Monday, January 31, 2011

Alahai Perpustakaan

Saya graduan UM pada tahun 1979. Sistem belajar bukan seperti sekarang. Dulu menggunakan sistem penggal. Setahun ada tiga penggal. Peperiksaan pula pada penghujung penggal ketiga. Di hujung tahun. Semua yang dipelajari dihimpun-himpun. Ramai yang gagal menghimpun. Gagal pula mengeluarkannya semasa periksa. Kerana itu ramai sungguh yang gagal dalam peperiksaan. Menjadilah mereka graduan tanpa ijazah. Ada orang kata syahid dalam pengajian. Pengalaman di UM itu sebenarnya merupakan persilangan yang simpang siur dalam jejakan saya mencari ilmu di US.

Di UM dulu saya tidak pernah diberi tugasan mingguan. Tiada kertas projek di akhir pengajian. Setiap minggu mengikuti kuliah dan tutorial. Kuliah memanglah dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah. Ramai yang gah namanya. Namun tidak kurang juga seperti manusia lain. Banyak kekurangan di sana sini. Mereka orang bijak. Berpengetahuan. Malangnya lemah pedagogi. Mengenai teknik mengajar, mereka sangat lemah. Beruntung guru-guru di Malaysia kerana diberi latihan pedagogi. Dengan latar belakang psikologi, sosiologi dan falsafah pendidikan ditambah pula dengan teknologi pendidikan. Mengajar menjadi sesuatu yang santai. Bukan beban. Kecualilah subjek yang baru. Yang belum dikuasai. Tutorial pula biasanya dikendalikan oleh tutor. Baru belajar hendak mengajar. Sedang mengambil master atau PhD. Yang disampaikan seperti kuliah juga. Ada tajuk-tajuk tertentu yang perlu dibincangkan. Namun tutor memberi kuliah pula. Terima sahaja apa yang diberi. Sistemnya begitu.

Telah saya ceritakan bagaimana saya membuat rujukan. Mencari buku-buku di rak-rak terbuka (open shelves). Kemudian meminjam buku-buku bertanda merah (red spot). Ada cerita-cerita yang dikaitkan dengan mahasiswanya di UM dulu. Saya tidak pernah merujuk jurnal. Tidak juga microfilm. Tidak kenal microfische. Belum ada ERIC. Apatah lagi seperti sekarang yang ada CD-ROM, OPAC dan berbagai lagi rujukan elektronik. Selepas kuliah carilah buku untuk mengemaskan nota. Memurnikan catatan. Mudah-mudahan dalam peperiksaan boleh diingat. Soalan boleh difahami. Tahu prosedur untuk menjawab dengan sewajarnya. Lulus periksa. Dapat kepujian. Dalam ijazah disebut hons (honours). Ada pula perbezaan jawatan antara yang ada hons dengan yang tidak ada. Tentu sahaja ada perbezaan tangga gaji antara keduanya. Lima anak tangga bezanya. Yang hons lebih cepat naik pangkat. Begitulah peluang-peluang lain seperti dipinjamkan dan untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran.

Kali pertama saya membuat rujukan di perpustakaan University of Pittsburgh saya menjadi tersangat bingung. Apa bahan yang hendak dirujuk. Bahagian mana. Buku apa. Bersama rakan yang lain, kami tercari-cari rujukan yang sesuai. Pensyarah pula memberikan syarat. Rujukan mestilah yang terkini. Tidak lebih dari tiga tahun ke belakang. Pada semester pertama itu memanglah hidup bagai terseksa. Saya dapati begitulah rakan-rakan lain yang datang bersama saya atau yang datang selepas saya. Yang datang itu bukan calang-calang orang. Ada pengetua. Penolong pengetua. Nazir bebas. Pengarah di Kementerian Pelajaran. Pensyarah maktab perguruan. Pendek kata tiadalah guru-guru biasa. Jika ada yang memohon ketika itu tentu sahaja tidak dipertimbangkan. Mereka yang di kementerian lebih besar peluangnya kerana kelayakan yang lebih tinggi diperlukan bagi menjalankan tugas mereka seperti dalam penyelidikan dan sebagainya. Pensyarah-pensyarah politeknik seperti saya memang beruntung mendapat peluang itu. Yang memohon tidak ramai. Masing-masing tidak nampak potensinya. Kepada mereka, kelayakan yang lebih tinggi tiada langsung manfaatnya. Lagipun ramai dari mereka memang lulusan dari luar negara. Untuk keluar negara lagi seperti sudah serik. Semasa bujang masih boleh tahan. Jika sudah berumahtangga banyak payahnya. Hanya bagi yang mengambil peluang itu sahaja yaag mengetahui nikmat di sebalik kesusahan itu.

