Sunday, December 4, 2011

Cave Of The Winds Niagara Falls


Pengalaman berada di Niagara sangat mengujakan saya. Terlalu banyak yang dilihat. Banyak yang dirasa. Banyak yang menusuk dalam qalbu saya. Ingatan yang bertunda-tunda. Kenangan yang selalu mengimbau. Saya kira melihat Niagara Falls sudah cukup ajaibnya. Berada di sana sudah cukup mengesankan. Bersama meriah pelancongnya sudah cukup menjadikan hidup saya penuh dengan rempah ratus. Penuh dengan rencah pengalaman. Memuncakkan segala yang memercukan diri. Rupanya melihat sahaja tidak mencukupi. Mendengar sahaja tidak mencukupi. Ada yang lebih besar dari itu. Dalam teori pendidikan ada orang yang dikategorikan sebagai auditory (pendengaran), visual(penglihatan) atau kinesthetic (amali). Saya telah mendengar. Saya telah melihat. Apa pula yang hendak saya buat dengan air terjun itu? Kebetulan ada sesuatu yang menarik mina saya. Peluang berada di sebalik air terjun American Bridal Fall. Ketika itu saya menjadi manusia yang kinesthetic. Ingin merasakan motion air terjun otu. Ingin menjamah dekat kedinginannya. Percikan air yang membasahi seluruh tubuh. Mendengar dari dekat deruman air yang menggegak gempitakan perasaan.

Saya telah merakamkan air terjun ini melalui kamera murah saya. Saya sudah memandangnya dengan puas. Banyak lagi hal yang tidak dapat diceritakan dengan ungkapan-ungkapan biasa. Mungkin banyak superlatives yang tidak dapat dipaparkan. Ianya tersimpan dalam hati. Dalam kenangan. Dalam minda. Abadi sendiri di situ. Saya hanya dapat kongsikan sebahagian kecil darinya. Sekadar yang dapat diluahkan mengikut susunan ingatan. Setakat dapat menyingkap lembaran-lembaran masa lalu yang penuh dengan berbagai peristiwa. Melihat dan mendengar sahaja rupanya tidak mencukupi bagi sesetengah orang. Mengalaminya sendiri itu melengkapkan naluri diri. Kepuasan maksimum. Impaknya sampai ke puncak. Berada hampir dengan air terjun itu sudah cukup mengerikan. Subhanallah! Bunyinya terakam dalam diri tetapi untuk memberi gambaran tentu sukar. Tiada perbandingannya. Apatah lagi ketika berada bersama air terjun itu sendiri. Dari dekat. Dari dalam. Dari sebalik tabir air yang tebal, deras, banyak dan terlalu membingit bisingnya. Bagai pecah dada dibuatnya. Kepala berdenyut dengan bisingnya. Hati tersangat bimbang tentang keselamataan diri.

Pada mulanya kami bertujuh ingin mendapat pengalaman itu. Pada saat akhir isteri saya kengerian sendiri. Maka saya dan lima orang anak saya meredahkan diri untuk menawan kengerian itu. Ketakutan yang luar biasa. Anak bongsu saya baru kira-kira lebih sedikit dua tahun. Saya dukung. Saya kelek. Kami memakai baju hujan yang disediakan. Bukan kerana hujan. Percikkan air terjun itu bagai hujan yang sangat lebat. Menghentam tubuh badan dengan kuat. Jika bertahan lama pastinya menjadi amat sakit ditujah air yang datang berpercikan berbagai saiz. Dengan berpakaian baju hujan berwarna jingga itulah kami merentasi jambatan khas yang dibina kukuh untuk merasai sendiri kekuatan bunyi. Kederasan air. Melihat air terjun American Bridal Fll at its best. Dari dekat, dari sisinya dan dari balik tabir airnya yang terjun tanpa henti. Tentu sahaja anak-anak saya yang kecil menangis ketakutan mendengar deruan air yang sangat kuat. Mereka berpelukan sesama mereka. Perlahan kami berjalan. Setapak demi setapak. Mendongak dan memaling muka ke kanan dan ke kiri. Air di mana-mana. Dingin dan deras. Dari sisi kiri kami masuk. Allahu Akbar! Berada di sebalik air terjun itu sangat menginsafkan. Realiti pertamanya ialah bagaimana saya yang datang jauh dari sebuah kampung yang tidak diketahui wujudnya di sebuah tempat di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, Malaysia boleh berada di situ. Beribu-ribu kilometer jauhnya.   Sayang, tiada peluang untuk memahat nama dan kampung saya di situ. Hanya dalam minda saya ianya terpahat.

Saya belum pernah berkongsikan pengalaman ini. Hatta anak-anak saya sendiri barangkali sudah melupakan suatu episod indah ini bersama ayahnya. Pengalaman yang tiada tolok bandingnya. Mungkin kami antara beberapa orang warga Malaysia yang pernah berada di sebalik air terjun itu. Kami hilang dari pandangan. Tiada siapapun yang memandang kami. Jika hilang ketika itu tiada siapa yang pasti dapat menjawabnya. Kami sendirian bersama Allah. Masing-masing pelancong dengan hal sendiri-sendiri. Bagi yang bersendirian tentu banyak masa untuk muasabah diri. Mengenangkan kekerdilan diri. Mengkagumi kebesaran Allah. Yang Maha Pencipta. Sukar untuk menyatakannya. Mungkin jika pembaca boleh menutup mata sebentar. Bayangkan sebuah air terjun yang beratus meter lebarnya. Bayangkan air berterjunan setinggi beratus meter. Air itu pula dalam kuantiti yang tersangat banyak. Bayangkan bunyi deruan airnya di telinga. Di hati. Di minda. Bayangkan dalam-dalam. Mengembara sebentar dalam minda. Jika hujan lebat menimpa zing rumah kita sudah dianggap kuat, bayangkan jika kita gandakan bunyi kuatnya sebanyak 100 kali. Atau 1,000 kali. Atau 10,000 kali. Atau 100,000 kali. Atau 1 juta kali. Itulah gegaran yang saya rasa. Di belakang air terjun itu. Dalam Cave of the Wind, Niagara Falls. Di situ saya menyatu dengan American Bridal Fall.

