Sunday, September 5, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Ketiga Puluh Satu- Bab 2

Setahun di PUO saya berulang alik ke KL kerana isteri dan anak-anak saya tinggalkan dahulu. Kekal di rumah setinggan. Anak saya yang sulong sudah bersekolah dan adiknya di kelas tadika. Rasa payah bertukar sekolah sedang mereka asyik dengan suasana baru di sekolah. Maka setiap minggu saya berulang alik dari dua bandar besar itu. Ada masanya saya menaiki bas dan ada masanya saya menaiki teksi. Ikut mana yang mudah dan cepat. Jalan antara kedua bandar itu pula belum ada PLUS seperti sekarang. Untuk merentasi pekan-pekan Tanjung Malim, Kampar, Bidur dan yang selainnya cukup melesukan. Empat jam atau lenih bagi satu perjalanan. Berbelok-belok. Berderetan kenderan yang besar dan kecil. Berat dan berjela panjang. Hendak memotong mencemaskan. Itulah cerita dulu-dulu antara Ipoh dan Kuala Lumpur. Berjam-jam di jalanan. Bengkang bengkok. Kecil dan sempit.

Di PUO ada satu dasar biasa ketika itu. Setiap staf yang baru, dibenarkan tinggal di asrama sebagai tempat transit. Dasar itu sesuai denga keadaan ketika itu. Kawasan perumahan jauh dari PUO. Tidak seperti sekarang, taman perumahan di tepi pagarnya. Terlalu dekat. Saya mendapat sebuah bilik sendiri. Bilik itu furnished. Segala lekapan dan kelengkapan sebuah bilik pelajar di asrama. Perlu bawa cadar, sarung bantal dan selimut. Ipoh sejuk juga. Kawasan gunung-ganang Banjaran Titiwangsa - The Main Range. Malamnya cukup dingin. Jika musim hujan lagilah mencengkam daging dan tulang. Nikmat alam yang Allah kuniakan. jauh dari keadaan sekarang yang panas dan melekit. Rimas. Pendingin hawa memanjang dihidupkan. Lemas tanpanya. Manusia sudah tidak selari dengan habitatnya. Dengan kampungnya sendiri. Dengan alamnya sendiri.

Di tepi katil saya ada contengan pelajar. Mungkin falsafahnya. "Kita bukan merancang untuk gagal tetapi kita gagal untuk merancang". Benar kata-kata itu. Kita selalu ambil mudah. Tiada pelan tindakan yang tersusun. Tiada prosedur. Kita tiada blueprint. Kita selalu mengikut arus. Untung sabut timbul untung batu tenggelam. Sangat tradisi. Menyerah kepada keadaan. Menyerah pada takdir. Menyerah pada nasib. Kelangsungan hidup yang tidak berencana. Malas berfikir. Malas berusaha. Menanti dan menanti. Bolehkah bulan jatuh ke riba? Nabi Yusof sahaja yang impiannya seperti iatu. Sebelas bintang sujud kepadanya. Bulan, matahari dan planet-planet dalam sistem suria. Manusia biasa tidak mungkin mencapai taraf Nabi Yusof. Mungkin juga dengan izin Allah. Tetapi hal itu adalah mukjizat. Hanya milik Nabi dan Rsul. Manusia pilihan yang menjadi kekasih Allah.

Hidup ini tidak boleh main serah-serah begitu. Usahanya hendaklah keras kata orang Indonesia. Atau seru. Yang bermakna usaha itu mestilah yang dahsyat seriusnya. Seperti kata pensyarah saya dahulu, Prof. Dr. Gregory Thong di UM, Success is 99% perspiration and only 1% inspiration. Usaha itu 99% keringat tetapi hanya 1% sahaja ilham. Barangkali itulah moto dan falsafah hidup orang Cina. Sebab itu kita lihat mereka bekerja keras untuk hidup. Survival mereka bergantung kepada kerja keras itu. Kerja keras itu yang menjadi tradisi cara hidup mereka. yang menunjangi kejayaan mereka. Lihatlah gambarannya bila mereka bekerja, ada sahaja yang dibuat. Tidak suka berehat. Tidak pandai berehat. Kerja bukan diselangi dengan kerap berehat. Mungkin kesihatan dan kekuatan tubuh badan sudah teruji pada mereka. Itu belum lagi semangat dan cita-citanya yang tinggi. Beraninya menanggung risiko memang sudah lama menjadi perhatian kita. Kita sahaja tidak mahu mencontohi sifat-sifat positif yang ada pada mereka. Jika dikatakan "Belajarlah hingga ke negeri Cina" tentulah terlalu tinggi untuk dilaksana. Kenapa hendak ke negeri Cina sedangkan orang Cina ada di sini? Di hadapan kita. Di sebelah kita. Jiran kita. Mereka mengungguli kita. Mereka bersifat dengan ciri-ciri yang boleh dicontohi. Ambillah yang positifnya. Yang negatifnya kita buang jauh-jauh.

