Monday, January 17, 2011

Dari Subang Ke O’Hare Airport

Banyak kali saya ke Subang. Itulah lapanganterbang yang utama di Malaysia. Beberapa kali saya mengikuti rombongan dari kampung dan dari sekolah. Sewaktu masih kecil dan sewaktu menjadi guru sementara dahulu. Seperti tidak pernah termimpi untuk terbang tinggi. Mana ada cita-cita ketuka itu. Surut dalam arus kampung. Tahun-tahun 60an orang kampung galak mengadakan rombongan ke Kuala Lumpur atau Singapura. Untuk melihat bandar. Untuk menikmati lampu-lampu neon yang bergemerlapan. Hingga sekarangpun anak-anak kampung berbondong-bondong ke bandar. Bak kelkatu mengejar cahaya. Ada yang hidup segar. Ada yang terbakar mati dan kecundang kerana kerakusan kota. Cahaya boleh menerang tetapi panasnya boleh membunuh. Kelkatu tidak mengerti manfaat dan mudaratnya.

Hari itu 22 Disember 1984. Untuk kesekian kalinya saya berada di Subang. Bukan dalam rombongan melancong. Bukan untuk suka-suka. Untuk meninggalkannya. Untuk berpisah dengannya. Untuk meninggalkan kesayuan dan air mata. Untuk sendu dan memahat hati. Air mata yang merembas basah. Yang turun deras menghiba. Sayunya tidak dapat dinukil dengan kata-kata. Seumur hidup inilah kali pertama menaiki kapalterbang. Sebelum orang kampung merasainya. Berada di Subang seperti mimpi. Berada sekejap masa menunggu dipanggil untuk boarding. Tentu tadinya sudah ckeck-in. Berbeg-beg barang dibawa. Anak lima orang tentu berbagai keperluannya. Macam-macamlah yang diangkut sama. Di negara orang nanti mudahlah berkira jika sudah bersedia dengan apa yang perlu.

Hampir berbulan saya tidak banyak diamnya. Memberi kuliah dan mengendalikan pelajar di Politeknik Ungku Omar (PUO) berjalan seperti biasa. Cumanya bulan Disember itu ada cuti panjang. Banyak kali ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan segala urusan. Sendiri melakukannya. Tidak boleh secara proxy. Tidak sahih nanti. Banyak yang perlu ditandatangani. Dari Subang ke O’Hare Airport di Chicago semuanya di bahu saya menguruskannya. Isteri saya membantu dengan mengawal anak-anak. Sementelahan pula Diana dan Dahlia sudah boleh membantu. Diana 12 tahun. Dahlia 11 tahun. Yang kecil baru setahun. Yang keempat baru tiga tahun yang. Badannya kecil. Sangat pendiam. Banyak takutnya. Banyak pula tangisnya. Jika hendak tidak bercakap. Keperluannya tidak diselesaikan. Masih suka hatinya di mana berak dan kencingnya.

Di Subang saya berjinak dengan teknologi. Ke bilik air amalan biasa orang-orang dalam perjalanan. Yang musafir. Lagipun bilik air di lapanganterbang menyenangkan dikunjungi. Pada saya bilik air di Subang itu yang terbaik di dunia. Bersihnya memukau. Begitulah kata katak di bawah tempurungnya. Cantiknya menyilaukan. Kilatnya memancar. Wangiannya terapi minda. Menyegarkan. Tandasnya tentu up-to-date. Yang msuk dan keluar musafir antarabangsa. Antarabenua. Selepas habis hajat teringin membersihkan tangan. Kertas tidak ada. Terpandang alat pengering di dinding. Ada swis untuk menghidupkannya. Sebentar sahaja tangan sudah kering.

Setelah merentas benua. Melangkaui lautan. Menerbangi Kutub Utara sampailah saya di O’Hare Airport di Chicago. Saya ke bilik air juga. Aduhai. Tentulah bilik airnya tidak sama. Besarnya. Bersihnya. Kilatnya. Paip air di tandas seperti di sini tidak ada. Kreativiti mencelah. Bawa air dengan apa cara sekalipun untuk mensucikan diri. Mencari air bukan sesuatu yang take for granted. It was a real experience. Ada sinki. Ada kepala paip. Tetapi tiada pemutar. Tidak boleh diputarkan kepalanya. Ditekan juga tidak keluar air. Galaklah tangan memegang kepala paip. Paip sendiri sudah lama hendak pecah. Empangan sudah hendak pecah. Dalam teraba-raba kepala paip, tetiba keluarlah air. Oh oh! Ada sensor rupanya. Letak tangan di bawah muncungnya, keluarlah air mencurah-curah. Sesudah mengurus diri tangan hendak pula dikeringkan. Alatnya macam serupa yang di Subang. Swisnya tidak ada. Pengalaman pertama mengajar saya. Sensor kot. Benar letak tangan di bawahnya, hidup alat pemanas itu. Sensor dan sensor. Pengalaman baru yang sukar dilupakan.

