Monday, February 27, 2012

Menjadikan Sakit Itu Ibadah


Seminggu ini saya berulang-alik ke Hospital Batu Pahat. Mulai 22 Februari yang lalu. Bapa mertua saya di hospital itu. Lutut kanannya bengkak dan disahkan bisul. Setelah tidak ada pilihan maka lututnya dibedah. Dibersihkan nanah dan darah kotor yang ada. Sekarang sedang menunggu, dipantau untuk memulihkan keadaan lututnya itu. Bekas belahannya agak besar juga. Membujur dari atas ke bawah. Ternganga kerana tidak dijahit. Panjangnya kira-kira 10 cm dan lebarnya 5 cm. Alhamdulillah setelah beberapa hari kelihatan tidak ada lagi nanah dan cairan yang keluar. Nampak mulai kering. Daging yang ada di sekelilingnya sudah mulai hidup kembali. Tulang kepala lutut yang dahulu nampak putihnya sekarang mulai diselaputi daging halus. InsyaAllah akan bercantum semula seperti sediakala. Biasalah bagi orang yang sudah tua (97 tahun) tentu sel-sel kulitnya lambat menyubur. Hadnya sudah tepu. Kena banyak bersabar menunggu untuk pulih sepenuhnya.

Itu satu hal tentang penyakit fizikal. Nampak dan jelas. Buruk dan baiknya memang dapat dikesan, dipantau, dirawat dan dipulihkan. Dalam pemerhatian saya ada penyakit yang jauh lebih parah. Tidak terasa sakit. Dipandang tidak mengerikan. Kepada kebanyakan orang ianya dianggap biasa. Tiada yang pelik. Dianggap santai sahaja. Seolah-olah semua orang menganggapnya begitu. Persepsi yang biasa. Bukan luarbiasa. Penyakit yang saya maksudkan ialah penyakit takut beridabat. Malu beribadat. Segan beribadat. Beribadat memilih tempat. Rasanya tidak mungkin ada orang Islam yang tidak tahu bersolat. Rasanya semua orang tahu bahawa solat itu wajib. Tiang agama. Jika tidak tegak maka rosaklah agamanya. Fardhu ‘ain. Sendiri wajib. Ramaipun wajib. Tiada yang terkecuali.  Jika ada kecuali hanya untuk orang tertentu seperti hilang ingatan, tertidur atau lupa. Mabuk pula dalam kategori lain.  Solat adalah tiang agama. Tiang yang tertegak sepanjang masa. Lima kali sehari semalam. Waktu yang digunakan sangatlah sedikit. Pantas dilaksanakan. Boleh dilakukan secara berdiri (keutamaan). Boleh sahaja duduk atau baring atau dalam keadaan apa sahaja asalkan solat.

Banyak rukshah mengenai solat. Ada sahaja kemudahan yang diberikan agama untuk melaksanakannya. Dari berdiri hingga terlantar. Dari menggerakkan anggota besar seperti kaki dan tangan hingga hanya mengelipkan mata sahaja sebagai isyarat perpindahan rukun. Dari satu rukun ke rukun yang lain. Kelonggaran kaedah melaksanakannya terlalu banyak. Tetapi tidak ada kelonggaran untuk tidak melakukannya kecuali uzur syarie’seperti wanita yang bersalin atau kedatangan haid. Bagi pesakit lelaki di hospital tiada seorangpun yang dianggap uzur syarie’. Hanya yang wanita barangkali benar. Itupun bagi yang belum menopause. Bagi yang sudah melampaui zaman menopause itu tiada alasan langsung tentang untuk mengelak dari kewajipan untuk menunaikan solat fardhu. Di mana silapnya agaknya. Suatu kejahilan atau kurangnya pendidikan. Atau dalam masyarakat Melayu Muslin kemahiran beribadah ini tidak diformulakan. Tidak diberi nafas segar. Tidak diberi panduan praktikalnya. Anggapan kita selalunya solat hanya di rumah atau di musalla atau di masjid. Kita terlalu daif dalam memikirkan hal solat.

Saya biasa berhenti di banyak Hentian Sebelah di sepanjang lebuhraya utara selatan. Di pondok atau wakaf yang ada terdapat notis yang menyatakan bahawa pondok itu tidak sesuai untuk tempat solat. Itu notis dari pihak berwajib lebuhraya itu. Dahulu banyak sejadah disediakan. Sekarang sejadahnya hilang, tanda arah qiblatnya turut hilang. Malah ada pula notis tidak menggalakkan umat Islam menunaikan solat di pondok itu. Malang sekali kerana persepsi kita tentang solat sangat naif dan daif. Di negara Islam yang lain orang menunaikan solat di mana sahaja asalkan masuk waktu. Tepi jalan, di tengah ladang, di kebun buah-buahan, di padang ragut, dalam bangunan hatta di mana sahaja asalkan memenuhi beberapa syarat seperti bersih, suci dan masuk waktu. Ramai orang barat tertarik kepada Islam kerana konsep simplenya. Ibadat bukan rasmi-rasmian. Ia kewajipan. Di hospital perkara itu tidak berlaku sewajarnya. Ramai yang buat selamba sahaja.

Kita rasa kasihan melihat hal ini. Solat adalah wajib. Semua orang tiada terkecuali. Wajib yang sewajibnya. Tiada pilihan bagi yang beriman. Yang mengaku dirinya Muslim. Mengapa agaknya ramai yang mengabaikannya. Yang tidak mengutamakannya. Yang tidak menanti dan mendahulukannya. Syurga bukan percuma. Hanya yang berusaha sahaja yang diberi anugerah itu. Asasnya ibadah utama. Solat yang utama. Tiangnya. Tanpanya roboh yang lain. Hancur harapan. Cita-cita tentu tidak kesampaian. Habuan dunia mudah kita dapat. Yang lebih oenting ialah habuan akhirat. Tiada tolok bandingnya. Allahuakbar! Dunia di sekeliling kita sudah terlalu sempit. Kita seperti kehilangan ruang untuk berfikir. Untuk mengkoreksi diri. Untuk membetulkan arah yang menuju jalan lurus yang selalu dianjurkan agama.
  
Yang sakit memang terlantar sahaja. Situasi yang selalu didoakan supaya Allah menghindarkannya. Takut tergendala untuk beribadat. Itulah ingatan Rasulullah. Lima perkara yang selalu perlu diambil kesempatannya. Peluangnya. Senang sebelum susah. Hidup sebelum mati. Kaya sebelum miskin. Sihat sebelum sakit. Lapang sebelum sempit. Jika semasa positif banyak perkara diabaikan maka semasa negatif banyak perkara menjadi semakin sukar. Itu cerita yang sakit, bagaimana pula bagi yang menjaga pesakit. Mungkin isteri, adik atau kakak, abang atau adik. Saudara terdekat. Rata-ratanya tidak berapa aktif untuk solat. Pembesar suara mengumumkan waktu telah masuk. Pesakit terus terlantar. Yang menjaga terus duduk. Yang ziarah hanya mendengar kosong. Mungkin kurikulum pengajian Islam perlu diperbaki. Pengajian Islam di surau dan masjid diperbaiki lagi. Tekankan aspek perlaksanaan. Bukan teori yang berulang-ulang. Faham teorinya tetapi tidak memahami tuntutan melaksanakannya dengan sempurna mengikut waktu. Suatu gerakan atau kempen besar-besaran perlu dibuat supaya konsep ibadah ini diterjemahkan dengan sewajarnya. Di mana sahaja tempat lapang yang bersih dan suci boleh dijadikan tempat solat. Dengan sendrinya kita menerapkan amalan wajib bersih. Wajib suci. Wajib menjadikan persekitaran kita bebas dari sampah dan kotoran. Dari najis dan kumbahan kotor. Barulah amal ibadat menjadi subur. Jaga dan pelihara dari hal-hal yang tidak suci dan tidak menyucikan.

Saya teringat sewaktu menunaikan haji pada tahun 1999 dahulu. Sebelum masuk waktu Maghrib saya dan beberapa sahabat berjalan menuju tempat melontar. Kira-kira 4 km dari Mina. Di tempat yang bernama Mu’asim. Apabila terdengar azan kami teruskan perjalanan. Bila kami dengar iqamah kamipun membentangkan sejadah di atas pasir. Di atas pasir Arafah. Di waktu Maghrib yang lapang, suram dan tenang. Kami berjemaah. Di hujung rakaat pertama itu datang dua orang pemuda. Ruang solat sangat sempit. Saf pertama jemaah lelaki. Saf kedua jemaah wanita. Di hujung saf lelaki tiada ruang. Maka pemuda-pemuda tadi mencari kertas, kotak rasanya, lalu dibentangkan di kanan dan kiri imam. Setengah tapak di belakang imam. Di hadapan jemaah saf pertama. Solatlah kami hingga tamat. Kepada mereka solat bukan masalah.  Bukan isu. Bukan perlu difikirkan banyak-banyak. Bukan untuk dirasakan malu. Tidak perlu segan. Cukup syarat wajib, silakan. Tertunai kewajipan terhadap Allah.

