Wednesday, October 17, 2012

Orang Putih Yang Tidak Putih


Kebijaksanaan seperlunya disertai dengan pengalaman. Peribahasa Melayu mengatakan sibodoh makanan si cerdik. Begitulah yang celik menjadi raja ke atas yang buta. Dalam dunia in tiada siapa yang pedulikan kita tanpa ada ilmu. Tanpa ada kemahiran. Tanpa ada maklumat. Negara kita mengejar kemajuan.  Namun masih ramai orang kita yang tertinggal dari segi pendidikan. Masih ramai yang diperlukan dalam berbagai bidang profesional. Arkitek masih kurang. Akauntan masih banyak kosong. Kejuruteraan masih banyak yang diperlukan dalam bidang-bidang yang khusus. Begitu juga doktor perubatan. Pakar-pakar perubatan berbagai bidang. Senarainya panjang. Usahanya ada. Motuvasinya juga ada. Tapi sejak beberapa lama kekurangan orang kita dalam bidang profesional masih terus berlaku.

Ramai anak kita berada di Korea dan Jepun dalam Program Pandang Ke Timur. Negara yang terkehadapan dalam kemauan teknologi. Usaha gigih mereka melepaskan diri dari belenggu perang. Dari belengu kemiskinan. Belenggu kejahilan ilmu. Sekarang Jepun dan Korea menjadi lebih maju berbanding dengan negara lain di rantau Asia. Maka diadakan Program Pandang ke Timur. Kenapa ke Barat jika orang Timur memiliki kelebihan yang boleh diminta kongsi. Yang boleh melimpahkan rasa kekitaan sesama orang Asia. Benarkah begitu? Program ke Barat masih terus dilaksanakan. Anak-anak kita keluar menerobos dunia luar yang berbagai. Di semua negara maju anak kita ada di sana. Paling ramai tentulah di Amerika Syarikat, Great Britain dan Australia-New Zealand. Jangan lupa anak kita ada di canada, Perancis, Germany, Spain, Italy, Poland, Russia, Mesir, Jordan, Indonesia, Arab Saudi, India, Cina dan berbagai negara lain. Mereka akan kembali dan mewarnai negara dengan kepelbagaian ilmu, kemahiran dan maklumat. Mereka menjadi acuan yang perlu diadun pula menjadikan mereka ramuan kejayaan masa hadapan negara.

Dalam pendidikan suka bertanya adalah amalan belajar yang dikira antara yang terbaik. Bertanya mungkin secara lisan. Secara hati. Secara ingin tahu. Di sini anak kita ada masalah. Anak-anak kita tidak dilatih untuk suka bertanya. Suka ambil tahu. Berminat mengetahui. Menjadi orang bermaklumat. Rajin membaca. Suka berdiskusi. Suka berhujjah. Anak-anak kita dibesarkan untuk tidak banyak bercakap. Tidak banyak bertanya. Akibatnya mereka hanya menerima apa yang disuapkan oleh ibu bapa. Yang disuap oleh guru. Oleh media. Oleh rakan sebaya. Tidak ada soalan menyanggah. Soalan yang menimbulkan keraguan.  Anak-anak diprogram supaya menerima apa yang diberi oleh mereka yang lebih berumur. Yang lebih berkuasa. Yang lebih tinggi kedudukannya. Yang lebih lama hidup. Yang sudah banyak makan garam. Maka terdapat kelesuan berfikir. Keterbatasan bertanya. Ingin tahu yang selalu dipendam sendiri. Mengambil jalan jauh untuk mendapat jawapan.

Ilmu, kemahiran dan maklumat adalah aset negara yang mahal. Tiada negara yang dengan sewenang-wenangnya melepaskan ketiga-tiganya kepada orang lain. Yang berada pada tahap umum mungkin tiada masalah. Yang pada peringkat tinggi pasti disembunyikan. Pasti diselindungkan. Itu aset negara mereka. Kita dengan mudah ingin mendapatkannya. Program-program kerjasama diadakan. Namun hakikat pemilikan aset itu tidak dapat dielakkan. Semua orang sayang dengan aset yang mereka ada.   Bukan mudah mendapatkannya. Mereka memilikinya setelah berusaha bersusah payah. Ibarat pokok, kita hanya ingin memetik buahnya sahaja. Kita latih anak-anak kita untuk memetik buah. Kita tidak mengajar anak kita cara berkebun. Cara membaja pokok. Cara melebatkan buah.  Kita tidak ajar anak kita tentang cara yang susah. Semuanya hendak cepat kaya. Atau cepat muflis. Kerana keduanya berlawanan.

Di Canada saya menemui permasalahan begitu. Sebelum saya berangkat ke sana saya dan teman-teman yang lain telah diberi taklimat. Diberi maklumat. Diberi jadual belajar. Rasanya jika kesemuanya dilaksanakan kehidupan dalam kursus itu pasti menyeronokkan walaupun mungkin keletihan. Harapan saya meleset. Sangkaan saya tersasar. Setelah tamat sesi orientasi di Seneca College of Applied Technology, seorang pegawai yang menguruskan kami di Toronta bertanya,
“Well, I know Friday is off for you. Is there any other day that you want off?
Menyirap darah saya dengan pertanyaan itu. Saya bertanya kembali,
“I thought everything was finalised in KL?”
‘Nah! Put that aside. What do you really want to do?
Suatu alasan untuk meringankan beban tanggungjawab kontrak yang telah dipersetujui. Friday off bermakna hanya bekerja selama empat hari bagi kami dari Malaysia. Jumaat, Sabtu dan Ahad. Mereka beruntung. Kita rugi. Wang itu pula pinjaman dari Bank Dunia. Itu baru satu cerita. Semua bangsa yang berurusan di peringkat antara bangsa melakukannya. Mereka mengekalkan sifat kedekut. Tamak. Tidak banyak membantu. Meremehkan apa yang kita mahu. Hanya pegawai-pegawai yang tegas sahaja diperlukan untuk berurusan di peringkat antarabangsa.

