Wednesday, December 14, 2011

Biarlah Anak Mencari Dirinya

 Berdikari perlulah dari kecil. Dari rebung. Dari putik. Bila sudah besar membuluh sukar diajar dan dididik. Melawa  sahaja tahunya. Banyak alasanya. Anak orang putih dilatih supaya berdikari sejak dari bayi lagi. Ibu dan ayah mereka di bilik lain. Bayi pula di bilik yang lain. Biasalah naluri seorang ibu. Gerakhatinya sangat sensitif. Dengar sahaja apa yang diaktifkan anak. Tangisnya pasti yang paling kuat. Ada jadual ibu terjaga dengan sendiri. Automatik. Keperluan anak dapat disambut dengan jaga dari tidur dan mengesan keperluannya. Ayah mungkin tidak ada gerakhati itu. Bukan tidak sayang. Bukan tidak merasa. Tetapi ayah tidak sedekat ibu. Mengandungkan. Melahirkan dan menyusukan. Anak itu sangat hampir. Tali kasih ibu kepada anak sangat dekat. Sangat hampir.

Proses berdikari hendaklah dari kecil lagi. Bila mereka sudah pandai memegang, beri mereka peluang untuk makan sendiri. Minum sendiri. Menyuap sendiri. Ajar mereka berdisiplin di meja makan. Lama kelamaan akan hilang sepahnya. Hilang ketidakmahiran hingga menumpah-numpah air atau kuah. Tidak lagi comot mulutnya. Tidak comot pakaiannya. Tidak comot lantai dan kerusi. Tidak comot meja. Kemahiran datang dari latihan dan disiplin. Seawal usia mereka jika sudah berdikari, pastinya amat memudahkan ibu dan ayah.  Mengajar mereka menjadi senang. Mendidik dan membimbing perlu penuh kesabaran. Banyak yang perlu difikirkan. Jika ini tidak dilaksanakan sejak anak itu masih kecil maka besarnya akan lebih menyulitkan ibu dan ayah. Kasih sayang bukan bererti memanjakan seumur hidup. Kasih sayang yang lebih utama ialah memberikan jalan hidup untuk berdikari. Bebas dari sandaran. Bebas dari dimanja-manjakan hingga tidak tahu untuk hidup sendiri. Akhirnya mereka menyusahkan semua orang. Ibu dan ayah akan susah kerana mereka tidak pandai berfikir. Memikirkan mana yang baik dan mana yang penting. Malah memikirkan mana yang menjadi keutamaan. Malah jangan sampai hingga ekonomi juga bergantung kepada ibu dan ayah lagi. Pastinya mereka akan menyusahkan pasangan masing-masing. Juga akan menyusahkan anak-anak.

Sewaktu usia 3 ata 4 tahun anak-anak seharusnya sudah pandai al-Quran. Solatnya sudah dibentuk. Mandi dan wuduknya sudah sempurna. Mandiri yang tinggi tahapnya. Bilik tidurnya sudah boleh dikemas sendiri. Di dapur boleh membantu (walaupun anak lelaki). Pandai berkemas rumah. Anak-anak zaman saya dahulu seusia lima tahun sudah pandai menjerang air. Sudah pandai menanak nasi. Kerana ibu dan ayah menoreh mereka yang kecil itu sudah boleh diamanahkan membuai adik. Memandikan. Memakaikan. Malah boleh membersihkan adik-adik dari najis kecil atau besar. Di luar rumah sudah boleh menyapu halaman. Membakar sampah. Pada ketika itu anak-anak kecil sudah boleh diharap. Boleh diberi tanggungjawab. Boleh membantu. Malah boleh membereskan urusan rumah. Dari kecil sudah menjadi gadis pingitan. Atas iktibar itu kita boleh pindahkan senario tersebut kepada anak-anak zaman sekarang. Berterusan memanjakan mereka akan hanya merugikan mereka. Benar, sekarang ada pembantu rumah. Kenapa anak-anak perlu membuat kerja di rumah? Cuba fikirkan dalam jangka panjang.

Anak-anak itu akan mendewasa. Mereka akan berkeluarga.  Betul. Mereka tidak perlu berbuat apa-apa kerja di rumah. Tidak perlukan rutin itu. Pembantu rumah boleh menguruskan. Saya hendak bertanya, standard siapa yang hendak dipakai? Standard orang yang menggaji atau standard pembantu rumah? Kita ada budaya yang berbeza. Standard yang berbeza. Cita-cita yang berbeza. Aspirasi yang berbeza. Jika dari kecil anak-anak kita tidak pernah membuat kerja rumah tentu mereka sukar menentukan standardnya. Jika tidak tahu keutamaannya tentu sukar menentukan yang mana baik dan yang mana buruk. Tidak  mungkin pembantu rumah boleh memberikan yang terbaik kecuali dia seorang pakar hiasan dalaman. Atau pakar lanskap. Sebab itu anak-anak seharusnya mendapat lahihan awal dari ibu dan ayah mereka. Yang tertanam dalam jiwa mereka akan dibawa sejak dari kecil hingga ke tua. Yang dilatihkan kepada mereka menjadi kebiasaan. Disiplin yang diterapkan kepada mereka menjadi panduan berpanjangan.

