Saturday, December 25, 2010

Hati dan Perasaan Yang Berubah

Ke Utara Kali Kedua

Hari Selasa 21 Disember 2010 saya bertolak ke utara. Seperti biasa saya seorang diri. Saya mengambil masa saya sendiri untuk menamatkan perjalanan saya. Berhenti banyak kali. Rehat di sana dan rehat di sini. Sambil memandu saya pandang kanan dan pandang kiri. Ada sesuatu yang lain saya rasakan. Ini kali kedua saya ke utara. Kali pertama tahun ini ialah pada bulan April yang lalu. Kali pertama dulu saya sangat teruja. Maklumlah pergi ke tempat yang asing. Bukan terlalu asing tetapi telah terlalu lama tidak saya ziarahi. Dulu sewaktu di politeknik beberapa kali ke Alor Setar. Ada dengan berkereta. Ada masanya dengan kapalterbang. Tetapi itu terlalu lama. Maka apabila saya ke utara semula pada awal tahun 2010 yang lalu saya sangat teruja. Saya biasa ke Ipoh. Sampai juga ke Grik, Kuala Kangsar, Taiping, teluk Intan dan Parit Buntar. Namun lebih jauh ke utara sudah terlalu lama tidak saya kunjungi.

Ada kesan dan impak psikologi rupanya. Ia memberi kesan kepada perasaan dan naluri. Antara teruja dan letih lesu perjalanan. Antara suka dan perjalanan yang terlalu panjang masanya. Cuma ada kebiasaan yang saya buat bila memandu. Saya mengambil gambar apa sahaja yang saya kira memberi erti kepada saya. Bukit yang gondol kerana kerakusan manusia yang tidak harmoni dengan alam sekitarnya. Pohon-pohon berbunga yang mendamaikan. Merindukan kedamaian. Penyatuan dengan persekitarannya. Indahnya ciptaan Allah. Tiada suatu pun yang cacat cela. Mata manusia sahaja yang banyak kali keliru. Tidak dapat menilai yang mana benar dan yang mana salah. Itulah sebabnya ilmu itu sangat penting. Firman Allah yang mafhumnya, “Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?”

Ketika ke utara di awal tahun dahulu saya teruja untuk melihat sawah padi yang menguning. Buah padi yang menunduk. Menunduk kerana penuh berisi. Ibarat manusia yang semakin berilmu semakin tawaduk. Taqwanya semakin tinggi. Imannya semakin kukuh. Dia melihat dirinya semakin lemah kerana sedar bahawa Allah sangat berkuasa. Semuanya mudah bagi Allah. Cukup dengan kun faya kun sahaja. Jadilah kesemuanya. Tetapi manusia seperti kita tidak ada yang pipih datang melayang. Tidak ada yang bulat datang menggolek.

Manusia seperti kita difitrahkan untuk berusaha. Buat dulu. Usahakan supaya terjadi dengan sebaiknya. Maka lahirlah superlatives. Terbaik. Cemerlang. Gemilang. Terbilang. Gah. Tersohor. Bagi orang Putih superlativesnya tidak cukup sebagai yang terbaik. Mereka memilih perkataan-perkataan seperti great. Huge. Gigantic. Enormous. Humungous. Begitulah bandingan-bandingan manusia dengan alam sekitarnya. Kali pertama ke utara itu memang mengujakan. Malangnya saya tidak melihat padi yang menghijau. Di kanan kiri jalan, hanya terlihat sawah yang baru tamat dituai. Masih banyak saki baki sampah. Hujan belum banyak. Bulan berikutnya saya ke Terengganu. Di Besut saya melihat sawah padi yang sedang menghijau. Terubat hati saya di sana.

Di hujung tahun 2010 sekali lagi saya ke utara. 26 Disember, hari Isnin saya akan ke POLIMAS. Ada 8 orang pelajar sarjana di sana. Minggu hadapan selama lima hari saya mesti merencanakan supaya mereka dapat diselia/observed. Sepanjang perjalanan ke utara saya tidak lagi teruja seperti dulu. Semuanya nampak biasa. Tidak ada pembaharuan sejak saya tinggalkan di awal tahun dahulu. Yang biasa-biasa ini tidak mengusik apa-apa perasaan. Biasa-biasa sahaja. Cuma barangkali sawah padi mula menghijau. Benar kata Menteri Besar Kedah, selepas banjir padi akan menjadi lebih subur. Bukan bermakna banjir itu diharap selalu. Tetapi hendaklah redha. Semoga ianya menjadi iktibar. Semua itu datangnya dari Allah. Zahirnya bencana alam. Pada hakikinya banjir itu datang dari Allah. Itulah hakikatnya.