Itu dialog di Toronto, Canada. Mungkin itulah yang berlaku di Jepun dan Korea. Mereka tidak mudah memindahkan teknologi mereka melalui anak-anak kita. Jika anak kita rajin bertanya, banyaklah yang mereka dapat. Jika mereka pemalu maka seganlah ilmu yang mereka ada. Mereka lulus tetapi sekadar lulus sahaja. Tiada kepujian atau kecemerlangan. Kalimah mumtaz tidak Sekadar cukup-cukup untuk lulus dalam keadaan daif ilmu. Daif kemahiran. Daif maklumat. Belajar bukan sekadar lulus ilmu. Itu hanya satu aspek. Ramai orang ingin melihat kertas. Kertas sahaja tidak memadai kerana akhirnya yang ingin diterjemahkan ialah keupayaan membina negara. Membina bangsa. Membina ummah. Kita perlukan orang-orang yang boleh merealisasikan impian dan hasrat negara. Sekadar kertas tanpa isi tentulah melemaskan sahaja jadinya.

Tidak ada bangsa yang dengan rela hati ingin menyerahkan segala khazanah negaranya kepada bangsa lain. Ilmu, kemahiran dan maklumat adalah vital kepada survival sesebuah negara. Walaupun anak-anak kita berada di negara mereka tidak smestinya mereka akan membawa pulang semua yang diperlukan. Technology transfer tidak semudah yang kita sebut antara dua bibir. Ia bukan di lidah. Ia adalah kerelaan melepaskan sesuatu yang berharga kepada sesuatu bangsa untuk dipindahkan kepada bangsa lain. Atau dikongsi  ikmatnya dengan orang lain. Hatta dibayar mahal sekalipun ada teknologi yang tidak sedia dikongsi. Kerana itu kita seharusnya melatih anak-anak kita dengan sifat inquisitive. Meneroka semua bidang kerana ingin mengetahui. Akademik yang dasar. Matlamatnya ialah untuk kesejahteraan bangsa pada masa hadapan. Terkehadapan dalam teknologi. Taraf pendidikan yang tinggi.  Biarkan mereka mencari jawapan kepada soalan mengenai apa, siapa, bila, di mana dan bagaimana selalu menjadi panduan membuat aktiviti untuki maju ke hadapan. Jangan sekat mereka. Jangan benarkan mereka berhenti dari mencari jawapan-jawapan lain. Aspek siapa lagi, di mana lagi, bila lagi, apa lagi, teknologi baru semuanya dicari jawapannya. Ibu bapa perlu memahami berbagai aspek pendidikan, teknologi, politik, ekonomi, hubungan antarabangsa, agama dan sosiologi. 

Mulai sekarang didiklah anak-anak supaya rajin bertanya. Jawablah secara profesional. Ibu bapa hendaklah banyak belajar lagi. Banyak yang tidak diketahui. Banyakkan belajar lagi. Banyak  bidang yang belum diketahui. Anak-anak kita cepat mengetahui melalui teknologi. Internet dan gadget lain terlalu banyak dan memudahkan. Maksudnya ibu bapa hendaklah terkehadapan bebanding dengan anak-anak mereka. Ibu bapa tidak boleh diperlekehkan oleh anak-anak. Anak-anak perlukan panduan. Mereka dahagakan nasihat. Mereka perlukan ibu bapa yang banyak tahunya. Yang banyak maklumatnya. Yang selalu membantu menyelesaikan banyak permasalahan anak-anak. Ibu  bapa perlu memberi jalan yang luas, panjang dan mudah dilalui. Jangan disemakkan laluan anak untuk membesar. Untuk mengetahui.

Budaya kita hendaklah diubah. Amalan menyisihkan anak-anak dari arus perbincangan hendaklah ditukar. Banyak duduk bersama. Bersembang bersama. Ajak mereka berbincang. Tanya dirinya. Sukanya. Tidak sukanya. Harapannya. Cita-citanya. Ke mana arah tujunya. Apa yang boleh dibantu secara fizikal. Secara spiritual. Secara psikologi. Dalaman anak-anak yang selalu hendaklah dijengah. Ditinjau kosong dan isinya. Keutamaan pilihannya. Ibu bapa hendaklah melihat sebarang diviasi yang mungkin . kelainan dari kebiasaan yang perlukan bantuan. Yang paling baik ialah anak-anak yang laluan hidupnya tanpa hgangguan. Biarlah ia membangunkan dirinya secaa fitrah dan izin Allah. Ibu bapa membantu melancarkan jadual keluarga dan dirinya.

Tuesday, October 9, 2012

Cleaveland: Mengetahui Aturan Perjalanan Dunia


Cleveland di US. Dari Narita kami singgah di Cleveland. Ada sesuatu yang saya rasa mengelirukan. Kami hendak ke Canada. Destinasi kami ialah Toronto. Saya sendiri berasa terkejut kerana bagasi kami diperiksa di Cleveland. Passport kami dicop di Cleveland. Kami belum mendarat di Toronto. Kami belum sampai di Canada. Bumi Canada belum kami pijak. Apa sebenarnya implikasi politiknya. Implikasi pentadbiran kedua negara itu. Banyak persoalan yang berlegar di minda saya.  Kali pertama ke US dahulu saya tidak melalui pengalaman begitu. Mungkin kerana saya dan keluarga memang ke US. Tidak singgah untuk ke negara lain. Di negara orang ikut sahaja apa yang diperlukan. Itu peraturannya. Mungkin ada kesepakatan antara mereka. Sebagai pengembara kita ikut sahaja. Namun sebagai orang yang sedikit tahu saya tertanya-tanya sendiri dalam hati. US jadi big brother kepada Canada. Sistem hidup dan pentadbiran mereka mirip antara satu sama lain.

Dalam kesibukan mengurus bagasi dan mengurus diri ada seorang guru yang dibawa masuk ke kamar imigresen. Untuk proses soalsiasat. Lama baru saya sedar. Itupun ada guru lain yang memaklumkan. Saya bukan ketua rombongan. Seingat saya memang tidak ada ketua rombongan. Kementerian Pelajaran yang menghantar kami tidak berbuat begitu. Menyalahi sunnah. Apabila sekumpulan manusia  berjalan jauh maka seorang daripada mereka hendaklah dilantik sebagai ketua.  Saya lihat seorang pegawai imigresen keluar masuk pejabatnya. Seperti ada kes. Lalu saya mendekatinya dan bertanya.  
What’s the probloem officer?
This guy is going to Canada. But he has no visa.
Sorry officer. We’re from one Commonwealth country to another Commonwealth country. We need no visa.
Are you sure?
Yes, I’m positive!
Let me check.
Dia menghilang. Menyemak fakta agaknya. Tidak lama kemudian dia keluar semula.
Ok. I guess you’re right. Jawapan yang nantikan.

