Pada tahun 1979, sewaktu usia saya 33 tahun, saya menamatkan pengajian saya di UM. Semasa di tahun akhir saya berkira-berkira akan kembali ke sekolah. Menjadi guru atau secara rasminya Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Berijazah. Terbayanglah gaji yang lebih besar. Nanti boleh membeli kereta, membeli rumah dan mengadakan yang seperlunya untuk isteri dan anak-anak. Setelah penat belajar, saya bersabar menunggu nikmatnya yang hendak dituai. Harapannya kembali ke Negeri Johor untuk berkhidmat di sana. Harapan yang tidak seberapa. Sementelahan pula arwah ibu saya tinggal seorang. Adik saya mengikut suaminya yang pula menjaga ibu mertuanya. Jika saya kembali ke Johor dapatlah saya menjenguk-jenguk ibu saya.
Hidup ini tidak seperti yang kita rencanakan. Allah mengkehendaki saya untuk berkelana dahulu. Untuk merentas masa. Untuk mengembara dahulu. Untuk memperkayakan pengalaman saya. Untuk mentarbiahkan diri saya dengan pengalaman-pengalaman baru. Untuk berkongsi rasa dan cita. Saya diberi tugasan baru. Tugasan membina anak bangsa juga. Kapasitinya berbeza. Suatu kapasiti yang tidak pernah terduga. Pengalaman itu rupanya yang menyediakan saya untuk berada dalam kedudukan sekarang. Untuk saya menjadi lebih bersedia berhadpan dengan situasi dan cabaran baru.
Lalu bermukimlah saya di Politeknik Ungku Omar (PUO). Bermastautin di tempat orang lain. Tempat yang akhirmya memberi impak besar dalam hidup saya. Benar, saya didewasakan di sana. Didewasakan dari segi pengalaman. 12 tahun yang penuh dengan berbagai pengalaman. Apa sahaja tugas yang perlu, saya laksanakan. Saya pernah menemuduga pelajar sebab dulu pelajar dipilih melalui temuduga. Memantau latihan industri. Pengacara majlis konvokesyen dan aktiviti jabatan. Pengacara majlis perkahwinan. Setiausaha dan pencatat mesyuarat. Berbagai-bagai jawatankuasa tetap dan sementara. Waden untuk pelajar luar asrama.
Paling banyak saya menjaga pelajar. Bertahun-tahun saya mengendalikan Hal Ehwal Pelajar. Tentunya bahagian disiplinnya. Saya tidak garang. Tidak bengis. Tidak ganas. Cuma tindakan saya, saya pastikan berbisa. Dengan ketegasan yang tidak boleh digoncang. Cubalah bertanya bekas pelajarnya antara tahun 1980 hingga tahun 1990. Pasti banyak cerita negatif tentang saya. Walau bagaimanapun saya puas kerana hasrat menjaga sisiplin saya laksanakan. Pelajar yang tiada masalah, tidak ada yang merasa risau dengan kehadiran saya tetapi yang bersalah akan berputar-putar mengelakkan diri dari bertembung dengan saya.
Kebetulan saya menjadi warden luar. Banyak masa saya meronda kawasan tempat tinggal pelajar. Paling kerap Taman Cempaka. Setiap orong dan jalan pasti saya lalui sekuran-kurangnya 5 kali seminggu. Biasanya waktu malam. Kerap juga selepas pukul 2.00 pagi. Pelajar kadang-kadang akalnya singkat. Mereka berbuat sesuatu tanpa memikirkan impaknya kepada jiran tetangga. Kepada masyarakat setempat. Atau kepada diri sendiri. Belum ramai yang teguh pendirian. Yang terbentuk jati dirinya. Motivasi dalaman masih sangat lemah. Mereka kerap membuat bising. Ketawa dan tergelak sekuat hati. Bermian gitar dan bernyanyi beramai-ramai. Radio dukuatkan melebihi keperluan. Tv pula melalak tanpa perlu kerana yang menonton terlaly dekat dengan cermin skrinnya.
