Perjalanan dari Pittsburgh yang mengambil masa berjam-jam sangat berbaloi dapat memandang Niagara Falls di depan mata. Bersama isteri. Bersama lima orang anak. Sehari suntuk kami berlegar di persekitaran air terjun itu. Kami sampai lewat petang. Khemah dahulu yang menjadi keutamaan. Lepaskan lelah dahulu. Esoknya kami redah bandar Niagara. Menikmati keajaiban Allah. Tanda-tanda kebesaran Allah. Melihat dunia di luar sana bukan sekadar hanya habis dengan melancong. Harus memberi iktibar. Harus memberi keinsafan. Harus akhirnya kita menemui kebesaran Allah. harus ada impaknya ke atas diri, sanubari dan jalan berfikir kita. Begitulah Allah perintahkan kita berfikir. Banyak berfikir. Menggunakan akal dengan bijaksana. Bahawa semua tanda kebesarannya ada di hadapan kita. Cuma lebih besar tanda itu kita lebih sedar kebesaran Allah. Lebih hebat lebih memberi kesan. Sangat terkesan kerananya. Lihatlah kekerdilan kita. Terlalu kecil untuk perbandingan apa sekalipun.
Perlajanan jauh adalah suatu pengalaman yang tidak ternilai tingginya. Mahal harganya. Melihat sendiri tentu jauh lebih indah dari mendengar cerita. Menonton paparan video atau filem sekalipun tidak sama berbanding dengan melihat sendiri. Apa yang orang lihat adalah persepsi orang. Dari sudut pandangannya. Garapannya. Minatnya. Kita adalah kita. Latarbelakang kita berbeza. Persepsi kita berbeza. Implikasi yang kita terima berbeza. Impaknya berbeza. Kita mungkin melihat melampaui batasan tertentu yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. Sebab itu kita digalakkan berjalan. Mengembara. Bukan sekadar makan angin. Bukan sahaja melihat kelainan. Melihat, membanding dan mena'kul memberikan kepada kita suatu ruang untuk memahami Allah Yang Khaliq. Allah Yang Maha Besar. Tiada yang lain melainkan Allah. Yang menciptakan segala keajaiban.
Niagara Falls lebih banyak menguntungkan Canada. Bukan USA. Namun begitu US yang menguasai sektor pelancongan di Niagara. Banyak pelaboran datangnya dari wang orang US. Hotel, pusat rekreasi, taman tema dan apa sahaja yang memeriahkan Niagara. Masa seolah-olah tidak berhenti. Tidak ada noktahnya. Jika di Masjid al-Haram di Makkah orang tidak berhenti mencari keredhaan Allah dengan bertawwaf, di Niagara manusia seperti tidak tidur kerana mengejar habuan ekonomi. Keuntungan besar. Kesenangan sementara. Ada sahaja yang bergerak. Sementelahan pula air terjunnya tidak pernah berhenti mengalirkan air kecuali musim winter yang sangat sejuk sahaja. Ketika itulah Niagara mengalami sesuatu yang menakutkan. Kesunyian yang teramat sangat. Tiada bunyi air terjun. Tiada deruan bunyinya. Tiada percikan air. Tiada pelangi. Tiada yang basah melintasi lambungan air yang memantul dari dasar sungai kerana jatuhan yang kuat dan jauh ke bawah. Air melantun ke atas beratus meter yang pada musim summer sangat mengasyikkan warna-warninya. Pelangi adalah sesuatu yang pasti ada apabila percikan air yang sangat halus dipanah matahari. Pelangi dan warnanya. Dan lingkarannya. Dilihat ada hujungnya. Ada warnanya yang jelas di depan mata. Tidak menunggu hujan. Duduklah di situ seberapa lama. Pelangi-pelanginya tetap hadir di situ. Setia pada sumbernya. Bagi yang berbulan madu pasti asyik dengan segala yang berwarna warni. Keajaiban bercinta pasti diwarnai dengan seindah-indahnya.
