Tuesday, June 15, 2010

Mempamer Diri Sebenar

Banyak laman sosial yang dilanggani oleh mereka yang punya masa lapang. Niat dan hasrat untuk membuka akaun dengan laman sesawang ini tentulah tidak serupa. Lain orang lain niatnya. Ada yang tersurat dan ada yang tersirat. Walau bagaimanapun ada antaranya yang cukup takut berterus terang. Ramai yang bersembunyi di sebalik nama komersil, nama samaran, acronim, lambang, wajah orang terdekat, wajah orang lain, wajah selebriti dan ada yang tidak beridentiti.



Mengikut psikologi, secara umumnya manusia dikategorikan kepada dua jenis. Pertama dinamakan introvert. Kedua dinamakan exstrovert. Di tengah antara kedua-duanya ialah ambivert. Mereka yang introvert lazimnya pemalu. Mereka suka menyendiri. Terlibat dengan kerja-kerja yang tidak berkait dengan orang lain seperti pelukis, pengarang, audit, akauntan, arkitek, penyelidik, pereka atau pengukir. Hidup mereka tidak banyak hiruk pikuk. Mereka aman dan damai dalam dunia mereka. Mereka tidak mengganggu orang lain. Keeping a low profile and shun the limelighat. Namun mereka gembira dan bahagia.



Ada beberapa ciri khusus tentang mereka. Walaupun mereka pemalu tetapi mereka agak keras hati. Azam atau cita-cita agak kental. Sifat degil mungkin ada. Seronok tenggalam dalam dunianya sendiri. Suka low profile. Tidak suka lime light. Bila membuat sesuatu mesti dipastikan hingga berjaya. Semua masalah yang dihadapi diusahakan supaya boleh selesai. Jarang berputus asa. Walaupun suka membantah tetapi hanya untuk di mulut sahaja. Hatinya tetap akur dengan apa sahaja yang dipinta oleh orang lain sama ada suka atau tidak. Dia ingin bebas dari masalah walaupun dirinya bermasalah. Datanglah kepadanya, dia boleh membantu manusia lain menyelesaikan apa sahaja masalah asalkan terdaya dan dalam lingkungan keupayaannya.



Sukar juga mengendalikan orang jenis introvert. Ia sebenarnya tidak suka terlalu banyak peraturan. Kesemuanya menjadi sekatan dan halangan kepadanya. Ia berkarya, berfikir dan mencari jalan untuk melepaskan gejolak hati dan perasaannya. Ia tenang jika tidak diganggu. namun jika diganggupun reaksinya jarang spontan. Masa diperlu dan dipergunakan untuk berfikir, menganalisis, merencana, mencari penyelesaian. Nampak lambat dan mungkin menghilang kesabaran orang lain. Tetapi jika memahami dirinya, banhyak perkara boleh diselesaikan.

Introvert perlukan orang yang memahami dirinya. Tidak perlu bersetuju dengan apa sahaja tindakannya. Ia perlukan ruang, masa dan peluang. Bila ia terlbat jangan pula dihalang. Itu gerak hatinya. Ia pasti yang ia boleh melibatkan dirinya. Jangan tanya dan jangan halang. Ia ada misi yang perlu dilaksanakan. Lazimnya kejayaan yang dicapai akan menggembirakannya. Dia suka membantu tetapi dalam caranya. Jika dipaksa dia memberontak di dalam. Jika diminta dia memberi. Jika diajak, beri pilihan, jangan desak. Dia melakukan yang terbaik tetapi jangan komen seolah-olah dia tidak menyumbang. Dia akan tenggelam dalam guanya dirinya) nanti dan sukar untuk mengeluarkannya.

Dalam keadaan lain introvert suka menyimpan di dalam. Bukan dendam tetapi mengumpul semua yang diberikan kepadanya. Jika dia berpendidikan, berpengalaman dan EQnya tinggi maka tiadalah maslah darinya. Dia akan menyimpan apa sahaja secara senyap-senyap. Mungkin diarinya menceritakan segala-galanya atau selepas ketiadaannya bertimbun-timbun tulisannya yang meyatakan isi hatinya. Ketika itulah orang yang diinggalkan mengenali dirinya yang sebenar. Dia tidak pernah mengungkapkan isi hatinya kepada sesiapapun. Seperti api dalam sekam dia membakar dirinya. Seperti barah, habis jiwa raganya dimusnahkan virus. Namun di luar tiada yang nampak nyata. Pada dirinya tiada tanda-tanda fizikal.

