Kembali ke Johor adalah suatu nikmat. Balik kampung. Penghujung tahun 1974 saya tinggalkan Kuala Terengganu. Dalam deraian air hujan musim tengkujuh. Deraian juga airmata kerana meninggalkan sesuatu yang dekat di hati. Tempat awal menapak kerjaya sebagai pendidik. Pengalaman awal menjadi guru yang tanpa diduga merentasi berbagai fasa yang jauh dari jangkauan fikir dan cita. Tempat bermulanya sebuah keluarga yang melahirkan sembilan anak-anak yang dikasih sayangi. Dari yang pertama lahir pada tahun 1972 hinggalah yang terakhir lahir pada tahun 1992. Dua puluh tahun yang memayahkan isteri saya. Namun banyak balasan baik yang diterimanya. Sifat mendidik yang ada dalam dirinya tidak tamat dengan anak-anak. Bahkan sekarang anak didiknya ada di merata tempat pula. Dari rumah dia menjadi guru Al-Quran. Dari kanak-kanak hingga warga emas anak didiknya.
Saya menjadi kurang arif bila mengenang kembali kenapa saya meminta dipindahkan ke Negeri Johor. Bila saya kenang kembali, di manapun saya bertugas tidak ada bezanya dengan kampung halaman. Malaysia, di manapun sama. Yang berbeza barangkali dialeknya, adat istiadatnya, kebiasaannya. Lama duduk semunya menjadi biasa. Boleh diasimilasi. Diri kita boleh accomodate apa sahaja yang datang. Faktor-faktor luaran ini mudah sangat diterima. Kecuali yang jelas menyusahkan. Setakat makanan, pakaian dan gaya hidup semuanya boleh diterima.
Saya memberikan alasan yang klise apabila memohon untuk kembali ke Johor. Ibu saya sudah tua. Sangat generic. Semua orang tua ibunya. Jika semua orang ingin pulang ke kampungnya siapa pula yang hendak berkhidmat, memenuhi keperluan negara. Hanya guru sahaja yang suka memberi alasan itu. Tidak pula profesion lain. Guru ada perasaan itu sebab di kampungnya ada sekolah. Di kampung yang berhampiran ada sekolah. Di pekan berhampiran ada sekolah. Di daerahnya ada sekolah. Jika kita amati tentera, polis, pegawai kumpulan sokongan yang lain, pegawai kumpulan profesional dan pengurusan yang lain, mana ada yang suka mohon balik kampung. Jawatan mereka tidak ada di kampung. Maka tidak timbul kegilaan mohon balik kampung.
Nikmat balik kampung hanya sementara. Apabila keadaan kembali tenang, saya kehilangan sebahagian dari diri saya. Di perantauan kita diperkayakan dengan pengalaman. Begitulah saya di Kuala Terengganu, di Kuala Lumpur, di Ipoh, di USA, di Canada dan di Johor Bahru. Orang dulu-dulu beranggapan bahawa tujuh kali pindah papa. Hakikat sekarang sudah berubah. Saya rasa saya sudah berpindah tempat kerja sebanyak lapan kali. Berpindah rumah hingga ke Taj Mahal saya sebanyak 21 kali. Saya jadi pakar tentang pindah randah.
Sewaktu di USA dahulu saya membantu seorang sahabat berpindah dari Pittsburgh ke Michigan. Dia menyewa sebuah van Daihatsu. Rasanya semua orang yang berumur sekitar 40 tahun kenal saiznya. Sangat kecil berbanding dengan van-van yang berjenama lain. Apabila melihat van itu ramai sahabat lain yang mengundur. Manakan tidak penumpangnya sahaja termasuk drebar seramai lapan orang. Empat dewasa dan lima kanak-kanak. Yang hendak dibawa termasuk sebuah kotak TV dan mesin jahit besar. Kain baju dan pinggan mangkuk jangan dikira.
Jenuh juga mencari akal. Macammana semua barang ini hendak dimasukkan ke dalam sebuah van yang kecil begini? Beg pakaian diikat di bahagian bumbung van. Selesai. Pinggan mangkuk dan pakaian yang lain-lain dimasukkan ke dalam beg plastik secara kecil-kecilan. Saya selitkan kesemuanya di mana sahaja ada ruang di dalam van itu. Bawah kerusi, celah kaki, tepi kerusi, belakang, depan dan di mana sahaja hatta di atas ribapun. Bila siap kesemuanya timbul pula masalah besar. Mana hendak diletak kotak TV yang besar saiznya. Fikir punya fikir, semua penumpang masuk dahulu kesemuanya. Susun tempat duduk elok-elok. Pastikan semua barang boleh dibawa. Siap sahaja barulah kotak TV dimasukkan mengasak penumpang di kerusi bahagian tengah. Asalkan boleh masuk. Yang lain jangan diambil kira. Jika penumpangnya terasa lemas saya tidak tahu.