Jika kita pergi ke PWTC di Kuala Lumpur, tandasnya dilengkapi dengan air pancutan dari arah belakang. Kecil dan deras airnya. Acukan sahaja bahagain yang perlu dibersihkan. Kurang menggunakan tangan. Pada tahun 1993 saya ke Langkawi kerana bermesyuarat dalam rangka membuka Pusat Latihan Staf Politeknik (UTHM sekarang). Saya tinggal di Burau Bay Resort. Tandasnya lagi canggih. Bila dibuka paip, sebatang paip akan menjulur di bahagian bawah. Boleh digerakkan ke hadapan dan ke belakang. Mengikut kesesuaiannya. Airnya besar dan deras. Pendek kata nikmat sungguh di bilik air itu. Di tandas itu. Pancutkan sahaja. Jamin bersih jika pandai mengacukannya. Hands free. Tidak perlu disentuh. Ingat, hilang warna, hilang rasa, hilang baunya. Tiga prinsip membersih najis.

Oh ya. Suatu kejutan baru. Di US bilik air bukan tandas. Bukan toilet. Toilet itu hanya sebahagian dari bilik air. Mereka menamakannya rest room. For resting? You bet. Benar kita ke bilik air untuk merehatkan diri dan minda. Falsafahnya? Cuba analisis. Bila ke bilik air di US, baunya tiada. Walaupun yang dibuang itu sama di mana-mana. Sama untuk semua manusia. Di US tiada baunya. Mengapa? Ada sistem extractor. Semua yang berbau dialirkan keluar. Yang tinggal udara yang menyelesakan. Bersihnya sukar digambarkan. Not a speck of dirt. Betul-betul untuk berehat. Itulah the real rest room. Pergilah di mana sekalipun. Yang namanya rest room itu menjadi sebuah bilik yang istimewa. Menjadi lambang tamadun. Lambang budaya. Above the norm. Sama di mana-mana. Di lapanganterbang. Di universiti. Di pasaraya. Di rumah. Di stesen keretapi. Di tepi jalan. You name it, it is identical everywhere. All the way.

Dalam perjalanan pulang saya melalui London. Menjejak toilet di Heathrow Airport menjadikan saya terkedu. Tidak ubah seperti di Kuala Lumpur. Baunya, kotornya, comotnya, bekas-bekas kuning dan cokelat tinggalan klorin. Malah lantainya agak kusam dan nampak tidak bersih. Nothing looks clean. Nah sekali lagi nama toilet itu yang menjadikannya begitu. Ramai orang bertanya, ‘What’s there in a name?’ Yes, nothing special. Yet a name denotes the meaning. The value. The philosophy behind it. That’s civilization. Itulah sekembalinya dari US isteri saya bertambah tebal falsafahnya tentang bilik air. Hingga sekarang setiap hari dia menziarahi setiap bilik air di rumah. Tidak pagi, tengahari atau petang atau malam. Falsafahnya bilik air bukan tempat yang paling busuk. Bukan tempat yang paling basah. Bukan tempat yang paling kotor. Bukan tempat yang paling melemaskan. Ianya mesti menjadi tempat yang paling menarik untuk dikunjungi khususnya bila ada tetamu datang.

Bilik air mestilah mempamerkan lima bintang. Ada hiasan. Ada pokok bunga hidup jika boleh. Di US semua bilik air ada pokok bunga. Oxygen diberikan kepada kita. Carbon dioxide dia yang menyedutnya. Timbal balas. Adilkan. Lantainya berkarpet. Hatta penutup tandasnya. Betul-betul rest room. Bagi orang kaya tentunya ada spa atau Jacuzzi. Ada bar (minuman keras), telefon, buku. Jangan diikut semuanya. Tetapi bersihnya, kemasnya, cantiknya kenalah ikut. Jika tidak terlalu ramai orang menemui ajalnya di bilik air. Tergelincir jatuh. Terhantuk kepala. Ajalnya menanti. Benar ajal kerana Allah. Sebab musababnya tentu ada.

Lain padang lain belalang. Lain orang lain ragamnya. Saya belajar dari belalang dan ragam itu. Untung banyak dan tidak pernah rugi.

No comments:

Post a Comment