Inrovert bukan tidak menciptakan kejayaan dan kehebatan. Tetapi dia tidak suka keluar dari kepompongnya. Dia bukan sombong. Dia hanya selesa berada dalam dunianya. Dia menjadi lebih inovatif atau lebih kreatif jika difahami. Orang di sekeliling harus menghargai apa yang dilakukannya, beri penghargaan, beri pengiktirafan. Dia akan melonjakkan terus dirinya untuk mencapai yang lebih tinggi lagi.

Ekstrovert pula, lepas bebas orangnya. Segala yang dilihat, didengar, dihidu, disentuh dan dirasa kesemuanya menyeronokkan. Dia seperti tiada masalah. Jika ada masalahpun terlindung kerana tingkah lakunaya yang riang. Dia tidak ada masalah sosial. Hidupnya gembira, puas dan juga bahagia dengan caranya sendiri.

Dia suka berkawan, bergaul dan berinteraksi. Boleh berbual berjam-jam dari satu topik ke satu topik yang lain walaupun yang mendengarnya tidak dikenal namanya, baru ditemui dan entah siapa. Biasa kita temui mereka si pusat membeli belah, di stesen bas atau teksi, di mana-mana ada majlis rasmi atau tidak rasmi. Ekstrovert akan berada di sana kerana dia suka suasana riang, ramai, bising, hiruk pikuk. Dia hadir meriuhkan lahi suasana.

Bila dia hadir, orang lain berasa selesa. Dia pandai mengambil hati. Pandai mengajak bicara. Pandai pula mengorek peribadi orang lain tanpa disedari. Kita alpa bersamanya. banyak hal peribadi kita yang akan keluar. Tentang dirinya kita tidak pula diberitahu. Bila balik ke rumah, sepanjang perjalanan kita teringat kepadanya. Ramahnya, bual bicaranya, gelaknya, kelakarnya. Oop namanya? Lupa pula hendak bertanya. Begitulah kita selalu terbius dengan orang yang berwatak ekstrovert.

Orang ekstrovert lazimnya sihat dan bertenaga. Semua orang dikenalinya sebab dia suka berkawan. Tidak ada malu yang tidak bertempat kepadanya. Semua yang dilakukan santai belaka. Dari orang yang berpangkat tinggi hingga orang yang tiada nama, dia boleh bersahabat. Boleh berbual dan bercerita. Tiada langsung kekok dalam apa sahaja suasana. Hidupnya seperti tiada masalah. Melihat mukanya semua orang tumpang gembira. Bila dia hadir dirinya menjadi tumpuan orang. Bila dia tiada orang tercari-cari. Dia seperti suis elektrik, bila dia ada maka arus elektrik terus mengalir. Suasana bungkem boleh menjadi ceria sekelip magta. Begitu sahaja. Hanya kerana dia hadir.

Ada masanya sukar menentukan bila orang ekstrovert ini serius dengan keadaan. Apabiula lama berkawan dengannya kita akan dapat menilai di mana nilai hati budinya. Bila masanya dia serius membicarakan sesuatu perkara. Setakat mana worldviewnya. Ke mana destinasi hidup yang hendak ditujunya. Jika ini dapat dibaca, dapatlah kita memanfaatkan dirinya. Seorang ekstrovert yang berwawasan banyak menyumbang kepada kejayaan NGO. Dia ramai kawan. Banyak aktiviti yang mendapat sokongan. Ada sahaja orang hendak menyumbang. Jika dibantu dia boleh memberi kejayaan yang berimpak tinggi. Boleh pula berkongsi dengan orang lain. He is not an island. Kehdupan sosialnya bergemerlapan. Mereka yang introvert kita temui sebagai pemberita/wartawan, jurujual, pemidato, pakar motivasi, pegacara dan banyak lagi profesion yang bekaitan.