Masa itu musim dingin - winter. Semua penumpangnya berasa panas kerana ramai. Alat pemanas dalam kereta bersama dengan kehangatan tubuh badan memanaskan mereka. Perjalanan yang menyeksakan selama hampir tujuh jam itu selamat akhirnya. Sampai juga mereka di Michigan, East Lansing kalau tidak silap. Bila sampai maka dipunggahlah kesemua barang-barang ke rumah yang disewa. Rakan-rakan yang datang terperanjat besar. Bagaimana kesemua barang yang berlonggok dalam sebuah bilik boleh muat dalam sebuah van yang kecil begitu? Mereka menjangka tentulah sekurang-kurangnya sebuah lori kecil. Begitulah. Bila kerap berpindah tempat dan rumah maka kepakaran akan diperolehi juga. Kita belajar. Kita mencari akal. Kita membuka mata. Kita mencuba jaya. Pengalaman sebegitu tidak mungkin saya perolehi jika saya hanya bertugas di kampung sahaja. Hidup tentu not colourful. Tidak berwarna warni. Ia mencorakkan hidup saya hingga ke hari ini. Impaknya besar kepada falsafah diri, pandangan hidup, harapan dan nilai-nilai sejagat.
Pada awal tahun 1975 saya melaporkan diri di SMK Tun Dr Ismail, Parit Raja, Batu Pahat. Sebenarnya saya menerima dua arahan yang berbeza. Surat dari Jabatan Pelajaran Johor mengarahkan saya melaporkan diri di sekolah di atas. Satu surat lain dari Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran mengarahkan saya melaporkan diri ke Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang. Pengalaman daif saya mengatakan bahawa arahan dari jabatan pelajaran negeri tentu lebih besar. Naif sungguh ketika itu. Pengetua SMK itupun dengan senang hati menerima saya. Dilaporkan ke jabatan. Saya bertugas selama sebulan sahaja. Datang surat menyusul saya dan mengarahkan juga saya melaporkan diri ke Sekolah Menengah Sains. Pergi juga akhirnya.
Bulan Februari tahun itu saya berada di Kluang. Tinggallah di sebuah rumah, menyewa di Kampung Melayu. Sewaktu di Terengganu dahulu saya tidak berkenderaan. Beca ada di mana-mana. Di Batu Pahat juga tidak ada masalah kenderaan. Beca dan bas ada di mana-mana. Tetapi di Kluang keadaan berubah. Bandarnya di kawasan tengah Negeri Johor. Ekor kepada Banjaran Titiwangsa. Vary undulating. Terrainnya Berbukit bukau. Untuk ke sekolah memang tidak mungkin dengan beca. Jika menaiki bas, kena bersambung dua atau tiga kali. Dari tepi jalan ke sekolah lebih satu kilometer. Parah juga jika berjalan kaki. Maka membelilah saya sebuah Vespa. Kenderaan pertama saya setelah bekerja selama tujuh tahun.
Di Sekolah Menengah Sains tidak banyak yang saya ingat. Tidak banyak impak dalam kerjaya saya kerana saya di situ hanya selama empat bulan sahaja. Terlalu singkat untuk memberikan pengalaman berharga. Begitu juga di SMK Tun Dr Ismail, sebulan yang terlalu singkat. Yang saya ingat di Sekolah Menengah Sains saya menyanyi lagu Siti Payung entah dalam majlis apa saya tidak ingat. Lagu Melayu asli. Bolehlah tahan. Merdu juga suara.
Bulan Mei tahun itu saya tinggalkan Sekolah Menengah Sains Kluang kerana hasrat hati menyambung pelajaran di Universiti Malaya. Satu lagi peristiwa yang saya ingat ialah saya berselisih pendapat dengan Pengetua tentang permohnan saya untuk melanjutkan pelajaran. Dia berkeras supaya saya memohon untuk berhenti. Saya kata lazimnya saya memohon untuk melanjutkan pelajaran bukan berhenti kerja. Itu amalan sewaktu saya di Kuala Terengganu dahulu. Akhirnya saya mengalah juga. Mungkin juga dia lebih arif. Tetapi secara teknikalnya saya rasa saya betul dan dia salah. Selama empat tahun berikutnya saya berulang ke Kluang setiap bulan kerana mengambil cek separuh gaji.
Mungkin bengang juga Pengetua tersebuat. Saya hanya bertugas selama empat bulan tetapi dia terpaksa uruskan gaji saya selama empat tahun. Setiap bulan saya balik dari Kuala Lumpur untuk mengambil cek, bertemu isteri dan anak-anak. Banyak juga payahnya. Perit dan menyeksakan. Semuanya atas nama untuk menghijrahkan diri. Menggamit yang lebih jauh. Menggapai yang lebih tinggi. Menjangkau yang sejengkal dan sedepa.
Episod belajar di UM banyak juga payahnya. Banyak siksanya. Banyak jerihnya. Banyak pahitnya. Banyak peritnya. InsyaAllah akan saya kongsikan nanti. Mudah-mudahan ianya akan menjadi ubat bagi anak-anak muda yang berada di IPT. Hidup di kampus tidak seindah seperti sekarang ini. Bantuan PTPTN saya kira cukup lumayan berbanding saya yang hanya mendapat separuh gaji sekitar RM400 sebulan. Menanggung isteri dan dua orang anak. Perit, perit, perit. Masa lampau yang menyesakkan dada.
No comments:
Post a Comment