Sunday, August 29, 2010

Menangkap Ikan Melepaskan Ikan

Jika kita melihat sesuatu itu dengan pandangan mata yang sempit maka kecillah yang kita nampak. Skop yang kita lihat menjadi kecil. Lalu kita katakan bahawa apa yang kita pandang terlalu kecil dan menjadi tidak signifikan. Kita menjadi lemas dalam kotak yang kita bina. Tembok yang kita bina. Hijab yang kita bina. Lingkungan yang kita bina. Dalam pada orang membina tembok yang telus kita membina tembok yang eksklusif hingga orang tidak boleh masuk ke dalam tembok kita. Bahkan orang tidak dapat melihat ke dalam sekalipun. Akibatnya kita lemas sendiri dengan kemabukan yang dibina sendiri. Lemas kerana sempitnya fikiran.



Banyak kedangkalan dalam cara kita berfikir. Berkata tidak boleh dalam emosi. Marah juga tidak perlu dalam emosi. Apa lagi dalam nasihat dan motivasi, jangan over emosi. Dalam banyak hal kita cuba dan usaha seperti orang pandai. Kadang-kadang pandai itu perlu ditunjukkan secara berhemah. Sebabnya ada orang yang lebih pandai. Ada orang yang lebih tahu. Ada yang lebih arif. Orang-orang yang bijaksana ini tidak melatah. Banyak maslahah yang perlu dipertimbangkan. Msalahah umum perlu lebih diutamakan. Kepentingan individu hendaklah dikesampingkan. Hak kumpulan kecil tidak boleh mengatasi hak kumulan yang lebih besar. Lebih melaut walaupun kedua-duanya memiliki hak yang sahih. Hak tentang kebenaran.

Dalam setiap tindakan mesti selalu difikirkan baik dan buruknya. Haq dan batilnya. Benar dan salahnya. Islam menekankan bahawa satu antara perkara yang perlu dipertahankan ialah agama. Dalam pada itu akal juga perlu dipertahankan. Antara perkara wajib untuk dipertahankan. Biarlah nampak inteleknya. Biar nampak warasnya. Biar nampak siumannya. Biar dapat dibezakan antara pandai dengan tidak pandainya. Memelihara akal tentulah tidak sama seperti memelihara pokok. Yang pentingnya ialah kedewasan, kematangan dan sifat rasional akal itu sendiri. Logik akal kadang-kadang tidak boleh dipakai dalam hal-hal yang perlukan pertimbangan besar. Wahyu banyak yang di luar logik akal. Allah sentiasa Maha Benar. Hak Allah.



Tetapi jika kita memandang sesuatu dengan pandangan sempit kita tidak dapat bergerak untuk melepaskan diri dari himpitan perasaan dan psikologi yang kita bina sendiri. Namun jika kita melihat itu dengan keluasan fikiran dan kelapangan perasaan tentulah mata hati kita akan lebih tenang menerima sesuatu yang ada manfaatnya di kemudian hari. Cari hikmah bukan memusnah harapan masa hadapan. Logik sahaja tidak menyelesaikan masalah. Tidak membina manhaj untuk membina yang terbaik. Idealism yang terlalu lurus juga kadang-kadang tidak berjaya untuk membetulkan keadaan.



Setakat perenggan ini saya masih berteka teki. Masih berlegar membawa anda berfikir. Rasanya sudah sampai masanya saya berterus terang. Melepaskan buku dan ruas di hati. Rasa terpanggil untuk membantu berkongsi harapan. Berkongsi ideslism. Mencari jernih dari keladak dan kelodak suasana. Namun nanti dahulu. Biar saya berkisar sekejap. Berputar mencari arah. Mencari fokus untuk memberi yang terjelas. Sebelum itu ambil iktibar dari tiga paparan di bawah.

