Dalam negara sendiri biasa ramai orang sesat jalan. Di daerah sendiri pun terjadi begitu. Cuba perhatikan keliling. Kita dapati banyak papan tanda. Banyak tunjuk arah. Tetapi kesemuanya bersifat setempat. Maksud saya orang setempat sahaja yang faham. Orang-orang dari tempat lain menghadapai banyak kesukaran untuk menuju destinasi yang mereka inginkan. Selalu terjadi tempat yang dekat dan sepatutnya mudah menjadi sangat mengelirukan. Tiada petunjuk yang boleh diikut sebagai panduan.
Melihat ini semua saya merasakan seolah-olah kita tidak peka dengan kesusahan orang lain. Kita tidak perihatin dengan masalah orang lain. Kita tidak ambil tahu tentang masalah yang merumitkan ini. Ada pula yang beranggapan, nanti pandailah dia cari sendiri. Kadang-kadang sukar dimengerti kerana sikap kita begitu. Bila orang bertanya kita jawab acuh tak acuh. Kita berbisik dalam hati. Kita remehkan masalah orang itu. Pada kita tidak ada masalah. Itulah pemikiran simplistik yang selalu kita bawa. Sikap kita, sifat kita, pemikiran kita, pandangan kita semuanya terlalu simplistik. Terlalu naif. Semuanya senang pada kita. Tentu senang jika ia perkara-perkara yang biasa. Yang lumrah. Yang hari-hari di depan mata. Yang senafas dengan kita. Yang terpampang depan mata setiap masa.
Prinsipnya ialah bila orang bertanya, sebenarnya dia dalam kesusahan yang amat sangat. Dai dalam bimbang. Dia dalam takut. Dai sedang kalut fizikal. Dia sedang kalut perasaan. Bayangkan jika tidak dibantu tentulah masanya terbuang. Sedangkan masa itu emas. Masa itu kos. Masa itu mahal harga dan nilainya. Banyak kerugian yang perlu ditanggung kerana masalah sesat mencari arah. Tenaga yang digunakan sia-sia sahaja kerana masa yang terbuang. Sepatutnya tenaga itu dapat disalurkan kepada untuk membuat kerja-kerja lain yang lebih bermanfaat. Berpusing-pusing dalam sesat tentulah membazirkan minyak. Percemaran bertambah. Kos hidup bertambah. Penjimatan tidak dapat dibuat. Jika ramai orang berada dalam situasi tersebut, pembaziran, kerugian dan kepayahan yang ditanggunag berganda-ganda banyaknmya. Bertimbun harta negara yang terbuang. Banyak kos melepas yang terpaksa diabaikan kerana pembaziran dalam aspek yang dikira sangat kecil secara individu. Tetapi mencapai angka yang besar bila disatukan.
Barangkali kita perlu membina falsafah yang lebih kukuh dalam hal ini. Suatu destinasi itu walaupun jauh boleh ditujui dengan mudah. Tempat yang jauh lebih cepat ditujui. Kurang pembaziran. Banyak penjimatan. Orang tidak faham bahawa orang yang berada dalam situasai sesat mengakibatkan banyak masalah psikologi. Sebuah keluarga yang sesat boleh menyebabkan pertengkaran antara suami dan isteri. Antara ibu dan anak. Antara bapa dan anak. Antara anak dan anak. Jalan yang dicari tidak juga diketahui. Entah di mana puncanya juga tidak ditemui. Fobia mungkin datang. Ada setengahny atrauma jika ada hal-hal lain yang lebih mengeruhkan seperti kemalangan, kecederaan atau kematian.
Banyak kali saya terkena. Papan tanda dan isyarat yang diletak mengelirukan. Pada sebuah simpang anak panahnya ke mana jalan yang sebenar entah ke mana. Bila kita ikut, arah lain yang kita tuju. Bila bertanya dengan orang masalah lebih banyak yang timbul. Yang kita tanya mungkin sahabat dari Bangladesh. Mungkin dari Vietnam walaupun rupanya seperti orang Cina. Orang Melayu tetapi dari seberang. Kadang-kadang malas hendak bertanya bila kerap tersalah orang. Semuanya pendatang. Mereka hanya sibuk cari makan. Kita pula menyibuk bertanya hal-hal yang tidak ada dalam kamus mereka.
Saya pernah sesat di Washington DC waktu di USA dulu. Saya singgah di sebuah balai polis. Saya bertanya, “Officer, I’m looking for this place. I’m lost.” Selamba dia memberi komen. “I know”. Pertamanya saya orang asing. Keduanya singgah di balai polis. Di Yong Peng Johor saya pernah tercari-cari sebuah rumah. Tidak berjumpa. Kebetulan terjumpa sebuah balai bomba. Saya bertanya kepada pegawai yang bertugas di kaunter. Secara spontan dia membelek-belek peta yang ada di belakangnya. Barulah saya tahu bahawa di balai bomba terdapat petan setiap jalan, setiap lorong, setiap rumah yang didaftarkan dengan pejabat bomba, JKR, Majlis Daerah/ Bandaran/ Bandaraya, JPS dan sebagainya. Kedudukan kesemua penempatan penduduk diketaui oleh pihak bomba. Bila ada panggilan kecemasan mereka boleh menuju ke tempat kejadian dalam sekelip mata sahaja. Semuanya ada di peta mereka. Sebab itulah setiap pelan rumah di bandar atau di kawasan perbandaran mestilah mendapat kelulusan bomba supaya boleh dibantu dengan mudah bila diperlukan.