Saya malas banyak bicara. Yang bising diberi kaunseling. Fahamkan mereka bahawa jiran tetangga hendak bangun awal kerana bekerja. Kerana menghantar anak ke sekolah. Anak-anak pula perlu tenang tidur kerana ke sekolah sesoknya. Datuk dan nenek kena berehat tenang. Bayi perlu tidur tanpa diganggu kerana mereka hendak membesar menjadi manusia normal. Pelik bin jaib kerana ada pelajar yang bermain sepak takraw melepasi pukul 12.15 tengahmalam. Membetulkan motorsikal melepasi pukul 10.00 malam. Bising dan membingitkan jiran tetangga.
Ada pelajar yang terkedu dengan tindkan saya. Jika mereka bermain gitar melebihi pukul 10.00 malam di luar rumah saya akan ambil gitar itu untuk diserahkan kepada ketua jabanatan pelajar itu. Gitar itu dipulangkan setelah mereka tamat peperiksaan pada hari yang terakhir sebelum mereka menamatkan pengajian. Begitu juga radio dan hi-fi yang dimainkan dengan kuat melebihi pukul 10.00 malam. Sekali dua saya buat, tersebarlah kepada semua pelajar. Memang serik mereka dibuatnya.Tidak ada lagi yang berani melakukannya. Malah mereka yang berpasangan dan berdua-duaan di luar rumah saya tegur. Berbual di luar rumah dengan bekain gombang, berseluar pendek, tidak memakai baju dan berbual dengan kuat saya minta masuk ke dalam rumah. Bagi yang berkumoul melebi 5 orang saya euraikan supaya mereka kembali ke rumah asing-masing supaya menumpukan kepada pelajaran.
Saya tidak peduli sama ada di kampus atau di luar kampus. Setiap pelajar saya perhatikan disiplinnya. Jika di luar saya kunjungi rumah sewa mereka tanpa mengira pelajar lelaki atau pelajar perempuan. Semua yang tidak beres menjadi sasaran teguran saya. Pelajar di Malaysia selalunya cuai dari segi kekemasan tempat tinggal. Luar rumah semak dan bersepah dengan sampah sarap. Masuk ke dalam rumah kasut dan setokin berkeliaran dan bertempiaran. Tidak mahu disusun dan dirapikan. Diatur atau diharmonikan. Di bilik air penuh dengan bermacam-macam baldi. Penuh dengan pakaian yang direndam. Setengahnya berminggu baru dibasuh. Bau sabun busuk menusuk-nusuk hidung.
Barangkali ramai tidak tahu bahawa serbuk sabun basuh adalah campuran sekam padi. Maka apabila direndam lama ia akan busuk. Bukan sabunnya yang busuk tetapi sekam campurannya. Sepatutnya rendaman kain dibasuh dengan segera. Jika direndam semasa mandi tengahari sebelum solat Zohor, seeloknya basuhlah sebelum solat 'Asar. Bersihkan bilik air. Bilik air itu kenalah diurus dengan baik supaya lantainya diberus selalu. Dindingnya diberus selalu. Sagala perkakas dan perhiasannya dijaga rapi. Beringatlah, ramai sangat orang yang memninggal atau cedera di bilik air. Faktornya bukak usia tua. Mungkin usia kepekaan yang rendah. Bilik air fitrahnya kotor tetapi kita yang bertanggungjawab untuki membersihkannya. Untuk menjadikannya bilik air yang selesa diguna dan dikunjungi. Wajah bilik air adalah wajah pemiliknya. Imej bilik air itu imej tuannya. Watak sebenar seseorang itu mungkin ya mungkin berdasarkan bilik air di rumahnya. Mudah-mudahan kita itu tidak terjadi kepada kita. InsyaAllah. Amin.
Bilik air di rumah pelajar kebanyakannya pula berlumut, comot, berserabut. Jika ada cedrmin, penuh pula dengan percikan ubat gigi. Saya tidak tahu kegilaan apa sebenarnya memberus gigi sambil menghadap cermin. Waktu pagi muka memang tidak cerah. Selekeh di sana sini. Lalu kenapa bercermin? Yang menjadi masalahnya, percikan ubat gigi itu tidak dibersihkan selepas itu. Maka kesannya tidak dapat dibuang. Orang lain tentu tidak sudi membersihkannya kerana bukan mereka yang melakukannya. Cemarlah bilik air itu. Masing-masing mengelak dari membersihkannya. Yang mengotorkannya tiada intelek untuk berfikir secara positif supaya bilik air gunasama itu benar-benar disenangi oleh semua orang yang menghuninya.