Lega saya. Rakan tadi dibenarkan keluar. Pucat lesi wajahnya. Mungkin dia ditanya. Hendak ke Canada tetapi tiada visa tercatat pada passportnya. Visa ke US ada. Ke Canada tiada. Kita bersekolah tetapi kadang-kadang kita tidak tahu keperluan perjalanan antarabangsa. Sebab itu kita perlu banyak membaca. Mendapatkan maklumat. Mengetahui banyak perkara. Jika dalam negara banyak peraturan yang perlu dipatuhi inikan pula di luar negara. Sebagai warganegara kita perlu mengetahui peraturan bernegara. Perjalanan antarabangsa. Hubungan diplomatik. Protokol antarabangsa. Dan banyak lagi.

Persoalan saya tadi ialah mengapa bagasi kami diperiksa di Cleveland. Mengapa passport kami dicop di Cleveland. Soalan berikutnya ialah ‘Adakah Canada sebahagian daripada negara Amerika Syarikat?’ Setahu saya Hawaii yang terakhir menjadi sebahagian US. Bukan Canada. Saya dapati implikasainya setelah berada di Toronto selepas kira-kira sebulan. Banyak yang menyukarkan perjalanan antarabangsa jika tidak mengetahui peraturannya. Ramai orang yang ditahan tidak dapat memberi penjelasan. Tidak tahu apa yang hendak dijelaskan. Ibu pejabat tidak pula terfikirkan perkara begitu. Mengandaikan guru-guru juga sudah tahu. Berpengalaman sebagai pendidik. Maaflah kita selalu terikat dengan tugas kita hingga tidak keluar dari kepompong kita. Tidak mengetahui apa yang berlaku di luar lingkungan kita sendiri.

Penerbangan ke Cleveland merentasi Kutub Utara. Pandanglah globe yang bulat di atas meja. Jalan pintas paling dekat dari Narita ke Cleveland merentasi sebahagian angkasa Canada. Di bawah tentulah sejuk. Di udara kita tidak tahu di mana kita berada. Juruterbang dan navigatornya mengetahui kedudukan. Pramugara dan pramugari juga tahu. Penumpang ramai tidak tahu. Di dalam kapalterbang kita leka dengan diri sendiri. Mungkin membaca. Mungkin menonton TV. Mungkin mendengar radio. Atau mungkin tidur memanjang. Biasalah bagi pengembara jauh terasa jet lag. Sakir segala sendi. Dudak berjam-jam di kerusi yang sempit. Kaku tanpa bebas membuat banyak pergerakan. Sekali sekala berjalan di sepanjang aisle. Atau ke bilik air. Meregang otot kaki yang kaku. Melihat keluar hanya ruang kosong. Melihat ke bawah hanya awan yang menutupi ruang udara bumi.

Dalam rasa kagum berada di udara tersemat juga rasa takut. Seperti kengerian. Banyak berdoa. Mohon selamat. Perjalanan yang jauh dimudahkan. Penerbangan yang tinggi diselamatkan. Bagi mereka yang terbang tinggi banyak pengalaman suka duka di dalam kapalterbang. Begtu juga di lapanganterbang. Dari bawah kita selalu kagum apabila ada kapalterbang melintas. Di lapanganterbang kita kagum berbaris-baris kapalterbang menunggu giliran penerbangan. Rasanya kadang-kadang menaiki bas ekspress lebih selesa. Ruang penumpang lebih luas. Boleh bergerak kaki dan tangan. Boleh menggeliat sesuka hati. Tidak dalam kapalterbang. Semuanya terbatas. Lemas kadang-kadang. Bagi mereka yang terbang dalam kelas business atau kelas pertama tentulah berbeza. Hanya yang kaya merasanya. Hanya yang tinggi pangkatnya merasai pengalaman itu. Yang lain berangan-angan sahaja.

Terbang meletihkan juga. Pertukaran waktu melupakan waktu tidur dan jaga. Kita tidak tahu bila untuk tidur dan bila untuk jaga. Bagi yang lalai banyak waktu solat yang diabaikan. Bila waktunya  tidak diketahui. Untuk bertanya tidak mungkin. Kapalterbang itu seperti sebuah negara asing. Belajarlah mengenal waktu apabila terbang jauh tinggi di udara. Jangan lupa agama. Allah ada bersama kita selalu.

Narita Oh Narita


Narita bukan nama wanita Melayu. Barangkali nama Jepun. Jantinannya saya kurang pasti. Mungkin lelaki. Buat kali kedua saya transit di situ dalam perjalanan ke Canada. Pada tarikh itu 31 Ogos 1990 lapaganterbang Narita agak sunyi. Tidak seperti bulan Disember 1984 sewaktu saya ke US dahulu. Sibuk mereka hendak merayakan krismas. Dahulu terbang pada kali pertama banyak mengujakan. Semuanya pengalaman mengindahkan pengalaman. Letih lesu dipendam. Digantikan dengan pandangan-pandangan yang belum pernanh ditatap. Paparan hidup manusia berbagai tempat. Berbagai adat. Berbagai gelagat. Pengalaman memperkayakan diri. Sesuatu untuk anak-anak. Perjalanan mereka yang semakin jauh melintas waktu, benua, adat resam dan etika antarabangsa.

Gembira juga dapat menjejak kaki di Jepun. Tetapi kali ini tidak seindah dahulu. Bersama anak-anak saya ditempatkan di hotel melebihi 24 jam. Connecting flight yang dijadualkan pada esoknya. Dapat juga sampling Japanese life. Japanese food. Japanese hospitality. Kali ini saya dalam tugas rasmi tetapi laluan ke Canada tidak seperti pegawai tinggi. Hanya biasa-biasa sahaja. Teransit di Narita selama 8 jam memeritkan. Kami hanya boleh berlegar di lapaganterbang itu sahaja. Terlalu tersekat untuk banyak bergerak. Tidak tahu di mana tempat duduk yang paling selesa. Tidka tahu hendak makan apa. Tidak tahu hendak minum apa. Pegawai rendah bila ke luar negara tidak banyak berbekal wang. Ada sedikit-sedikit ditinggalkan untuk keluarga dai rumah. Pergi tiga  bulan menuntut juga perancangan untuk isteri dan anak-anak. Sementelahan pula isteri saya tidak bekerja.

