Apabila kita bertemu seseorang ada sesuatu yang menjadi identitinya. Bagi manusia yang selalu kita bersama keadaan itu tidak menjadi masalah. Ianya pula dipandang sebagai sesuatu yang lumrah. Biasa-biasa sahaja. Tidak dilihat sebagai signifikan langsung. Tidak perlu dibesar-besarkan. No big deal. Benarkah begitu. Kita mungkin berubah pandangan. Berubah falsafah. Berubah pandangan hidup. Mungkin terkesima. Mungkin terpanar sebentar. Lihatlah diri kita. Lihatlah bangsa kita. Lihatlah agama kita. Bagaimana mengenal siapa kita. Bagaimana mengenal siapa orang Islam. Bagaimana mengenal yang rupanya bangsa Malaysia.
Apabila saya menginap di hotel yang disediakan untuk saya dan keluarga berhampiran Narita Airport, saya terlihat sesuatu yang menjadi renungan. Di dalam wardrobe di bilik tidur saya tergantung sepasang kimono. Pakaian tradisi orang Jepun. Selepas mandi dan menyegarkan badan saya kenakan kimono itu. Jadilah saya Yusof-san. Suatu transformasi yang merentas budaya. Merentas agama. Merentas masa. Merentas tamadun. Dengannya terserlah jati diri. Terpamer imej bangsa. Menifestasi sebuah tamadun yang lestari. Merentas zaman. Kekal. Abadi. Dipandang tinggi. Diletakkan di tempat yang tinggi. Maka semua orang mendongak ke atas kerana letaknya tinggi. Orang Jepun tidak perlu sombong. Tidak perlu meninggikan hidung. Orang lain yang tinggi hidungnya kerana terpaksa mendongak. Kagum dengan kehebatan bangsa yang suatu ketika dulu tunduk malu kerana dua biji bom atom yang meranapkan Hiroshima dan Nagasaki. Perang Dunia Kedua yang kos kamusiaannya sangat tinggi. Tetapi menjadi hemah dan hikmah kepada orang Jepun. Dari runtuhan dan puing-puing kekalahan itu mereka membina tamadun yang hebat hingga saat ini.
Arwah datuk saya menyatakan bahawa orang-orang Jepun itu pendek dan kecil berbanding dengan orang Melayu sekalipun. Apatah lagi berbanding dengan orang Putih. Jauh panggang dari api. Namun pendek mereka, kecil mereka mengalahkan bangsa besar dan gagah seperti orang Putih. Orang Russia juga pernah kalah dalam Sino-Japanese War suatu ketika dahulu. Kalah perang bukan penamat budaya dan tamadun Jepun. Mereka belajar dari sejarah. Bagaimana untuk menjadi hebat dan kuat. Bukan dalam ketenteraan tetapi dalam ekonomi dan teknologi. Mereka meniru orang Putih. Mereka mengubah diet – pemakanan mereka. Sekarang mereka makan daging bukan ikan sahaja. Mereka makan roti dan lain-lain makanan western. Natijahnya mereka bertambah tingi. Bertambah besar. Bertambah berat. Sekarang mereka Standing dengan orang Barat dari segi fizikal. Lalu tamadun mereka dikaji. Diselidiki. Dijadikan contoh. Banyak yang diambil. Diangkut ke Selatan dan dibawa ke Barat.
Kaizen tu apa? 5S itu apa? Manusia lain melihatnya. Budaya lain melihatnya. Bangsa lain melihat Jepun sudah mencapai tahap tinggi yang selalu menjadi ikutan. Kita ada dasar pandang ke Timur. Termasuklah memandang ke Korea Selatan. Ada sesuatu yang kuat tarikannya. Negara yang entah apa-apa pada tahun 40an mendadak dan melonjak menawan ekonomi dunia. Jangka waktu yang singkat. Begitulah komitmen sebuah bangsa. Mereka tahu pemisah antara jatuh dan bangun bangsanya. Tentang survival mereka. Tentang hidup mati mereka. Dari bangsa yang kalah perang. Dari bangsa yang tunduk malu mereka maju ke hadapan mengungguli bangsa-bangsa lain dalam banyak hal.
Itulah bangsa yang membina identiti. Yang memiliki entiti. Yang budayanya menjadi ikutan. Yang tamadunnya menjadi tarikan. Acuan-acuan kehebatan yang mesti dibina berlandaskan apa yang mereka ada. Mereka tidak mengambil bulat-bulat apa yanag dilihat. Bukan semata-mata ape the west tanpa mengira iklim dan suhu setempat. Mereka mencari national dan international blend untuk membangun bangsanya. Dalam sesingkat masa mereka berjaya menempatkan diri mereka setaraf dengan bangsa yang meranapkan harapan mereka untuk memenangi perang. Yang sewaktu-waktu dahlu kuat slogannya Asia Untuk Asia.
Kita ada acuan-acuan kehebatan yang menjadi terpendam. Yang tersembunyi. Yang disimpan. Manusia pada dasarnya ada kekuantan peribadi. Telah dibina oleh generasinya yang terdahulu. Malangnya ianya terhakis. Mata kita memandang yang lain. Melihat kebaikan yang lain. Kita lupa untuk menggilap yang kita ada. Yang memang telah menjayakan kita berkurun-kurun lamanya. Saya ingatkan kembali kuatnya Melaka dahulu. Pelabuhan Melaka untuk orang kita. Jawatan shahbandar cukup sinonim dengan laut. Tentulah ianya industri besar. Masakan ada shahbandar tanpa kuantiti dan kualiti. Tanpa sistem dan dasar yang universal.
