Monday, January 31, 2011

Tugasan Mingguan

Bila kelas bermula, berlaku lagi pertembungan budaya. Di Malaysia berbeza amalannya. Kita masih terperangkap dengan time warp. Perangkap masa yang memenjarakan. Ada usaha untuk membuat perubahan tetapi ramai yang tidak dapat menerima. Ramai yang menolak. Ramai yang sinis. Tiada siapa yang teruja. Lebih malang lagi mereka yang diamanahkan untuk melakukan perubahan tidak dapat menjalankan amanah itu sebaiknya. Maka perubahan sukar diterima walaupun ada usahanya. Ada pula yang ingin melakukan perubahan tetapi lupa keutamaan. Tidak dapat menentukan yang lebih utama.

Pertama kali pergi ke kelas, jadualnya amat berlainan. Kita di Malaysia biasanya kelas pada waktu siang. Dari pagi hingga ke petang. Sesekali mungkin ada kelas waktu malam. Jarang dan tidak digalakkan di sesetengah IPTA. Yang IPTS mungkin ada. Saya pula menghadiri kelas pada waktu malam. Bukan malam biasa yang fitrahnya malam. Kelas pertama itu pada masa winter. Semester winter. Melihat jadual tiada apa ganjilnya. Pukul 4.00 petang. Ada pula kelas pada pukul 8.00 malam. Yang kita faham pukuk 4.00 petang tentulah waktu petang. Lama menunggu maghrib. Pukul 8.00 malam baru sahaja maghrib. Mungkin sudah siap solat maghrib.

Di US ketika itu masa bukan seperti yang kita faham. Pukul 4.00 petang sudah hampir benar maghrib. Menunggu setengah jam lagi. Pukul 8.00 malam adalah tiga jam setengah selepas maghrib. Di Malaysia pukul 4.00 petang masih waktu bekerja. Anak-anak masih bermain. Berkeliaran ke sana ke mari. Pukul 8.00 malam tentulah masih terlalu muda di Malaysia. Bagi saya ketika itu, pukul 8.00 malam sudah agak larut. Sudah mula dikejar mengantuk. Badan sudah mula longlai. Layu kerana perubahan masa. Perubahan suhu. Perubahan penggunaan masa. Sejuk juga menghambat tenaga dan kepayahan. Badan pula tebal berbalut lapisan baju. Di dalam bangunan yang hangat mata cepatnya menjadi ralip. Berat sangat.

Kelas tidak lama berbanding dengan standard Malaysia. Kesemuanya dua jam sahaja. Kelas pukul 4.00 tamat pada pukul 6.00 malam (waktu US). Masih tidak terasa apa-apa lagi. Awal malam. Masih segar lagi. Kelas yang puluk 8.00 pula tamat pada pukul 10.00 malam. Pada waktu winter, pukul 10.00 malam seperti dinihari. Senyap sunyi di jalanan. Ada juga pelajar Malaysia yang kena pukul remaja Negro kerana berjalan seorang diri. Pada mereka saiz kecil boleh dipermain-mainkan. Balik malam setiap minggu merungsingkan juga. Bila balik ke rumah sudah pasti isteri saya dan anak-anak sudah tidur. Siang sudah terlalu lama ditinggalkan. Esoknya mereka hendak ke sekolah. Saya pula menghantar yang ketiga Najwa dan yang keempat Nurin ke selokah. Dalam kesejukan pagi, menapak mereka ke sekolah. Melihat mereka ketika itu saya merasa satu perasaan sayu. Dapat juga mereka menikmati sesuatu yang sukar dialami oleh orang lain di Malaysia. Mungkin beberapa orang saudara mara mereka.

Najwa di kelas tadika dan Nurin di kelas headstart. Di sana umur tiga tahun sudah mula bersekolah. Nama kelas itu headstart. Bayangkan umur tiga tahun pergi ke sekolah. Apa yang mereka buat. Nantilah dalam entry yang lain. Khusus untuk itu sahaja. Sistem persekolahan di sana agak berbeza. Banyak yang boleh diceritakan. Banyak topik. Banyak resam dan adatnya. Jika di Malaysia boleh seperti di sana tentu anak-anak Malaysia jauh lebih ke hadapan dengan yang ada sekarang. Ada ramuan dan rencah pendidikan yang harmonis dengan persekitaran keluarga, sosial di ekonomi.

Pergi kelas ada sahaja kejutan. Lazimnya di kelas jarang membincangkan apa yang sepatutnya ada dalam kurikulum. Kami labih bayak berinteraksi. Bertukar pendapat. Bertukar pengalaman. Bertukar budaya. Ada sahaja yang menjadi tajuk perbincangan. Dua jam itu terasa sekejap sahaja kerana dipenuhi dengan cakap yang bersahut meyahut. Ada sahaja pendapat yang terhambur keluar. Yang cantiknya ialah tiada emosi. Masing-masing bebas lepas mengeluarkan pendapat. Tiada siapa yang disekat cakapnya. Tiada penilaian. Yang ada beri pendapat. Tidak ada yang megira pendapat itu menyimpang atau lari dari tajuk. Tidak juga dipeduli jika pendapatnya sangat berbeza. Budaya mereka ialah menghormati pendapat orang lain. Walaupun pada hakikatnya salah. Kita pula harus ingat bahawa apabila seseorang itu memberi pendapat, ia berasaskan kepada maklumat yang dia ada. Tahap pendidikan yang dimiliki. Pengalaman yang dilaluinya. Mungkin pendapat yang “katun” itu sebenarnya benar berdasarkan apa yang didengar atau dilihat atau dirasa. Sebab itulah untuk hidup harmoni, menghormati pendapat orang lain dianggap perlu. Pendapat kita yang pada hakikatnya adalah betul belum tentu dapat meyakinkan orang lain.