Pertama, suatu ketika, masuk seorang badwi ke dalam masjid. Tiba-tiba badwi itu membuang air kecil di dinding masjid itu. Ya! Bahagian dalam masjid. Menyinga dan merah padam para sahabat. Mahu sahaja mereka penggal kepala badwi itu. Siapa tidak kenal Omar al-Khatab. Garang dan tegasnya bukan sahaja ditakuti dan digeruni manusia, bahkan syaitan juga takut kepadanya. Banyak hadith yang menggambarkan hal tersebut. Lalu apakah tindakan yang diambil untuk menghukum badwi yang biadap itu? Yang mencemarkan masjid? Yang menghina masjid? Sama jua seperti menghina orang Islam. Saudara tahu, badwi itu membuang air kecil dalam keadaan Baginda Rasulullah SAW hadir di dalam masjid itu. Apakah reaksi Rasulullah? Nanti kita lihat jawapannya.

Kedua, saya bertemu seorang saudari baru. Seorang wanita Cina yang memeluk Islam. Dia berkahwin dengan seorang pemuda Melayu Islam. Sudah agak berumur juga. Berasal dari Pahang. Menetap di Pahang juga. Saya temui dia di UM kerana dia mengambil kursus Sijil Pengajian al-Quran. Saya rasa 3 semester junior saya. Apabila saya mengikuti kursus Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin dia seakan kagum. Takut katanya. Takut dirinya tidak mampu untuk mengikut jejak saya. Namun sewaktu saya menamatkan pengajian di UM itu dia sedang mengikuti kursus Sijil Pengajian Syariah. Tidak terus dengan Diploma. Dia berjinak dengan sijil dahulu. Masih hebat. Minatnya mendalam tentang Islam. Saya tidak pernah bertanya. Tetapi dia memeluk Islam kerana ada sesuatu yang menariknya. Nak tahu? Nanti dulu.

Ketiga, beberapa tahun dahulu saya menghadiri ceramah seorang saudara baru di surau tempat tinggal saya. Beliau bekas seorang Kristian. Seorang India yang dengan penuh insaf memeluk Islam. Islamnya kerana kesedaran bahawa itu sahaja agama yang menjadi penyelamat. Maka ia menjaja maklumat itu supaya semua orang Islam mengetahui apa sebenarnya yang mendorong dia memeluk Islam. Memeluk Islam dengan keikhlasan hati. Kerana kecintaannya kepada Islam. Mahu tahu bagaimana perbandingan antara dirinya dengan diri orang Islam yang lain? Khususnya orang Melayu Islam? Teruskan membaca.

Dalam kes pertama, Rasulullah menghalang para sahabat dari mengambil tindakan menghukum badwi tadi. Dilarang mengambil apa-apa tindakan. Sebaliknya Baginda menyuruh sahabat-sahabat yang ada untuk mengambil air dan menyimbah bekas air kencing yang membasahi lantai masjid. Tindakan untuk menghilangkan fizikal, bekas dan bau air kencing itu. Badwi itu tidak dicerca. Baginda yang begitu agung tidak murka. Tidak juga marah. Malah bersikap penuh kasih sayang. Akhirnya badwi itu mengerti kesalahannya. Ia insaf atas kesalahannya. Ia mengakui kesalahan yang telah dilakukannya. Menjadilah ia Muslim yang baik. Dia tidak tahu. Jahil hukum hakam. Tidak tahu larangan. Tidak tahu mulianya masjid. Tidak tahu adab yang harus dibuatnya. Namun tindakan Rasulullah mententeramkan keadaan. Mendamaikan suasana. Natijahnya seorang lagi Muslim dapat dibangunkan imannya. Diperkasa sayang dan kasihnya kepada Islam. Saya teringat kata-kata Habib Ali, jangan marah kepada yang tidak tahu. Jika dia tidak tahu kita yang berkewajipan untuk mengajarnya. Menghukum dan menghina. Mencerca dan merendahkan orang tidak tahu hanya menjauhkan dia dari kebenaran. Sampai bilapun kebenaran itu lari daripadanya jika kita tidak memperlihatkan kebenaran itu kepadanya. Silap dan salah kita kerana menyembunyikan kebenaran yang hak itu daraipada diketahui oleh orang mahu berjinak. Ingin lebih mengetahui. Kita tutup peluang itu. Siapa yang rugi? Ikan sudah masuh ke jaring, perlukah kita buang semula ke laut luas yang sukar mencari tepinya? Jika terlalu memilih ikan, tiada ikan yang kita dapat. Untuk menunggu ikan besar kita perlu pula berada ke laut dalam. Lebih susah usahanya.

