Kali pertama terbang di angkasa adalah pengalaman yang mahal. Banyak belajarnya. Dari check-in, boarding, memasang tali keledar, makan dan minum hingga menggunakan bilik air. Semuanya saya anggap education. Pengalaman berharga yang tidak dikutip di mana-mana kecuali terbang secara live. Secara praktikal. Di setiap poket kerusi ada beg khusus untuk mereka yang berkemungkinan muntah dalam situasi-situasi tertentu. Sukar juga hendak membayangkannya kerana setelah banyak kali terbang saya belum pernah melihat atau mengalaminya sendiri. Bukan naik sahaja akan muntah. Bukan seperti belayar di laut dengan bot kecil. Dioleng ombak akan segera mabuknya. Muntahnya menyusul tanpa diduga.
Di udara muntah boleh berlaku jika kapalterbang masuk ke turbulent air. Juga bila ada lompang udara. Doledrum. Hanya yang mengalami sahaja dapat menceritakannya. Itupun jika dia tidak pitam semasa ianya berlaku. Jika kapalterbang masuk ke kawasan awan yang mengandungi tekanan udara berlainan berlakulah gangguan seperti di atas jalanraya yang lekak lekuk. Terlambung-lambung penerbangan itu. Seperti kereta di atas jalanraya. Pelik bunyinya. Jika berlaku lompang udara, kesannya lebih dahsyat. Kapalterbang yang sedang terbang itu akan jatuh dengan sendirinya. Jatuh ke bawah seolah-olah ditarik turun. Pada hal kapalterbang itu tetap terbang. Enginnya hidup. Kipas atau terbinnya hidup. Bunyinya tetap bising. Namun ia tidak bergerak ke hadapan. Sebaliknya jatuh ke bawah begitu sahaja. Masalahnya ialah jatuhnya terlalu deras hingga seperti tercabut nyawa. Sukar hendak bernafas.
Apabila di peringkat yang lebih rendah tekanan udaranya stabil maka kapalterbang itu akan terhentak seolah-olah dilambung ke atas. Masa itulah penumpang-penumpang akan turut sama terlambung isi perutnya. Muntah akan bertaburan jika tidak sempat menekup mulut dengan beg muntah yang disediakan. Sekali lagi saya kata, jika tidak mengalaminya tidak mungkin dapat menceritakannya. Di jalanraya kekadang terasa sedikit apabila kenderaan yang sedang dipandu laju menuruni bukit. Tetiba pemandunya menekan clutch. Kenderaan itu dalam keadaan free. Masa itu kita rasa seperti nyawa kita terhenti sekejap. Dalam kapalterbang jauh lebih dahsyat rasanya. Tidaklah pula hingga terhempas tetapi rasa ngerinya tidak dapat hendak dicerita.
Kita belajar sains di sekolah. Namun begitu tidak ada praktikalnya. Payah hendak menceritakan pengalaman menaiki kapalterbang. Bermacam-macam pengalaman yang diperolehi. Kita tahu bahawa semakin tinggi kita berada semakin berubah tekanan udaranya. Pada ketinggian tertentu saya merasa telinga saya terasa sakitnya. Anak-anak yang kecil menangis tidak tertahan. Saya memejam mata menahan sakit. Yang hairannya bila saya telan air liur sakitnya berkurangan. Terbang dalam negara tidak banyak masalahnya. Bila kita merentas benua. Merentas musim. Merentas ketinggian yang berbeza terbang itu kadang-kadang memeritkan. Orang di bawah sahaja melihat kapalterbang itu sesuatu yang istimewa. Dilihat tinggi di atas awan.
Begitulah sukarnya berada di tempat tinggi. Banyak cabaran. Banyak ujian. Banyak pengalaman yang sukar dialami dalam keadaan biassa. Orang di bawah berlumba-lumba untuk terbang tinggi. Mereka yang sedang terbang terasa sakitnya. Yang sudah terbang berjaga-jaga supaya tidak terulang sakitnya. Maka bila terbang ke destinasi yang berlainan latitude dan longitude akan terasa antisipasi yang menegrikan. Terbang itu terbang juga. Mungkin burung tidak merasa tekanan udaranya. Udara itu mainan masa. Hidupnya di situ.
Di udara bukan untuk berpesta. Kapalterbang itu meluncur deras jauh di awang-awang. Melihat ke bawah sudah tidak mungkin kerana penuh dengan awan yang menebal. Kecualilah di kawasan padang pasir. Pandangan tidak terhalang kerana tiada awan. Dalam banyak keadaan saya banyak terbang di kawasan yang tidak berpadang pasir. Hanya awan atau air laut sahaja yang saya lihat. Berbaur perasaan. Takut dan suka. Berani dan ngeri. Mata memandang skrin movie. Mulut terkumat kamit berzikir. Kadang-kadang menyendiri dengan perasaan. Melayan diri dan kegusaran. Saya pula memang lepak bila sampai sahaja di tempat duduk. Berbulan ke hulu hilir mengurus pemergian yang bukan lama. Hanya 18 bulan. Setahun setengah.
Anak seluang berenang ke laut. Akhirnya mudik juga ke sungai dan parit. Jauh juga terbang merentas benua dan lautan. Mencari pengalaman bernilai kemanusiaan. Menambah nilai diri. Menghargai kemanusiaan itu sendiri. Terpampang kebesaran Allah. Nikmat anugerahNya yang tidak terhingga. Maha Suci Engkau ya Allah. Syukur alhamdullah.
No comments:
Post a Comment