Monday, January 17, 2011

Berhimpun Di Kampung

Anak kampung hendak berangkat keluar negara. Gemparlah saudara mara. Dekat dan jauh. Di kampung saya ada yang sudah ke Al-Azhar di Mesir. Cuma belum ada yang ke Barat. Ke negara orang putih. Jumpa Mat Saleh yang tulen. Ori kata orang sekarang. Saya di Politeknik Ungku Omar ketika itu. Di Ipoh yang jauh dari Batu Pahat. Kampung saya di selatan. Haru juga dibuatnya. Anak-anak dicutikan sekolahnya. Baru dua orang yang bersekolah. Diana, yang sulung darjah enam. Dahlia, yang kedua di darjah lima. Diana menunggu untuk ke sekolah berasrama penuh. Dahlia pula baru menerima keputusan UPSRnya. Hasrat ke asrama penuh terpaksa ditangguhkan untuk saya bawa bersama. Yang ketiga, Najwa, baru empat tahun. Yang keempat, Nurin, baru tiga tahun. Yang kelima, Zaza, baru setahun umurnya. Baru lima ketika itu. Dahlia dan Najwa tujuh tahun jaraknya. Dirancang begitu. Ayahnya merancang untuk melanjutkan pelajaran semasa anak kedua dulu. Selepas keluar UM pada tahun 1979 barulah Najwa, Nurin dan Zaza menyusul. Yang lain sekembalinya dari US pada tahun 1987. Selepas seperti empamngan pecah. Seorang demi seorang hingga yang kesembilan. Kilang beroperasi penuh.

Untuk ke US saya menjangka Diana dan Dahlia akan ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan sebayanya di Malaysia nanti. Oleh itu saya bawa buku-buku darjah enam dan tingkatan satu untuk Dahlia. Diana saya bawa tambahannya untuk tingkatan dua. Bukan semua buku. Yang penting Bahasa Melayu, Agama Islam, Sejarah, Geografi. Matematik dan Sains saya menjangkakan di US tentu lebuh tinggi tahapnya. Persediaan itu bermanfaat juga bila kembali ke Malaysia kemudiannya.

Perit juga berkemas itu dan ini. Perabot, perkakas rumah yang lain, pinggan dan mangkuk, pakaian, buku dan majalah. Semuanya diangkut ke kampung. Termasuk juga pasu-pasu bunga. Saya dulu banyak menanam bunga kertas di Ipoh. Bermacam-macam jenis. Ditinggal sayang pula. Barang-barang banyak juga. Setelah 13 tahun berumahtangga, banyak juga harta benda dikutip dan dikumpul. Beli sana beli sini. Bila hendak berpindah baru terasa payahnya. Berkotak-kotak penuh satu lori besar. Saya tidak suka kotak besar. Berat dan susah mengangkatnya. Tidak boleh seorang diri mengangkatnya. Nanti kena berdua dan bertiga. Kotak kecil senang diangkat. Mudah buat kerja mengangkatnya.

Masalah juga barang-barang yang banyak kuantitinya. Berpakatlah dengan adik beradik. Ada yang sanggup menumpangkan barang. Ada yang sanggup jaga kereta. Ada yang sanggup beli peti ais. Akhirnya kerisauan menyimpan barang itu hilang. Menunggu masa untuk terbang mengawan. Melayang jauh dibawa cita dan hasrat. Meneroka budaya dan adat resam orang. Menghampiri hati dan rasa mereka. Bersama menghiruup udara mereka. Berangkatlah saya dan keluarga ke kampung. Berhimpun dahulu dengan sanak saudara. Banyak cerita yang hendak dikongsi. Banyak cerita yang hendak ditinggalkan. Al-maklumlah hendak berpisah, banyak yang hendak dipesan-pesan.

Sementara itu sempat juag ke Singapura. Membeli sehelai dua pakaian panas yang hendak dibawa. Ketika itu barang-barang di sana masih murah. Ringgit Malaysia masih tinggi nilainya. Wang di tangan bukannya banyak. Gaji saya sekitar RM2,000. Tolak hutang kereta berbakilah sekitar RM1,600. Saya beli rumah pula di Johor Bahru. Pinjaman bank perlu diservis setiap bulan. Akhirnya yang bersih masuk ke bank setiap bulan adalah RM1,400. Tidak mengapalah juga. Wang gaji itu hanya diprlukan jika sesak. Wang biasiswa dan elaun-elaun yang saya dapat mencukupi untuk makan dan minum di US. Cukup untuk sewa rumah. Cukup untuk keperluan hidup.

Menunggulah saya dan keluarga. Menanti saat untuk terbang jauh. Meninggalkan kampung halaman tercinta. Meninggalkan ibu dan sanak saudara saya. Tanahair yang selalu dekat di hati. Jauh itu hanya fizikal. Hati tetap tertawan di sini. Terikat kejap bak simpul mati. Cinta saya pada negara ini tidak berbelah bagi. Saya pergi kerananya. Untuk nanti kembali berbakti dengan bekal-bekal yang ada. Bekal-bekal hidup yang nantinya dikongsi bersama. Tidak semua orang berpeluang menjelajah dunia. Tidak ramai yang melintas benua. Jarang yang menyeberang lautan segara yang luas mengufuk jauh. Laluan di awang-awang yang tinggi. Di atas awan yang jauh di bawah. Jika awan itu tinggi, tinggi lagi harapan untuk pergi. Tinggi lagi hasrat untuk kembali. Yang ditinggal akan dijengah kembali. Akan disusur nanti.

Susur galur salasilah saya di sini. Induk semang saya di sini. Darah saya tumpahnya di sini. Jejak-jejak tempat bermain di sini. Tinggalnya hanya sementara. Itulah harapan. Pulang juga nanti menjengah zaman lampau yang telah ditnggalkan. Pergilah saya menjadi anak dagang. Merantau jauh mengisi dada dan minda. Menimba pengalaman yang tiada di sini. Di sana juga yang mendahului kita. Zaman gemilang kita telah lama tiada. Barat mengambil dan mengembangkannya lagi. Jadilah kita dagang. Orang Islam itu mnejadi dagang. Mengemis kembali warisan yang hilang.

Islam telah lemah ditelan zaman. Ada kealpaan pada kita. Belajarlah dari kesilapan. Kita bina semula puing-puing yang masih ada. Mudah-mudahan nanti akan terbina menara tinggi mengawan. Kita takluki semula dunia. Sekurang-kurangnya dengan hati yang bersalut waja. Mudah-mudahan. InsyaAllah dikabulkan.

1 comment:

  1. Nice blog! I like your writing way. I'm doing practice GMAT here: gmatonlinetest.com . I hope it's useful for GMAT test takers.

    ReplyDelete