Tuesday, June 14, 2011

Suatu Kehamilan

Berita kehamilan selalunya disambut dengan penuh keinsafan. Allah mengurniakan anugerahNya. Bagi suami berita itu mungkin hanya  berita yang menggembirakan. Saat ingin menimang cahayamata. Mencium baunya bayi kecil yang wangi. Yang menyegarkan perasaan cinta. Nanti hati akan terawang-awang tinggi. Nikmat berumahtangga. Kasih sayang yang tidak terhingga. Ditatap si kecil yang mungil. Direnung wajahnya yang mungkin mirip ibunya. Terdetik hati bahawa pada wajah itu ada iras-iras wajah sendiri. Maha Suci Allah yang menyatukan dua hati. Mawaddah yang suci dan syahdu. Anak itu tanda ikatan abadi. Yang ingin disemadi. Abadan abada.

Tanyalah perasaan isteri. Minta ceritanya. Apa yang dirasa. Apa yang memberikannya kudrat untuk menghadapi hari-hari muka seorang bakal ibu. Suami harus tahu bahawa sebagai suami banyak nikmat yang belum puas-puas dikecapnya. Minta dan minta lagi. Cari dan cari lagi.  Tidak ada henti-hentinya. Tetapi bila sah isteri itu menghamilkan anaknya, isteri bukan lagi dengan sifatnya dahulu. Bukan lagi dengan sikapnya seperti dahulu. Ia sudah menjadi seorang yang berlainan. Itulah fasa-fasa yang mencabar seorang lelaki. Kesetiaannya tercabar. Kesabarannya tercabar. Ketabahannya tercabar. Kedamaiannya tercabar. Isterinya yang paling dikasihi berubah secara psikologinya. Fizikalnya memang bukan lagi dia. Ada tambahan nyawa pada badannya. Tetapi nyawa itu boleh selamat kedua-duanya. Atau hanya selamat satu daripadanya. Ibu atau anak boleh sahaja bersilih ganti. Antara harapan dan doa. Suami harus menerima kenyataan dan pengertian itu. Ada masanya itu yang Allah berikan. Pilihan Allah itu mesti diterima dengan redha.

Wahai suami buatlah renungan yang dalam. Sedalam-dalamnya. Sedalam yang sehalus murninya. Jika dulu kau bermanja dengan isteri, kini suasana itu ingin diterbalikkan. Isteri menanggung sesuatu yang menjadi idaman bersama. Namun isteri yang menanggung beban beratnya. Payahnya berganda-ganda. Letih lesunya berganda-ganda. Tingkah lakunya berubah 360º. Makannya mungkin yang bukan-bukan menjadi idamannya. Mulutnya selalu loya. Kering. Payau. Seleranya selalu patah. Minta belikan juadah yang tidak pernah dibeli. Malasnya juga menjadi-jadi. Bang, itu realiti. Mungkin tidak berubah kesemuanya. Sebahagiannya benar berlaku. Dan terus berlaku. Begitulah seorang isteri yang mengandungkan anak seorang suami. Si suami yang diuji ketabahannya melayani seorang isteri yang sedang bertarung dengan ketidaktentuan dan ketidakpastian. Apatah lag ini anak sulung. Banyak sangat yang tidak diketahui. Banyak sangat yang perlu diketahui. Banyak sungguh kejahilan tentang hal yang satu ini.

Inilah masanya suami menjaga isteri. Ingatlah selalu pesanan saya. Seorang lelaki yang bernama suami merangkap bapa mesti berkeupayaan ke dapur. Memasak semungkin boleh. Sesedap rasa di lidah. Selera moga tidak patah. Tahu ramuan dan rencah. Tahu mempelbagaikan hidangan. Menu. Ala carte. Jadilah suami yang bukan calang-calang. Bilik air selalu diuji dan dinilai. Bersih dan kemasnya perlu dijaga. Banyak lumut dan licin yang membahayakan isteri. Membahayakan janin yang dikandaungnya. Bakal anakmu. Itu belum dinding dan hiasnya. Perkakas dan perhiasannya. Lekapan dan lanskapnya. Logistik di bilik air perlu juga disediakan secukupnya. Isterimu sedang memohon baktimu. Kasih sayangmu. Perhatianmu. Hanya kau suami yang mampu memberi kesemuanya itu. Suami harapannya. Suami pilihannya. Suami yang dicintainya. Bilik tidur bang! Jangan lupa. Kemas dan rapikan. Itu syurga impian. Jangan diabaikan keindahannya. Isterimu sudah kau isterehatkan. Kaulah suami yang ambil tugasnya.