Di US perkara itu telah saya lalui. Apa-apa pendapat yang berbeza diperakui sebagai berbeza. Mereka tahu memang wujud perbezaan. Kesimpulan mereka sangat mudah. “You’re entitled to your opinion. I’m entitled to my opinion. Let’s agree that we disagree.” Dalam keadaan seperti itu mereka berjabat tangan. “Let’s be friend.” Selesai perbezaan. Tiada dendam. Tiada yang disimpan. Hidup kembali normal. Selepas bertengkar, biasa bagi orang di sana melakukan sesuatu yang ganjil bagi standard orang Malaysia. “Let’s have a drink together.” Mereka boleh duduk, bersembang, gelak ketawa. Persahabatan mereka kekal walaupun sudah jauh berbeza pendapat. Di Malaysia perbezaan biasanya berlarutan hingga ke anak cucu. Barangkali kita masih perlu banyak belajar. Tamadun kita masih pada tahap rendah nampaknya.

Akhirnya apabila kelas hendak ditamatkan, pensyarah memberi tajuk tugasan untuk minggu hadapannya. Tidak panjang. Sekadar tiga mukasurat sahaja. Biasanya saya gunakan tiga hari untuk membuat rujukan. Dua hari untuk menaip. Dua hari lagi hujung minggu. Maaflah. Nanti ada entry lain. Banyak lagi yang perlu dicerita. Berjela-jela panjangnya. Tugsan itu ditaip dengan mesintaip. Seingat saya, ada pensyarah yang belum boleh menerima tugas yang menggunakan komputer. Jika adapun masih berperang sama ada dihujungnya justified atau tidak. Saya rasa ramai pembaca yang muda-muda tidak dapat bayangkan bagaimana saya menyiapkan tugasan menggunakan mesintaip.

Menaip tidak boleh sebarangan. Jika salah tulis perlu dipadam dengan apa cara sekalipun. Jika terlalu banyak salah, terpaksa tarik kertas dan buang. Ganti dengan kertas yang kain. Begitulah jenuhnya menyiapkan tugasan dengan mesintaip. Masih ada lagi orang yang tidak dekat dengan komputer. Ketika komputer sudah ada. Ia belum lagi jadi buudaya. Mesintaip masih banyak berada dalam tangan dan dalam pasaran. Pada tahun 1994 masih lagi belum berleluasa penggunaan kompter..

Pada tahun 1994 saya menjadi Ketua Bahagian HEP di UTHM. Biasalah jaga pelajar. Sejak dari guru sekolah. Sejak jadi pensyarah Politeknik Ungku Omar lagi. Suatu hari saya dikunjungi seorang jurujual. “I’m from ……. . I’m promorting typewriter.” Katanya memperkenalkan diri. “I’m sure your students here are using typewriters to do their assigmnents.” Lama saya terdiam. Apa yang hendak saya katakan? Nampaknya jurujual ini agak ketinggalan dari mengesan perubahan. Mereka tidak mengemskini maklumat yang mereka ada. Yang agak usang dari mengetahui kehendak dan perubahan pasar. Saya dapati sejak datangnya terjahan penggunaan komputer syarikat tersebut hilang serinya. Lama saya tidak mendengar namanya disebut orang.

Well …..” Lama saya mengatur kata. “The students here are not using typewriters anymore. They’re using computers now.” Saya ledakkan maklumat itu kepadanya. Giliran dia pula termenung panjang. Terkedu agaknya. Atau terpempan yang amat sangat. Bagaimana dia gagal mengesan perubahan teknologi. Jika itu benar maka dia kehilangan mata pencarian. Mesintaip sudah tidak dibeli orang. Rasanya mata pencariannya terhenti setakat itu sahaja. Dalam dunia keusahawanan hal seperti itu tentulah beyond repair. Tidak mungkin ada usaha untuk rejuvenate pasaran produknya. Syarikat itu saya kira sudah obsolete. Sudah usang dan tidak mampu menyaingi syarikat-syarikat yang lain seumpamanya.

Ya, waktu di US saya menggunakan mesintaip. Komputer belum digunakan secara meluas. Bukan seperti sekarang. Semuanya dihujung jari. Jenuh menaip. Itulah teknoloji yang dikira canggih. Tiga atau empat hari digunakan untuk menaip tiga tugasan. Semasa menyiapkan tugasan itu banyak rujukan yang dibuat terlebih dahulu. Nanti saya ceritakan bagaimana saya membuat rujukan.

No comments:

Post a Comment