Dalam perjalanan saya mengelilingi tanah air tercinta ini kerap benar saya tersesat. Orang kita pula tidak pernah arif tentang arah tuju sesuatu tempat. Bila kita tanya terlalu sukar untuk menerangkan kedudukan tempat itu walaupun bila saya sampai tidak sesusah mana. Mereka tidak dapat menyatakan simpangnya, mercu tandanya atau lain-lain petunjuk yang memudahkan. Banyak yang sepatutnya boleh membantu. Bagi orang Islam petunjuk yang mudah tentulah masjid, surau, sekolah. Mungkin juga stesen minyak. Kilang. Kedai. Bangunan tinggi. Pokok yang luar biasa besar dan tingginya. Warna sesuatu yang mudah dilihat.
Anak saya pernah sesat di Pagoh Johor. Bila keluar dari tol Pagoh, di pekan Pagoh tiada tunjuk arah yang menunjukkan Parit Sulong atau Simpang Lima atau Tongkang Pecah atau Batu Pahat. Akibatnya anak saya sesat hingga ke Muar. Tengah malam pula. Pukul tiga rasanya baru dia sampai di Parit Sulong. Hanya ketiadaan papan tanda yang simple manusia boleh sesat berpuluh-puluh kilometer. Tentulah menghabiskan minyak. Memenatkan. Secara psikologinya membimbangkan. Anak saya perempuan pula. Apa lagi bersilatlah isteri saya. Nasib baik dia tidak histeria. Sampai sekarang di pekan Pagoh belum ada tanda arah yang jelas.
Saya ke Jitra mencari POLIMAS. Naik lemas juga saya dibuatnya. Saya kata mana simpangnya. Satu tanda arahpun tidak ada. Saya teringat dari lebuhraya PLUS sangat mudah sampainya. Tetapi dari Alor Setar saya tidak menemuinya. Saya bertanya seseorang. Orang Jitra. Masih muda. Dalam lingkungan 30an. Nampaknhya seperti orang bekerja. Lama baru dia menjawabnya. Kesian dia tercari-cari arah. Tidak diingat apa-apa mercu tanda. Akhirnya dia memberi jawapan yang umum. Belok kiri. Sebelum sungai belok kanan. Terus jangan belok-belok. Nanti jumpa POLIMAS. Saya percayalah pada yang arif. Penduduk setempat yang sepatutnya tahu.
Saya halakan kenderaan saya seperti arahannya. Lama juga saya berkenderaan. Jalannya sempit pula. Dalam hati saya berkata-katalah juga. Betulkah jalan ni. Sampai saya di satu simpang. Tidak ada apa-apa isyarat. Saya sudah agak berpeluh juga kerana tidak ada panduan langsung. Saya membuat keputusan membelok ke kiri. Nah di depan, di persimpangan jalan, saya terpandang bangunan. Banyak bangunan. Di sini rupanya tersorok POLIMAS. Antara politeknik lama di Malaysia. Tetapi sukar dicari bagi yang mencari. Saya bertanya kepada seseorang kenalan di Jitra melalui sms. Malang nasib saya dia tidak membalas sedikit pun. Mungkin telefonnya mati atau habis kredit. Atau dia entah di mana-mana ketika itu.
Di mana falsafah kita agaknya. Falsafah untuk membantu orang lain yang memerlukan. Untuk menghalang mereka dari berada dalam sesat. Ini malang untuk negara tercinta. Malang untuk orang-orang seperti kita. Peribahasa seperti hanya mainan. Malu bertanya sesat jalan. Tetapi bertanya menjadi lebih sesat lagi. Yang ditanya lebih tidak tahu.
Bagaimana semua ini harus diatasi. Dalam negara yang indah dan tercinta ini banyak berlaku kesesatan. Sesat agama dan sesat akidah semakin menjadi-jadi. Entahlah dunia semakin dekat ke hujungnya. Kita pula tidak habis-habis ragamnya. Banyak masalah dasar yang tidak selesai.
Orang kita perlu belajar seperti orang barat. Pengamatannya tajam. Ingatannya kuat. Walaupun baru sekali berjumpa, merek boleh ingat parut di atas kening. Bentuk hidung yang mancung. Misai yang jarang-jarang. Kudis di tangan kiri. Bulu hidung yang tersembul. Anggaran berat badan. Anggaran ketinggian. Cara kita berjalan. Kesemuanya diperhatikan dan diingat. Kita selalu mengabaikan semua perincian begitu. Bukan budaya kita. Bukan cara kita.
Kita boleh mengubahnya.
No comments:
Post a Comment