Kita biasa duduk di kelas yang teratur. Tersusun rapi. Kerusi dan mejanya berbaris-baris tegak. Kerusinya juga teratur. Meja dan pelajarnya duduk sopan mengadap guru. Mereka mengadap papan tulis. Terbius mereka dengan keadaan dan peraturan. Tiada siapa yang mengadap ke arah lain. Nahas jika berbuat begitu. Seorang guru berada di hadapan. Biasalah ia selalu bersendirian. Semua mata memandangnya. Di Malaysia, guru adalah segala-galanya. Seolah-olah tanpa guru tiada apa yang boleh dipelajari. Kepada kita guru bukan lagi figurehead. Dia sebenarnya adalah penyelamat tunggal kepada anak didiknya. The savior. The chosen savior.
Berlainan di US. Tidak ada yang namanya kerusi meja yang tersusun rapi. Pelajar-pelajar bisanya duduk berkeliling dalam bentuk U. Mereka berhadapan antara satu sama lain. Atau mereka mengelilingi meja yang membentuk kelompok. Kerusi disesuaikan dengan kedudukan guru. Kami duduk santai. Pensyarah lazimnya tidak lokek dengan pengalaman. Ada sahaja topik-topik baru yang segar untuk dibincangkan. Lebih untuk dibualkan. Bagi saya dan teman-teman dari Malaysia yang lain, format kelas itu adalah sesuatu yang lain. Apabila saya kembali ke Malaysia saya bertugas semula di Politeknik Ungku Omar. Baru balik dari US, saya ghairah ingin menerapkan teknologi kelas yang baru saya alami. Malangnya pensyarah-pensyarah yang lain tidak setuju dengan perubahan yang saya lakukan. Kenapa ya? Saya jadi kecewa. Mereka tidak bertanya. Tidak ingin ambil tahu. Mereka hanya ingin mengekalkan status quo tanpa mengambilkira jika ada faedah. Atau mungkin ada signifikannya perubahan itu.
Saya tidak suka memberi nota secara rencana (dictation). Tidak juga suka menulis nota di papan tulis. Jika itu saya lakukan, proses P dan P terhenti. Pelajar terhenti dari konsentrasi mereka. Fokus menjadi pudar. Untuk kembali fokus terpaksa mengambil masa semula. Ibarat memandu, menulis atau memberi rencana samalah seperti menukar ke giar yang lebih rendah. Untuk memacu semula kenderaan, agak memakan masa. Terpaksa tukar giar lagi. Saya pula banyak melontarkan soalan untuk dibincangkan. Kadang-kadang saya mempelawa soalan daripada pelajar. Saya tujukan soalan itu kepada pelajar yang lain. Hanya apabila tiada yang boleh menjawabnya, barulah saya memberikan jawapannya. Itupun kadang-kadang pelajar member komen mengapa bukan saya yang menjawab. Saya katakana jika jawapan itu sudah diberi oleh rakan mereka sendiri, saya tidak perlu menjawabnya. Jawapannya akan menjadi sama. Serupa. Menjadi membazir. Redundant.
Pengalaman saya memberikan gambaran bahawa di Malaysia ini sukar membuat perubahan. Legacy British masih berpegang kuat. Ia berbentuk feudalistic. Warisan British. Ketua mesti dihormati. Semua orang memandang kepadanya. Ia orang yang mesti dipatuhi. Duduknya di hadapan. Berdiri di hadapan.. Berlegar di hadapan. Semuanya mesti dilihat oleh semua orang. Orang penting, yang menentukan hidup dan matinya kelas itu. Tanpa guru kelas itu mati. Hilang nyawa. Hilang kawalan. Hilang arah. Kelas menjadi sangat formal. Rasmi. Guru menjadi orang yang all knowing. Dia sahaja yang dikira betul. Authority. Pelajar-pelajar hanya perlu patuh. Lulus periksa. Selamat tinggal sekolah.
Rata-rata lulusan sesebuah sekolah hilang minat mengenai sekolahnya apabila meninggalkan sekolah. Alma mater mereka itu tiada nilainya lagi apabila mereka keluar sekolah. Sudah tidak memberi apa-apa erti lagi. Suatu paradox. Dulu guru-gurunya tidak tidur malam untuk mengketengahkan berbagai aktiviti supaya pelajar cintakan sekolah. Semuanya hanya superficial. Pada kulit sahaja. Tidak pernah menusuk ke dalam. Hanya nanti setelah mereka bersara barulah teringin menjadi ahli alumni. Itupun bukan kerana cintakan sekolah. Sebaliknya kerana rindu kepada rakan-rakan yang entah di mana. Entah kerja apa. Entah bagaimana kedudukan sosialnya sekarang.