Makan juga apa yang rasanya halal. Minum kopi beberapa teguk yang nilainya lebih RM10. Itulah nilai antarabangsa. Dibayar dengan USD. Dollar Amerika. Wang yang diterima antarabangsa walaupun kata pakar nilai sebenarnya tiada. Amerika sudah muflis. Mereka mencetak wang tanpa sandaran emasa. Teori yang tidak dipraktikkan. Perjanjian Bretton Wood yang selalu dimanipulasi Amerika untuk kepentingan dirinya. Ilmu tinggi yang disusup di bawah. Kuasa besar yang mendominasi manusia sejagat. 8 jam di Narita tentulah memeritkan. Badan letih lesu. Berjalan sekadar melepaskan pandangan. Kerana tidak tahan cari juga kerusi panjang untuk beradu. Malang sungguh kerusi yang ada semunya mungkum. Sukar hendak tidur menelentang. Tidur menyandar  terasa sakit tengkuk. Cari akal. Fikir sedikit. Susun beg untuk mengampu badan. Tidur juga berdengkur melepas lelah. Sampai di Narita jam 8.30 pagi. Connecting flight jam 3.30 petang. 8 jam yang terlalu lama.

Teman-teman seperjalanan ramai yang dari sekolah vokasional. Mereka dijadualkan mengikuti kursus-kursus teknikal di beberpa kolej komuniti di Toronto, Ontario, Canada. Bunyinya gah juga. Tempatnya gah. Nama-namanya gah. Toronto di Ontario. Ditepi tasik besar Amerika Utara. Ontario, Huron, Erie, Michigan dan Superior. Toronta di tepi tasik Ontario. State of Ontario. Saya suka iklan Ontario. Pada plet kereta mereka tertulis ’Ontario, yours to discover’. Sukar hendak menterjemahkannya. Catchy. Punchy. Down to earth. Ontario yang banyak indahnya. Banyak yang boleh diteroka. Ontario, here I come. Malangny adi Narita perit saya belum habis. Dalam tidur itu mungkin saya bermimpi berada di Toronto. Entah bagaimana rupa wajahnya. Lanskapnya. Strukturnya. Pencakar langitnya. Mungkin ada kelainan berbanding Pittsburgh, Washington dan New York.

Ramai international traveller yang kadng-kadang tidak peka dengan peraturan antarabangsa. International protocol. International prosedure. Merak menganggap luarnegara seperti negara sendiri. Antara yang selalu diabaikan ialah pengenalan diri. Di dalam negara kad pengenalan wajib perlu berada pada diri kita sewaktu keluar rumah. Pengenalan diri jika perlu diketahui. Macam-macam boleh berlaku di luar rumah. Tiada siapa yang tahu. Malang selalu tidak bebau. Di luar negara lagilah lebih tnggi keperluannya. Orang tidak kenal kita. Tanpa passport kita bukan siapa-siapa. Takut pula dianggap orang tanpa negara. Sesat dalam perjalanan antarabangsa. Banyak sukarnya untuk diselesaikan. Diplomasi antarabangsa. Itulah yang terjadi kepada seorang rakan yang tidak peka. Ia bersiar-siar di Narita tanpa membawa passport.

Biasalah untuk kali pertama di negara orang teringin juga merayau. Meninjau-ninjau. Melihat apa-apa yang lain. Yang tiada di negara sendiri. Dalam leka bersiar terlalai melihat sekatan dan sempadan antara satu ruang dengan ruang yang lain. Memasuki satu ruang tiada masalah. Hendak keluar dari ruang itu perlukan pengenalan diri. Pekerja ada pas keluar masuk. Pemgembara tentulah perlukan passport. Rakan tadi yang seorang guru berjalan tanpa passport di badan. Dia ditahan tanpa pengenalan. Nasib baik ada yang melalui kawasan itu. Berkejar rakan lain mengambil passportnya. Jika tidak tentu dia ditahan sebagai alien. Tanpa pengenalan diri. Tentu sekali banyak payahnya. Ceritanya nanti berjela-jela. Apabila berada di luar negara passport hendaklah sentiasa bersama. Bila perlu ada pengenalan diri.

Passport bukan sahaja untuk melepasi imigresen. Bukan untuk masuk dan keluar dari sesbuah negara. Ia pengenalan diri yang sebenarnya bagi pengembara antarabangsa. Di bank mereka minta passport kita. Di kedai sewaktu menggunakan cek mereka perlukan passport kita. Banyak tempat yang memerlukan kita menggunakan passport. Itu pengenalan kita. Perlu sentiasa berada dalam poket. Dalam beg. Perlu berada pada badan kita. Bila berda di luar negara sentiasa ingat bahawa tidka ada orang yang kenal kita. Saudara mara jauh di Malaysia. Rakan taulan tiada bersama. Passport itulah teman sejati kita. Tanpanya kita bukan siapa-siapa. Cerita di lapanterbang ada lagi yang lebih parah. Nantikan cerita saya di Cleveland nanti. Connecting flight yang kedua sebelum dapat menjejak kaki di Toronto.

Mulakanlah Kehidupan Berumahtangga Pada Aras Tinggi


Pernikahan bukan pengakhiran suatu episod hidup. Ia hanya sebahagian kecil dari rentetan episod yang banyak bertali-tali arusnya. Panjang dan lama. Dulu ada cinta monyet yang tidak pernah kekal. Mainan perasaan anak-anak yang menjelang remaja. Sewaktu muda cinta datang dan pergi. Yang dicari ialah pautan hati. Tidak ada yang kekal juga kerana usia menambahkan kerumitan memilih. Aspirasi dan idealism berubah. Pilihan juga berubah. Gadis pilihan tidak pernah serupa. Lelaki pilihan juga begitu. Yang mana. Yang mana. Sukar menentukan pilihan teman hidup yang secocok dalam semua keadaan. Hati mungkin berkenan tetapi keluarga berlainan pendapat. Hidup penuh dengan paradoks. Banyak yang ironis. Tidak mungkin seseorang itu menjadi idealis. Mungkin boleh berfalsafah. Untuk mendapat yang terbaik banyakkan berdoa.

Sekarang sudah sampainya masa yang terlalu lama dinanti. Masa yang banyak melimpahkan airmata. Itu belum tidur yang tidak lena. Makan yang sukar kenyangnya. Mandi yang tidak terasa basahnya. Semua menjadi tidak kena.  Siang yang suram. Malam yang kelam. Cahaya selalu terlalu jauh untuk menerangi. Hati rindu tiada penawar. Ngilu rindu yang berbalam-balam. Sebak gundah yang berbelah bagi. Kini cincin sudah disarung di jari manis belahan hati. Dahi licin yang dulu hanya kerinduan sudah dikucup indah. Terasa terbang semangat yang tidak seberapa. Matamu dan mataku sudah bertemu. Kasih kita bertaut sudah. Rindu kita berlabuh sudah. Sayang kita terikat sudah. Bulan seindah di langit tinggi. Cerah menawan. Mentari esok tibanya. Antara bulan dan mentari berlari perasaan menghiba. Tiba juga saat bersama. Aduhai penantian yang lama. Harap-harap nikmatnya berganda panjangnya.