Ramai yang berjalan menunduk memandang tanah. Tiada masa hendak berbual. Apa lagi untuk bersembang. Kesemua muka-muka baru yag sampai di Pittsburgh berada dalam keadaan cemas. Takut tidak terbawa pelajaran yang diambil. Takut pulang awal ke Malaysia. Memikirkan tugasan mingguan sesetengahnya jadi sasau. Menyendiri selalu. Masa dihabiskan di perpustakaan. Atau jika di rumah, menaip ugasan itu. Walau bagaimanapun proses belajar terus berlaku. Belajar menggunakan perpustakaan sewajarnya. Mula membuka mata. Hari demi hari, berbagai rujukan yang boleh dibuat. Bertemulah dengan ERIC, microfilm, microfisch dan yang lain-lain. Jurnal melambak-lambak. Rujuklah mana yang teringin. Bila kesemuanya sudah terbentang barulah lapang dada. Belajar lebih lancar. Merujuk menjadi satu keseronokan kerana menemui berbagai hasil kajian. Banyak penemuan yang dipaparkan. Dokumentasinya ada di mana-mana.

Pada semester kedua ramai pelajar Malaysia yang sudah hidup santai. Boleh berjalan-jalan makan angin. Hujung minggu mengunjungi park terutama pada musim summer dan fall. Ada yang shopping. Banyak sale di gudang. Banyak jenama yang terpilih. Kualiti barang banyak yang standard. Harganya murah-murah belaka. Ada masanya diskaunnya terlalu rendah hingga seperti tidak masuk akal. Bayangkan USD9.90 daripada USD249.90. Berapa peratus diskaunnya? 96%. Saya rasa di Malaysia barang yang paling lusuh dan koman tidak ada yang diskaunnya kurang dari 80%. Jika ada rezeki terpijak namanya. Di US diskaun itu perkara biasa. Nantilah ada cerita lain mengenainya.

Apa yang saya dapati ialah pembelajaran berlaku kerana ada tugasan mingguan itu. Di kelas kami hanya banyak berinteraksi. Berbincang hal-hal yang santai. Bertukar pendapat. Tetapi sewaktu merujuk di perpustakaan saya menemui berbagai maklumat sama ada yang berkaitan atau tidak berkaitan. Tetapi masih dalam skop pendidikan. Saya mungkin merujuk pedagodi. Semasa membuat rujukan saya menemui artikal mengenai psikologi, sosiologi, teknologi pedidikan, falsafah pendidikan, kepimpinan pendidikan, kurikulum, system pendidikan, mainstreaming dan banyak lagi. Kesemuanya dibaca, digarap sebagai suatu input baru. Mengkayakan pengetahuan. Menambah maklumat. Membuka pintu-pintu minda. Menerima, mengadaptasi, mengasimilasi dan mengakomodasi. Dari situlah saya berlapang dada untuk menerima apa sahaja yang baru asalkan positif dan ada manfaatnya untuk kerjaya professional dan untuk manfaat peribadi sebagai manusia. Meningkatkan nilai-nilai kemanusiaan. Yang lestari. Untuk memanjangkan zaman. Untuk di kongsikan pengalaman. Untuk kita bertemu di alam maya ini.

Bagi pembaca yang ada pengalaman itu, ingatlah kembali sewaktu di negara orang putih dahulu. Ambil iktibarnya. Bagi pembaca yang belum pernah menjejak kaki, tanamkan semangat. InsyaAllah suatu hari nanti akan sampai juga. Walau untuk apa sekalipun. Jika tidak juga, bacalah blog saya ini. Mudah-mudahan dapat sama-sama merasakan nikmatnya. Merasakan susah payahnya. Merasakan diri masing-masing berada bersama saya ketika itu. Buatlah bayangan minda. Teroka alam ini bersama saya. Tidak rugi apa-apa. Mudah-mudahan kita santai dan merehatkan minda.

No comments:

Post a Comment