Monday, January 17, 2011

Persinggahan Demi Persinggahan

Boarding memenatkan juga. Mana menjaga anak-anak. Ada yang kena pimpin. Beg-beg galas lagi. Masuk ke dalam lambat pula jalannya. Sempit dan ramai penumpang. Penerbangan ini sepatutnya terus ke O’Hare Airport di Chicago. Tetapi MAS belum ada landing right. Hinggalah sekarang rasanya. Terpaksalah transit di Narita Airport. Tidur satu malam di sana. Dapat dua buah bilik. Satu untuk saya dan isteri. Satu lagi untuk anak-anak. Rasanya tujuh jam penerbangan untuk sampai di Narita Airport. Singgahnya banyak. Mula-mula di Kota Kinabalu. Itulah kali pertama saya sampai di KK. Disember tahun 1984. Kali pertama menjejaki dengan berpijak kaki di bumi nyata pada bulan Mac 2008. 24 tahun kemudiannya.

Kadang-kadang banyak hal kebetulan yang berlaku pada saya. Coincidence. Saya lintasi KK akhirnya saya jejeki juga. Saya berkursus di Kuala Terengganu pada tahun 1967 akhirnya saya bertugas di sana selama enam tahun. Saya kunjungi UM pada tahun 1968 akhirnya saya belajar di sana. Saya ke US pada tahun 1984-86 akhirnya dua orang anak saya graduan dari sana. Saya singgah di London pada tahun 1986 akhirnya anak keenam saya graduan dari sana. Kebetulan yang Allah tentukan. Dia yang menjadi Maha Perancang. Redha dan syukur. Alhamdulillah. Praise be to Allah.

Penerbangan itu tidak juga terus, singgah di Taipei. Singgah di Hong Kong. Maaflah, penerbangan itu malam. Tidak banyak yang dapat dilihat dalam samar lampu cerah di musim sejuk. Sudah winter. Hingga sampailah saya di Narita Airport. Transitnya agak lama. melebihi lapan jam. berhak tinggal di hotel. Connecting flight pukul 3.00 petang esoknya. Allah! Itulah kali pertama tidur di hotel bersama keluarga. Lima bintang lagi. Nikmat kerana berkhidmat dengan negara. Berkursus dalam perkhidmatan. Inservice course. Semuanya ditanggung beres. Business cum pleasure. Anugerah kerana dahulu belajar seperti hendak gila. Kerana blood and sweat. Pengorbanan-pengorbanan yang ditempa. Hadiah untuk isteri tersayang. Saya bawa dia terbang bersama. Ke Utara dan ke Selatan. Ke Timur dan ke Barat. Keindahan untuk anak-anak. Mereka saya bawa bersama merentas benua. Merentas lautan. Berada jauh di atas awan. Mudah-mudahan jiwanya tinggi. Untuk memandang ke bawah dengan keinsafan mendalam. Jejak kaki di tanah juga.

Untuk melanjutkan palajaran bukan banyak sokongan moralnya. Sebenarnya ramai rakan-rakan yang tidak memberi semangat. Banyak yang menumpulkan semangat. Yang jarang memahami. Sebenarnya ramai yang tidak menghargai ilmu. Merasa puas dengan apa yang ada walaupun yang ada itu terlalu sedikit untuk dibangga. Saya teringat Dato’ Yusof Harun. Bekas Pengarah Pendidikan Negeri Selangor. Dia di antara yang paling awal melanjutkan pelajaran dari kalangan kami di Politeknik. Bila dia kembali ramai yang mengutuknya. Ijazah tak ada nilailah. Universiti komanlah. Kokaklah. Bukan naik gaji. Bukan naik pangkat. Dia hanya diam. Bersabar. Hinggalah sewaktu tahap dia hilang diamnya. Lalu bersuaralah orang terpelajar, ‘Aku ada master. Kau ada apa?’ Begitulah belajar ini bukan untuk semua orang. Ilmu itu tidak semua orang menghargainya. Bukan semua orang mengejarnya. Tidak semua orang nampak impaknya pada masa hadapan. Akhirnya kita katakan bahawa jauhari juga yang mengenal ma'nikam. Yang mengenal antara kaca dan permata. Sesunguhnya tidak sama orang yang megetahui berbanding dengan orang yang tidak mengetahui.