Pandanglah ke langit. Awan yang berarak tampak rendahnya. Gerakannya yang lambat. Pandanglah ke atas lagi. Langit terlalu tinggi. Mungkinkah langit itu dapat digapai tangan. Terlalu tinggi. Tunduklah melihat ke bumi. Ia dekat. Di bawah telapak kaki. Kejap dipijak. Senang diinjak. Namun berdirinya antara langit dan bumi. Tinggi dan rendah. Terbanglah setinggi mana. Tidak mungkin hingga ke langit. Turunlah serendah mana, di bawah sana tetap tanah. Mungkin cetek dan mungkin dalam. Kerana itu berpijaklah di alam nyata. Dalam persekitaran yang realiti. Semua orang akan percaya adanya. Wujudnya di depan mata. Dapat disentuh dengan tangan. Dapat dihidu baunya. Dapat dilihat warna dan bayangnya.  Mana mungkin yang bukan-bukan dipinta. Payah dapatnya. Nanti kosong jiwa yang terlalu mengharap. Sekaranglah realiti yang menjelma. Saat bersama yang didoakan panjang ke anak cucu. Dari dunia hingga ke akhirat.

Setiap pasangan ada impian. Ada mimpi-mimpi indah di hadapan sana. Ada cita-cita membina yang tertinggi. Yang terbaik. Anak-anak yang menyerikan hati ibu bapa. Menceriakan sebuah keluarga. Soleh dan solehah. Indahnya sebuah istana cinta yang damai. Air pancuran di halaman berwarna. Jalan dan terbang tidak perlu dikira. Kenderaan darat, laut dan udara. Makan kenyang. Pakaian bersalut banyak gantinya. Tubuh isteri penuh dengan emas berlian. Sanak saudara semua senang bersemenda. Hidup dalam barakah agama. Redha Allah hendaknya. Namun semua itu bukan sekarang. Bukan lima tahun. Bukan 10 tahun. Ia jangka panjang. Paling cepat 15 tahun dari sekarang. Pada awal perkahwinan ini, perancangan dan unjuran hidup perlu direncana. Bagi yang belajar pengurusan ingat Gantt Chart. Ingat PERT (Programme Evaluation and Review Technique). Ingat CPM (Critical Path Method). Ingat Decision Tree. Dan banyak lagi. Itu belum Simplex. Belum lagi Euler Theory. Mainan pengurusan. Lebih saintifik.

Ingatlah semasa sendiri. Semasa tiada teman hidup dahulu. Semuanya bebas. Sekarang semuanya difikirkan untuk sentiasa ada orang kedua. Jalanmu ada yang mendiringi. Pergimu ada yang menunggu. Laparmu ada yang menghidang. Tidurmu ada yang mengulit. Jagamu ada yang membelai. Sakitmu ada yang merawat. Pakaimu ada yang merapi. Hartamu dikawalselia. Nyawanya dipertaruhkan kepada kamu. Sebagai pasangannya kamulah harapannya. Kamulah yang memberinya tempat bahagia. Memberikan apa yang seperlunya.  Mulakanlah langkah gagah. Langkah besar. Langkah tinggi menggapai awan. Usahakan yang terbaik untuk kesayanganmu. Semoga pasangamu damai bahagia hidup dan matinya. Anak-anakmu terbelai kasih sayangnya. Ada tempat bersanggar. Ada ruang berlegar. Ada lingkaran menari keliling.

Lihatlah ibu dan bapamu. Lihat rumah yang bakal kau tinggalkan. Pandanglah apa yang telah kau kecapi hingga kau berumahtangga. Segalanya bukan dalam sekelip mata. Semuanya telah diusahakan untuk jangka masa yang lama. Banyak payah jerihnya. Terlalu tidak terkira limpahannya. Maka lakarkanlah masa depanmu. Tulis satu persatu. Berikan keutamaan. Mana yang dulu mana yang kemudian. Selangkah demi selangkah. Ingatlah jauh mana sekalipun destinasi dan perjalanan mesti dimulakan dengan langka yang pertama.  Mulakanlah dengan langkah kaki kanan. Langkah orang beragama. Ekonomimu dijaga. Berpakatlah suami isteri untuk merealisasikan apa yang dicita. Di hadapan sana tetap ada harapan. Usaha, usaha, usaha dan berdoa. Mohon dan minta kepada Yang Maha Esa.

Banyak rumah besar di sekelilingmu. Rumah itu belum perlu keran kamu baru berdua. Namun ia menjadi perlu semakin ramai ahli keluargamu. Anak-anakmu perlu ruang untuk bersantai. Untuk membina intelek. Untuk berasa bahwa dunia keluarganya adalah luas. Ruang-ruang untuk tidak berlaga perasaan. Untuk tidak berlaga fizikal. Ruang legar yang melepaasi keperluan. Di sana ada natijah minda. Ada ruang untuk melepaskan udara. Melepaskan perasaan damai. Rumah besar adalah keperluan bagi keluarga besar. Umat Muhammad yang di tunggu di syurga. Besarnya membela agama. Mentarbiahkan umat. Dakwah sejagat. Semoga inteleknya membangun. Semoga sumbangannya menggunung. Amal jariah berpanjangan. Untuk maslahah umat.

Ramai orang yang senang. Ramai yang hidup mewah. Ramai yang tidak pernah kenal susah. Tetapi di belakang sejarah mereka banyak yang berlubang-lubang. Banyak yang koyak rabak. Mereka bermula dari bawah. Dari susah. Dari tidak ada apa-apa. Mereka menapak tahun demi tahun. Satu, satu dan dua mereka mulakan. Dari bawah mereka naik ke atas. Membina kerjaya. Membina status. Mereka sampai ke situasi sekarang. Berapa lama? 40 tahun barangkali. Aduhai. Ya. 40 tahun jika dikira memang lama. Tetapi 40 tahun yang dilalui tidak pernah memberi angka. Dirancang. Diusaha. Tidak perlu dikira. Pada usia 50an nikmatilah segalanya dengan santai. Orang hanya melihat apa yang dilihat. Yang tersirat tidak pernah diamati. Hanya yang punya diri mengerti. Semuanya bukan mudah. Berdikit-dikit membina bukit yang tinggi.