Dalam kes kedua, dia mengatakan bahawa dia tidak mungkin memeluk Islam jika melihat orang Melayu pada keseluruhannya. Penuh dengan segala macam yang negatif. Nilai-nilai baik sejagat sangat menipis pada orang Melayu. Kepada orang bukan Islam mereka sensitif tentang ekonomi dan pendidikan. Kejujuran dan keikhlasan. Kerajinan dan kejayaan. Keterbukaan dan kesarwajagatan. Di Malaysia orang Islam adalah orang Melayu. Tetapi bagi orang bukan Melayu terlalu banyak yang tidak boleh dijadikan contoh. Tidak boleh dijadikan ikutan. Tidak boleh dijadikan iktibar. Kita bukan sahaja lemah dari segi ekonomi bahkan juga pendidikan. Payah mencari kejujuran. Banyak yang berhutang kepada orang Cina tetapi liat membayarnya. Bertangguh memanjang. Menjemukan kepada yang memberi hutang. Kerajinan pula selalu dihindarkan. Malas dan banyak berehat. World viewnya sangat terbatas. Ramai yang membina tempurung. Yang kita temui adalah sempit, gelap dan jumud. Fikiran dan akal tidak dapat digerakkan ke hadapan, ke atas dan ke dalam. Berlegar, berlegar. Pi mai pi mai tang tu jugak.

Saudari baru tadi memeluk Islam kerana dia melihat Islam. Dia telah menemui Islam yang indah. Dia telah beriman kerana kesyumulan Islam. Islam dan orang Islam adalah dua dunia yang terasing. Tidak dilihat sebagai kongruen. Tidak konvergen. Tidak selari. Tidak segerak. Yang ada hanya kelestarian memanjang mengenai perkara yang sama. Kesinambungan budaya yang tidak selari dengan kehendak indah Islam itu sendiri. Kemunduran dan kemelaratan ada di mana. Kemiskinan dan ketidakarifan ada di mana-mana. Dipandang keliling yang dilihat adalah pengamal-pengamal agama. Roh agama seperti tiada. Jasad-jasad kosong sahaja.

Dalam kes ketiga, dia berterus terang. Katanya, dia telah mencari Islam. Mencari keindahan beragama yang meyakinkan. Memberikan jawapan-jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan tentang Allah. Tentang Yang Maha Mencipta. Ajaran yang terbaik untuk diamalkan. Jalan yang membawa kepada kebenaran. Hak-hak yang wajib ditunaikan. Hukum hakam yang benar belaka. Agama yang selari dengan akal dan fikiran. Agama yang memberikan kedamaian hati dan perasaan. Agama yang tiada tandingannya. Kesempurnaan sahaja yang diterimanya. Lalu katanya lagi, tuan-tuan (jemaah lelaki kesemuanya) tidak sayangkan Islam seperti saya menyayanginya. Saya telah bekerja keras mencarinya. Bila saya menemuinya saya jatuh cinta dan menatangnya sepenuh hati. Tuan-tuan mendapat agama dengan terlalu mudah. Melalui warisan dan turunan. Begitulah, kita tidak melihat keindahan Islam yang diterima tanpa syarat. Kita tidak dapat membuat perbandingan. Tidak sepertinya yang telah jauh melakukan pengembaraan spiritual untuk mencari agama fitrah yang maha agung ini.

Dia telah berada di sebelah sana katanya. Dia telah melihat ke sebelah sini. Dia telah melihat sesuatu yang berbeza. Sesuatu yang lebih baik. Malah dia telah berada di dua tempat yang berbeza (dari Hindu menjadi Kristian). Tetapi bila dia melihat ke sini, dia melihat sesuatu yang lebih baik. Lebih sempurna. Lebih indah. Lebih damai. Lebih meyakinkan. Dia terpaut kepadanya. Dia mengejar untuk mendapatkannya. Dia gembira dengan penemuannya. Dia sangat menyanyanginya kerana cintanya, kasihnya, dambaannya di sini. Inilah agama yang menyatukan dirinya dengan kebenaran yang mendamaikan. Dengan penuh sedar dia pula bimbang dengan ikutan-ikutan kita tentang agama. Taqlid tanpa ilmu. Kita abaikan ilmu yang sewajarnya dicari, dipelajari untuk dijadikan benteng diri dari kemusnahan kerana kejahilan.