Orang sakit bukan dihalang untuk solat. Tiada yang menghalangnya. Langsung tiada. Kecuali ilmu dan kebiasaan akan menjadikanj mereka mengerti pentingnya solat. Perlu juga bimbingan dari orang yang menjaga. Yang menjaganya perlu mahir tentang selok belok solat. Bukan jaga fizikalnya sahaja. Jaga rohaninya sekali. Itu lebih penting. Yang berkuasa di hospital besar juga peranannya. Tanggungjawsabnya. Dari doktor hinggalah  ke jururawat. Mereka yang sentiasa berhadapan dengan situasi itu. Hal yang paling dirisaukan ialah wuduk. Bagaimana isteri hendak mewudukkan suami. Atau suami hendak mewudukkan isteri. Malah yang bukan mahram bagaimana pula. Rasanya itu bukan isu. Bukankah banyak dijual sarung tangan.  Gunakan sarung tangan untuk meratakan air ke anggota yang perlu. Yang wajib seperti muka, tangan dan kaki. Kita bermazhab Syafie’. Kita boleh menggunakan air dalam jumlah yang sedikit. Yang pentingnya meratakan air itu tanpa mengangkat tangan. Takut jadi air musta’mal pula. Ambil beberapa titik, mulakan anggota kanan dahulu, ratakan ke anggota itu. Ratakan ke sekeliling dan sepanjang anggota yang berkenaan. Dari hjung jari hingga ke siku atau ke buku lali. Seluruh muka. Bagi yang tidak boleh kena air, lagilah mudah. Tayamum sahaja. Debu tayamum boleh dibeli. Di farmasi Islam ada. Ramai yang menjualnya. Atau buat sendiri. Atau di dinding hospital banyak debu itu. Asalkan suci. Kotor tetapi suci. Bukan najis. Orang yang mengerjakan sawah boleh solat dalam keadaan berselaput dengan lumpur. Lumpur tidak najis. Ia dianggap kotor tetapi bukan najis. Is suci.

Satu lagi yang dipersoalkan bagaimana hendak mengadap qiblat.  Sebenarnya dalam keadaan seperti pesakit yang terlentang, terlantar, yang patah riuk di kebanyakan anggota besar, hadap sahaja ke manapun. InsyaAllah ibadatnya diterima. Itu kelonggarannya. Rukshahnya. Sukar rasanya jika semua hodpital pesakitnya mengadap qiblat. Bangunannya juga sukar dibina. Kecualilah ada kekuatan politik dan pentadbiran yang ingin melaksanakan hukum Allah sepenuhnya dengan sesempurnanya. Dalam keadaan sekarang kita berserah dengan yang ada dahulu. Dalam jangka panjang mungkin ianya boleh diusahakan. Yang penting solat ditunaikan walau dalam keadaan apa sekalipun. Kembalilah ke halaqah kita. Pelajari kembali ibadat solat. Mahirkan hingga ibadat solat itu menjadi sangat mudah. Tiada yang menyusahkan. InsyaAllah kita semua boleh melakukannya.

Seni Ukir Yang Mengukir

Di Negeri Johor sukar mencari rumah yang bercirikan Melayu. Berukir dan seni. Rumah-rumah lama yang ada sudah menjadi warisan buruk ditelan zaman. Tiada yang menghargai. Anak cucu hanya berebut tanah pesaka. Rumah berukir dan seni jarang jadi rebutan. Mungkin yang memandang sebelah matapun sudah tiada. Ada yang memandang tetapi pandangannya kosong tiada erti. Seni dan ukir bukan lagi nilai yang perlu difikir. Bukan juga untuk dibicara. Bukan untuk diperdebat signifikannya dalam membina bangsa. Arah kita sudah lama tersasar. Bangsa luar yang menjajah menamakan dua aspek yang saling membantu menukar paradigma lama kepada paradigma keluar dari budaya dan tradisi kita. Mereka meminggirkan seni kita. Sebagai gantinya mereka menonjolkan seni mereka. Seni yang katanya semasa. Moden. Kita selalu terpedaya dengan kemodenan. Perkataan moden sudah terlalu lama. Sudah tidak relevan lagi. Orang Barat menggunakan perkataan moden pada kurun yang ke-15 dahulu barangkali. Sudah 600 tahun dahulu. Terlalu lama.

Pada tahun 2004 berlaku banjir besar di Johor. Banyak daerah yang ditenggelami air. Banyak rumah yang tenggelam hingga hilang bumbung. Yang hanyut rosak tidak terkira di Kota Tinggi. Di Batu Pahat tempat yang selalu berlaku banjir is Seri Medan. Kawasan lembah yang suatu ketika dahulu ada sawah padi di suatu tempat yang namanya Perupuk. Arwah datuk saya pernah bersawah di situ. Sekarang hanya kelapa sawit sahaja. Tahan air. Banjir tiada masalah. Dahulunya pokok getah. Malangnya bila banjir ianya tumbang. Bila kemarau terbakar pula. Seri Medan  didiami ramai orang Jawa dan Banjar. Berlaku banyak kahwin campur. Lelucon sesama mereka perkahwinan itu melahirkan anak-anak yang dipanggil Banjawak. Banjar campur Jawak (sebutan orang banjar). Oleh kerana kawasan itu selalu banjir maka rumah-rumah mereka bertiang tinggi. Beralas ompak batu. Tiangnya sangat tinggi. Rumah limas orang dahulu tinggi dan besar. Tingginya lebih tinggi dari ketinggian orang dewasa lelaki. Maaflah ramai orang perempuan lebih rendah dari lelaki.

Apabila banjir melanda tiada siapa yang pindah. Air  bukan mendesah seperti sekarang. Datangnya deras dan menghanyutkan apa yang berada di laluannya.  Dahulu air naik cepat. Namun tiada yang pindah. Rumah mereka tidak pernah ditenggelami air lantainya. Sewaktu dibina ketinggiannya disukat supaya lantainya berada di atas paras air banjir.  Selamatlah rumah itu dari dirempuh air. Seingat saya banjir kerap berlaku pada tahun-tahun selepas merdeka. Sejak tahun-tahun 70an hingga melewati alaf baru banjir jarang berlaku. Jika ada tidak tinggi. Tidak membahayakan seperti dahului. Kerana itu ramai orang Seri Medan lupa sejarah orang tua-tua mereka. Lupa sejarah kenapa rumah-rumah dahulu tinggi-tinggi tiangnya. Pendidikan dan kemajuan menghentikan jalan fikir yang rasional. Fitrah alam yang dikawal Allah tidak lagi berada dalam perkiraan. Maka rumah tinggi dahulu dirobohkan. Rumah limas dahulu dikonkritkan. Rumah batu berceracak di kampung-kampung di Seri Medan. Ukiran dan seni datuk moyang dahulu hilang begitu sahaja. Rumah kayu bukan pilihan. Bukan keutamaan.

Banjir besar pada tahun 2004 mengubah paradigma berfikir. Sepatutnya semangat rumah lama dahulu dikekalkan. Pendekatannya diubahsuai. Bentuknya direkabentuk semula. Bahannya diolah lagi. Tingginya biar kekal. Biarlah rumah batu. Bahagian bawahnya untuk parkir dan untuk santai-santaian. Jika banjir rumah tidak tenggelam dalam keadaan biasa. Bila banjir boleh kekal di bahagian atas rumah. Pindah bila perlu sahaja. Yang penting stok makanan banyak dan mencukupi. Ubat-ubatan ada dalam simpanan. Begitulah rumah seorang dari ibu saudara saya. Betul-betul di tepi sungai. Bila banjir terasa-rasa ada buaya lalu di bawah rumah. Terasa tergesel tiang rumah. Rumahnya memang tinggi. Bawah rumah kosong kecuali untuk meletak sampan. Atau basikal sebagai mod pengangkutan darat di kampung-kampung. Selain itu bawah rumah yang lapang dan kemas adalah tempat berehat. Tempat anak cucu bermain. Terlindung dari panas dan hujan. Serbaguna jadinya.