Di US kedudukan kelas berbeza. Walaupun di IPT. Keadaannya santai. Lebih interaktif. Berpandangan antara satu dengan yang lain. Positifnya banyak. Menambah keyakinan. Suara dan bahasa tubuhnya boleh dilihat. Perbincangan dari mata ke mata. Tidak perlu tertoleh-toleh untuk mencari punca suara. Semua orang sama tarafnya. Sama ada di hadapan atau di penjuru atau di belakang semuanya dapat dipandang dengan jelas. Tiada siapa yang terlepas pandang. Guru atau pensyarah pula menjadi fasilitator. Membantu. Membimbing. Jurulatih. Dia berlegar secara tidak statik. Not regimented. Pelajar yang banyak aktivitinya. Lebih berpusatkan pelajar dan bukan berpusatkan guru.
Guru jarang menulis. Hanya yang penting sahaja. Hanya apabila ada sesuatu yang tidak dirancang. Soalan-soalan di luar pemikiran. Sesuatu yang baru. Maklumat dan pemngetahuan boleh dicari sendiri. Segala kemudahan disediakan. Teknologi telah tersedia. Guru hanya perlu memberitahu apa yang perlu sahaja. Itu yang tidak berlaku di Malaysia. Guru mencari bahan. Guru membuat nota. Guru memaksa diri membaca powerpoint yang disediakannya. Menghuraikan maknanya. Minta pelajar menyalinnya. Pelajar jadi apa sebenarnya? Mereka menjadi penonton. Sekejap sahaja timbul rasa bosan tanpa sebab. Lesu melihat guru yang tenggelam dengan dirinya sendiri. Peranan itu tidak dipindahkan kepada pelajar. Aktifkan mereka supaya mereka yang belajar. Bukan guru yang tidak berhenti belajar dan mengajar dirinya sendiri. Ramai guru yang menjadi sangat pandai dalam subjek yang diajarnya kerana guru-guru itu mengajar dirinya setiap hari. Pembelajaran tidak dipindahkan kepada pelajar. Keperluan psikologi pelajar tidak tertunai. Malah mereka terabai dari aspek itu. Mereka tidak terlibat. Tiada ruang untuk melibatkan diri. Seolah-olah pintu untuk itu tertutup rapat.
Ada usaha untuk mengubah. Di sekolah rendah pelajar dikelompokkan seramai 10 orang sekumpulan. Ada pula ibu bapa yang tidak senang. Sakit tengkok anak-anak mereka. Tergeliat pinggang anak-anak mereka. Guru pula tiada budi bicara. Akalnya tidak banyak dimanfaatkan. Sepatutnya apabila hendak memberi penerangan atau taklimat atau arahan, pintalah semua muridnya memusing kerusi supaya mengadapnya. Setelah terima arahan, kembalikan kerusi seperti sediakala. Buatlah apa-apa aktiviti yang dirancang.
Ini benar-benar terjadi. Saya ke sekolah untuk berbincang dengan Guru Besar. Kebetulan saya Yang DiPertua PIBG sekolah itu. Sedang ami berbual tiba-tiba masuk seorang guru. Saya ingatkan tentu ada hal besar yang hendak dikomunikasikan dengan Guru Besarnya. Ia memohon izin mengenai sesuatu. Saya jadi keliru. Msakan hal sebegitu mudah perlu izin Guru Besar. Saya menjadi bertambah keliru kerana Guru Besar itu tidak memberi keizinan. Sebaliknya dia menyuruh guru tadi menelefon Pejabat Pendidikan Daerah untuk mendapatkan keizinan mereka. Adakah akan nanti perlu izin Pejabat Pendidikan Negeri. Mungkin juga bertanya kepada Menteri. Isunya hanya hendak memusing meja pelajar di dalam kelas yang diajar guru tadi. Seharusnya guru tadi gunakan budi bicaranya. Bukan kedaifannya. Guru bukan robot.
Bagaimana halhal sekecil itu sepetutnya diselesaikan oleh guru sendiri. Mereka menjadi frontliners. Perubah zaman. Perubah paradigma. Perubah kebisaan. Perubah norma. Tetapi bukan perubah dasar kerana itu hak orang politik. Bukan perubah peraturan kerana itu hak pembuat dasar. Adalah ruang-ruang untuk guru melakukan yang terbaik pada hematnya. Pada hemat profesionalnya. Guru telah diberi kewibawaan (authority) maka wajarlah dia diberi tanggungjawabnya sendiri (responsibility). Pada akhirnya dia mesti menerima penanggungjawaban (accountability).
Beri kebebasan kepada guru untuk melaksanakan tanggungjawab selari dengan kewibawaan yang diamanahkan kepada mereka. Bantu dalam proses dia melaksanakannya. Tunggu pada akhirnya. Nilai hasilnya. Itulah prestasi guru.
No comments:
Post a Comment