Jika ke ruang dapur lebih gila dibuatnya. Kur semangat! Periuk, belanga dan kuali banyak terlentang dan tertiarap tanpa dibasuh. Jika dibasuhpun tidak pula dikemas. Sinki? Aduh! Penuh dengan pinggan, mangkuk, sudu, sudip dan pisau yang entah berapa lama tidak dicuci. Begitu juga di meja makan. Penuh dengan bekas makanan yang tidak dibersihkan. Itulah bahananya jika tidak dilantik ketua dan tugas tidak digilirkan. Semuanya mengharap orang lain yang melakukan. Saya telah gariskan panduan untuk hidup berkongsi ruang dalam entry yang lain sebelum ini. Sila rujuk kembali.
Di tangga (jika dua tingkat) keadaan kadang-kadang memualkan. Tersidai setokin busuk berderet-deret. Kadang-kadang mungkin hidung mereka tersumbat. Mungkin mata mereka tidak awas lagi. Tidak terhidu dan tidak terlihat kotoran-kotoran yang menyakitkan mata. Tidak cukup dengan itu, seluar dalam pula disidai sepanjang tangga. Gila saya kata, gila.
Nanti di dalam bilik lagi kalut. Saya jadi tidak faham. Bagaimana pelajar yang terpelajar boleh hidup dalam keadaan yang seperti orang terbiar. Bilik tidak pernah dikemas. Tilam, cadar dan selimut kekal begitu tanpa dikemaskan. Lantai bilik tidak di sapu atau dibasuh atau dimop supaya terhindar dari bakteria dan virus. Malah mungkin tuma dan kutu. Pakaian pula lagi mengharubirukan fikiran saya. Tidak dapat dikenalpasti yang sudah berbasuh dengan yang belum. Bercampur antara yang bersih dengan yang kotor. Berbau peluh dan badan yang entah-entah apa baunya.
Pakaian jarang berlipat. Di tingkap pula tanpa segan disidai seluar dalam atau baju dalam. Dilihat dari luar memang sangat tidak manis. Dilihat dari dalam memang tidak nampak cacat celanya. OK semuanya. Sebab yang diambilkira ialah mudahnya bukan sopan atau kemasnya. Bayangkan pelajar-pelajar ini akan keluar lalu menjawat jawatan-jawatan yang bukan kuli. Walaupun bukan jawatan eksekutif tetapi jawatan juruteknik yang tinggi juga sebab memiliki sijil atau diploma. Politeknik atau IPT lain bukan tempat untuk mengajar bagaimana untuk menjaga kebersihan. Itu latihan sewaktu kecil di rumah dahulu. Latihan sewaktu di sekolah rendah dahulu. Latihan sewaktu di sekolah menengah dahulu. Seharusnya akademik dan latihan sosial dan kemanusiaannya harus segerak dan selari dengan peranan yang akan dijalankan bila menjadi lulusan nanti.
Ambullah inisiatif untuk menjadi positif. Pengalaman bersama pelajar Malaysia di USA dahulu menunjukkan pelajar lelaki sekalipun pandai memasak, pandai menghias rumah dan pandai bersosial dengan sesama pelajar Malaysia yang berkeluarga terutamanya. Sebab itulah kadang-kadang pelajar lulusan luar negara pandai membawa diri. Latihan berdikari telah sebati dengan diri mereka. Dari jejak kaki yang pertama hingga empat tahun kemudian hidup memang berdikari sahaja. Jauh dari kampung halaman. Jauh dari ibu dan bapa. Jauh dari saudara mara. Jauh dari segala yang indah dan tercinta di kampung halaman. Tidak boleh dirindu dan tidak boleh dicita. Tanggung sendiri. Semuanya hendaklah berdikari. Jadinya jiwa mereka sudah kental sebelum mereka menjawat apa-apa jawatan sekalipun. Indahnya jika semua lulusna IPT begitu. Belajarlah dengan membuka pancaindera supaya mendapat kepekaan yang tinggi. Ambil iktibar dari segala yang boleh menjadi panduan supaya diri menjadi bertambah baik. Supaya nilai tambah pada diri itu membesar dan mengkayakan akhlak diri.
No comments:
Post a Comment