Isterimu selalu kelesuan. Keletihan. Ia mungkin tabah. Tiada keluhnya. Tiada dengusnya. Tiada bantahnya. Pekalah dengan kepayahan dirinya. Cukup masa rehatkan dia. Urutlah kakinya dengan penuh kasih sayang. Alirkan rasa cintamu melalui sentuhan-sentuhan ajaib di jejarimu. Usap dengan lembut selembutnya. Jangan fikirkan kesibukanmu. Ini saat isterimu. Kau yang perlu korbankan kebiasaanmu. Ia memerlukanmu. Saat-saat dia bergantung harap. Meraih simpati yang selalunya tidak terucap. Ia selalu memohon pengertian dalam senyap. Sumbanglah sedikit pengorbananmu. Isterimu sentiasa menunggu sentuhan tanganmu. Membuang bisa dan lenguh yang bersarang di kaki. Di betis. Di paha. Di pinggang. Damaikan jiwanya. Lenakan matanya. Tenangkan rohaninya. Bukan untuk sahaja dia yang selayaknya. Untuk janin yang di dalam rahimnya.

Ketika kehamilannya inilah suami perlu banyak sabarnya. Banyaklah mendiamkan diri. Bukan tidak mahu berkata-kata. Mendiamkan diri bila dileteri. Bila diomel sesuka hati. Bila mengomelnya payah hendak berhenti. Banyakkan beristighfar. Mohon keampunan kepada Allah. Mohon diberikan kekuatan kepada isteri. Kedamaian kepadanya. Kesejahteraan dalam hatinya. Semoga tenang hatinya. Bang, anak dalam kandungannya itu dipengaruhi oleh psikologi ibunya. Di dalam rahim ibunya dia mendengar. Dia menyerap semua yang dirasakannya. Ibu dan bapanya memberi impak besar kepadanya. Impak yang nanti dimanifestasikan dalam tingkah lakunya. Mewarisi apa sahaja yang ada pada ibu dan ayahnya.

Tolonglah jangan merokok. Selain dari tidak baik untuk diri sendiri, anak dalam kandungan itu akan menjadai silent smoker. Dibunuh perlahan tanpa relanya. Bukan nyawanya yang dibunuh tetapi ada bahagian-bahagian dari kewujudannya yang mati. Mungkin sedikit mati fizikalnya. Mungkin apa sahaja. Islam berat melabelkannya haram. Bukan makruh lagi. Kasihan isteri menjadi second-hand smoker. Kedua-duanya menerima padah kerana kedegilan suami. Bakal bapa. Asap rokok dan baunya meracuni segala kebaikan yang ada pada janin yang ada. Sudah pasti sebahagian keburukan rokok suami sudah dipindahkan kepada anak melalui kasih sayangnya kepada isteri yang bakal menjadi ibu. Ketika kehamilan inilah bapa perlu mengerti keperluan agama. Keperluan persekitaran. Keperluan saintifik. Kepentingan kekeluargaan. Termasuklah juga sapek kesihatan dan sosiobudaya. Memang kita penuh dengan adat. Tetapi pilihlah yang selari dengan agama dan keperluannya. Adat yang tidak boleh diselaraskan dengan agama hendaklah ditinggalkan. Belajar dan tanyalah kepada ustaz dan ustazah yang arif. Jangan main ikut-ikutan kerana tradisi. Kerana biasa. Agama ada syariatnya. Bukan ikut-ikutan. Ada hukum hakamnya. Bukan ikut kebiasaannya. Bertaqlid sahaja tidak boleh. Banyakkanlah belajar.

Makanlah asalkan halalan toyyibah. Elakkan yang mendatangkan mudarat walaupun rasanya sedap. Manis itu sedap tetapi mestilah ditolak kerana bawaan penyakitnya. Garam jangan terlalu banyak. Benar juga kata tukang masak, “bubuh garam secukup rasa.” Terlebih sukatan padah bahaya kepada diri. Banyakkan buah-buahan. Begitu juga sayur-sayuran. Pendek kata piramid makanan untuk ibu mengandung perlu diketahui suami. Jangan biarkan isteri mencari dan menyediakannya sendiri. Kaulah, kaulah suami yang perlu menyediakannya. Jadikan isterimu permaisuri. Sediakan segala keperluanmu. Suatu timbal balas kerana dia sedang membebani keperluanmu. Menanggung hasrat seorang suami. Jangan sampai dia mengidam. Tanya apa mahunya. Tanya apa hendaknya. Tanya apa keperluannya. Banyak bang, banyak yang perlu dilayan. Tolong jangan tunjuk rasa tidak senang. Jangan sekilas memasam muka. Apatah lagi mendengus. Menghentak kaki. Jangan mengurut dada. Senyumlah. Ikhlaskan segalanya. Buktikan keindahan bercinta dahulu bukan hanya bulu roma di kulit sahaja. Perlihatkanlah kedalamannya.

Bagi isteri yang mengandung tentu sahaja tidak bergantung kesemuanya kepada belaian orang yang bernama suami. Ada peranan yang mesti dilaksana. Yang menanggung diri sendiri. Maka ada persiapan yang perlu dipersiap diri. Nantilah saya nukilkan. InsyaAllah.

2 comments:

  1. nukilan yang penuh dengan makna...buat suami2 renung2kan lah...menangis hati kecil saya bila membacanya...

    ReplyDelete
  2. Maklumat yang sangat penting "sharing is caring"

    ReplyDelete