Di pasaraya umpamanya, pekerja Cina tidak boleh duduk diam. Ada sahaja yang disentuh, dibetulkan susunannya. Dilap mana yang dilihat tidak bersih. Diawasi supaya sentiasa elok dipadang. Elok tersusun. Elok untuk mudah dibelek dan dipilih. Pekerja Melayu dengan jawatan yang sama lebih banyak duduk bermain sms. Bersembang berdua atau bertiga. Kadang-kadang tidak menghormati pelanggan dengan menghadang laluan. Mereka pentingkan sembang dari memberi perhatian kepada pelanggan. Pekerja Cina mempamerkan ketekuna dan tanggungjawab yang tinggi. Pekerja Melayu hanya makan gaji. Semangat kekitaan dan tanggungjawab tidak digilap. Banyak kesempatan untuk belajar berniaga secara praktikal tidak diambil kesempatan. Tidak disemat dalam jiwa. Devoid dari keprluan membina minda kelas pertama. Semangat global yang terlalu jauh. Semangat glokal yang terlalu rapuh. Tidak kental mencengkam zaman. Membulat tekad untuk menuju ke hadapan membilang bintang kejayaan. Menjangkau awan.

Islam menganjurkan supaya kita bekerja keras seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi. Digalakkan kita beribadat seolah-oleh esok kita akan mati. Umat Nabi Muhammad jarang yang panjang umur. Puratanya dalam umur 60 atau 70an. Dalam zaman seperti sekarang ini pula mati itu bila-bila masa sahaja. Bila ajalnya sampai ada sahaja penyebabnya. Petang tadi kita bersembang, malamnya dia meninggal. Tengahari sama-sama makan tengahari, petangnya dia pergi. Saat ajal itu terlalu dekat bagi semua orang. Penghujung zaman. Jadi jangan fikirkan sangat hal-hal yang tidak penting. Bekerjalah dan beribadatlah. Jadikan kerja itu sebagai ibadat. Kedua-dua aspek dunia dan akhirat dirangkum jadi satu.

Sukar untuk membuang tabiat suka berehat, suka lepak, suka bersembang, suka santai, suka bersenang-senang. Minta maaflah. Kita tidak layak untuk bersenang-senang sebenarnya kerana tiada siapa yang sudi memberi kita senang tanpa usaha. Setiap kesenangan yang kita dambakan hendaklah diusahakan. Yang kita impikan kita usahakan. Yang kita igaukan kita usahakan. Yang kita hasratkan kita usahakan. Yang kita harapkan kita usahakan. Semuanya mesti dibayar dengan keringat dan air mata. Dengan darah dan nanah. Dengan usaha yang payah-payah belaka. Yang mengorbankan selesa dan senang. Yang jangkamasanya untuk dapat mungkin bertahun-tahun lamanya. Yang mengorbankan tenang dan masa. Dan setelah senang mereka masih berusaha untuk lebih senang. Bukan tamak dan haloba. Bukan gelojoh tetapi untuk mengekalkan kesenangan yang sudah dikecap pada fasa pertama dahulu. Fasa menjaga kesenangan yang sudah dikecapi ini lebih sukar lagi. Licin bak belut. Bila-bila sahaja boleh hilang . Boleh menyisih jika bukan rezeki kita.

Kesenangan bukan jaminan untuk kekal selama-lamanya. Kesenangan itu menjelma setelah sekian lama. Untuk mengekalkannya perlukan usaha yang lebih gigih. Mungkin lebih teratur sebab pengalaman sudah mengajar kita. Oleh itu untuk bersenang-senang dalam kategori yang boleh mengkayakan kita, tentulah ironis. Tanpa usaha manakan datang senangnya. Sebab itu judi diharamkan. Mengharap senang tanpa usaha yang sepadan. Lebih banyak wang ringgit lesap begitu sahaja berbanding dengan balasan dan laba yang diterima. Memang porak peranda kehidupan bagi yang gila judi, gila nombor, gila ekor, gila toto dan gila yang yang. Yang serupa dengan judi. Kaya dengan cara itu tentulah sesuatu yang paradox. Menyalahi hukum agama. Bukan syariah dan bukan sunnatul Allah. Rezeki tidak datang bergolek. Yang pipih tidak datang melayang. Sesuatu yang ironis. Sesuatu yang menentang arus. Kita tidak melihat perspektif masa dan ruang. Hatta manfaat dan impaknya. Bahawa bersenang-senang dahulu itu bakal menenggelamkan peluang-peluang untuk hidup senang pada hari tua. Tentulah sukar hidup ini jika masa tuanya tidak menemui senang yang diharapkan. Bahawa di hujung usia nanti akan harus aku menuai keindahan. Ku selam mutiara. Ku pakaikan gelang emas. Ku salutkan dengan intan berlian. Ku bina gedung untuk mereka yang tersayang.