Pada awal tahun 2012 saya ke sebuah kampung di Rengit, Batu Pahat. Seoramg sahabat mengadakan majlis kenduri kahwin. Di hadapan rumahnya tersergam sebuah rumah kayu yang cantik berukir. Sebuah rumah homestay. Pemiliknya dari Johor Bahru. Saya amat tertarik kerana itu menjadi minat saya. Rumah saya ada semangat itu. Dari get dan pagar hingglah ke pintu dan tingkap. Termasuk tiang dan kerawang di sekeliling rumah. Kayu semuanya. Kayu adalah lebih mahal dari batu. Kayu sudah menjadi komoditi yang langka. Scarce resources. Sesiapa yang membina rumah kayu pastinya berkemampuan. Bukan calang-calang orang. Memang mahal tetapi jika tahu sumbernya harganya jauh lebih murah berbanding di Batu Pahat umpamanya. Seni dan ukirnya menyejukkan mata yang memandang. Menyejukkan hati yang menghayati keindahannya. Sayang! Tradisi yang semakin pupus. Di Kelantan dan Terengganu masih banyak diminati. Di negari-negeri lain sudah payah dicari. Bila bertemu terpegun memandangnya. Sesuatu yang tidak rugi diidamkan. Hatta diimpikan.

Hanya jika kita dapat menghargai seni ukir kita sendiri. Nilainya tinggi.

Dari jauh saya berkenan dengan rumah ini. Rumah sahabat saya di hadapan rumah ini. Saya parkir di tepi rumah ini.


Pondok di penjuru kawasan rumah.


Get daripada kayu.


Porch di hadapan rumah


Bumbung rumah berlapis-lapis. Atap genting. Cucur atap kayu berukir.


Cucur atap yang cukup seri cantiknya. Berjurai ke bawah.


Pagar rumah juga daripada kayu.

Kekisi kayu di teres rumah.


Pintu rumah tersergam. Kayunya dimerahkan. 


Isteri saya tidak bergerak kagum terpegun dengan banyak ukiran rumah ini.


Laluan ke teres rumah.



Plak di sisi rumah.


Tangga naik ke atas


Sebuah replika sampan di teres rumah


Teringat sewaktu selalu bermain sampan di sungai pada tahun-tahun 50an dan 60an dahulu


Selain dari kayu berukir banyak pula kerawang di sana sini


Menyerlah warna kayunya


Pemegang pintu ini diperbuat daripada kayu juga. Seperti tetupai.


Kayu bersilang-silang pada pintu tangga rumah.


Siapa yang tidak akan tertarik dengan seni dan ukiran-ukiran ini. Pemiliknya tentu istimewa orangnya. 


Tiang ini seperti di atas ompak yang bersalut kayu berukir


Sebuah ukiran di dinding luar


Ruang di bahagian belakang rumah.


Di hujung perabung rumah. Tertancap menegak ke atas. Aduh cantiknya.


Rumah kayu yang berukir memang unik. Tidak banyak di luar Kelantan dan Terengganu. Bila ditemui secara terpencil seperti di atas ianya sangat memukau. Ia hidup pada mata. Pada hati. Pada perasaan. Semoga kesenian seperti ini menjadi warisan terus turun temurun. Khazanah kita, kita yang perlu jaga. Mudah-mudahan seni itu tersemat di hati kita semua.

Friday, February 24, 2012

Menghantar Barang


18 bulan di US banyak juga mengumpul  barang. Sewaktu mula mengumpul barang ada juga suara-suara yang tidak mententeramkan. Menujah-nujah fikiran. Banyak benar yang tidak kena. Nanti mahallah. Mana ada duit untuk membayar kos tambangnya. Bolehkah dihantar. Macamana urusannya. Sukar dimengerti akan hasad dan dengkinya. Sifat irinya. Negatifnya. Mereka bukan calang-calang orang. Buat master dan PhD.  Sikap akur payah dijumpa. Sifat membantu payah menjadi. Mereka boleh memberi maklumat untuk meringankan kepayahan. Ramai pelajar Malaysia yang terdahulu melakukan yang sama. Mereka membeli barang juga. Menghantar barang juga. Alangkah baiknya jika sifat dan sikap membantu itu diperkembangkan. Ramai orang yang citarasanya berbeza. Tidak perlu menghalang hasrat orang lain. Bantu seperlunya. Memudahkan urusan orang lain.

Saya tidak tahu bagaimana orang lain pack barang mereka. Pengalaman banyak pindah tempat dan banyak pindah rumah membantu saya merencanakan proes packing itu. Saya suka kotak-kotak yang sederhana besarnya. Mudah diangkat. Tidak berat. Sesuai untuk berbagai peringkat umur. Kotak-kotak sebegitu boleh dibeli. Di US memang banyak kedai yang menjualnya. Di sana ramai orang berpindah tempat dan rumah. Keperluannya sentiasa. Barang-barang yang berbentuk kain tidak merisaukan. Banyak cadar dan comforter yang saya beli. Begitu juga tuala. Berbagai saiz. Tuala mandi. Tuala muka. Tuala lap tangan. Kebetulan anak kelima saya masih memakai lampin pakai buang lagi. Banyaklah saya beli untuknya. Murah berbanding di Malaysia. Sebenarnya sudah saya ceritakan dalam entry yang terdahulu. Yang merisaukan ialah barang-barang ceramik, kaca atau jenis yang mudah calar.

Saya bincang dengan isteri saya. Cari akal untuk menyelamatkan pinggan mangkuk dari pecah. Perjalanan beribu-ribu kilometer jauhnya. Mesti diangkut dengan forklift. Dimasukkan dalam kontena. Disusun dalam kapal. Diangkut dengan lori ke destinasi terakhir. Perjalanan yang renyah. Barang-barang fragile. Jika packingnya tidak sempurna pasti banyak yang pecah. Aduhai! Baiklah bagaimana jika disekeliling dalam kotak dibubuh tuala dan lampin anak kecil saya? Tentu menjadi pengampu kepada isinya. Andainya terhentak kuat sekalipun rasanya tidak sampai pecah. Satu dua mungkin. Tetapi tidak mungkin kesemuanya. Lalu pinggan mangkuk yang kami beli kami susun mengikut kotaknya. Letakkan ditengah-tengah. Di sekelilingnya tuala, cadar, comforter dan lampin anak. Ramai rakan-rakan yang terkejut sebab jumlah kotak kami jauh melebihi kotak-kotak mereka. Bila diangkat kotak-kotak itu ringan sahaja. Timbangannya tidak banyak. Kena juga lebih USD400. Lebih RM1,000. Rasanya berbaloi. Masih ada lagi barang-barang itu. Sesekali keluar bila ada keluaga di rumah. Bila ada tamu. Bila ada majlis di rumah. Jamuan-jamuan kecil. Sebahagian tuala masih ada. Comforter juga ada lagi.

Setiap kali kembali ke Malaysia bukan sebuah keluarga sahaja. Pasti ada keluarga lain yang kembali juga. Lazimnya kami berkongsi syarikat forwarding agent. Lori mereka mengambil kotak-kotak di rumah. Kami ke depoh mereka untuk proses menimbang. Membayar kos tambang dan urusan dokumentasi yang lain. Berjam-jam juga dibuatnya. Barang-baramg itu mengembaralah dari satu lautan ke satu lautan yang lain. Dari sebuah negara ke negara yang lain. Dari satu terusan ke terusan yang lain. Untuk sampai di Malaysia memakan masa hingga tiga bulan juga. Kerana itu barang-barang tersebut kami hantar lebih awal. Mungkin sebulan atau dua bulan lebih awal. Alhamdulillah apa bila saya terima barang-barang saya kesemuanya dalam keadaan selamat sejahtera. Tiada satupun yang cacat. Intact seperti waktu dibungkus dahulu. Bagaimana di US begitulah di Malaysia. Pernah saya ditakut-takutkan bahawa nanti di Malaysia barang-barang itu akan digeledah kastam dan akan dicukai. Realitinya tidak. Metos sahaja. Dongengan yang tidak pernah benar. Maklumat yang selalu mengelirukan.

Apabila sampai di rumah kotak-kotak itu dibuka satu persatu. Tiada yang hilang. Tiada yang cacat cela. Walaupun dimasukkan dalam kotak ianya mesti disendatkan. Dikejapkan. Jangan sekali benarkan goyang atau goncang. Jika ada ruang memang besar kemungkinannya ianya terhendak atau terantuk sesama sendiri. Apabila itu berlaku akan ada yang pecah, sumpik atau retak. Tentu kesal dan rugi. Pengalaman mengajar saya untuk packing yang sempurna. Menjaga barang sendiri. Lagipun menghantar menggunakan kontena menjadi jaminan kurangnya berlaku hentakan atau himpitan kuat dari berbagai arah. Kotak tidak mungkin dicampak, dilempar atau dihempas. Alat yang khusus mengendalikan kontena. Keselamatannya lebih terjamin. Hilang rasa bimbang sewaktu menghantar barang dahulu. Alhamdulillah diterima dalam keadaan seperti sediakala.