Setiap orang membuat garapan yang berbeza. Dalam keadaan seperti itu lain orang lain pula reaksi dan tindakannya. Bagi yang membawa kamera kalis air mereka boleh merakamkan pengalaman mereka. Bagi saya tentulah lain pula caranya. Ssya pandang keliling gua  di belakang air terjun itu. Gua tetap gua. Ruang besar yang berdindingkan batu. Kehebatan teknologi menjadikan gua itu terang berlampu. Yang mengkagumkan ialah memandang tabir air yang menjuman dari atas ke bawah. Putih, jernih dan bersih. Bunyinya? Subhanallah. Belum pernah saya mendengar bunyai sekuat  itu. Tiada sebelumnya. Tiada selepasnya hingga sekarang. Hanya qiamat sahaja yang rasanya bunyinya lebih kuat dari air terjun itu. Bergegar seluruh anggota tubuh badan saya. Menggigil kesejukan. Ditambah dengan rasa ngeri dan ketakutan yang amat sangat. Membawa anak-anak pula. Ketika dalam kekalutan hati itu saya mengangkat tangan. Buat apa ya? Mengaku kalah? Tidak. Saya azan dengan sekuat-kuat hati. Saya pasti tiada siapa yang medengar azan saya melainkan diri saya sendiri dan anak-anak saya yang berdekatan dengan saya. Hanya Allah yang mengetahui bahawa pengalaman itu amat berharga sebagai manusia yang kecil dan lemah. Ia memberi semangat dan kekuatan untuk mengharungi cabaran-cabaran hidup dan kerjaya yang lebih besar.

Alhamdulillah. Allah memberi saya ruang untuk bersama dapat merasai tanda-tanda kebesaranNya. American Bridal Fall itu menjadi saksi saya pernah berada di sebaliknya suatu ketika dahulu. Tahun 1985. Tahun sejarah yang besar ertinya kapada saya dan keluarga. Kepada isteri dan anak-anak. Dari kampung ke bandar. Dari Malaysia ke US dan Canada. Dari benua ke benua. Dari suatu titik masa ke suatu titik masa. Sesungguhnya manusia berada dalam genggaman Allah. Hanya Allah yang menentukan di mana kita berada. Bila kita di sesuatu tempat. Asbab musababnya. Kita hanya pelaku semata-mata. Allah Maha Besar.


Panjang, tinggi dan deras airnya. Kuat bunyinya. Sekuat yang belum pernah saya dengar. Namun seperti tidka percaya saya pernah berada di belakang air terjun itu. Di sebaliknya. Tiada siapa pernah menjangkakannya. Jauh sekali mengimpikannya. Tiada dalam kamus minda sebelum memjejak kaki ke bumi US.


Pada tahun 1997 air terjun ini pernah beku untuk beberapa ketika. Musim dingin yang luar biasa. Lihatlah. Di atas sana ada orang yang berada di atas ais yang dalam keadaan biasa adalah air yang mengalir sangat deras.


Suatu ketika dahulu air terjun ini pernah dikeringkan airnya. Dialirkan ke arah lain. kehebatan teknologi US. Sewaktu kering tiada siapa yang menyangka bahawa itu adalah tapak sebuah air terjun yang besar. Tapak itu diperiksa. Dinilai kekukuhannya. Kerja-kerja rawatan dan pencegahan dilakukan untuk melestarikan wujudnya air terjun itu. Bagi penduduk Niagara ketidakhadiran air terjun itu amat mengerikan kepada mereka.  Mungkin ramai yang mengigau kerena kehilangan sesuatu yang besar ertinya dalam kehidupan mereka. walaupun hanya untuk sementara tetapi kesannya amat mendalam. Mereka belajar menghargai.





Dapat pembaca bayangkan? Jambatan kayu ini pernah saya lalui. Agaknya bagaimana susahnya untuk membuat jambatan ini dari segi kejuruteraan dan teknikalnya. Melaluinya sudah cukup mengerikan. Yang membuatnya selama berminggu dan berbulan bagaimana agaknya. Kosnya. Masa yang diambil untuk menyiapkannya. Jiwa yang terkorban.

Catwalk at the Cave of the Winds.jpg (26383 bytes)

Dilihat dari bawah. Tinggi mengerikan.

Catwalk with deep blus sky.jpg (24786 bytes)

Daqri sudut lain.

Dari jauh.


Experience the exhilaration of the Cave of the Winds

Bagi yang pernah melaluinya menjadi suatu kejayaan peribadi. Conquering the unknown. Overcoming fear.

Memakai baju hujan. Walaupun sewaktu di sini sudah terlalu kuat bunyi air terjun itu, kami tidak menduga mengalami sendiri berada bersama air terjun itu lebih memberi kesan. Impak mendalam.


Masih mencari-cari kesesuaian diri. Pengalaman yang bakal diduga.


Beberapa kilometer di hulu air terjun Horse-Shoe. Airnya sudah sangat deras.


Falldry3.jpg (148440 bytes)

Proses membaikpulih.

falls_dry.jpg (186036 bytes)

Sedikit air yang jatuh terjun. Perhatikan tebing air terjun itu. Semakin lama semakin menghakisnya. Maka air terjun itu semakin mengundur. 

No comments:

Post a Comment