Anak-anakku, masa hadapan tetap ada. Cari bekal untuk menuju destinasi yang ada dalam peta. Perancangan perlu disemak dari masa ke masa. Mana-mana yang deviate hendaklah diperbetulkan. Rejuvinate mana-mana yang lesu. Jangan sampai burn-out sebelum masa. Perjalanan tetap panjang. Abah telah melaluinya. Abah sudah sampai di sini. Hari-hari terakhir bagi orang tua yang melepasi usia. Namun masih ada yang belum disempurna. Usia tidak kenal usaha. Semua yang mungkin boleh dicuba. Boleh diusaha. Tinggalkan zon selesa. Banyak ruang lain untuk beralih cita. Berubah paradigma. Pandang keliling untuk membuka mata. Membuka minda. Mohonlah bantuan Allah untuk mencapai hasrat hati. InsyaAllah Dia bersamamu.

Friday, October 5, 2012

Masih Adakah Cinta Sebelum Berumahtangga


Debat dan polimik ini sudah terlalu lama. Orang sekarang tidak lagi membicarakan cinta selepas berrumahtangga. Yang digilai ialah cinta sebelum berumahrangga. Ada  baiknya kita menelusuri semula polimik ini. Bukan untuk dipolimikkan tetapi untuk difikirkan semula. Penilaian semula. Di’overhaul’ semula. Kita hidup bersandarkan agama. Apa-apapun yang kita fikirkan sandarannya hendaklah agama. Itu cara hidup kita. Itu fitrah orang beragama. Itu perancangan yang Allah menciptakan manusia. Kita melaksanakan perintah Allah. Kemudiannya kita dikembalikan kepadaNya. Maka hidup kita yang melalui fasa-fasanya tidak terlepas dari berkahwin. Hanya ada beberapa orang sahaja yang Allah tentukan tidak berkahwin. Yang lainnya akan merasa detik-detik itu. Berkahwin apabila sampai masanya. Sampai jodohnya. Dicari ada jodohnya. Tidak dicari sekalipun jika ada jodoh berkahwin juga jadinya.

Jika kita melihat sekeliling kita, yang kita lihat ialah anak-anak muda yang hidupnya bercinta. Makan dan minumnya cinta. Tidur dan jaganya cinta. Jalan dan duduknya cinta. Seluruh hidupnya dalam lingkaran cinta. Tiada masalah. Tiada larangan bercinta. Tetapi persoalannya ialah adakah perlaksanaan cinta itu kerana Allah? Dalam batas-batas dan garisan yang ditentukan Allah dan RasulNya? Masyarakat barat (khususnya Yahudi) berjaya merosakkan anak muda Islam. Yang disogok kepada orang Islam ialah budaya yang mereka sendiri tidak melakukannya. Kita tersangat percaya dengan paparan TV, video, filem, you-tube, internet dan semua gambar mengenai mereka. Kita terpedaya dengan apa yang kita lihat. Satu dari aspek paparan itu yang menjadi ikutan anak muda Islam ialah budaya couple.  Islam menggalakkan perkahwinan dan bukan bercouple. Perkahwinan itu sunnah. Coupling itu pemusnah. Orang barat yang saya saksikan sendiri tidaklah galak bercouple secara terbuka. Dalam TV dilihat terbuka. Dalam filem paparannya terbuka. Orang Islam terpedaya kerananya. Penerbit filem dan drama tempatan terikut-ikut dengan apa yang mereka lihat. Realiti agama tidak diberi perhatian.

Orang kita dari yang tua hingga yang muda percaya dengan paparan media. Drama dan filem kita diadaptasi dari situasi ciptaan barat. Kebetulan orang media tidak ambil pusing dengan ad-din yang wajib menjadi amalan. Islam menggalakkan perkahwinan. Semestinya perkahwinan didahului dengan merisik dan meminang. Meminang tanpa merisik ada hukumnya. Jika yang dirisik sudah bertunang, risikan itu sekadar mencari maklumat. Tetapi meminang perempuan yang sudah bertunang tentulah berdosa. Sudah ditambat orang. Sudah ada yang punya. Ada cincin tanda di jari manis. Lekat kejap di jari. Meminang orang yang sudah berpunya tentulah menjadikan situasi berkocak. Jawabnya tentulah ditolak. Pastinya seluruh ahli rombongan terkesima. Malu yang amat sangat. Meminang orang yang sudah menjadi tunangan orang.

Bertunang digalakkan. Ada ganjaran pahala kerana sudah ada niat untuk bernikah kahwin.  Niat yang baik diberi perhatian besar. Ada harapan menggunung. Akan bersatu nanti Uda dan Dara. Romeo dan Juliet. Laila dan Majnunnya. Coupling pula tentulah berdosa. Tiada ikatan apa-apa. Tiada kata untuk dipegang talinya. Kebersamaan yang sentiasa menempa dosa. Yang selalu dikipas oleh syaitan. Diusap menggoda. Ingat ayat ‘Jangan kamu hampiri zina’. Budaya couple berada dalam kategori tersebut. Jika mengetahui Islam itu yang terbaik perbuatan itu hendaklah dijauhi. Jika tahu larangan Allah, budaya itu  biarlah disisih. Carilah pahala. Jauhi dosa.mungkin kita tidak sedar bahawa dalam sibuk orang bercouple di sana sini masih ada anak-anak yang tiada cinta. Tidak tergesa-gesa mencari. Tidak terdesak untuk mencarinya. Melihat orang lain sahaja. Sendiri tiada upayanya.