Sebenarnya langkah pertama yang sangat penting. Apapun mesti dimulakan dengan langkah pertama. Langkah pertama itu pula sangat sukar jika tidak dimula-mulakan. Banyak halangan. Banyak kekangan. Banyak gangguan. Ada sahaja yang ingin membantutkan. Yang ingin mematikan. Yang ingin mengendurkan semangat dan tekad. Seperti kata Konfucius, perjalanan yang beribu-ribu kilometer itu mesti dimulakan dengan langkah pertama. Untuk mengiranya pun mudah. Selepas 1 tentulah 2. Dan angka-angka yang berikutnya hanya sekadar bibir menyebut. Urutannya seperti deras air mengalir.

Manusia membawa jasadnya mengikut hati nurani, perasaan dan psikologinya. Jasad hanya akur ke mana di bawa pergi. Disuruh duduk ia duduk. Disuruh berdiri ia berdiri. Disuruh berjalan ia akan berjalan. Sebab itulah membelai hati nurani itu perlu. Membelai perasaan itu perlu. Untuk menghilangkan sifat mazmumah. Sifat yang jelik dan penuh dengan dosa. Sifat yang membawa ke arah negatif melampau. Sifat-sifat yang jauh dari diredhai.

Dalam apa tindakan dan pengalaman jiwa manusia yang mengawalnya. Yang menentukan apa yang hendak dibuatnya. Apa pula yang hendak ditinggalkannya. Mafhum sebuah hadith,”Dalam tubuh manusia ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuh tuannya. Sebaliknya jika sakit daging itu maka sakitlah seluruh tubuh orang itu. Itulah hati.” Begitulah kuasanya hati yang mengawal seluruh jasad fizikal manusia. Maka tutur bicaranya, tindakan dan pemikirannya adalah dari hati yang menggerakkannya.

Kerana itu hati kita hendaklah selalu diruntun. Selalu dibujuk. Selalu didamaikan. Selalu dididik. Selalu diberi faham. Bahawa yang kita suka hendaklah dimiliki secara hak. Dengan usaha yang halal. Yang nanti memberi manfaat. Gunanya bukan untuk kita seorang. Ia mungkin membahagiakan orang lain. Menjadi sumbangan. Menggandakan pahala dan redha Allah. Yang halal itu pula perlu disertai dengan niat suci. Dengan keikhlasan. Dengan tawaduk. Dengan taqwa. Memanjangkan iman yang kejap kuat bersarang dalam hati.

Kerana itu jika kita benci jangan sampai mengakhiri segala-gala kebaikan. Benci itu mestilah dengan hak juga. Bukan dengan perasaan. Bukan dengan emosi. Benci itu adalah sifat mazmumah. Kita tidak ada hak untuk benci kerana tidak mendatangkan apa-apa kebaikan. Mungkin pula mendatangkan musibah yang berantai-rantai lama dan banyaknya. Seketul hati yang membawa penyakit. Yang menyakitkan seluruh badan. Selagi hati itu tidak dirawat. Tidak diubat. Tidak dinyahpergi penyakitnya selagi itulah jasad tuannya akan sakit. Kebetulan barangkali orang yang hatinya sakit bermacam-macam penyakit menghuni tubah badannya. Cuma yang ketara ialah sakit hatinya. Mulutnya tetap manis tetapi penuh dengan salutan racun berbisa. Bukan madu dan bukan gula.

Iklim dan suasana juga memainkan peranan. Suhu yang berubah turut mengubah sifat manusia. Kelembapan dan kekeringan tidak kurang pengaruhnya. Edaran bulan dan matahari tetap juga mempengaruhi. Itulah kebesaran Allah. Setiap kejadian di sekeliling kita ada kesan dan impaknya kepada kita. Menjaga hati supaya sihat banyak usahanya. Membelainya supaya baik banyak rencananya. Menjaganya supaya tidak busuk dan buruk banyak tuntutannya. Apapun hati itu hati kita. Rasa kita. Milik kita. Kita yang punya. Kita yang rasa. Ingatlah kita milik orang. Milik keluarga. Milik masyarakat. Milik Allah. Jagalah hati supaya ia berfungsi menjadi hati yang baik. Sejahtera dan bahagia selalu. Damai menggarap waktu. Hanya untuk Rabbmu dan Rabbku.

No comments:

Post a Comment