Saturday, December 25, 2010

Anak Didikmu Tanggungjawabmu, Amanahmu

Bahagian Pertama

Anak didikmu bukan satu. Bukan dua. Mereka datang dari pelbagaian keluarga. Adat. Budaya. Bahasa. Agama. Kebiasaan mereka di rumah sangat berbeza. Baik untuk seorang tidak baik untuk orang yang lain. Kau harus mengerti perbezaan-perbezaan itu. Sekadar contoh jangan kau sentuh kepala anak Melayu. Nanti bapa dan ibunya akan datang terbang meluru ke sekolah. Tidak pula untuk anak Cina atau India atau Kadazan atau Murut atau Iban atau yang lain-lain. Kepada orang Barat memegang kepala itu memberi penghormatan. Bukan menghina. Masalah budaya kan? Lain padang lain belalangnya.

Maka setiap anak didikmu mesti dilayan seperlunya. Yang Melayu dilayan seperti Melayu. Yang Cina seperti Cina dan yang lain-lain begitulah turutan dan tuntutannya. Ikut budaya masing-masing. Biasanya anak Melayu dilayan lembut. Sesekali boleh dikasari tetapi jangan melampaui had kesat, hina atau lucah. Anak Cina barangkali perlu lebih keras. Perlu lebih tegas. Perlu mean business. Latarbelakang mereka membolehkan semua perkara. Mereka tidak tahu yang mana boleh dan yang mana tidak. Terutama mengenai akhlak. Budaya sekolah, asing kepada mereka. Belajar memang pandai. Tidak dapat dinafikan. (Mungkin nanti ada ulasan lain mengenai ini.) Begitu juga anak-anak yang lain ada cara dan gaya yang mesti dipilih. Ianya mesti case by case. Tidak diborong semuanya. Jangan ikut persepsi Satu Malaysia. Itu untuk slogan lain bukan untuk melayani pelajar yang berbeza di dalam kelas. Layanannya mesti berbeza. Mengiktiraf fitrah perbezaan itu.

Di sinilah kau mesti melaksanakan ilmu psikologimu dulu. Bahawa manusia itu berbeza. Ada pengalaman yang ingin saya kongsi. Saya mengajar pelajar tingkatan satu di SMK Ibrahim Fikri Kuala Terengganu. Seorang pelajar perempuan sangat sopan, penyabar, suka membantu. Saya katakan kepadanya, “Awak ada adik lelaki kan?.” Terkejut dia. “Mana cikgu tau?” Nak tahu kenapa? Seorang kakak lazimnya dipertanggungjawabkan oleh ibu bapa (di kampung khususnya) untuk menjaga, mengawasi, membantu dan melayani karenah adik-adiknya. Adik perempuan biasanya rapat dengan kakak. Turut sama membantu. Tidak banyak masalah. Tetapi adik yang lelaki banyak sungguh karenahnya. Ragamnya. Keletahnya. Yang bukan-bukan kehendaknya. Oleh itu kakak kenalah sabar melayani adik lelaki itu. Jika tidak kakak yang tanggung akibat. Dimarahi ibu bapa. Dianggap tidak memegang amanah. Tidak melaksanakan amanah. Tidak bertanggungjawab. Itulah yang digambarkan dalam filem Melayu, Batu Belah Batu Bertangkup.

Sebaliknya itulah tingkahlaku adik lelaki yang ada kakak. Semuanya bertentangan dengan sifat dan sikap kakak tadi. Dua keadaan ini sudah boleh ditelah. Diramal. Dijangka. Jika dapat kau lakukan ini, anak-anak didikmu nanti pasti kagum yang amat sangat. Macam bomoh pula cikgu ni. Macam pawang pun ada. Nanti mereka hormat gila kepadamu. Nanti kau perhatikan sifat-siat anak sulung. Selalu perihatin tentang orang lain. Banyak sifat terpuji. Nanti kau akan lihat anak bongsu. Rajuknya menjadi-jadi. Mogoknya selalu. Demonstrasi perasaannya tidak mengira siapa dan di mana. Yang anak kedudukan di tengah-tengah pula lain ragamnya. Ia tidak peduli apa yang berlaku. Sebabnya? Dia selalu menjadi penonton. Menjadi saksi kekalutan keluarga antara yang sudah besar dengan yang masih kecil-kecil. Dia yang ditengah selalu tidak terlibat dalam keributan begitu. Dia ambil jalan selamat. Berdiam diri.

Hendak membezakan anak orang kaya dengan orang miskin cukup mudah. Anak uztaz dan uztazah dengan anak orang lain juga berbeza. Anak bandar dengan anak kampung juga berbeza. Anak yang berkecukupan dengan anak yang tidak, juga berbeza. Persepsimu terhadap anak-anak didikmu mestilah betul. Benar. Melihat dari perspektif yang hak. Sebab itu saya katakan bahawa setiap tingkahlaku anak didikmu itu tidak semestinya perlanggaran disiplin. Jangan cepat menghukum. Jangan cepat membuat kata putus. Jangan cepat membuat kesimpulan. Latarbelakang mereka yang berbeza itu ada cerita yang berbeza-beza.