Sekarang anak-anak itu sudah ke TADIKA. Atau TABKA. Atau PASTI. Atau Kindergarten. Atau TASKA. Atau TASKI. Ajarlah mereka membasuh kasut. Menhyidainya. Mengapurnya.  Mengeringkan. Menyusun. Membasuh setokin. Membasuh baju menggunakan mesin. Tahu mengasingkan yang putih dengan yang berwarna. Jangan sampai tercampur. Malang bagi yang putih. Takut-takut dipakai hanya sekali. Menjadi berwarna warni jadinya kerana dibasuh bercampur warna. Supaya mereka tahu sukatan air. Sukatan sabun. Jangka waktunya. Kemudian mereka tahu menyidai kain. Menyususn dari yang pendek kepada yang panjang. Bukan asal sidai hingga. Sakit mata memandang. Ajar mereka mengutip kain yang sudah kering. Ajar mereka mengenalpasti antara yang basah dan yang kering.  Menyidai dengan penyangkut di tempat-tempat yang telah ditentukan. Melipat mana-mana yang tidak perlu digantung. Didik mereka menyusun dengan kemas. Rata. Mengikut saiz yang sama. Mengikut kategori pakaian itu. Seluar diasingkan dari baju. Kain diasingkan dari baju. Baju dalam diasingkan dari seluar dalam. Dan begitulah seterusnya. Menyidai kain juga ada disiplinnya. Ada pola-pola yang perlu dipatuhi. Itulah nilai-nilai yang perlu dibina untuk membina srandard. Kualiti. Jika dari kecil tidak dilatih dan dijadikan kebiasaan maka dewasanya sukar membina standard.

Dari kecil anak diajar dan dilatih untuk mengurus pakaian mereka sendiri. Menggosok dan menyimpannya dalam almari. Digantung dalam susunan yang elok. Tuan dan puan, ebelum anak-anak tidur latih mereka menyediakan semua keperluan persekolahan pada pagi esoknya. Pastikan jadual matapelajarannya dipatuhi. Semua buku dan peralatan sekolahnya dilengkapkan. Wang sakunya sudah tersedia. Kasut dan setokinnya siap untuk dipakai. Pensil dan pemadam siap di beg. Pembaris dan pengasahnya tersedia. Mata pensil bersana tabungnya. Kerja rumahnya pastikan telah disempurnakan.  Mereka ke sekolah dengan tenang dan aman.  Siap siaga untuk dididik. Untuk dibesarkan menjadi anak yang soleh dan solehah. Menjadi warganegara yang bermanfaat. Membesarkan anak bukan hanya memberi makan. Itupun ada disiplinnya. Ada tata karmanya. Bukan asalkan makan. Ada pertimbangan halal. Kebaikan atau manfaat. Kebersihannya. Kesuciannya. Yang pentingnya makanan adalah terapi kesihatan fizikal dan mental. Ia membina psikologi. Ketenangan. Kebahagiaan.

Anak kecil perlukan segala bimbingan dan sokongan. Diberi peluang melakukan kesilapan. Tunjukkan kepada mereka kesilapan itu. Kenapa kesilapan tidak boleh dikompromi. Tidak boleh ditolerate. Impaknya buruk. Merugikan. Mencacatkan. Menyebabkan kecacatan. Membuang masa. Pembaziran. Menambahkan kos. Menyusahkan. Menjadikkan hati meningkat gusarnya. Tidak menenangkan fikiran. Ibu dan ayah tidka mempunya masa yang banyak untuk mengurus semua hal. Anak-anak dididik untuk dapat berdikari. Menjalankan hidup tanpa terlalu banyak bimbingan sepanjang masa. Tidak perlu terus menerius bersandar kepada bantuan. Hanya, hanya yang kritikal sahaja dirujuk kepada ibu dan ayah. Perkara yang melibatkan logistik dirujuk. Hal-hal yang ada kena dengan hidup atau matai dirujuk. Sakit dan pening dirujuk. Kekuranga dana dirujuk. Begitu juga hal-hal agama. Hal akidah. Hal ibadah. Hal akhlak. Rujuk kepada yang lebih arif. Walau bagaimanapun apabila anak-anak sudah pandai membawa diri mereka harus dilepaskan sedikit demi sedikit. Ibarat bermain layang-layang. Ada tarik dan hulurnya. Sehinggalah mereka boleh terbang sendiri. Tark dan hulur bukan lagi mainan. Bukan lagi tugas ibu dan ayah.

Percayalah. Apabila anak-anak sudah mula berdikari, ibu dan ayah akan terlepas dari tanggungan yang maha berat. Banyak lagi kerja lain yang perlu dibuat. Ketika anak boleh berdikari, ibu dan ayah boleh mengalihkan pandangan dan fikiran untuk melaksanakan kepada tugas lain yang datang mendesak. Walau apapun kedudukan kita, usia kita, hidup ini penuh dengan tugas dan peranan. Menjadi manusia tanpa tugas dan peranan tentu sahaja amat menjemukan. Tiada dalih untuk membuat perubahan. Untuk melakukan anjakan paradigma.  Tiada alasan untuk melakuka sesuatu yang baru. Menjelmakan suatu aspirasi diri. Untyk keluarga. Untyk anak-anak dan cucu-cucu. Untuk masyarakat keseluruhannya.  Agi idup agi ngelaban. Kata-kata yang selalu diulang. Ungkapan daripada Kanang. Seorang pejuang yang hidunya banyak dihabiskan menentang pengganas komunis.  Tugas tuan dan puan tidak habis di sini. Sebagai ibu dan ayah banyak lagi perana yang seharusnya dimainkan. Benar anak kita semakin dewasa. Mereka juga akan tua menjejak kita. Namun ada dalam fasa-fasa kehidupan mereka, mereka kembali seperti boomerang (permaina kayu bengkok Australia). Kayu yang dibaling tetapi kembali kepada pembalingnya. Kembalinya tiba-tiba. Melayang. Kita kena pandai menyambutnya. Jika tidak kita yang parah terkena libasan masalah yang dibawa pulang anak-anak. Sukar menepisnya. Fikir-fikirkan.

No comments:

Post a Comment