Kesihanilah diri kita sendiri sebelum kita mengasihani diri orang lain. Kelemahan kita terlalu banyak. Tiga paparan di atas harus mengajar kita untuk lebih memahami gerakan dakwah. Gerakan membujuk orang bukan Islam supaya mereka memilih agama fitrah. Agama yang bukan mengagungkan dogma-dogma buatan. Agama yang sentiasa selari dengan fitrah dan fikiran manusia. Yang sentiasa logik dan masuk akal.

Masjid dan surau adalah rumah Allah. Memang tempat suci. Malang sungguh kita meghukum dua orang YB sebagai biadab. Dikatakan mencemarkannya. Saya kira badwi yang membuang air kecil tentulah terlalu jauh lebih biadabnya berbanding dua orang YB yang hanya hadir. Bukan memberi ceramah agama. Mereka tidak mengajar orang Islam tentang agamanya. Mereka tidak juga mengajar agama lain di dalam kedua tempat ibabat itu. Cuba kita ingat kembali sejarah orang Melayu memeluk Islam. Apabila Parameswara yang beragama Hindu memeluk Islam kerana tertarik kepada orang Arab, pedagang yang penuh santun menjalankan ibadat, seluruh rakyat memeluk Islam. Melaka berubah wajah dari mengamalkan agama Hindu menjadi tempat hebat mengembangkan syiar Islam. Dalam sejarah manusia, ketua itu banyak menentukan tindakan-tindakan susulan pengikut dan rakyatnya.

Sekarang ini kita tutup pintu surau dan masjid untuk orang bukan Islam berjinak-jinak dengan Islam. Untuk mendengar laungan azan. Kan indah jika kita benarkan mereka menusukkan seruan azan itu dalam diri mereka. Mudah-mudahan azan itu meruntun jiwa mereka untuk kembali kepada fitrah beriman kepada Allah. Lalu nanti mereka diikuti dengan berduyun-duyun oleh pengikutnya. Benarkan mereka melihat Islam yang indah. Islam yang selalu kita pertahankan. Islam yang kita sanjung. Tolonglah, bukakanlah hati kita untuk menarik mereka. Jika mereka jahil kita beri ilmu kepada mereka. Menutup peluang itu sukar untuk dijawab di akhirat nanti. Apakah yang akan kita jawab di hadapan Allah Rabbul Jalil nanti? Apakah usaha kita sebenarnya untuk menarik mereka kepada Islam? Jangan pula halang orang lain untuk menjalankan usaha dakwah.

Tindakan kita ke atas dua orang YB yang dibesar-besarkan ini menjadi nilaian orang bukan Islam. Setakat mana sebenarnya usaha dakwah kita. Setakat mana keikhlasan kita untuk menarik mereka menjadi Islam. Di manakah toleransi kita dalam beragama. Cukuplah label pengganas yang diberikan kepada orang Islam. Kita telah lama dimomok-momokkan begitu. Islamofobia yang melanda Barat jangan kita bawa ke sini. Kita yang rugi nanti. Dalam usaha kita untuk meramaikan umat, kita sekat peluang yang ada. Implikasinya nanti jauh lebih besar merugikan. Banyak nanti dasar dan prinsip yang bercanggah. Terlalu banyak paradox jadinya. Dalam satu hal kita membenarkan orang melancong ke masjid. Dalam hal yang lain kita sekat penduduk negara ini sendiri untuk ke rumah ibadat kita. Jika ada kesilapan, kita betulkan. Kita didik dengan berhemah supaya mereka sensitif. Bukankan agama Islam ini agama toleran?

Saya merayu kepada mereka yang lebih arif untuk memberikan cadangan, memberi gagasan yang boleh membuka minda kita supaya lebih agresif untuk membuka dewan dakwah seluas-luasnya. Ia tuntutan besar agama. Dakwah adalah kerja semua orang Islam. Ia manhaj besar dalam mengembangkan Islam. Mengembangkan kebenaran agama tauhid. Agama yang telah Allah sempurnakan. Agama yang cukup penuh dengan nikmat. Agama yang Allah redhai sebagai agama untuk kita semua.

No comments:

Post a Comment