyak persoalan yang berlegar di minda saya.  Kali pertama ke US dahulu saya tidak melalui pengalaman begitu. Mungkin kerana saya dan keluarga memang ke US. Tidak singgah untuk ke negara lain. Di negara orang ikut sahaja apa yang diperlukan. Itu peraturannya. Mungkin ada kesepakatan antara mereka. Sebagai pengembara kita ikut sahaja. Namun sebagai orang yang sedikit tahu saya tertanya-tanya sendiri dalam hati. US jadi big brother kepada Canada. Sistem hidup dan pentadbiran mereka mirip antara satu sama lain.

Dalam kesibukan mengurus bagasi dan mengurus diri ada seorang guru yang dibawa masuk ke kamar imigresen. Untuk proses soalsiasat. Lama baru saya sedar. Itupun ada guru lain yang memaklumkan. Saya bukan ketua rombongan. Seingat saya memang tidak ada ketua rombongan. Kementerian Pelajaran yang menghantar kami tidak berbuat begitu. Menyalahi sunnah. Apabila sekumpulan manusia  berjalan jauh maka seorang daripada mereka hendaklah dilantik sebagai ketua.  Saya lihat seorang pegawai imigresen keluar masuk pejabatnya. Seperti ada kes. Lalu saya mendekatinya dan bertanya.  
What’s the probloem officer?
This guy is going to Canada. But he has no visa.
Sorry officer. We’re from one Commonwealth country to another Commonwealth country. We need no visa.
Are you sure?
Yes, I’m positive!
Let me check.
Dia menghilang. Menyemak fakta agaknya. Tidak lama kemudian dia keluar semula.
Ok. I guess you’re right. Jawapan yang nantikan.

Lega saya. Rakan tadi dibenarkan keluar. Pucat lesi wajahnya. Mungkin dia ditanya. Hendak ke Canada tetapi tiada visa tercatat pada passportnya. Visa ke US ada. Ke Canada tiada. Kita bersekolah tetapi kadang-kadang kita tidak tahu keperluan perjalanan antarabangsa. Sebab itu kita perlu banyak membaca. Mendapatkan maklumat. Mengetahui banyak perkara. Jika dalam negara banyak peraturan yang perlu dipatuhi inikan pula di luar negara. Sebagai warganegara kita perlu mengetahui peraturan bernegara. Perjalanan antarabangsa. Hubungan diplomatik. Protokol antarabangsa. Dan banyak lagi.

Persoalan saya tadi ialah mengapa bagasi kami diperiksa di Cleveland. Mengapa passport kami dicop di Cleveland. Soalan berikutnya ialah ‘Adakah Canada sebahagian daripada negara Amerika Syarikat?’ Setahu saya Hawaii yang terakhir menjadi sebahagian US. Bukan Canada. Saya dapati implikasainya setelah berada di Toronto selepas kira-kira sebulan. Banyak yang menyukarkan perjalanan antarabangsa jika tidak mengetahui peraturannya. Ramai orang yang ditahan tidak dapat memberi penjelasan. Tidak tahu apa yang hendak dijelaskan. Ibu pejabat tidak pula terfikirkan perkara begitu. Mengandaikan guru-guru juga sudah tahu. Berpengalaman sebagai pendidik. Maaflah kita selalu terikat dengan tugas kita hingga tidak keluar dari kepompong kita. Tidak mengetahui apa yang berlaku di luar lingkungan kita sendiri.

Penerbangan ke Cleveland merentasi Kutub Utara. Pandanglah globe yang bulat di atas meja. Jalan pintas paling dekat dari Narita ke Cleveland merentasi sebahagian angkasa Canada. Di bawah tentulah sejuk. Di udara kita tidak tahu di mana kita berada. Juruterbang dan navigatornya mengetahui kedudukan. Pramugara dan pramugari juga tahu. Penumpang ramai tidak tahu. Di dalam kapalterbang kita leka dengan diri sendiri. Mungkin membaca. Mungkin menonton TV. Mungkin mendengar radio. Atau mungkin tidur memanjang. Biasalah bagi pengembara jauh terasa jet lag. Sakir segala sendi. Dudak berjam-jam di kerusi yang sempit. Kaku tanpa bebas membuat banyak pergerakan. Sekali sekala berjalan di sepanjang aisle. Atau ke bilik air. Meregang otot kaki yang kaku. Melihat keluar hanya ruang kosong. Melihat ke bawah hanya awan yang menutupi ruang udara bumi.

Dalam rasa kagum berada di udara tersemat juga rasa takut. Seperti kengerian. Banyak berdoa. Mohon selamat. Perjalanan yang jauh dimudahkan. Penerbangan yang tinggi diselamatkan. Bagi mereka yang terbang tinggi banyak pengalaman suka duka di dalam kapalterbang. Begtu juga di lapanganterbang. Dari bawah kita selalu kagum apabila ada kapalterbang melintas. Di lapanganterbang kita kagum berbaris-baris kapalterbang menunggu giliran penerbangan. Rasanya kadang-kadang menaiki bas ekspress lebih selesa. Ruang penumpang lebih luas. Boleh bergerak kaki dan tangan. Boleh menggeliat sesuka hati. Tidak dalam kapalterbang. Semuanya terbatas. Lemas kadang-kadang. Bagi mereka yang terbang dalam kelas business atau kelas pertama tentulah berbeza. Hanya yang kaya merasanya. Hanya yang tinggi pangkatnya merasai pengalaman itu. Yang lain berangan-angan sahaja.

Terbang meletihkan juga. Pertukaran waktu melupakan waktu tidur dan jaga. Kita tidak tahu bila untuk tidur dan bila untuk jaga. Bagi yang lalai banyak waktu solat yang diabaikan. Bila waktunya  tidak diketahui. Untuk bertanya tidak mungkin. Kapalterbang itu seperti sebuah negara asing. Belajarlah mengenal waktu apabila terbang jauh tinggi di udara. Jangan lupa agama. Allah ada bersama kita selalu.

2 comments:

  1. Banyaknya pengalaman tuan.

    fg

    ReplyDelete
  2. Sebenarnya kita semua memilik pengalaman yang banyak. Berbeza antara satu sama lain. Beranikan diri untuk menulis secara jujur. Nyatakan pengalaman sebenar. Bukan fiksyen. Beri nilai. InsyaAllah ramai yang berkongsi dengannya.

    ReplyDelete