Ramai orang menggesa anak-anaknya hanya untuk belajar dan belajar. Akademik dan ilmu. Kejayaan untuk berkerja dan berkerjaya. Keluar dari menara gading banyak jalan bercapah yang tidak tahu mana yang harus dipilih. Mana satu yang harus diambil perhatian. Mana satu yang harus menjadi keutamaan. Usia meningkat. Orang tua mula bergoyang hatinmya. Fitrah yang lambat sampainya. Tidak ada yang datang meminang yang perempuan. Tidak juga pergi meminang bagi yang lelaki. Yang lelaki menunggu. Yang perempuan juga menunggu. Cinta tidak dicari. Bukan satu keperluan yang mendesak. Berserah, jika ada jodoh. Ibu bapa berpusing fikir risaukan anak. Apa pilihannya. Jika jodoh itu datang, tiada apa yang menghalang. Datangnya tiba-tiba. Sampainya tanpa menyapa. Ada di hadapan mata. Orang tua berkira-kira. Anak jenis ini menerima pilihan ibu bapa. Menerima seadanya. Baik kata ibu, baik kata anak. Baik kata bapa, baik kata anak.  Kebijaksanaan orang tua dihormati. Mudah-mudahan di sana ada sinar bahagia. Ada barakah yang ke akhirat sudah sampainya.

Anak-anak yang menerima pilihan ibu bapa perlu juga diberi haknya. Ditinjau sukanya. Dipinta setujunya. Perlukan pertemuan antara kedua keluarga. Anak-anak ditemukan. Ditanya pendapatnya. Diselidik reaksinya.  Itulah tugas orang tua. Dulu-dulu anak-anak mengikut sahaja. Tidak tahu siapa bakal suaminya. Hanya cerita yang bercebis-cebis sahaja. Gambar tidak ada. Telefon bimbit belum ada. I-pad belum ada. Internet lagilah belum ada. Yang lelaki mungkin berjaya jug amengintai lihat. Dari jauh supaya tidak ketara. Yang perempuan tiada langsung tahu. Malah keluarga perempuan juga tiada tahu. Kedua keluarga sahaja percaya mempercayai. Itulah anak perempuan yang kadang-kadang kosong hatinya. Begitu juga suaminya yang duluny akosong hatinya. Tiada berkasih. Tiada bercinta. Yang tua berkira-kira. Jika ada jodoh. Bicara dibuka. Ada pula perantara yang mengatur kira-kira. Pertemuan dan perkenalan berlaku. Ada keserasian dirassa.

Anak-anak yang mengikut dipertemukan. Dipersemukakan. Ditinjau hatinya. Ditanya pendapatnya. Tanda-tanda setuju diungkapkan. Kadang-kadang sekadar anggukan biasa yang sangat sedikit. Pada waktu yang lain persetujuan hanya senyuman ringan. Keadaannya santai. Tiada ketegangan. Tiada bantahan jelas. Tiada tanda bahasa tubuh yang menolak. Sanak saudara yang hadir titanya juga reaksinya. Lazimnya semua mengikut apa kata yang punya badan. Keduanya yang akan bernikah. Yang akan mendirikan rumahtangga. Yang akan hidup bersama. Yang akan bersama senang dan susahnya. Hati mereka. Perasaan mereka. Sanubari mereka. Psikologi mereka. Yang di dalam hati lebih penting sdari tarikan fizikal yang selalunya sementara. Yang di dalam hati abadi selama-lamanya. Jodoh pertemuan ketentuan Allah. Redha dan meredhai tentulah menjadi keutamaan.

Cinta datang dan pergi. Cinta sebelum atau sesudah kahwin hanya relatif masa. Relatif situasi. Tanya hati. Di mana cinta itu? Cinta lelaki pada wanita. Cinta wanita pada lelaki. Apabila pertemuan membuka ruang cinta, terbuka juga keinsafan bahawa jodoh datang bersamanya. Terjadilah pernikahan yang dirancang singkat. Tiada majlis pertunangan. Kata diikat. Janji disemadi. Sampailah saat mengikat abadi. Perjodohan yang didoakan kekal abadi. Hari-hari terakhirnya anak itu bersendirian. Pulang ke rumah seorang diri. Ke rumahnya bersam orang tua. Hari-hari terakhirnya ia di bawah lindungan keluarga. Tiba saatnya ia disatukan. Tiba saatnya ia melangkah pergi. Langkah longlai seorang anak meninggalkan rumah diamnya. Keluarga tempat sayangnya. Ruang kasih yang dibina. Hari  itu berakhir juga. Tinggallah abah. Tinggallah mami. Saya bersama suami. Ibu bapa tergenang air mata. Merembas juga di mana ada. Pergi juga anak ini. Perdua dua kerana dia sudah dipunyai. Dimiliki lelaki suaminya.

Pilu sayu yang ada. Sebelum kahwinmu ada kerisauan bila masanya. Sesudah berkahwin pergimu merawan hati juga. Apatah lagi cinta kau belum ada sebelumnya. Datang cinta secara tiba-tiba. Abah hanya mahukan yan terbaik. Cinta itu pasti datang jug aakhirnya. Pergilah anak. Binalah istana idaman. Bahagiakanlah hatimu dan hati suamimu. Serahlah pada Allah semoga kau selalu dalam lindunganNya.

Tuesday, October 2, 2012

Dua Menantu Dalam Sehari Yang Besar Sejarahnya

Dua pasang pengantin bersama kakak-kakak dan adik-adik. Ada keceriaan bersama. Gambar ini manifestasi peristiwa besar itu.

Dalam mana-mana keluarga pasti ada sejarah besar yang melingkarinya. Ada yang mendapat liputan dan ada yang tidak. Pada kebanyakan keadaan ianya menjadi sejarah senyap. Tidak ramai yang tahu. Walau apapun sejarah itu tetap sejarah. Mewarnai lembaran-lembaran gemilang keluarga. Melaluinya ada yang menjadi kenangan. Ada yang perlu diingat. Ada yang perlu diulang-ulang lintasannya dalam minda dan hati. Untuk jangkamasa yang lama ianya bersemadi dalam sanubari. Bagi seorang bapa tentu sejarah begitu sangat teristimewa. Kepada seorang ibu sejarah begitu memberi impak erti yang tersendiri. Sepasang suami isteri yang melalui sejrah yang sama tetapi memberi impak yang berbeza. Begitulah bezananya lelaki dan wanita. Seperti kata John Gray, man are from Mars and women are from Venus. Dua jantina yang berlain dari banyak aspeknya. Berkongsi aspirasi membina ke bahagiaan keluarga. Untuk anak-anak tercinta. Semoga kebahagiaan itu berpanjangan sepajang zaman.