Kita pernah membina empayar besar Sri Vijaya. Begitu juga Majapahit. Orang Melayu telah lama meredah lautan. Mengembara dari satu destinasi ke destanisi yang lain. Mereka mencari kehidupn dalam dunia asing yang jauh dari kampung halaman. Hingga sekarang anak cucu mereka hilang akar umbi mereka. Penjajah datang meranapkannya. Kealpaan menghancurkannya. Kecuaian meruntuhkannya. Yang tinggal hanyalah kita seperti kita sekarang ini. Carilah ciri-ciri kekuatan yang masih ada. Kelemahannya terlalu banyak. Kadang-kadang kita tidak membina kekuatan tamadun. Kita banyak membina kekuatan politik yag tidak ke mana. Kita sampai terlupa banyak aspek lain yang lebih utama. Yang akan dibawa ke alam barzah. Ke akhirat yang abadan abada.
Politik itu cantik. Ianya mesti kerana Allah. UntukNya. Kita milikNya. Patuhi perintahNya. Jauhi laranganNya. Agama mesti nombor satu. Yang lain bukan keutamaan. Kerana akhirnya Allah tidak melihat bangsa. Tidak melihat keturunan. Tidak melihat gender. Tidak melihat usia. Tidak melihat pangkat. Tidak melihat kehebatan dunia. Allah melihat tahap taqwa kita. Kehebatan mestilah dari aspek agama. Tidak yang lain. Apapun semuanya perlu dilihat dari perspektif agama. Sehebat manapun kita jika nisbah agamanya terkurang, maka dengan secara automatik nilainya dari sega agama menjadi rendah. Penilaian akhirnya mestilah agama. Not more and not less.
Kembali kepada Kimono. Isteri saya juga begitu. Terjelmalah seorang wanita Jepun yang istimewa di sebalik Kimono yang dipakainya. Yang dilihat oleh orang dari serata dunia sebagai wanita yang sopan. Wanita yang lembut. Wanita yang setia. Wanita yang seluruh hidupnya berbakti untuk kesejahteraan lelaki. Hidup matinya untuk lelaki. Bersedia berkhidmat dengan penuh komitmen dan dedikasi. Darinya lahir pewaris bangsa yang serasi dengan hasrat dan wawasan bangsa. Gila orang Barat memiliki isteri Jepun. Tiada wanita sebegitu di Barat. Gerakan-gerakan emansipasi wanita di Barat meruntuhkan hati lelakinya. Mereka memandang ke arah lain. Mereka mencari wanita untuk lelaki. Bukan wanita yang setanding dengan lelaki.
Saya pernah komen kepada sahabat saya di Toronto dahulu. Edward Chop namanya. Saya panggil Ed sahaja. Kata saya, ‘The girls here are so beautiful.” “No!” Bantahnya. Saya jadi hairan. “But why?” “They’re very rough.” Itu kesimpulannya. Ada dua aspek maksud kata-katanya. Pertama wanita di Barat kulit mereka memang agak kasar. Iklim mereka begitu. Sejuk, kering. Kulit jadi begitu juga. Orang Asia pula disentuh lembut. Dirasa supple. Dilihat dan dipandang sensual. Terlalu feminine kepada orang Barat. Mereka menjadi terpesona. Wanita Asia memiliki pesona yang tinggi kepada orang Barat yang tamadunya tinggi. Yang menganggap diri mereka sudah Berjaya. Sudah maju. Jauh di hadapan.
Keduanya, orang Barat memang kasar dari segi tingkahlaku. Mungkin juga pengaruh iklim. Mereka selalu dalam kesejukan. Untuk memanaskan tubuh badan, mereka perlu banyak bergerak. Perlu banyak bergerak pantas. Perlu banyak berlari. Tutur katanya agak straight to the point. Kurang diplomasi. Apa yang diperlu diminta. Apa yang terpendam dinyatakan. Bagi orang Asia ianya asing. Kasar dan keras. Sedikit kurang sopan. Tetapi bagi orang Barat sendiripun ianya dilihat kasar. Barangkali beruntung bagi orang Asia yang masih ada jati diri itu. Di mana orang Melayu dalam hal ini? Masih adakah perempuan Melayu terakhir? Atau lelaki Melayu terakhir? Carilah. Mungkin boleh ditemui kembali. Jika tiada, kita sama-samalah membinanya semula. Suatu tugas yang sangat payah.
Malangnya saya tidak dapat melihat bagaiman kita boleh membina bangsa yang dikenal identitinya. Yang akhirnya membina identiti seperti orang Jepun. Yang dikenal jati dirinya. Yang dienal ciri-cirinya. Yang dikenal traitnya. Yang dikenal wataknya. Lambangnya tidak ada. Jika Kimono itu Jepun. Bangsa Malaysia itu apa lambangnya. Bahawa bila orang bertemu kita secara automatik mereka tahu kita bangsa Malaysia. Begitulah besarnya impak Kimono kepada bangsa Jepun. Bangsa yang sudah sekian lama berlari dan bersaing dengan bangsa-bangsa besar di dunia. Kta bila lagi?
No comments:
Post a Comment