Ilmu di dada bukan sia-sia. Tetapi itulah sedikit orang yang menyedari hakikat gunanya. Impaknya. Cahaya yang datang darinya. Kesuburan minda yang terpancar darinya. Dalam jangka pendek mungkin tidak terlihat dalam bentuk wang ringgit atau mungkin bukan kenaikan pangkat. Beginilah, saya hendak paparkan kos yang terlibat membiayai saya belajar di US. Pembaca nilai sendiri betapa tinggi kos untuk mendapatkannya hanya untuk jangka masa 18 bulan.

1 Sara hidup USD500 x 18 bulan = USD9,000 = RM27,000
2 Elaun rumah USD200 x 18 bulan = USD3,600 = RM10,800
3 Elaun keluarga USD200 x 18 bulan = USD3,600 = RM10,800
4 Elaun pakaian panas = RM 1,200
5 Elaun perkakas USD200 x 2 bulan = USD 400 = RM 1,200
6 Insuran perubatan (tiada maklumat)
(anak saya kena kayap
Kosnya USD270 = RM 810
8 Tiket kapalterbang = RM44,000
9 Launching grant = RM 1,200
10 Yuran pengajian (tiada maklumat)

Tidak termasuk yuran pengajian sahaja kosnya sudah seperlapan juta =RM124,000. Tentunya jika diambil kira yuran pengajian kosnya mencecah hampir suku juta. Jadi jika belajar lagi itu tidak ada gunanya, tentulah seperti hilang akal pengiraannya. Wang yang begitu banyak untuk membeli pengalaman. Untuk menimba pengalaman. Untuk memindahkan teknologi. Tidak semestinya dalam bentuk peralatan teknikal. Bagi orang seperti saya teknologi itu dalam bentuk cara berfikir. Cara menyelesaikan masalah. Cara membuat keptusan. Gaya membuat kerja. Kadang-kadang cara berfikir itu kena belajar juga. Tidak boleh jumud. Tidak boleh berpegang kepada yang tradisi. Everything is dynamic in nature. Sometimes volatile. Nothing is static in technology.

Betapa mahalnya pengalaman yang isteri saya timba. Bukan senang anak kampung sepertinya terbang menjengah alam. Melihat sendiri secara lave orang putih yang dahulu datuk nenek mereka enjajah tanah air. Yang mencengkam ekonomi dan politik. mengalami sendiri yang namanya budaya kuning di Barat. Nantilah dalam kesempatan lain ada ceritanya. Anak-anak lagilah bertuahnya. Sekolaah bersama orang putih. Belajar bersama mereka. Bersaing dengan mereka. Mengalahkan mereka dalam akademik. Nama mereka tercatat dalam Hall of Fame di sekolah. Memakan makanan mereka. berhibur bersama mereka. A real life experience. Tidak mampu saya membayarnya jika tidak kerana biasiswa itu. Jika saya bertanya, di mana ruginya belajar? saya tidak nampak di mana cacat celanya. Untung semata. Laba memanjang. Hingga sekarang saya masih menikmati labanya.

Wang yang begitu banyak dilaburkan untuk anak watan. Tentunya dikembalikan dalam bentuk pemikiran. Berkongsi pengalaman itu. Saya kongsikan dengan pembaca. Untuk iktibar. Untuk pengajaran. Tidak semua keuntungan itu bentuknya fizikal. Tidak semestinya maujud untuk disentuh dengan tangan. Untuk dilihat dengan mata kasar. Tidak semestinya untuk didengar dengan telinga. Tetapi at the end of the day, orang yang bertambah ilmunya mencipta kelainan-kelainan yang sukar pula ditafsir dan diterjemah. Mungkin layak dikongsi. Walaupun kesilapan itu lumrah kepada manusia namun kuantitinya mengecil.

Demikianlah pengalaman hidup sebenarnya persinggahan demi persinggahan. Setiap stesen itu kita mengutip added value yang mungkin tidak terfikir oleh orang lain. Lain orang mengutip yang berlainan. Mengikut persepsi masing-masing. Kita pula mesti menghormati pilihan itu. Hak masing-masing. Ada manfaatnya untuk semua bila digandingkan. Belajarlah hingga ke liang lahad. Hatta sabda Rasulullah dalam sebuah hadith mafhumnya, ‘Apabila kamu menjangka kiamat akan berlaku, tanamlah benih yang ada di tanganmu.’ Itulah besarnya nilai ibadah. Carilah ilmu kerana Allah. Ia diberi pahala kerana menjadikannya ibadah. Kesukaran mencari ilmu itu disifatkan sebagai jihad. Sesiapa yang mencari ilmu kerana Allah mendapat naungan Allah. Malaikat menjaganya. Segala batu dan pasir mendoakannya. InsyaAllah ada manfaatnya.

No comments:

Post a Comment