Hari Sabtu 22 September 2012 adalah sejarah besar kepada keluarga saya. Tarikh yang istimewa. Hari Sabtu itu sangat membawa erti. Pada paginya anak lelaki saya menikahi isterinya. Mungkin mereka ada cerita sendiri. Pertemuan mereka di UITM Segamat akhirnya disatukan di jinjang pelamin. Bandar Muar menyaksikan peristiwa itu. Dari diploma mereka menamatkan  ijazah mereka di UITM Shah Alam. Pernikahan itu sangat signifikan kepada keluarga saya kerana itulah anak lelaki pertama saya. Yang ketujuh dalam keluarga tetapi yang pertama antara dua anak lelaki yang saya ada. Setelah ada lima menantu lelaki Sabtu itu saya mendapat seorang menantu perempuan. Welcome to the family. Sukar menggambarkan  apa yang saya rasa. Yang pastinya peristiwa itu mengujakan saya. Pertama kali mendapat menantu perempuan. Tentulah besar harapan. Darinya nanti semoga Allah anugerahkan cucu-cucu yang susur galurnya berbin dan berbintikan bapanya yang berbinkan saya, bapa saya dan datuk saya. Warisan dari anak lelaki. Dari anak perempuan tetap ada darah saya. Ada warisan saya. Cuma susur galurnya berbeza. Dalam ilmu sosiologi kita mengikut patriahal. Bukan matriachal.

 Menantu lelaki dan/atau perempuan tidak banyak bezanya. Kepada seorang bapa mereka menantu juga. Apabila pernikahan itu berlangsung maka mereka menjadi anak-anak dunia hingga ke akhirat. Ikatan yang tiada pernah putusnya sampai bila-bila. Isteri saya tidak senang tidur mempersiapkan tarikh besar itu. Seluruh keluarga mengiringi anak lelaki saya. Saya peluk anak saya sebelum kami melangkah turun dari rumah. Saya alirkan getaran kasih dalam dakapan. Saya alirkan harapan dalam kejap lingkaran tangan. Saya alirkan doa mengiring langkahnya mengakhiri zaman bujangnya. Dalam usia 24 tahun ia  mendewasakan dirinya. Menyediakan dirinya ke alam rumahtangga yang penuh harapnya. Menerima tanggungjawab untuk melindungi seorang wania di sampingnya. Untuk dikasihi dan dibahagiakan. Didamaikan perasaannya. Dibawa hingga ke akhirat untuk selama-lamanya.

Sudah berulang-ulang kali saya mendakap menantu lelaki saya. Kali pertama selepas pernikahan mereka. Begitu pada setiap hari raya. Hari Sabtu 22 September 2012 itu buat kali pertamanya saya dakap menantu perempuan saya. Saya cium pipinya kanan dan kiri. Dia menjadi anak saya sekarang. Ahli keluarga. Membesarkan lagi keluarga. Meramaikan bilangan yang sudah ramai. Namun dia lain dari yang lain. Menantu perempuan pertama dalam keluarga. Ada harapan besar pada dirinya. Ada kesinambungan warisan. Ada kelestarian yang memanjat tangga-tangga semangat keluarga. Kehadirannya dinanti. Kelibatnya dibariskan dengan kakak dan abang-abang yang lain. Menjadi lambang kepada adik-adik yang ada. Sanjungan kepada anak buah yang berkeliling. Kepada saya dan isteri dia harapan besar. Pernikahan dan perkahwinan yang syahdu dan suci.  Sunnah Rasulullah. Meramaikan umat Muhammad. Kebangaan Rasulullah di akhirat nanti.

Barangkali peristiwa besar itu tidak berhenti di situ. Sabtu 22 September itu tidak tamat di situ. Jika pada paginya anak lelaki pertama saya menamatkan zaman bujangnya, malamnya pula anak perempuan saya disatukan dengan suaminya. Menikahkannya sendiri satu kesempurnaan yang saya tunaikan. Paginya si adik menikah. Anak ketujuh yang menemui pasangannya dari Muar. Malamnya disudahi dengan pernikahan anak perempuan keenam saya. Enam kali majlis walimatulurus, mendapat pula tujuh menantu. Dua orang menantu sekaligus pada kali keenam. Dilihat dari luar ianya sesuatu yang besar dan menyeronokkan. Bagi kami sekeluarga menguruskannya merupakan suatu pengalaman yang tiada tandingannya. Dua peristiwa dalam satu masa. Dua peristiwa dalam satu tempat. Dua peristiwa yang disaksikan sekaligus oleh semua ahli keluarga. Tidak ramai keluarga saya yang mengadakan majlis perkahwinan anak-anak mereka serentak. Seingat saya belum ada sanak saudara saya yang mengahwinkan anak-anak mereka serentak. Saya tidak pasti. Mungkin ada. Tiada pula dalam ingatan. Majlis berganda begitu unik juga impaknya. Menarik perhatian ramai. Kamera berkerlipan. Yang mengambil gambar tidak pernah begitu ramai. Macam selebriti pula anak-anak dibuatnya.  

Aduhai, letih lesunya juga tiada tandingan. Berganda-ganda berbanding jika hanya satu pasangan sahaja. Satu hari yang penuh sejarahnya. Saya hanya dapat menyaksikan pernikahan anak lelaki saya. Kami pulang kerana menyediakan diri dan ruang untuk mengurus pernikahan anak perempuan saya.  Ada kesayuan kerana tidak dapat terus bersama majlis anak lelaki saya hingga ke akhirnya. Hanya sebahagian dari keluarga kakaknya yang bersamanya. Menyediakan diri kakaknya yang hendak menikah menjadi keutamaan pula setelah selesai pernikahannya.  Dalam hal-hal seperti itu pilihan terpaksa dibuat. Fokus terpaska yang lebih utama. Untuk yang mendatang. Yang pentingnya kedua-dua peristiwa itu berada dalam kawalan. Dapat dihadiri. Dapat disaksikan. Kedua-dua menantu dapat didakap selepas pernikahannya. Disambut menjadi ahli keluarga yang baru.

Menerima dua orang menantu sekaligus memberi banyak erti. Analoginya mungkin seperti wanita yang beranak kembar. Pada satu masa mendapat dua orang anak. Tentulah tanggungannya berganda. Sakitnya berganda. Payahnya berganda. Namun akhirnya kegembiraannya berganda-ganda. Kelapangan dada yang selapang-lapangnya. Ada beban yang terlerai. Segala simpulan yang terurai. Semuanya disambut dengan tangan terbuka. Lapang fikiran. Alhamdulillah! Allah memberikan kelapangan anugerahnya. Syukur kerana bantuanNya. Semoga barakah jua. Kepada Allah dipanjatkan doa semoga akan lahir nanti zuriat keturunan yang soleh dan solehah. InsyaAllah.