Thursday, January 20, 2011

Narita Airport

Kali pertama saya transit di lapanganterbang ini pada tahun 1984. Tidak banyak impaknya kepada saya. Mungkin sibuknya sahaja yang berbeza dengan Subang ketika itu. Mungkin saya terlalu keletihan sehingga tidak dapat memerhati. Tidak dapat menajamkan pandangan. Tidak dapat melihat dengan mata hati. Semuanya sama dan kelabu sahaja. Begitulah orang ketetihan. Lesunya memanjang. Yang diharapkan ialah rehat lama untuk memulih tenaga yang surut. Kebaikan atau keburukan payah hendak diamati.

Tetapi apabila saya transit kali kedua dalam perjalanan saya ke Toronto, Canada pada thun 1990, saya melihat sesuatu yang berbeza. Nampaklah besarnya. Kelihatan bersihnya. Terserlah istimewanya. Mata saya terbuka. Minda saya melapang luas. Pada tahun 1984 dahulu saya hanya sebentar sahaja di lapanganterbang itu. Saya dan keluarga terus dibawa ke hotel. Pentang esoknya dibawa semula ke lapamnganterbang itu untuk (connecting flight) menyambung perjalanan ke O’Hare Airport di Chicago. Dalam perjalanan ke Toronto itu saya dan teman-teman yang lain transit kira-kira lapan jam di Narita Airport. Nasib badan. Kami tidak disediakan tempat rehat atau hotel. Ada orang yang terlepas pandang di Kementerian ketika itu. Begitulah pegawai kecil yang tidak punya apa-apa kekuatan. Terima sahaja apa yang diberi. Saya yang menurut perintah.

Lebih lapan jam di Narita bagai gila kami dibuatnya. Lapanganterbang itu lengang dari pagi hingga tengahari. Mungkin bulan Ogos bukan bulan puncak. Bukan waktu banyak perjalanan bagi masyarakat Jepun. Lengangnya luar biasa. Saya dan rakan-rakan terasa terseksa benar. Badan letih. Terasa benar hendak tidur. Malangnya semua kerusi di situ berbentuk mungkum. Untuk berbaring di atasnya terasa tidak mungkin. Akan sakit tulang dan daging. Ada bahagian badan yang terhimpit bonjolan-bonjolan kerusi. Namun rasa mengantuk mengatasi segala-galanya. Saya tidur juga. Entah bagaimana saya mengatur badan saya. Yang saya tahu saya tidur. Berbantalkan beg sandang yang saya bawa.

Ada sesuatu yang mengesankan saya. Lapanganterbang itu cukup bersih pada mata kasar saya. Cukup menarik kepada sesiapa yang berada di sana. Apatah lagi mata orang Malaysia. Kita selalu terlepas pandang tentang konsep bersih. Persepsi kita berbeza dengan orang di negara maju. Standard bersih yang kita faham jauh di bawah. Nilai bersih yang kita amal tidak mencapai standard mereka. Selepas terjaga dari tidur, masih banyak masa lagi sebelum tiba pukul 3.00 petang. Saya pandang kanan dan saya pandang kiri. Saya terpandang seorang tua lelaki. Jalannya perlahan. Seperti payah menapak. Lambat dan seperti seksa nampaknya.

Di tangan kanannya dipegang penyapu. Di tangan kirinya dipegang bekas memasukkan sampah. Bentuknya terbuka bila diletak di atas lantai. Terkatup bila diangkat. Itu tahun 1990. Sekarang tahun 2011. Sudah 21 tahun berlalu. Saya belum melihat bekas sampah itu di sini. Hanya sesuatu yang sangat simple. Bukan teknologi yang canggih. Bukan the state of the art. Dalam aspek itupun kita tertinggal lebih 21 tahun. Apa yang boleh saya katakan lagi. Itulah hakikat jurang teknologi.

Lelaki tua itu menyapu apa sebenarnya. Mana ada sampah di Narita Airport. Lalu apa yang disapunya. Saya perhatikan. Cukup lama untuk saya memahaminya. Lelaki tua itu hanya menyapu debu rupanya. Ya debu. Untuk apa ya. Di negara maju banyak perkara yang sukar difahami oleh orang biasa. Di Malaysia lelaki tua itu sudah bukan lagi warga emas. Sudah melewati zaman itu. Dia tentu sudah lama dipersarakan. Disejukbekukan. Malah mungkin sudah berada di rumah orang tua-tua. Anak cucu mungkin sudah lama menyisihkannya. Saudara mara sudah tidak perlu ada hubungan lagi. Tetapi di Jepun maupun Amerika Syarikat atau Canada, warga tua-tua itu masih menjadi sebahagian warga yang banyak manfaatnya. Dalam kebanyakan hal warga tua itu bukan mahukan elaun atau ganjaran atau upah. Mereka mahu lagi menyumbang tenaga yang tidak seberapa untuk negaranya. Untuk bangsanya. Untuk budayanya. Untuk martabat bangsanya. Kemanusiaan yang masih bersisa pada usianya.

Di Amerika dan Canada umpamanya, kerja-kerja yang tidak memerlukan tenaga berat dilakukan oleh orang-orang yang sudah berumur. Yang muda-muda melakukan kerja yang berat-berat dan lasak. Yang perlu banyak bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Yang perlu banyak naik dan turun bangunan. Yang perlu mengangkat barang yang besar dan berat. Pendek kata semua orang ada manfaatnya. Pramugari di Malaysia kononnya apabila berusia 25 tahun mereka adalah grounded. Tidak perlu bertugas di udara lagi. Duduk di bawah sahaja. Terkejut saya, kapalterbang di Amerika Utara, pramugari-pramugarinya berusia seperti nenek-nenek di Malaysia. Masih lincah. Masih pantas. Masih ligat. Bertenaga dan liat

Di pejabat-pejabat, keraninya nenek-nenek belaka. Seorang teman sekelas saya di Universiti of Pittsburgh mendapat ijazah sarjana mudanya pada tahun 1956. Saya bertanya kepadanya, “What happen for those 30 years?” Senang jawabnya, “I developed my career. Got married. Raised my children. They’re grown up. Now I’m free as ever. So here I’m. Back to school.” Pada falsafah mereka tiada yang namanya bersara. Jika tidak menyumbang tenaga, mereka mencari ilmu baru. Meningkatkan diri. Memartabatkan minda. Aktif berfikir. Masih ada sumbangan intelek. Bersara hanya bagi mereka yang tiada wawasan langsung.

Bila agaknya istilah bersara itu akan dilupuskan. Selagi masih wujud selagi itulah minda yang waras menjadi jumud dan beku. Tubuh badan yang segar bugar menjadi layu. Minda dan tubuh badan dipengaruhi oleh psoikologi. Rasa kosong. Void. Kita perlu mengubah sikap ke arah yang terus bermanfaat. Masa muda, bekerjalah dengan seberat mana. Semasa tua kekal menyumbang dalam hal-hal yang berkait dengan buah fikiran. Mengubah cara berfikir. Meneladani budaya positif untuk dikembang dan dibudayakan. Lesulah bangsa apabila mati sebelum sampai ajal. Layu sebelum panas menyinar. Gugur sebelum kembang. Terbang sebelum ditiup angin. Tersingkir sebelum dikuis. Tidak pasal-pasal sakit sebelum dijentik. Renungkanlah.

No comments:

Post a Comment