Dalam hidup ini banyak perkara yang perlu dipelajari. Banyak yang non-academic dipelajari melalui pengalaman. Melalui pemerhatian. Melalui taakulan. Pengalaman yang digandingkan dengan pengamatan dan taakulan tentulah lebih menyakinkan. Banyak pintu dan tingkap terbuka untuk menjadikan kita inovatif dan kreatif. Hati kita sentiasa berlapang. Minda kita sentiasa terbuka. Belajar untuk menyempurnakan hidup. Kegunaannya setiap masa dan tempat. Akhirnya kita dilengkapi dengan survival kit yang sukar untuk diterangkan. Natijahnya hidup kita banyak dipermudahkan. Ada sahaja jalan penyelesaian yang dapat dicapai. Akademik hanya satu aspek kecil. Dalam profesion kita banyak tindakan yang bukan akademik. Keputusan yang bukan akademik. Menyelesaikan masalah bukan secara akademik. Lebih banyak pengalaman maka lebih banyaklah peluang untuk survive.

Timbalah seberapa banyak pengalaman yang mungkin. Jangan tolak apabila diberi tugas atau task baru. Ia menjadi  cabaran kepada keluwesan kita. Mencabar fleksibiliti kita. Memberi ruang mengenengahkan bakat yang terpendam. Kita mungkin tiba-tiba menyukai sesuatu yang disogokkan kepada kita walaupun sebelumnya kita langsung tidak ambil pusing akan hal itu. Pengalaman selalu berguna. Mencuba yang baru memberi pengaaman baru. Gagal melaksanakan adalah kerana belum biasa. Belum mendapat kemahiran yang distandardkan. Jika hati diusap suka maka yang payah menjadi senang. Yang tidak pernah dibuat, dicuba berperingkat-peringkat. Tidak pernah ada ruginya mencuba. Tidak ada ruginya menimba pengalaman. Yang baik tetap ada. Selok beloknya kita ketahui. Prosedurnya kita ingat. Kesemuanya membantu bila diperlukan. Pengalaman memperkayakan diri. Kerana itu orang mencari mereka yang berpengalaman. Sekurang-kurangnya kurang kesalahan. Kurang masa untuk memulakan sesuatu. Orang bukan bermula dari zero. Dari pengalaman itu akan lahir aura. Juga authority. Kepakaran. Tidak kurang menjadi personality. Malah ada yang mencapai taraf celebrity. InsyaAllah sdemuanhya dilakukan kerana Allah. Kita kembali kepadaNya.

Graduation Day

Di hadapan Civic Centre, Pittsburgh. Bersama anak ketiga, keempat dan kelima. Graduation Day Mei 1986.


Mei, Spring 1986. Setiap yang bemula tentu ada akhirnya. Lumrah dan fitrah makhluk. Bermula dan akhirnya tamat suatu episod dan fasa hidupnya. 18 bulan terasa tidak puas-puas. Jangkamasa yang terasa terlalu singkat. Terasa belum puas bermain. Belum puas menikmati segala yang berupa nikmat. Nikmat berada di negara asing. Nikmat melihat kebesaran Allah. Kelainan-kelainan yang tentunya tidak sama dengan yang ada di negara sendiri. Segala-galanya berbeza. Dari orangnya, masakan dan makanannya, dan persekitarannya semuanya berbeza. Suatu pengalaman yang mengesankan. Yang menusuk ke nurani.  Yang impaknya kekal lama. Melihat untuk percaya. Untuk dipanjangkan menjadi cerita. Coretan-coretan yang boleh dibaca berzaman-zaman lamanya. Untuk anak cucu. Untuk orang-orang kemudian. Suatu catatan hidup dan perjalanannya.

Mei itu tibalah waktunya menamatkan pengajian secara rasmi. Ditamatkan dengan konvokesyen. Kita orang Malaysia mewarisi tinggalan British. Penamat pengajian di IPT dinamakan konvokesyen. Di US mudah sahaja istilahnya. Graduation. Lulusannya menjadi graduan. Tidak gah seperti British. Istilah convocation nampak eksklusif. Ada tanda kehebatan. Tradisi kecemerlangan. Suatu pencapaian diri. Sebab itu IPT disebut menara gading. Ivory tower. Sesuatu yang tinggi diberi nilainya. Untuk masuk dan mendakinya perlu memiliki IQ yang tinggi. Bukan sebarang orang. Mereka yang lulus menjadi sarjana. Scholar. Selalu dirujuk kerana ilmunya di dada penuh melimpah. Kerana itu konvokesyen banyak karenahnya. Banyak rasmi-rasmiannya. Banyak prosedurnya. Maka penat lelahlah kakitangan yang terlibat. Berbulan dan berminggu latihannya. Raptainya berulang-ulang. Skrip aturcaranya tebal dan terperinci. Semuanya ingin gah kerana namanya konvokesyen. Peristiwa besar sebuah IPT. Perinstiwa agung untuk graduannya. Tiada yang lebih manis dari merentasi pentas. Tunduk hormat kepada Canselor barangkali. Melangkah gagah menuruni tangga. Keluar melempar mortar board sebagai pelepas diri dari jadual akdemik yang menyesakkan.

Di US graduation day hanyalah suatu upacara.  Hanya mereka yang mendapat PhD sahaja yang diraikan secara khusus. Yang lain hanyalah hadir secara ramai untuk meramaikan. Aturcaranya sangat simple. Setiap akhir semester semua pelajar semester akhir boleh memohon untuk turut serta dalam graduation semester itu. Ya, graduation day diadakan setiap akhir semester. Semua semester.  Lulus atau tidak bukan isu. Semua pelajar semester akhir boleh menghadirinya. Lengkap dengan pakaiannya sekali. Untuk pelajar sarjana seperti saya, jubah dan capenya serta mortar boardnya hanya USD29.90 sahaja. Sekitar RM55.00. Boleh bawa balik. Simpan sampai hancur.  Oleh kerana dibeli maka ianya menjadi milik sendiri. Hanya kain hitam yang juga simple. Bukan yang kualitinya tinggi. Bukan yang mahal.  Hanya pakaian sebagai tanda sudah menjadi graduan.

Provost (Canselor di sini) memberi ucapan dan menggraduat semua pelajar yang hadir. Di akhir ucapannya dia akan berkata, “Please go to your respected dean.” Kira habislah graduatian semester itu.  Maka berbarislah graduan untuk sekadar bertemu dan bersalaman dengan dekan. Hanya mendapat ucapan congratulation.  Tidak merasa bertemu dengan provost. Tidak menjabat tangannya. Tidak menerima skrol kosong. Skrol yang akan disi kemudian.  Tidak ada gambar diambil. Tidak ada sesi bergambar yang diurus oleh universiti. Semuanya urusan sendiri. Tidak juga hambar. Malah kadang-kadang susana yang sangat santai itu menghiburkan sesama graduan. Itulah waktu-waktu terakhir bertemu. Bertukar no telefon. Alamat. Dan seribu satu macam hal. Sambil duduk-duduk menunggu tamat upacara kami berbual santai. Ketika akan berpisah itu barulah kadang-kadang dapat bersembang agak panjang. Baru tahu siapa rakan sekelas yang selalu bersama selama 18 bulan itu. Jika muda berapa tahun mudanya. Jika tua berapa tuanya. Orang putih fizikalnya sukar dikenalpasti jika kita tidak biasa dengan mereka. Macam muda tetapi sudah 58 tahun. Nampak dewasa tetapi baru 19 tahun.

Bila membaca nama-nama graduan disertakan sekali tarikh mendapat ijazah pertama. Dari universiti mana pula. Dari negara mana. Saya temui nama seorang teman sekelas. Seorang wanita Amerika yang ijazah pertamanya pada tahun 1956. 30 tahun sebelumnya. Saya tanya padanya, “Else, what happen to all those years?” Jawapannya penuh makna. “After I graduated I worked as a teacher. I got married. I raised my children. Now all of them have graduated. Have grown jup. I have nothing to do at home. Here I’m, back to school.” Bagi orang Malaysia, back to school seperti low class (Istilah P. Ramli). Bagi mereka schooling bermakna belajar. Back to school bermakna belajar di IPT, tahap yang lebih tinggi. Setinggi mungkin. Master dan PhD adalah untuk  mereka yang sudah berkerjaya. Belajar secara sambilan pada hujung minggu. Atau kelas pada waktu malam. Tidak perlu biasiswa. Semua universiti menawarkan kelas malam. Bagi mereka yang bekerja, bolehlah merealisasikan impian akademik mereka. Laluan-laluan yang dipanggil laluan kedua disediakan. Ramai yang tidak berpeluang ke IPT akhirnya mendapat title graduan.

