25 Mac 2010 saya bersolat Maghrib di masjid Kampung Tanjung Pauh, Jitra. Solat di masjid lama terasa syahdunya berbanding dengan bersolat di masjid-masjid yang baru. Masjid yang konkrit semuanya.
Melalui masjid ini mengingatkan saya akan masjid Nabawi di Madinah. Kubahnya hijau. Cuma Masjid Nabawi kubahnya satu sahaja. Masjid Kampung Tanjung Pauh pula kubahnya tiga.
Saya terpegun sewaktu berada di dalamnya. Selepas solat tahiyyatul masjid, saya memandang ke kanan dan ke kiri. Rupanya di dalam masjid itu masih ada tinggalan masjid lama yang diperbuat dari kayu. Kerangka dan tiang-tiang kayunya masih kukuh, masih tegak mengingatkan amal jariah orang-orang lama yang menginfaqkan harta mereka demi agama. Itulah kebijaksanaan AJK masjid yang sentiasa sedar akan amal jariah orang lama. Jika kesemua bahagian masjid lama itu dihapuskan maka hapuslah juga amal jariah orang terdahulu. Tinggalan kerangka itu bermakna amal jariah mereka masih ada di situ. Masih masuk dalam akaun mereka di akhirat nanti.
Kerangkan kayu masjid ini mengingatkan saya akan masjid kampung saya dahulu. Sayang, ianya diganti sepenuhnya. Tiada lagi saki baki masjid kayu yang gah seperti saya ceritakan dalam pos saya dahulu. Tiang serinya yang empat entah di mana. Pintu kayunya yang berat dan tebal entah di mana. Begitulah orang kita. Bila ada yang baru, yang lama dilupa semuanya. Bekasnyapun tidak mahu diingat. Sejarahnya dihapus begitu saja. Kadang-kadang kita menjadi orang-orang yang zalim. Kenangan yang baik-baik ditiadakan walaupun ianya bermakna bagi orang-orang lama, orang masa dulu-dulu.
Di msjid kampung saya dahulu, kenangan lama yang panjang usianya ialah keranda kayu yang besar dan berat. Keranda itu banyak baktinya. Kata arwah ibu saya, keranda itu akan berbunyi jika ada orang kampung yang akan meninggal. Jika malamnya berbunyi maka esoknya akan ada orang meninggal. Begitulah ketentuan Allah.
Berbalik ke masjid Kampung Tanjung Pauh. Saya selalu dapati di mana-mana masjidpun jika solat berjemaah jarang yang melebihi tiga saf. Di masjid daerahpun begitu juga. Tidak ramai jemaahnya. Solat Jumaat sahaja yang kadang-kadang melimpah ramainya. Solat waktu tidak seramai mana. Malam Jumaatpun tidak dapat meramaikan jemaah. Walaupun ada majlis membaca Yasiin seperti minggu-minggu sebelumnya.
Pengamatan saya kedua merujuk kepada golongan muda yang selalu jauh dari masjid. Rata-rata di mana sekalipun orang muda sangat langka dari masjid. Mereka fobia dengan masjid. Mungkin orang muda trauma dengan masjid kerana layanan yang mereka terima semasa mereka kanak-kanak. Lazimya orang dewasa tidak ramah kanak-kanak. Banyak sekatan untuk kanak-kanak berjinak-jinak dengan masjid. Kawalan menakutkan kanak-kanak dan menjadikan masjid asing kepada mereka. Di surau-surau barangkali suasananya lebih santai. Kurang protokol. Kanakkanak lebih diberi tempat. Entahlah mungkin sesuatu harus dilihat semula. Bagaimana seharusnya masjid menerima orang muda dan kanak-kanak sebagai pelapis generasinya pada masa skan datang.
Masjid di zaman Nabi dahulu menggemblingkan semangat tua dan muda. Malah beberapa panglima perang Islam adalah orang muda yang berumur belasan tahun. Semangat mereka tinggi. Matang. Kukuh imannya. Perjuangannya menuntut syahid. Ibu bapa pula berlumba-lumba menghantar anak mereka ke medan perang kerana mencari syahid.
Sekarang ini ibu bapa kehilangan kawalan. Apabila anak-anak mula bersekolah, ibu bapa melepaskan tanggungjawab terhadap anak-anak kepada guru. Selepas itu anak-anak diserahkan kepada persekitaran. Alam menjadi ibu bapa anak-anak. Hilanglah rangkaian warisan turun temurun. Anak-anak menyatu dengan alam yang asing kepada mereka. Kepada agama mereka. Kepada Islam mereka. Kepada masyarakat mereka. Yang tinggal ialah kerangka-kerangka yang kehilangan roh Islam. Hilang roh agama. Hilang semangat juang. Hilang semangat syahid. Hilang semangat mencari keredhaan Allah.
Kita kehilangan semua yang kita harapkan. Bagaimanakah jasad-jasad tua yang tidak dapat memenuhi masjid akan mewariskan masjid itu kepada generasi yang jauh dari masjid. Nanti masjid akan jadi rumah Allah yang ditakuti, disisih, diketepikan. Bukan lagi sebagai rumah Allah yang dicintai, yang disayangi, yang dikasihi, yang diimarahkan, yang dimakmurkan.
Masjid kampung Tanjung Pauh adalah suatu testimoni. Masjid kampung lain mungkin lebih teruk lagi. Masjid kampung saya, solat Maghribnya tidak memenuhi walau satu safpun. Yang tua, yang dewasa, yang muda dan kanak-kanaknya entah di mana. Di masjid Kampung Tanjung Pauh saya tidak melihat seorangpun kanak-kanak. Begitu agaknya bayangan masa hadapan yang menakutkan. Apakah nanti masjid-masjid akan kosong apabila jemaah yang ada sekarang akan tiada. Mudah-mudahan Allah akan memberi pertolongan untuk manusia Islam memakmurkan lagi masjidnya. Rumah Allah.
Salam...
ReplyDeleteMarilah sama2 mengimarahkan masjid kepada yang berkenaan terutamanya kaum lelaki... sesungguhnya sekiranya kamu boleh mendengar laungan azan dari tempat tinggal kamu, maka adalah wajib bagi kamu untuk menghadirkan diri mendirikan solat berjemaah bersama kariah yang lain...
Wallahu'alam...