Bayangkan mengusap air yang memercik orang di sebelah. Sejuk kulitnya disentuh. Air datang lagi. Sentuh lagi. Usap lagi. Datang lagi air itu tiada hentinya. Biarlah ianya membasahi. Merenjisi sekujur tubuh yang tidak jemu-jemu diusap. Bulan bermadu. Susana sejuk dan menerbangkan angin deburan air bersih dan dingin. Diulang mengusap dan mengelap. Datangnya seperti diundang. Seperti dijemput. Seperti diminta. Datanglah. Ada nikmat menanti air itu. Bersama pelanginya. Musim bunga pastinya yang paling indah. Di sekeliling warna dan warninya tiada yang sebanding. Ketika itu kita sedar hanya di negara mereka ada musim sebegitu. Spring yang selalu cantik. Dinanti dari tahun ke tahun. Datangnya hanya sekali setahun. Alangkah nikmat bagi yang cintanya bersepadu. Alangkah indahnya bagi yang sedang memadu kasihnya. Niagara Falls pasti abadi dalam hati. Memahat segala kenangan. Yang pasatinya itulah kali pertama dan mungkin itu juga yang terakhir bermusim bunga. Berbulan madu. Berada bersama menyaksikan Niagara Falls. Sejuk hati dan tubuh dalam dakapan kekasih.
Di sinilah saya menemui seorang wanita Perancis-Canada yang katanya, "I no speak English." Di hadapan air terjun itu saya melihat kebencian warga yang berketurunan Perancis tentang apa sahaja yang ada unsur-unsur British. Rakyat US berbagai keturunan. Oleh kerana mereka berbahasa Inggeris mereka dibenci oleh orang Perancis. Sikap anti-British yang berkurun-kurun lamanya. Hingga sekarang belum pernah selesai lagi. Perseteruan yang memanjang melampaui masa, teknologi dan sejarah. Sejarah perseteruan mereka seperti dibekukan oleh masa. Begitu selamanya. Zahirnya tiada apa. Tiada riak. Tetapi seperti api dalam sekam. Membara di dalam. Di Niagara itu saya menemui sendiri konflik antara mereka yang tidak pernah padam. Telah berlalu the 100 years war. Telah berlalu zaman Perancis dikalahkan British di bumi US. Telah lama Lord Nelson mengalahkan Napoleon. Berkali-kali orang Perancis dimalukan British. Selama itulah dendam mereka membara. dalam ketenangan yang dibuat-buat. Namun realitinya orang Perancis masih mendendami orang British. Musuh lama untuk dimusihi selama-lamanya.
Saya rakamkan beberpa imej yang pernah saya nikmati dahulu. Moga-moga nostalgia ini kekal abadi. Bagi yang belum berkesempatan mungkin ada rezeki akan kesampaian juga. Cubalah. cari rezeki untuk sampai di sana. Mungkin dengan berniaga. Mungkin jaga dengan menyambung pelajaran di sana. Atau lebh mungkin melancong bagi yang termampu. Lihatlah kebesaran Allah dari jarak dekat. Live. Lintas langsung.
Dari tapak yang tidak pernah berubah.
Kami berada di sebelah Canada. Air terjun itu mencurah-curahkan airnya ke sungai di sempadan US-Canada. Pemandangan paling indah hanya dari Canada. Siang atau malam. Sepanjang masa. Tidak dapat saya gambarkan nikmatnya berada di situ. Suatu titik masa yang berlalu penuh dengan keindahannya. Apatah lagi saya bersama keluarga. Bersama anak-anak yang pasti mengalaminya dengan penuh erti. Ghairah. Yang kecil barangkali hanya mengingatinya sebagai sesuatu yang terlalu jauh dalam ufuk ingatan mereka. Berbalam-balam sahaja. Yang besar tentu masih ingat. Semua keindahannya yang memukau. Melampaui kata-kata. Walau seindah mana sekalipun tiada ungkapan yang sepadan dengannya. Mata merakam. Telinga mendengar. Hati terasa puas kerana menerima anugerah Allah. Di tempat yang tidak diduga. Pada waktu yang tertentu. Suatu pengalaman diri.