Berbeza dengan kebanyakan orang kita. Belum banyak usianya tetapi sudah tua. Baru bekerja tidak berapa lama sudah kelihat bahunya mendap. Semangatnya redup. Jalannya lemah. Airmukanya kurang ceria. Bekerja menjadi beban. Yang senang disusahkan. Yang cepat dilambatkan. Biasalah pengalaman saya begitu. Pelajar yanag meninggalkan kampus baru 23 tahun. Setahun kemudian ketika konvokesyen mereka sudah menjadi “tua”. Seolah-olahnya kerja itu sangat membebankan. Entahlah. Mungkin persepsi saya sahaja. Tetapi sesudah 42 tahun melihat fenomena yang sama tentu ada jawapannya. Tentu ada sebabnya. Hairankan. Orang di luart negara semakin menyibukkan diri dengan hal-hal tambahan sebagai value added untuk diri mereka. Akhirnya value itu menjadi added kepada masyarakat mereka. Negara mereka.

Universiti di luar negara sentiasa sibuk 24 jam sehari. 7 hari seminggu. Siang malam ada sahaja aktiviti akademik. Tradisi ilmu yang tidak pernah putus. Universiti di Kuala Lumpur nampaknya begitu sibuk. Hujung minggu sibuk dengan berbagai kelas. Mereka yang sudah bersara ke IPT pada hujung minggu. Yang ingin memningkatkan kerjaya juga bersekolah lagi. Di bandar-bandar besar manusianya berbagai. Ramai yang mencari harga yang lebih tinggi untuk diri mereka. Pengetahuan yang menghapus kejahilan. Menjadi orang-orang yang lebh tahu dan mengetahui. Bukan lagi orang biasa. Atau orang awam yang terlalu awam. Mereka ingin menjadi orang biasa yang bukan awam. Ada ilmu. Mengetahui. Ianya banyak berlaku di negara maju. Atau di bandaraya-bandaraya besar. minat yang berbagai diterjemahkan dalam bengtul ilmu. Peluang yang berbagai diterjemahkan dalam bentuk aktiviti meningkatkan diri.

Begitulah hadirnya saya dan keluarga di bumi Uncle Sam. Hanya 18 bulan yang singkat. Namun sempat mengharungi winter sebanyak dua kali. Spring dua kali. Summer hanya sekali. Fall juga sekali. Tahun 1986 sudah 26 tahun berlalu. Dalam hati seperti baru sangat ditempuhi. Masih terasa sejuk winternya. Masih mewangi springnya. Masih terasa panas summernya. Masih dilihat warna warni dan hangat musim fallnya. Aduhai! Masa terus berlalu. Membawa kita melalui masa dan zaman yang berubah. Yang santai dan yang kacau. Kita mendewasa membawa kenangan dan ingatan. Akhirnya kita menjadi seseorang yang membawa pengalaman yang berguna untuk masa hadapan kita sendiri. Mudah-mudahan tua kita berisi. Seperti kelapa, semakin tua semakin banyak santannya. Perahlah, lemak dan minyaknya akan menyatu.

Thursday, February 23, 2012

Jalanraya di US

Rasanya semua orang tahu jalanraya. Tahu akan fungsinya. Mungkin lain orang lain persepsinya. Ada yang melihat jalanraya sebagai sesuatu yang ‘raya’ iaitu besar dan gah. Suatu kebanggaan negara. Suatu kemegahan bangsa. Besar dan lebar. Panjang dan mengufuk. Tanda kemajuan. Tanda kemewahan. Tanda kegemilangan bernegara. Setakat mana sebenarnya kita melihat jalanraya. Sekadar untuk kita merentasnya. Mungkin untuk hilir mudik menikmati gahnya. Atau mungkin juga untuk turut sama berkongsi santai nikmat negara berdaulat. Yang diperintah sendiri. Yang dulunya diperah dan dikerah. Yang segala kekayaan asetnya dipunggah pergi. Ditinggalkan sisa yang harus pula dilapah bersama. Dalam pada itu ramai juga yang rakus. Semuanya mahu dihimpun sendiri. Jiran dan saudara yang lain ditolak ke tepi.

Jalanraya bukan sekadar jalan. Bukan hanya laluan. Bukan menjadi rentasan semata-mata. Di atas batu aspal itu terukir cita-cita suatu bangsa. Teranyam suatu mimpi benar. Mengalirlah di atasnya denyut nadi negara dan warganya. Yang bandar bukan lagi jauh. Yang hulu bukan lagi terpisah. Utara dan selatan selalu bertemu. Timur dan barat selalu bersama. Perjalanan bukan lagi sesuatu yang menjadi igauan. Bukan lagi melalui belok dan selekoh tajam yang mengancam. Perjalanan bukan lagi berjadual. Semuanya boleh berlaku saban waktu. Masa sudah bukan lagi  milik siapa-siapa. Semua orang boleh memilih ikut keutamaan. Yang penting perjalanan boleh dirancang dengan santai. Yang perlu dijaga hanyalah kenderaan. Pemandunya yang menjaga kantuk. Yang tahu bila untuk tidur. Keselamatan kenderaan dan penumpang perlu diutamakan kesemuanya.

Sekarang cuba pejam mata sebentar. Lihat bayangan jalanraya. Lihat lintasan teknologi. Untuk membina jalanraya perlukan teknologi yang semakin tinggi kualitinya. Bahan-bahan binaannya semakin canggih. Kaedah dan prosidurnya semakin berlainan dari dahulu. Jadual kerjanya tentu sekali mengambil waktu yang terpantas kerana masa adalah wang. Masa itu emas. Pekerja yang terlibat juga bukan calang-calang. Berbagai warganegara terlibat. Lihatlah, ada warga Bangladesh. Ada warga India. Rasa-rasanya ada warga Indonesia. Di mana warganegara kita? Ramai yang menyingkir. Kerja berat di tengah panas terik itu bukan lagi pilihan. Banyak lagi tempat yang lebih kondusif. Sejuk dan terlindung dari matahari. Lebih nyaman. Jadual kerja lebih predictable. Lebih fleksibel.

Cuba lihat bayangan ekonomi. Setiap saat meluncur laju lori dan tariler. Besar dan panjang. Bergegaran sepanjang siang dan malam. Muatan yang diminta oleh segenap peduduk. Yang diangkut dari segenap tempat. Jalanraya adalah penghubung talian hayat warganegara. Makan dan minum digerakkan di jalanraya. Sandang dan pakai juga begitu. Seolah-olah hidup dan mati kita bergantung kepada jalanraya itu.  Kerananya hadlaju selalu tidak dipatuhi. Manusia yang memandu menjadi gila sebentar. Bukan gila biasa. Kebanyakan mereka mabuk kerana nikmat yang terlalu besar. Hilang pertimbangan untuk mengurus jalanraya itu. Maka jalanraya menjadi kuburan besar. Terlalu ramai yang tertarik untuk disemadikan di atasnya. Sepanjang lebuhraya menjadi perangkap maut yang sengaja dipasang. Bukan dipasang tetapi dicari. Dikejar dan seolah-olah dirindui.

Merempit dan lumba haram adalah salahguna jalanraya. Hilang fungsi positif yang memperkayakan negara. Yang memperkayakan bangsa. Yang membina tamadun. Mungkin jika dihubungkan jalanraya itu dengan teknologi akan dilihat jalanraya itu dengan perspektif yang berbeza.. Jika dikaitkan dengan pendidikan tentu natijahnya menginsafkan. Sekiranya kita melihat dari sudut agama tentu kita akan melihat kebesaran Allah. Manusia diberi ilham untuk meneroka dan menyelidik. Darinya diri akan menyatu dengan kebesaran Allah. Kembali kepada iqra’. Permulaan yang memerintahlan manusia untuk membaca semua tanda dan isyarat yang boleh dibaca. Jangan hanya membaca tulisan. Warna, saiz, suhu dan berbagai tanda yang lain mesti dibaca dengan akal budi yang tinggi. Tidak mungkin kesemuanya ada tanpa izin Allah. Mesti diinsafi untuk melihat kekerdilan diri.