Senang itu besar ertinya untuk masa tua. Senang itu yang mendamaikan anak cucu dan keturunan warisan kita. Jaminan kelangsungan hidup yang lebih likunya pada masa hadapan. Yang lebih kuat cabarannya. Yang lebih dahsyat menggoncang impian-impian indah untuk hidup senang. Lihatlah sebuah bangunan. Mana mungkin ia mencakar langit jika tidak kukuh asasnya. Jika dasarnya tidak menunjangi kedudukan kuat pada tapaknya. Jika tunjangnya tidak mengikat bumi. Binaan yang bertingkat-tingkat itu bermula dari bawah. Setingkat demi setingkat. Tibalah nanti di puncaknya. Jika kita berkesempatan berada di puncak itu kita mungkin tidak mengetahui betapa sukarnya untuk membina puncak. Untuk mendaki puncak tentulah lebih mudah kerana puncak itu sudah tersedia. Mereka yang membina puncak itu pula bukan orang yang hendak mendakinya. Dia ingin menempatkan dirinya di situ. Dia ingin menyatu di situ. Dia ingin menghuninya. Dia yang membinanya. Dia telah lama mendaki semasa membina puncak itu. Di puncak itulah dia ingin rehat. Ingin santai. Ingin damai. Ingin bahagia. Penat lelahnya berbayar di situ. Puncak itu dia yang empunya. Dia layak untuk bersenang-senang. Bagi kita yang tidak membina puncak itu mana mungkin untuk mendaki puncak milik orang lain? Mana mungkin kita mahu menghuni puncak itu yang bukan milik kita? Yang bukan hak kita. Fikirkanlah!

Tentulah ironis, orang yang tidak membina puncak tetapi ingin berada di puncak. Orang yang dulunya bersenang-senang tiba-tiba ingin berkongsi senang orang lain. Begitulah sukarnya membina bangsa. Sukarnya kemerdekaan, kebebasan. Kiranya agama hanya untuk alat bersenang-senang maka kemelaratan juga yang kita dapat. Inggeris melalui Stanford Raffles telah menjejak kelemahan kita itu. Orang Melayu dipersarakan dari berusaha keras untuk menghidupkan kehidupannya. Dipersarakan dari menyemarakkan bangsanya. Dipersarakan dari menjamin jati diri dan keutuhannya. Raffles datang dengan tulisan Jawi. Dia bercakap Melayu. Dia faham adat istiadat Melayu. Bagi orang Melayu bila diberi senang maka mereka akan diam. Akhirnya orang Melayu ramai yang bergantung pada subsidi. Yang menjadi rakan lelap jika berniaga. Semangat juangnya telah dibeli oleh Inggeris. Telah dipenjara zaman. Telah lenyap dari kosa kata. Jati dirinya telah disimpan dalam lipatan sejarah. Yang tinggal hanya puing-puing zaman yang dilihat semakin malap. Kealpaan dan kelupaan yang melukakan.

Perjuangan kita hanya pada kulit. Dasarnya yang dalam berkecai dinjak-injak bangsa dan kaum lain. Penjajah jarumnya halus. Proxy mereka ramai. Yang namanya Islam tetap musuh mereka. Mereka musuhi ke akhir zaman. Hanya usaha kuat yang segerak dan sederap boleh menggoncang orang Melayu yang banyak tenggelam punca berfikir di bawah sadarnya. Kealpaan yang memalapkan mematikan kebangkitan bermakna. Bulan ini kita sambut merdeka lagi. 53 tahun tidak banyak mengubah sikap bangsa. Sikap kaum tidak juga kelihatan arah tujuannya. Kata masih tertinggal jauh dalam semua aspek. Strategi, dasar dan perancangannya masih belum menjelmakan penyelesaian keadaan yang memimpa.

Fokus kita masih belum mencari sasaran. Masih berlegar pada dasar yang belum selesai. Jalan-jalan di hadapan masih banyak yang buntu. Liku-likunya masih banyak. Dalam pada itu ramai pula yang tenggelam dalam arus kemewahan sementara. Pembaziran di mana-mana. Konsep cost effectiveness tidak dilaksana. Banyak yang hanya menghabiskan boreh seperti kata orang Negeri Sembilan. Adakah kita tidak pernah mendengar tentang larangan pembaziran? Bukankah sifat dan perbuatan itu ajaran syaitan? Entahlah, carilah jawapannya. Jika boleh carilah jawapanya dari segi agama. Bukan dari segi Melayu atau dari segi budaya atau dari segi sosial sahaja. Agama adalah kata pemutus untuk segala-galanya. InsyaAllah Allah selamatkan kita.

No comments:

Post a Comment