Benar-benar di tebing sungai. Antara tebing ini dengan air terjun itu beratus meter jauhnya. Walaupun deburan airnya sampai ke tebing ini tetapi kedudukannya memang jauh. Sukar untuk berani jika ianya dekat. Saya tidak tahu apa yang anak ketiga saya fikirkan ketika itu. Mungkin hanya matanya sahaja yang melihat. Mungkin hanya telinganya sahaja yang mendengar guruhnya air menerjuni cenuram di kejauhan itu. Sekarang mungkin dia faham hakikatnya yang sebenar. Keajaiban yang pernah berada dalam realitinya. Bukan mimpi-mimpi ilusi.
Yang ini benar-benar di sempadan US-Canada. Dinamakan Horse-Shoe kerana berbentuk ladam kuda. Air terjun yang paling indah dan mengasyikkan sesiapa sahaja yang melihatnya. Tidak akan pernah puas. Airnya beterjunan. Berjuta-juta liter setiap masa. Bunyinya sangat menghalilintar. Menggamatkan. Menggegak gempitakan. Lambungan percikannya amat tinggi melewati paras jalanraya. Membasahi sesiapa yang melaluinya. Tiada siapa yang takut. Malah mereka sengaja menadahnya dengan tubuh dan pakaian mereka. Suatu keajaiban yang baru dirasa. Yang baru menyentuh mereka.
Kenangan itu abadi kepada keluarga saya. Isteri dan anak-anak saya. Pada suatu titik masa mereka berada di situ. Melihat sesuatu yang tidak pernah ada dalam kamus hidup mereka sebelumnya. Asyik mereka memerhatikan air terjun itu. Air di mana-mana. Percik dan memercik. Biarlah hati berkocak kerananya. Pengalaman yang mengujakan.
Dari udara air terjun ini benar-benar rupanya seperti ladam. Horse-shoe. Di bahagian bawah di atas tanah di negara Canada. Hanya dari Canada sahaja air terjun ini dapat dinikmati sepenuhnya. US hanya menumpang namanya sahaja. Yang dilihat memutih ialah percikan air. Setiap masa begitu. Siang dan malam memberikan percikannya.
Allahu Akbar! Dalam jarak sedekat ini bunyinya cukup menggerunkan. Dari jarak beberapa kilometer sudah boleh didengar bunyinya pada malam yang sunyi. Memang gegak gempita.
Yang ini adalah American Bridal Fall. Seperti pakaian pengantin yang labuh. Ia terletak di tebing sempadan US-Canada. Agak memanjang bentuknya. Pada waktu malam diopancarkan cahaya laser yang sangat cantik dan memukau.
Pada aktu Waktu malam sebegini aktiviti menjejak Horse Shoe tetap dilakukan oleh yang berani. Yang menguji diri. Yang ingin menawan ketakutan. kehebatan Horse Shoe Fall ini ditawan dengan berani oleh individu-individu yang dahagakan kepuasan diri. Menakluki segala ketakutan. Berani menghadapi risiko.
Lihatlah air yang berebutan untuk terjun. mengalir pergi bila sampai di bawah sana. Tidak mungkin kembali ke hulu kecuali air itu disejat matahari dan turun semulas sebagai hujan. Proses alam yang dalam ketentuan Allah sahaja. Segala puji untukNya.
American Bridal Fall pada waktu malam. Cahaya laser yang bergemerlapan. Pelangi malam barangkali. Ekonomi dan teknologi menggarap segala kemugkinan. Tiada yang lebih hebat dari keangkuhan dan kehebatan US dalam segala hal. Semua kemungkinan ingin ditawan. Siapa yag tidak terpegun melihat keindahan seperti ini. Air itu memainkan cahaya. Dancing lights. Sesiapa sahaja akan khayal seumur hidup memahatkan kecantikannya.
Dua air terjun hebat yang membentuk Niagara Falls. Di kiri American Bridal Fall. Di kanan pula Horse Shoe Fall. Dua nama yang gah dalam mana-mana informasi pelancongan US dan Canada. Kenangan abadi yang saya tatap selalu dalam ingatan saya. Dalam minda saya. Air terjun di sebelah kanan menerjunkan segala air yang datang mengalir. Mengalir pula ke sebelah kiri. ke tasik. Ke sungai. Akhirnya air itu ke lautan Atlantik utara. Keindaan seumpamanya yang tidak terdapat di mana-mana di tempat lain. Allahu Akbar.
No comments:
Post a Comment