Banyak negara yang menjadikan jalanraya sebagai jalan keselamatan. Keluasannya bukan sahaja untuk memudahkan pemanduan. Bukan sekadar untuk bersantaian. Tersirat padanya jalur keselamatan jika perang berlaku. Jet pejuang boleh mendarat dan terbang. Touch down dan take off.  Perang bukan sesuatu yang terlalu jauh bagi mana-mana negara. Lihat Korea Utara dan Korea Selatan. Lihat bagaimana ancaman yang dikenakan kepada Iran. Afghanistan dan Iraq tidak aman-aman. Begitu juga Syria dan Yamen. Cina dan Taiwan tidak damai-damai juga. Sebab itu jalanraya bukan sekadar jalanraya. Di US umpamanya jalanraya sentiasa dalam keadaan tip-top. Rata, cantik dan menjadi nikmat bagi pemandu. Perancangan dan pembinaannya mengambilkira aspek yang berbagai. Keselamatan penggunaannya hanya satu aspek kecil. Padanya terdidik warganegara yang bersopan di jalanraya. Tahu menghargai nikmat. Menyumbang untuk menjadikannya nikmat bersama. Pemandu gila yang kita lihat di TV bukan suatu norm. Itu hanya cereka untuk filem atau drama. Realitinya mungkin ada tetapi hanya berlaku dalam kes-kes terpencil. Orang jahat ada di mana-mana. Pemandu mabuk ada di mana-mana.

Sekarang buka mata kita. Realiti di hadapan mata. Pemandu ramai yang memotong di lorong kecemasan di sebelah kiri. Di lorong luar untuk kenderaan yang bermasalah. Jenuh diperingatkan tetapi seperti tiada kesannya. Yang dipandu bukan calang-calang kereta. Siapa agaknya yang memandu Mercedes atau BMW. Atau Alphard. Atau CRV. Bukan calang-calang orang. Malang sekali kerana kenderaaan tidak mencerminkan nilai dan kualiti pemandunya. Nilai pemandunay terlalu rendah berbanding dengan nilai kenderaan yang dipandu. Atau penumpangnya mungkin. Undang-undang dan peraturan jadi mainan. Saya teringat falsafah jalanraya di US. Intipatinya begini, you have no right to use the road unless you share with other users. Jalanraya adalah milik umum. Untuk maslahah awam. Itu baru pemanduan. Kita belum lagi bercerita tentang sampah yang melayang keluar dari tingkap dan pintu kenderaan. Masing-masing menyangka lebuhraya adalah tong sampah besar. Jika itu persepsinya maka tentu akan dikira sampah semua yang berada di atas jalanraya itu. Suatu senerio yang tentu agak memualkan.

Kita banyak slogan. Banyak impian positif untuk menjadikan jalanraya seindah namanya. Semua orang boleh menikmati ‘raya’nya. Maka ia perlukan pendidikan yang panjang prosesnya. Kita mesti mengetahui matlamat yang hendak dikejar. Objektif yang hendak dicapai. Lalu kita membentuk peradaban. Manusianya yang penuh dengan adab. Berfalsafah. Membina norma-norma yang terkehadapan. Memiliki kemanusiaan yang tinggi menjulang. Untuk itu jalanraya bukan sekadar untuk dilalui. Kita melihat  tamadun di sepanjang laluannya. Kita melihat budaya di atasnya. Kita melihat manusia berakhlak mulia menjadi pemandunya. Jalanraya adalah  binaan yang tidak pernah kukuh dan kekal. Ia perlukan penyenggaraan. Dipantau dari  lubang dan lopak. Dari rekah dan pecah. Andainya kesemuanya ini menjadi realiti tentu kos untuk menggunakan jalanraya semakin berkurangan dengan signifikannya. Hospital tidak banyak dihuni oleh mereka yang celaka di jalanraya. Kita tidak kehilangan modal insan yang masih tinggi produktivitinya. Tidak banyak yang sia-sia.

Kita ada pemantauan polis secara berkala. Itu tidak mencukupi. Kita tidak ada highway patrol seperti di US. Polis trafik ada di mana-mana. Hadlaju maksimum adalah 55 bsj atau 90kmj. Kelajuan yang melebihinya pasti dihambat sama ada kereta peronda atau peronda bermotorsikal berkuasa tinggi. Kita di sini menggunakan jalanraya sesuka hati. Di negara maju seperti US banyak pantang larangnya yang wajib dipatuhi pemandu. Kelajuan hanya satu aspek. Keadaan kenderaan satu aspek lain. Tayarnya mesti berbunga supaya apabila dibrek boleh berhenti seperti dikehendaki. Begitu juga apabila hujan dan jalan bersalji. Akan terhindar hydroplaning. Luncuran atas air. Lampu besar yang semestinya hidup. Lampu merah yang terus menyala. Banyak sungguh kenderaan kita yang tiada lampu merah. Lampu besar yang hanya sebelah sahaja. Di US kenderaan seperti itu pasti dihentikan perjalanannya. Polis akan mengarahkan kereta itu dibaiki. Disempurnakan kegunaannya di jalanraya.

Kadang-kadang saya kesal dengan kenderaan yang memasang lampu tambahan. Ramai pemandu yang mahukan supaya kenderaan mereka dilihat dari hadapan. Dari jauh. Pada waktu malam. Waktu hujan. Waktu berkabus. Waktu suram. Malangnya yang saya lihat bukan begitu. Lampu-lampu tambahan itu dipasang sepanjang masa. Yang pastinya hanya menyilaukan orang di hadapan. Jadi penasaran kita dibuatnya. Lampu untuk menyuluh jalanraya akhirnya menjadi penyuluh mata. Sakit dipanah pancaran yang sangat terang. Silau yang amat sanagat. Itulah antara kegilaan di jalanraya. Kita ada highway code. Ada sejak dari British dahulu kala. Kita perbaiki dari masa ke semasa. Pendidikan di jalanraya masih belum sampai hajatnya. Adab di jalanraya masih belum menjadi darah daging. Kita tidak berkongsi jalanraya bersama pengguna lain. Jika sikap kita payah berubah maka payahlah perubahan akan dijelmakan. Jalanraya tinggal ‘raya’nya. Hilang seri fungsinya. Hanya kita yang mampu mengubahnya. Tepuklah dada, tanyalah hati. Jentik akal untuk kita fikir-fikirkan bersama.

Monday, February 20, 2012

Fall Versi Malaysia


Sekarang ini peredaran Monsoon. Cuaca agak panas. Hujan  turun juga sekali sekala. Cukup untuk membasahi bumi. Panasnya tetap juga perit. Bulan Februari  di negara-negara di Utara adalah Spring tetapi di negara-negara di Selatan adalah Fall. Ada musim-musim yang mengusik perasaan saya. Bila saya pandang keliling saya dapati ada semacam Fall berlaku di sini. Daun-daun menguning. Ada yang memerah. Daun berguguran. Dalam pada itu ada pokok yang sudah habis luruh daunnya. Ada pula daun muda  sudah menggantikan daun yang tiada. Situasi ini seolah-olah  winter akan datang tidak lama lagi. Saat-saat indah pasti menjelmakan sesuatu yang di luar jangka. Benarkah begitu? Tidak mungkin jika bukan perancangan Allah. Negara kita bukan tempatnya. Bukan musim di negara kita. Kita tidak akan pernah merasainya tanpa izin Allah.

Seorang rakan berkursus di Canada pada tahun 1990 dahulu. Orang di sana bertanya tentang berapa musim yang ada di Malaysia. Adakah sama dengan di negara mereka. Mereka maju tetapi rakyatnya tidak mahir Geografi. Tidak tahu apa yang berlaku di negara lain. Yang penting negara mereka sendiri. Seperti orang Amerika, yang utama ialah kecintaan kepada negara sendiri. Negara lain hanya pelengkap kepada negara mereka. Pertanyaan mereka tentang musim di Malaysia tentu terasa melucukan. Dengan selamba rakan saya itu menjawab bahawa di Malaysia ada empat musim. Hot, hotter. Wet, wetter. Tergelak panjang orang Canada. Mereka tahu rakan saya itu kidding mereka. Lawak bodoh. Tetapi benarkah itu lawak. Memang benar itu kenyataan. Kepada kita itu kebenaran sebenarnya. Musim kita tidak pernah mencecah sejuk. Tidak juga sederhana. 30ºC sudah seperti sejuk. Apatah lagi jika 25º. Ramai yang demam memanjang barangkali. Selsema terus menerus. Sekarang ini bulan Februari hingga Mac setiap tahun pasti suhu agak melebihi paras biasa. Bahang panas sangat terasa. Hujan juga. Namun panasnya tidak berkurangan.   