Introvert itu jelas. Ekstrovert juga jelas. Yang sukar diduga ialah ambivert. Di mana sebenarnya dirinya? Bagaimana dia menempatkan dirinya? Lebih banyak inrovert atau lebih kepada ekstrovert? Apakah tanda-tandanya bahawa dia berada pada spaktrum yang berlainan? Untuk berurusan dengannya hendaklah ada kemahiran tertentu. Andainya silap langkah, tiada apa hasil yang diperolehi daripadanya. Tingkahlakunya tetulah ada pola-pola tertentu. Rasanya kita perlu lebih banyak bersabar tentang dirinya kerana tidak dapat menelah dengan pasti tentang mood (angin) dirinya.

Ada masanya dia introvert. Ketika ini hanya perkara serius sahaja boleh dibincangkan dengannya. Yang rasmi - formal. Hal-hal sampingan tidak perlu dibicarakan. Yang penting sahaja seperti mesyuarat, kematian dan hal-hal besar yang mengganggu organisasi. Sebenarnya ketika ini dia lebih tenang. Dia tidak perlukan gurauan, usikan atau apa sahaja yang menggangu konsentrasinya. Cuma jangan hidangkan hal yang remeh temeh. Elektriknya terganggu.

Semasa dalam keadaan ekstrovert, ajaklah dia bergurau, bersukan, bersantai, berjalan atau berbicara santai. Hatinya lapang, senang dan santai sungguh. Semua perkara tidak menjadi hal. hatinya sedang terhibur. Tetapi awas! Ambivert boleh menukar arah anginya tanpa amaran. Tiba-tiba sahaja. Angin Barat pergi ke Timur, angin Timur ke Barat pula arahnya. Jika tidak biasa kita akan jadi tidak selesa dengan perubahannya itu.

Kenalilah diri anda sendiri. Diri anda ada hubungannya dengan diri orang lain. No man is an island. Kita perlukan orang lain yang ada di sekeliling kita. Jika kita taksub dengan diri kita sendiri, jika kita hanya memikirkan diri kita sendiri, jika kita rasa kita sahaja yang penting dalam dunia ini, maka orang-orang yang ada di sekeliling kita akan menjadi tidak tenteram. Hubungan kemanusiaan melibatkan psikologi dan gelombang perasaan. Gelombang itu jika tidak tenang merosakkan hubungan kemanusiaan. Orang boleh membaca angin kita dengan cara melihat riak muka kita, perkataan yang keluar dari mulut, intonasi suara, gaya berjalan, cara menghentak kaki, keadaan tubuh badannya sama ada tegang atau santai, senyumnya hambar atau bermadu.

Dengan membuat pemerhatian begitu kita boleh berhadapan dengan orang lain secara yang lebih yakin. Kita tahu cara untuk menawan kelemahan dirinya. Yang penting kita kena tahu apa yang sepatutnya kita laksanakan apabila kita berhadapan dengan situasi-situasi yang sebegitu. Sepatutnya semua orang belajar psikologi. Ia bukan untuk guru sahaja. Bukan untuk doktor perubatan sahaja. Bukan untuk perniagaan sahaja. Ia baik untuk semua orang. Kita menjadi manusia yang lebih baik dengan memahami orang lain, kehendak orang lain, peribadi orang lain, keselesaan orang lain.

Belajarlah untuk mengenali diri sendiri. Belajarlah untuk mengenali diri orang lain. Belajarlah untuk membina keyakinan bersama, hormat menghormati, berganding bahu untuk mencapai apa yang dicita. Hidup bersama perlu ada kebersamaannya. Memahami orang lain memberi impak tentang kelangsungan dan kelestarian perubungan kemanusiaan itu.

Kita memang berhak ke atas diri kita sendiri. Namun begitu fikirkan jugalah diri orang lain. Kita tidak boleh hidup tanpa orang lain. Dari orang lain kita perlu brbicara. Dari orang lain kita perlukan kasih sayangnya. Dari orang lain kita mendapat penghargaan dan penghormatan. Dari orag lain kita hendak bertengkar, berdebat, bersanggah menyanggah. Tanpa semua ini hidup kita hambar, sunyi, sepi, layu dan kaku. Manusia lain adalah segala-galanya bagi kita. Ayuhlah jadi manusia yang berguna untuk manusia lain. Sama-sama kita tinggikan nilai kemanusiaan kita. Mudah-mudahan keberadaan kita bersama membri erti kepada kita.

No comments:

Post a Comment