Thursday, May 13, 2010

Apabila Roh Tiada

Apabila usia kita sampai kepada penamatnya, terputuslah kita hubungannya dengan yang hidup. Hanya tiga perkara yang dihubungkan iaitu ilmu yang bermanfaat, amal jariah dan anak-ana yang soleh yang selalu mendoakan ibu dan bapa mereka.

Apabila kita dipisahkan antara jasad dan roh barulah orang yang hidup melihat siapa kita sebenarnya di sisi Allah. Ada orang dimuliakan kerana pangkat, darjat, kekayaan dan kemuliaannya. Hidupnya meriah, matinya juga meriah. Namanya disebut, jasanya dikenang dan diingat dalam lipatan sejarah.

Apabila roh kita meninggalkan kita, ada orang melihat bahawa jasad yang hidupnya tidak berpangkat, tidak berdarjat, tidak kaya dan tidak dimuliakan menerima kunjungan, menerima penghormatan, menerima doa, menerima pujian, menerima sanjungan dan menerima segala yang baik. Secara fizikal tiada apa yang dapat dilihat tetapi secara rohani, secara spiritual, secara mental dan secara psikologi jasad kaku itu adalah segala-galanya. Pemergian pemimpin ditangisi sementara kerana hiraki penggantinya panjang berjela-jela.

Apabila seorang yang dipandang sebagai ulamak meninggalkan kita, sukar mencari gantinya. Saya takut tidak ada penggantinya. Tidak ada yang akan memberi tunjuk jalan yang benar-benar ke jalan lurus. Rasulullah telah bersabda yang mafhumnya, ilmu Allah itu diangkat Allah dengan cara mematikan ulamak. Akhirnya yang tinggal adalah orang-orang yang mengaku tahu tetapi sebenarnya mereka adalah jahil. Mereka banyak mengajar tetapi mereka sendiri adalah sesat. Yang paling parah ialah mereka menyesatkan orang lain pula. Orang-orang jenis ini ramai pula pengikutnya. Mereka bertaqlid dan tidak berminat merujuk kepada pakar yang mursyid.

Apabila jasad terbujur kaku, mereka yang menziarahi jasad itu menggambarkan keredhaan Allah. Mereka yang Allah sayangi diberi gambaran yang menyejukkan hati. Mendamaikan rasa. Melapangkan jiwa. Dipandang syahdu. Didengar sayu. Diruntun pilu. Kenangan menggenang air mata.

Apabila yang pergi tidak akan kembali, hadir kita melengkap yang tiada. Yang tiada mengirim berita. Yang dekat menyibar berita. Yang jauh memanjat doa. Saat-saat hening dan kudus itu dirakam fikiran. Disimpan untuk ingatan. Untuk diceritakan. Untuk disampaikan. Untuk dijadikan iktibar.

Apabila yang hadir merasa hiba, kebersamaan dahulu sementara jua rupanya. Detik masa singkat yang dilalui bersama hanya lintasan peristiwa. Ianya datang dan pergi. Ketika bertemu terasa akan diulang lagi. Ingin kekal bersama. Apakan daya. Ketentuan Allah begitu bahawa setiap yang hidup pasti mati. Redhalah, kerana Allah lebih menyanyanginya berbanding kita. Sampai masanya Allah merihatkannya dari kepayahan dunia. Ia perlu berihat panjang menanti hari pembalasan yang dijanjikan. Dan Allah tidak pernah memungkiri janjinya. Alam barzah itu benar. Hari pembalasan itu benar. Balasan itu benar. Syurga itu benar.

Apabila Habib Ali kembali kepada Rabbnya, kebesaran dan kemuliaan Habib Ali terserlah kepada yang hidup. Zirahnya ribuan manusia. Solok Wan Moh belum pernah melihat manusia seramai itu. Malah jangan terkejut ada antara penduduknya tidak kenal Habib Ali. Tidak pernah menemuinya. Tidak tahu yang mana rumahnya. Entah berapa orang yang peduli.

Apabila tuanya Allah sembunyikan Habib Ali di kampung yang dulunya sunyi. Di rumah kecil tidak berupa. Hidupnya dan matinya hanya untuk Allah. Namun yang hidup sekadar memberi sedikit rasa. Ke bawah Duli Yang maha Mulia Sultan Johor mencemar duli. Ada pembesar yang melapangkan masa. Ada pemimpin lain yang hadir sama. Mereka hanya ingin berada bersama. Memberi hormat terakhir kepada seorang insan istimewa. Insan barkah. Ahlul Bait.

Apabila hati tersentuh rasa, saya rakamkan perasaan saya. Tengah malam tadi saya siapkan lakaran pertemuan terakhir saya. Ciuman terakhir saya ke jasad Habib Ali. Pagi ini saya ulangi membaca blog saya. Saya baca rentetan perkataan yang caya coretkan. Saya layangkan mata bersama titisan air mata. Hanya tiga pertemuan yang dapat saya buat. Hati saya jatuh kasih. Jatuh sayang. Ahlul Bait. Keturunan Fatimah dan Ali. Itulah keturunan Rasulullah. Mengasihi mereka bagaikan mengasihi Rasulullah sendiri.

Apabila hidupnya dicari. Diziarahi dari tetamu seluruh negeri, negara dan benua. Matinya meninggalkan nama, kenangan, ajaran dan legasi yang tinggi nilainya. Bukan pangkat yang ditinggalkan. Bukan harta yang dititipkan. Bukan kemuliaan yang diwariskan. Ia meninggalkan ilmu yang bermanfaat, amal jariah melalui ilmunya dan anak curu yang saleh dan solehah. Kita hanya menumpang naung dalam hidupnya. Mudah-mudahan naungannya berpanjangan walaupun dia sudah tiada.

Tenanglah kau bersama Rabbmu wahai Habib Ali. Nikmatilah keindahan alam barzahmu. Mudah-mudahan kau bersama mereka yang solihin, siddiqin, syuhada dan ambia. Amin Amin ya Rabbal Alamin. Al-Fatihah.

1 comment:

  1. Berita dari url Majelis Rasululah

    http://majelisrasulullah.org/index.php?option=com_content&task=view&id=11&Itemid=28

    ReplyDelete