Pokok jati di tepian lebuhraya utara-selatan ini mula menguning daunnya. seakan-akan fall sudah bermula.


Pokok ini saya tidak tahu namanya. Namun jika diamati daunnya mula memerah.


Daun pokok getah ini kuning jingga. Orang di Australia barangali keliru di mana daun kuning ini.

Pokok getah juga tetapi daunnya merah. Bagi yang pernah ke Utara atau ke Selatan tentu nostalgik melihat semua warna-warna ini. Ada di negara kita. Cumanya yang ada warna. Suasana dan iklim atau suhunya tiada. 
Ramai antara kita mungkin tidak mengambil pusing akan hal ini. Ada sesuatu yang kekal dalam pemerhatian saya. Ada yang kekal dalam ingatan saya. Bulan-bulan yang saya sebutkan  itu ada petandanya yang tersendiri. Awal tahun yang panas ada dedaun yang merah. Ada yang menguning. Banyak juga jenis pokok yang begitu. Tetapi yang paling banyak memerahnya ialah  daun pokok getah. Menguningkan sebahagian daripadanya. Di kampung senario sebegitu mungkin terlalu biasa. Semua orang selalu terlepas pandang. Tiada siapa yang mengambil apa-apa iktibar. Tiada apa-apa cerita di sebaliknya. Memandang tanpa nampak. Melihat tanpa tahu. Tiada penelitian. Tiada pengamatan. Di negara-negara utara atau selatan fall menjadi sangat nostalgik. Hanya bagi yang mengalaminya sahaja merah dan kuning daun getah memberikan impak hati dan nurani. Mengimbau masa-masa lalu yang telah lama berlalu.

Ingatan saya kembali ke zaman kanak-kanak saya dahulu. Tahun-tahun 50an dan 60an yang  sudah lama berlalu. Agak terlalu lama tersimpan beku. Masa yang telah menghilang. Waktu yang telah berada di  balik tabir zaman. Detik-detik yang tiada lagi waktunya. Tetapi saya masih ingat. Pada waktu-waktu beginilah saya berada dalam suasana yang lesu. Cuaca panas tentu memalaskan. Hangat dan merimaskan. Lembab yang melekitkan pakaian. Apatah lagi kain murah yang termampu dibeli dan dipakai orang kampung yang kemampuannya jauh dari kekurangan orang berada. Pergerakan menjadi lambat dan lembam. Di  keliling  rumah berserakan daun getah yang berwarna-warni. Kering dan akhirnya mereput. Hilang bahagian-bahagian yang pernah mengandungi stomata. Yang memungkin fotosintesis. Yang tinggal hanyalah kerangka yang merupakan jalur-jalur aliran yang bercantum-cantum membentuk daun.

Tentu sukar untuk mengerti kerana sekarang ini pokok getah semakin berkurangan. Tanaman kontan seperti kelapa sawit menguasai pertanian. Dari Johor ke Kedah saya melihat kelapa sawit. Cuma di Utara di bukit dan bukau masih tertegak pokok getah. Di pamah masih hijau dengan padi. Usaha R.N. Ridley masih dihargai lagi. Tidak hanya di Kuala Kangsar kita melihat pokok getah. Pokok getah masih banyak juga dipelihara.  Di kampung masih ada yang bergantung kepada getah. Sekarang ini harganya agak tinggi. Bertambah rezeki pekebun kecil. Namun begitu menoreh bukan lagi suatu kemahiran yang menyeluruh.  Waktu remaja saya dahulu sukar mencari orang yang tidak pandai menoreh. Yang dewasa menoreh. Yang muda menoreh. Yang lelaki menreh. Yang perempuan juga menoreh. Itu penghidupan orang di kampung saya. Kebergantungan yang tiada gantinya. Ada kerja lain sebagai sambilan seperti mengambil upah menebas. Atau membuat rumah. Atau menggali parit. Selain itu yang diushakan hanyalah bercucuk tanam di sekeliling rumah. Untuk makanan sendiri. Subsistence living.

Apabila daun-daun getah berubah warna. Warna cantik yang memerah dan menguning. Ada sedikit kesedihan menusuk hati. Saya melihat betapa lesunya arwah ibu saya melayani fikirannya. Mengapa tidak. Sewaktu daun getah berwarna dan bergugurn inilah hasil getah paling minimum. Getah menyusust. Hendak menoreh terasa malas. Hendak memungut susu getah lagilah malasnya kerana susunya semakin kering. Selalunya getah dua keping yang besar dan tebal. Apabila dedaun luruh kepingannya mengecil dan menipis. Tentu sahaja hasil jualannya merosot. Mungkin hingga 40%. Ketika itu bercatulah makan. Mengikat perut. Mengecutkan selera. Anak kampung tiadalah karenahnya. Makan apa yang ada. Ditampung agaknya dengan makan pisang masak. Dimakan mentah.  Boleh juga digoreng dengan minyak kelapa buatan sendiri. Atau rebus barangkali. Begitulah ubi yang direbus bercecahkan sambal tumis. Atau ikan masin. Keladi juga ada. Keladi selatah paling banyak direbus dan dimakan dengan parutan kelapa yang dibubuh sedikit garam dan dimaniskan dengan gula. Buah-buahan di sekeliling rumah menjadi penawar duka lara dek kemiskinan. Benar-benar survival.

Itulah cerita lebih setengah abad yang lalu. Lalu kita merdeka. Ada janji untuk memperbaiki keadaan. Menghapus kemiskinan. Meningkatkan keindahan kehidupan yang bersalutkan madu kemewahan. Setelah lebih setengah abad masih banyak yang belum terlaksana. Orang dahulu sudah tiada. Tidak merasa keindahannya seperti yang dicita. Orang sekarang ramai juga yang tidak merasakan janji indah itu. Kehidupan tidak seperti yang dicita-citakan. Kemiskinan masih seperti dulu juga. Masih ramai yang di bawah. Merasa kesusahan yang berlarutan. Ada yang di rumah kotak. Di rumah buruk. Yang melara dan melarat. Cerita dedaun berwarna merah dan kuning ini saya simpan dalam lipatan hidup saya. Mereka yang pernah mengalaminya tentu akan nostalgik. Anak-anak generasi sekarang bacalah catatan orang-orang dahulu. Bahawa hidup datuk dan nenekmu bukan seindah sekarang. Bukan air dalam besi.  Bukan petik di dinding menyala lampu. Bukan gambar dalam kaca. Bukan bercakap dari jauh. Masa lalu yang selalu pilu. Yang kita tinggalkan untuk maju ke hadapan. Terus belajar untuk memperbaiki diri. Diri kita sendiri bukan orang lain. Kehendak kita tidak pernah sama.

Saturday, February 11, 2012

NY Ke Pittsburgh


Jam 9.00 malam. Kami tinggalkan WTC. Kami tinggalkan NY. Pittsburgh, kami kembali ke bumimu. Sejak pagi tadi dari Washington ke NY kami tiada perancangan untuk bermalam di mana-mana. Tengok keadaan. Jika ada keperluan. Kerana itu saya mencari jalan pulang dari NY melalui Harrisburgh untuk ke Pittsburgh. Kebetulan  NY State besebelahan Pennsylvania State. Atau PA untuk Pennsylvania singkatannya. Harrisburgh adalah ibu negeri PA. Pittsburgh antara bandaraya yang terdapat di PA. Harrisburgh lebih gagah dan lebih sibuk dari Pittsburgh. Sepintas lalu pada malam itu saya rasa Harrisburgh lebih berkarenah berbanding Pittsburgh. Saya plot perjalanan pulang. Suatu simpang akan diambil di Harrisburgh untuk menuju Pittsburgh. Secara jujurnya kesemua tempat yang berada dalam penceritaan saya tidak pernah saya kunjungi sebelumnya. Saya berbekalan keberanian. Berpandukan peta yang selalu dijengah. Kebetulannya sewaktu di sekolah menengah dahulu saya gemarkan subjek Geografi. Peta tidak mengintimidasi saya. Asalkan butirannya betul insyaAllah tempat itu boleh dicari.Sampai di Harrisburgh sesuatu terjadi.