Nanti kau akan temui anak-anak dari keluarga yang tidak selari. Yang ibu bapanya kaki gaduh. Mereka selalu bergaduh. Anak menjadi withdrawn. Sedih. Menyendiri. Itu belum yang ibu bapanya bercerai berai. Maka anak itu tidak pandai mengurus diri. Aduhai jika ibu bapa jenis yang tidak kisah, anak-anaknya tidak tahu mengurus apa-apa. Semuanya perlu diasuh dari bawah. Dari nihil. Dari zero. Yes zero based. Jika tidak sampai besar pun dia tidak tahu apa yang dibuatnya. They lacked purpose. Devoid of any meaning.

Ada lagi. Banyak lagi. Bagaimana pula anak-anak yang bersikap angkuh, sombong, bongkak, hidunngya selalu ke atas. Yang jalannya selalu melanggar kerusi dan meja orang. Ada pula yang barang orang barang dia. Semua dia punya. Haru seluruh kelas. Kau akan hadapi semua itu. Paling banyak kau temui di kelas-kelas yang hujung. Yang katanya kurang pandai. Walaupun nama kelas itu sangat psikologikal tetapi anak didikmu perlukan belaian yang lebih jitu. Yang lebih perlu.

Tugasmu berat. Sangat mencabar. Ia menuntut kecekalan. Kesabaran. Seluruh kudratmu pasti perlu dikerah. Perlu dicurah. Natijahnya belum tahu. Yang pastinya kau harus terus belajar. Belajar mendepani semua keadaan yang datang kepadamu. Bukan sekali tetapi berlarutan sehingga kau bersara nanti. Mungkin jika ada rezeki, jika ada umur panjang. Tidak lama sekadar 40 tahun dari sekarng. Jika sekarang kau mendekati usia 25 tahun. Mungkin kau akan bersara ketika usiamu 65 tahun. Pada tahun 2050 nanti. itupun jika umur panjang. Jika kesihatan yang kau miliki mengizinkan. Jika dunia belum kiamat. Jangan hirau masa. Ia akan datang dan berlalu. Setiap yang pergi adalah sejarah. Laksanakan tugasmu. Laksanakan tanggungjawabmu. Dengan kualiti dan kuantiti.


Bahagian Kedua

Anak didikmu ada maruah diri. Mereka ada harga diri. Mereka rela mempertahankannya. Sebagai guru tugasmu adalah membantu anak didikmu membina harga diri itu. Menghargainya. Dengan harga diri itulah mereka menjana nilai-nilai positif dan baik. Tolong jangan sentuh maruah mereka. Tolong jangan hancurkan maruah mereka. Jangan cacatcelakan maruah mereka. Andaikata ada keperluan, saya ulang, ada keperluan, pelajar hendaklah di urus cara individu. Secara pribadi. In complete privacy.

Anak didikmu mungkin melakukan banyak perkara yang tidak kau sukai. Mereka sebenarnya tidak tahu mengapa mereka melakukannya. Hanya naluri mereka sahaja. Mereka mungkin nakal. Mereka mungkin keras. Mereka mungkin kesat. Mereka mungkin jenis yang tidak makan saman. Mereka mungkin jenis yang suka menyumpah seranah. Mereka mungkin yang tidak mendengar kata. Mungkin juga degil dan keras hati.

Hubaya, hubaya. Untuk mengurus mereka hendaklah dengan cara bersahaja. Cara yang tenang. Dengan cara yang lembut. Pastikan ada sedikit ketegasan. Ada purpose. Ada urgency. You have a very little time. And very scarse too. Oleh itu jadualkan usaha jika hendak kaunseling pelajar. Jangan buat di bilik guru. Nanti guru-guru lain akan dengar. Akan lihat akan ambil tahu. Maruah anak didikmu mesti dipelihara. Jika sangat perlu gunakanlah bilik kaunseling. Tidak ada sesiapa yang perlu tahu situasi anak didikmu kecuali kau berdua.

Sentuhlah perasaannya. Sentuhlah jiwanya. Sentuhlah keluarganya. Bapanya. Ibunya. Adik beradiknya. Keberadaannya. Kekurangannya. Kedaifannya. Kemiskinannya. Kepapaannya. Anak anak akan surut hatinya bila semua itu disentuh. Nalurinya akan jatuh. Egonya akan tumbang. Kedegilannya akan hancur. Keras hatinya akan punah. Mainkan psikologinya. Selami dalamannya. InsyaAllah anak-anak yang tiada harapan itu akan nanti memberikan kau anugerah kejayaan. Jika tidak akademik sekalipun dia akan memberi anugerah akhlak yang baik.

Sebagai guru kau akan banyak menangis. Kau tangisi nasib anak didikmu. Kau tangisi anak bangsamu. Mereka tanggungjawabmu. Amanah besar untuk negaramu. Jadilah guru yang perasa. Guru yang mengenal rasa. Guru yang memberi rasa. Pada akhir kerjayamu nanti kau akan tenteram kerana kau telah memberi rasa itu.

No comments:

Post a Comment