Tuesday, January 18, 2011

Bekal Orang Kampung

Biasalah musafir. Ada sahaja bekalnya. Nanti di jalanan banyak fikir untuk mengalas perut. Di tempat orang tidak terasa rindu kampung halaman. Ada pengubat rindu yang dibawa. Pengubat rasa. Pengubat tekak dan perut. Pengubat hati. Semuanya psikologi. Penuh dengan perasaan sendiri. Dibuai dengan rasa dekat dengan semua yang ditinggalkan. Bila hendak pergi banyaklah bekal yang perlu dibawa. Kain baju satu hal. Tetapi yang lebih memeningkan ialah makan minum. Di tempat orang harapan kita berbeza. Bolehkah kita makan apa yang ada di sana. Memanglah sayur banyak. Ikan ada. Ayam dan daging ada. Telur ada. Buah-buahan tidak terkira banyaknya. Jika hendak makan dan boleh makan atau hendak cuba makan tentu tidak mungkin kebulur. Alternatifnya sangat banyak. Yang susahnya ialah membujuk lidah dan rasa. Sekali sekala hendak juga menjamah rending. Atau kari pekat. Opor dan kurma. Lidah Melayu kekal Melayunya. Perjalanan ke alam global tidak mengubah selera Melayunya. Kekal abadi. Biasalah. Tentu ada baik dan buruknya.

Maka panjanglah senarai bahan makanan yang isteri saya sediakan. Banyaklah yang hendak dibawa. Dihimpunkan lengkuas, daun kunyit, daun kari dan serai. Rasanya halia ada di sana pada perkiraan saya. Selagi ada orang Cina atau Vietnam, halia mesti ada. Cabai mesti ada. Cili api juga ada. Tambah pula ada kedai Siam dan Filipina. Daun kari dikeringkan begitu sahaja. Daun kunyit pula dipotong halus dan dikeringkan. Dalam kepala saya, nanti hari raya masak rendang tok resepi negeri Perak. Lengkuas dan serai juga diracik halus dan dikeringkan. Kuantitinya banyaklah juga kerana jangkamasanya 18 bulan. Saya pula bertujuh beranak. Bawa juga jintan, ketumbar, kayu manis, cengkih, bunga lawang dan buah pelaga. Bawa juga ikan bilis. Beli yang halus. Waktu itu rasanya RM20 sekilogram. Seperti hampir setengah beg besar membawa barang-barang itu. Tambah pula dengan berpaket-paket rempah. Paling banyak kari. Kari ikan dan kari daging. Rempah kurma dan rendang. Termasuk sekali rempah sup. Mana boleh lupa.

Ngeri juga hendak melepasi kastam. Orang Amerika ketat tentang kemasukan hasil tumbuh-tumbuhan. Takut berjangkit penyakit. Jika itu berlaku ranap nanti industry pertanian mereka. Banyak juga dalam beg yang saya bawa. Alhamdulillah. Orang putih kalah dengan budak. Bila ada budak dia jarang jenguk beg penumpang. Banyak mana sekalipun akan lepas. Senang sahaja falsafahnya. Tidak mungkin ada ibu bapa yang membahayakan anak-anaknya. Jika ada, bukan bapa namanya. Kerananya semua yang saya bawa tidak ada yang diselongkar atau dirampas. Selama 18 bulan hiduplah kami seperti di Malaysia. Makan dan minum tidak ada masalah. Selera Melayunya kekal.

Begitulah apabila anak-anak saya keluar negara, mereka dibekalkan dengan sebanyak mungkin bahan-bahan memasak. Nanti kari penuh satu beg. Dulu dua orang anak saya di US. Lima tahun setiap seorang. Bila mereka balik bercuti yang diimport ialah kari dan bahan masak. Yang seorang di Lancaster begitu juga. Yang lelaki di Mesir pun sama perlunya. Lelakipun kena pandai memasak. Untuk diri sendiri. Untuk rakan-rakan bila perlu. Nanti bila sudah berumahtangga sekali sekala perlu juga menggembirakan isteri dengan kehebatan memasak. Biar bertukar selera. Atau pecahkan selera. Ada masanya selera menjadi penambat hati.

Dulau saya ke Canada pada tahun 1990. Kebanyakan yang turut serta pernah belajar di luar negara. Tetapi tidak seorangpun yang membawa rempah. Saya pula bawa ala kadar. Maka dalam jangkawaktu yang singkat sahaja cepat habisnya. Bahan yang dibawa sedikit. Yang hendak memakannya ramai pula. Biasalah orang lelaki tidak pandai memasak. Suatu kesilapan mengurus diri. Lelaki atau perempuan tidak perlu ada kepentingan gender. Kedua-duanya perlu pandai memasak. Survival. Apatah lagi jika duduk serumah dengan orang lain. Jika ada yang tidak pandai memasak, yang lain akan kecewa. Lazimnya yang tidak pandai memasak juga tidak tahu membantu. Tidak juga tahu berkemas rumah. Atau berkemas pakaian. Hatta membasuh pinggan yang digunakan pun tidak tahu. Mengemas meja lagilah tidak tahu. Bilik air penuh lumut dia buat tidak padang. Tidak Nampak. Satu sahaja yang dia tahu. Makan dan menyusahkan hati orang. Hadirnya tidak membahagiakan orang lain.

Rasanya ramai pembaca yang akan keluar negara. Mungkin pada bulan September ini akan ada yang belajar di seberang laut. Mungkin ada yang bertugas di luar negara. Mungkin diplomat. Mungkin wakil syarikat. Mungkin membuka pejabat di sana. Bawalah ikut selera apa yang perlu. Di sana bukan tidak ada. Ada. Mana mungkin tidak ada. Tetapi bukan untuk selera kita. Tidak serasi pada lidah. Tidak sesuai dengan tekak. Takut pula tidak sesuai dengan perut. Dengan membawa sendiri apa yang perlu bolehlah dihindarkan situasi yang tidak diingini. Berjaga dan berawas itu lebih baik berbanding merawatnya nanti.

Bagi mereka yang biasa berada di luar negara rasanya tidak begitu rumit mengenalpasti selera sendiri. Walau bagaimanapun semuanya bergantung kepada darjah kepekaan kita. Kita perihatin atau tidak. Takut-takut tidak perasan dengan selera dan kehendak sendiri. Merana di rantau orang. Boleh juga belajar membiasakan diri dengan makanan orang. Mungkin mengambil masa untuk membiasakan lidah dan tekak. Jika boleh mengadaptasi makanan-makanan tersebut, tidak lagilah perlu rindu dengan masakan Malaysia. Masakan Melayu. Hidup tidak selamanya sama. Tidak boleh juga bergantung kepada yang nostalgia sahaja. Yang lama itu di tinggalkan. Sudah berlalu. Zamannya sudah tiada. Sejarah bukan untuk diulang tetapi untuk diambil iktibarnya. Belajar dari kejayaan dan kegagalan dahulu. Yang baik ditingkatkan. Yang buruk dilupuskan. Sentiasa berfikiran positif. Maju ke hadapan. The way forward. Jadilah trend setter dan bukan trend follower.

No comments:

Post a Comment