Memandu di manapun di US bukanlah masalah. Ikut sahaja peta,  arahan dan undang-undangnya. Tahu sedikit budaya mereka. Disiplin mereka memandu. Malam itu Harrisburgh memang terang benderang. Tiada bandar di US yang gelap pada waktu malam. Sepatutnya saya mengambil selekoh di suatu persimpangan bertingkat di tengah-tengah bandaraya Harrisburgh. Saya tergamam kerana persimpangan bertingkat itu bukan berlapis tetapi berlapis-lapis. Saya sudah keliru dengan plot perjalanan yang sudah saya hafal. Tanpa disedari simpang yang dicari telah terlepas. Saya sudah mengambil simpang yang berlainan. Hendak balik akan terpaksa mencari U-Turn yang jauh. Itupun belum pasti akan ditemui simpang yang  dicari. Saya memutuskan untuk meneruskan perjalanan dengan mengambil jalan yang lain. Saya cari tempat berhenti. Buka peta. Cari jalan ke Pittsburgh. Dalam peta ada beberapa alternatif ke sana. Saya pilih satu. Adoi! Jalan kampung. Walau bagaimanapun jalan kampung di US tidak seperti di sini. Kita di sini bila kampung banyak negatif jalanrayanya. Kecil, kasar, berlubang, senget, pecah di sana dan pecah di sini. Pendek kata menjadi jalanraya yang menyukarkan. Hilang keseronokan memandu. Hilang rayanya. Yang dialami hanya sukarnya.

Hari semakin malam. Penumpang kesemuanya keletihan. Saya yang memandu sejak dari pagi lagilah letihnya. Dalam pada letih itu ada juga penumpang yang resah. Terutama isteri saya. Yang lain tertidur juga. Jalan kampung yang saya lalui memang sunyi. Almaklumlah waktu semakin malam. Ke tengah malam. Hingga ke dinihari. Akhirnya pagi. Perjalanan yang sangat lama bagi saya. Alhamdulillah jalan kampung yang saya redah agak lebar. Empat lorong. Di kanan dan kiri jalan rasanya berbagai ladang. Buah, makanan dan sayur-sayuran. Entah berapa ladang jagung yang saya lalui. Entah berapa ladang buah yang saya rentasi. Jalan kampung itu pastinya indah pada waktu siang. Ladang yang selalu melaut. Orang US ladangnya beribu hektar. Kesemuanya menggunakan teknologi. Capital intensive. Menggembur tanah menggunakan jentera berat. Tanah yang digembur memang tunggang terbalik. Dalam dan terbalik-balik. Kesuburan yang sentiasa dilestarikan. Menabur benih menggunakan kapalterbang. Sewa khas. Membaja juga dengan kapalterbang. Begitu jug asewaktu menyembur racun serangga. Memang tidak hairanlah bahawa orang Amerika ramai yang boleh memandu kapalterbang. Bukan sahaja yang menjadi tentera udara, siapa-siapa sahaja boleh belajar untuk menjadi juruterbang.  Di sana, ada duit semuanya jadi. Lapanterbang kecil ada di mana-mana.

Malam itu memang sunyi. Spring belum  berakhir. Suhu masih rendah. Sekitar 15ºC. Orang lain semuanya sibuk nenyak tidur. Sesekali terserempak juga kereta lain. Tentunya mereka ada urusan. Kami pula mencari jalan pulang. Yang pastinya kereta diisi minyak secukupnya. Jauh perjalanan sudah dikira. Persediaan. Usaha. Doa. Akhirnya tawakal kepada Allah. Fitrah manusia ialah hidup di siang hari dan mati di malam hari. Maksud saya tubuh badan kita perlu rehat pada waktu malam. Perlu tidur. Saya berusaha bercekang mata. Walau bagaimanapun fitrah itu datang menyerang tubuh saya. Mata menyerah kalah juga akhirnya. Saya mencari tempat berhenti yang agak terang dan dikira selamat. Saya tidur menghilangkan rasa mengantuk yang sudah terlalu sangat. Malam itu entah berapa kali saya berhenti kerana mengantuk. Kadang-kadang baru beberapa puluh kilometer saya berhenti dan tidur lagi. Setelah beberapa kali tidur dan memandu berperingkat-peringkat  sampai juga ke lebuhraya yang menuju ke Pittsburgh.

Seperti kita di Malaysia untuk masuk ke lebuhraya dan keluar darinya kita dikenakan tol. Kita di sini mengambil tiket. Atau menyentuh touch & go. Atau pandu lalu bagi yang ada smart card. Kita rasa negara kita canggih, maju dan terkehadapan. Belum lagi. Belum lagi dik. Belum lagi bang. Belum lagi tuan. Cerita saya ini 26 tahun dahulu. Mereka sudah lama di hadan. Di US sudah berpuluh tahun terlebih canggihnya. Teknologinya canggih. Sikap penggunanya canggih. Falsafahnya canggih. Disiplinnya cangih. Siviknya canggih. Tidak ada tol yang dijaga manusia. Yang menjaganya hanyalah akal dan perasaan penggunanya. Disiplin diri mereka. Very Islamic tanpa mereka menganut Islam. Saya amat yakin seperti yang dikatakan oleh Muhammad Abduh. Di Barat banyak yang Islamik tanpa ada orang Islam. Apabila sampai di pondok tol pengguna hanya sekadar mencampakkan duit siling. Ya duit siling. Bukan duit kertas yang nilainya besar. Duit kertas terlalu ringan. Tidak mampu menaikkan palang tol. Mungkin perlu berkeping-keping banyaknya baru palang itu boleh naik. Atau memang alatnya tidak diprogram untuk menerima wang kertas. Tentu supaya tidak menyusahkan pengguna. Sebaliknya untuk meringankan.

Prinsipnya ialah untuk memudahkan. Cepat. Cekap. Tidak membebankan pengguna. Rakyat. Hanya ada satu arahan sahaja. Please don’t throw a  nickel. Jangan campakkan 5 sen. Boleh campakkan dime (10 sen), quarter (25 sen) atau half-dollar (50 sen). Berat ketiga-tiganya boleh menaikkan palang tol. Tidak adakah yang menipu? Mungkin ada. Tetapi tidak melebihi 10%. Mungkin 1% sahaja. Mungkin . 0.1% sahaja. Mereka tidak ada kecenderungan untuk menipu. Sistem pendidikan mereka membentuk rakyat yang menghargai negara. Seperti kata Kennedy, ask what you can do for your country, not ask what yor country can do for you. Tanya apa yang boleh anda sumbangkan kepada negara, jangan tanya apa yang negara boleh sumbangkan kepada anda. Semangat patriotik sangat menebal. Itulah jaminan tertegaknya bangsa yang dikawal oleh rakyatnya sendiri. 

Selain dari akademik yang saya pelajari di kelas, pemerhatian dan pemahaman saya banyak menginsafkan saya. Orang Amerika dilihat jahat di mata dunia. Itu politiknya. Sistemnya. Tetapi secara individu orangnya baik. Budayanya baik kerana yang selalu difikirkan ialah maslahah umum. Kebajikan yang maksimum. Dalam isu tol umpamanya 10 sen atau 25 sen atau 50 sen sangat memudahkan. Sangat tidak membebankan. Sangat menyenangkan. Semua pengguna dapat menyumbang dengan senang hati. Konsep dan falsafahnya ialah rakyat membantu. Mereka telah membayar berbagai-bagai cukai. Cukai pendapatan. Cukai barang. Cukai harta dan berbagai cukai lain. Cukai jalan sudah dibayar. Insuran kenderaan sudah diayar. Lesen sudah dibayar. Cukai minyak sudah dibayar. Maka tolnya sekadar sumbangan. Membantu negara seperti yang disarankan oleh Kennedy. Kerana itu rakyat Amerika bersedia menyumbang. Sudah menjadi tanggungjawab. Hati mereka tidak pernah resah. Mereka gembira menjadi penyumbang.

Perjalanan malam itu memberi banyak pengajaran. Hingga sekarang saya belum lagi mengalami pemanduan yang sama. Atau serupa. Saya memandu selama 24 jam. 9.00 pagi hari Sabtu dari Washington. 9.00 malam di NY. 9.00 pagi hari Ahad esoknya saya sampai di Pittsburgh. Apabila saya turun dari kereta saya seperti mabuk laut. Lutut saya bergetar, bergoyang dan lemah. Setelah beberapa ketika baru datang kekuatan semula. Punggah turun barang dan saya bergegas memulangkan kereta yang disewa. Jam 10.00 pagi Ahad kereta mesti dikembalikan. Jika tidak bakal dikenakan penalty. Itulah kembara terakhir di Us. Bumi Amerika. Bumi Uncle Sam.  Perjalanan 24 jam itu melalui bandaraya dan kampung. Di Amerika semuanya tiada masalah. Jalanrayanya memudahkan. Pemanduan menjadi mudah. Kepayahan hanya bagi mereka yang tidak memahami. Selagi kita boleh belajar selagi itulah kita mendapat bantuan akal. Bantuan Allah. InsyaAllah.